Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,372
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
11.1✓
Tajuk : Seni, Buku, dan Darah (Bhgn 1)



SEPTEMBER 2013



Hari ini hari Sabtu. Akhirnya hari aku meluangkan masa untuk diri sudah tiba. Dua minggu telah berlalu sejak kes Layla dan suaminya. Aku tak pernah bertanya lagi selepas itu kepada Layla. Saja aku abaikan kerana aku tak mahu ambil tahu lebih dari sepatutnya. Layla juga tidak bercerita. Jadi hubungan kami kembali seperti sebelum ini.


Kereta aku pandu mula bergerak masuk ke arah kawasan yang dituju. Pusat Darah Negara. Hari ini aku memilih untuk menderma darah di sini. Kali terakhir aku menderma darah adalah 6 bulan yang lepas. Itu pun pada roadshow di kawasan universiti. Ini kali pertama aku sampai ke Pusat Darah Negara. 


Jam baru menunjukkan ke pukul 11:07 pagi. Hari Sabtu begini pasti ramai yang berehat di rumah. Kawasan sekeliling lengang. Kaki aku segera melangkah ke pintu masuk utama selepas mengunci pintu kereta. Aku bertanya kepada kaunter pertanyaan yang ada, apa prosedur yang perlu aku lakukan. Borang segera aku isi dan nombor giliran aku ambil. 


Selepas seketika aku dipanggil untuk diambil berat dan tekanan darah. 


“Pernah derma darah sebelum ni?” soal jururawat tersebut.


“Pernah. Banyak kali. Tapi hari ni saya tak bawa buku merah.”


“Tak apa. Kita bagi kad sementara hari ni. Nanti masuk dalam kita check jenis darah ye.”


Aku hanya mengangguk. Bagi aku proses derma darah sangat mudah. Untunglah aku bukan jenis yang takut darah atau takut jarum suntikan. Aku teringat lagi pernah sebelum ini ketika sedang diambil darah, tiba-tiba darahku beku di dalam bekas plastik tersebut. Selamatlah baru suku penuh. Jururawat kemudian menukarkan dengan beg plastik yang baru, dan terpaksalah aku menderma darah lebih hari itu.


Usai darah aku diambil, jururawat meminta aku untuk duduk dan makan di sudut yang disediakan. Epal, Milo panas, dan roti diberikan. Aku hanya menyisip sedikit Milo panas tersebut. Walaupun aku tidak bersarapan pagi tadi, tapi aku belum terasa lapar. 5 minit kemudian aku sudah berada di dalam kereta.


Aku masih berfikir ke mana harus aku pergi. Aku selalu seperti ini, jadual aku di waktu senggang selalu secara spontan disusun mengikut kesesuaian keadaan. Dan kemudian aku teringat pada Balai Seni Negara yang terletak bersebelahan Pusat Darah Negara. Sudah agak lama aku tidak jejakkan kaki ke situ. Sebelum ini aku bertukar arah sementara, ke Galeri Seni Petronas yang terletak di Suria KLCC. Lebih memudahkan aku untuk pergi kerana aku selalu berurusan di KLCC. 


Kereta aku bawa menyusur ke kawasan parkir Balai Seni Negara. Mungkin kerana baru pukul 12 lebih tengahari, maka tak ramai pengunjung yang ada di sini. Ruang seni yang luas dan sunyi kadangkala agak menyeramkan. Aku langkah menaiki escalator dan masuk melalui pintu utama. Dari risalah yang aku terima di pintu masuk tadi, ternyata ada 5 bilik pameran utama. 


Hati aku sentiasa teruja dan bergelora bila berada di dalam kawasan seni. Terasa seperti jatuh cinta dengan seseorang yang tak mengetahui kewujudan aku, tapi hari ini aku mengendap-ngendap ketawanya di celah dinding yang tersorok.


Sedar tidak sedar sudah 2 jam aku di sini. Berjalan dan tersenyum sendiri. Kini aku sudah di tingkat teratas. Bilik pameran ini agak bersifat geometri dan architecture. Bermacam-macam jenis rumah mini tradisional tersusun di tepi-tepi dinding, membawa aku menyelusuri hingga ke tengah ruang pameran. Di situ terdapat satu ruang khas, berserta bangku untuk duduk. Aku segera duduk di situ dan melihat apa yang terpampang di depan. Rakaman suara bunyi kicauan burung dan cengkerik memenuhi ruang. Aku anggarkan pameran yang ini khas untuk pengunjung merasai damai di hutan.


Oh iya, aku bersendirian lagi hari ini. Untuk aktiviti yang aku minat, aku lebih suka untuk bersendirian dan betul-betul menikmatinya. Lagi pula aku tak ketemu lagi mana-mana kawan yang boleh aku kongsikan minat yang sama. Aku ini orangnya membosankan. Aku sukakan seni dan buku. Aku rasa orang seumur aku lebih suka berhibur di shopping mall menonton wayang atau bermain bowling. Aku tidak berapa gemar ke shopping mall. Bagi aku semua shopping mall sama sahaja, membosankan.


Penat berdiri dua jam membuatkan kepala aku sedikit pening. Lagi pula mungkin kerana aku baru habis menderma darah tadinya. Mujur ada bangku di tengah ruang pameran. Bunyi kicauan burung dan cengkerik masih menemani aku. Perlahan aku pejamkan mata dan merehatkan diri.


Pening kepala yang berterusan membuatkan aku memerlukan gula-gula kala ini. Lantas aku buka zip beg dan cuba mencari lolipop yang selalu aku simpan untuk kecemasan. 


Ah sudah.. Aku lupa untuk menambah stok. Lolipop terakhir yang aku makan adalah 2 hari yang lepas. Aku teringatkan kafe yang terletak di pintu masuk utama Balai Seni Negara, mungkin sebaiknya aku turun dan membeli air manis di situ. 


Mungkin kerana aku bangun dari duduk terlalu mendadak, membuatkan badan aku hilang keseimbangan lalu terduduk di lantai. Aku pejam mata cuba menenangkan diri. Mujurlah tiada orang di sekeliling ketika aku masuk ke sini tadi, jika tak pasti aku dipandang pelik, monologku di dalam hati.


“Lolipop.. Nak lolipop..” perlahan aku bercakap sendirian.


“Nah.. hadiah..”


Suara yang tiba-tiba kedengaran membuatkan aku pantas membuka mata dan terdorong ke belakang. Dekat. Terlampau dekat. 


Seorang lelaki sedang mencangkung di hadapan aku sambil menghulurkan lolipop. Jarak lelaki tersebut yang terlampau dekat dengan aku membuatkan aku tak mampu berfikir dengan waras. Aku yang takut pantas bangun dan cuba meninggalkan tempat ini, namun pening membuatkan aku tersandar di dinding.


Tangan kiri aku halakan ke hadapan, menghalang lelaki itu dari mendekati aku. Manakala tangan kanan aku masih memegang dahi. Dada aku berdegup lebih kencang dari biasa. Bilik yang hanya dihiasi bunyi kicauan burung dan cengkerik, membuatkan bunyi nafasku jelas di pendengaran. 


Selepas seketika aku mula berfikir secara logik. Lelaki itu kini berdiri di hadapan aku. Dijarakkan oleh tangan kiri aku. Sedepa jarak kami. Dia masih memegang lolipop di tangan kanannya dan masih merenung aku dengan pandangan sama seperti tadi. 


“Siapa? Nak apa?” tanyaku perlahan tapi tegas.


“You need sugar now isn’t it? So I give you this,” penjelasan diberikan sambil lolipop di tangan dihulur kepada aku.


Fikiran aku mula menelaah, ini bukan lolipop biasa. Besarnya seperti besar sebiji epal. Berwarna -warni. Jika aku makan, berapa lama masa yang diperlukan untuk habis. Letih makan lolipop-lah nampaknya. Lagi pula di beri makanan oleh orang asing, memang merisaukan.


“No thanks. I don’t know you,” balas aku dingin.


“Awak kenal saya. Awak pernah bagi saya lolipop sebelum ini, jadi saya cuma balas balik.”


Aku pandang dia pelik. Adakah aku terlupa sesiapa lagi?

Kerana setahu aku, tak mungkin aku akan memberikan lolipop kepada orang yang tak aku kenali, atau yang bukan dalam lingkungan harianku.


“Kita satu ofis ke? Atau pernah satu sekolah?”


“Saya akan jawab kalau awak ambil lolipop ni dan makan sekarang. Jangan risau, I won’t drug you or do anything bad to you. Lagipun ada orang lain kat sini.”


Kedengaran suara sekumpulan pelawat mula memasuki bilik pameran ini. Aku menarik nafas sedikit lega. Perlahan aku capai lolipop dan duduk semula di bangku. Aku pandang dia yang masih berdiri, seolah meminta kepastian sama ada patut aku buka atau tidak lolipop di tangan. Dia hanya mengangguk.


Kehadiran orang lain di dalam ruang pameran membuatkan aku terpaksa bersuara rendah, supaya tak menganggu kesunyian.


“Please have a seat,” perlahan aku berbahasa basi bagi mengelakkan janggal. Lebih lagi untuk menghilangkan resah kerana lelaki di hadapan aku ini masih berdiri memandang aku menjilat lolipop sebesar epal. Memalukan bagi aku bila dilihat begitu.


‘Ah, anak siapa sebenarnya ni yang terlepas,’ fikir aku setelah setengah jam duduk makan lolipop dan mendengar ceritanya. Kami masih duduk di bangku yang sama. Ceritanya bagi aku lelaki ini seperti seorang stalker. Tapi kerana memikirkan orang yang tak cantik seperti aku tak mungkin ada stalker, jadi aku tukarkan mindset bahawa semua ini adalah ‘kebetulan’.


Kisahnya lelaki ini mengatakan bahawa kami belajar satu universiti dan ada 1 kelas malam yang sama. Aku tak rasa dia menipu mengenai ini kerana dalam jadual aku memang aku punya 2 kali kelas malam dalam seminggu. Dia juga katakan tadi dia sebenarnya berselisih dengan aku ketika di pintu masuk Pusat Darah Negara. Dia sudah habis menderma darah, sedangkan aku baru mendaftar. Dan dia tak sangka pula akan bertemu dengan aku di tingkat atas Balai Seni Negara ini. 


Iya, aku memang tahu dia tak menipu. Tapi aku tak pasti bagaimana dia boleh mengingati aku dengan mudah, sedangkan di dalam kelas aku diam sahaja mendengar. 


“Memang Encik bawa lolipop ni kemana-mana ke?” tanya aku kerana masih berasa aneh, dia berada di masa aku memerlukan. Aku susah untuk percaya kebetulan seperti ini, seperti lakonan.


“Sebenarnya ni untuk anak buah saya. Saya patut jumpa dia petang nanti. Nampaknya lepas ni saya kena pergi beli lagi sekali, kalau tak meraung budak tu nanti.”


“Berapa ye? Saya bayar sebagai ganti rugi.”


Dia membantah kerana katanya tak baik buruk siku. Aku masih berasa tak jelas kerana aku tak mahu berhutang budi dengan orang, lebih-lebih lagi aku tak pasti jika kami berjumpa lagi selepas ini aku mampu mengingati lelaki ini atau tidak. 


“Kat mana ye Encik beli? Mungkin saya patut pergi sekali dan belikan untuk anak buah Encik. Sebagai hadiah,” cadangku walaupun aku sendiri berasa was-was dengan cadangan tersebut. 


Aku tak pasti lagi lelaki ini selamat atau tidak untuk didekati. Tapi jika tempat yang dituju ramai orang, mungkin okay. Lagi pun aku memandu kenderaan sendiri.


Jadi akhirnya mengikut persetujuan, kami akan ke situ selepas lunch bersama. Dia katanya kelaparan. Aku iyakan sahaja. Asalkan bertemu di tempat yang ramai orang. 


“Kalau tak boleh habis, simpan dulu. Bungkus semula dengan plastik ni. Usually for me it took a week to finish it, as I’m not fond of sweet things,” beritahu lelaki itu.


Aku mengangguk dan menurut. Setengah jam makan lolipop rasanya gula yang aku perlukan telah cukup. Pening aku pun sudah hilang.


“So can we go for lunch now? The way you eat lollipop is too sexy for me to handle.”


Aku tersedak. Dia masih dengan wajah serius. Aku tak tahu bagaimana harus aku balas patah kata lelaki straightforward seperti ini. Creepy yet intriguing. 




Previous: 10.6✓
Next: 11.2✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.