Home Novel Alternatif Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
Perspektif (Diari Seorang Prosopagnosia)
F.Ain.K
2/7/2019 23:35:07
148,362
Kategori: Novel
Genre: Alternatif
11.2✓
Tajuk : Seni, Buku, dan Darah (Bhgn 2)



SEPTEMBER 2013



Kereta aku pandu sampai di sebuah kawasan yang agak lengang di kawasan Petaling Jaya. Aku yang mengikut arah tuju kereta di hadapan yang mula masuk ke kotak parkir, terus mengambil sudut untuk reverse parking. Selesai parkir dan mengunci pintu kereta, aku lihat ke kereta selang dua kotak dari kereta aku. Kosong. Pemandunya sudah keluar dari kereta lebih awal. 


Aku mula resah. Bagaimana hendak aku cari di mana lelaki tadi? Aku tidak tahu nama, nombor telefon, dan tak aku ingati wajahnya. Aku berpusing 360 darjah mencari jika ada lelaki yang memandang seperti mengenali aku. Tapi hampa. Apa yang perlu aku lakukan? Aku hanya mampu berdiri kaku menanti jika lelaki tersebut mencari aku. 


Lebih kurang 3 minit kemudian, dari jauh seorang lelaki melambai ke arah aku. Lelaki yang melambai itu sudah bersedia untuk menaiki tangga shop lot untuk ke tingkat atas. Aku memandang ke belakang juga ke kiri dan kanan untuk memastikan bahawa memang lelaki itu melambai ke arah aku dan bukan orang lain. Setelah pasti aku pun melangkah laju ke arah lelaki itu.


“Cari apa tadi? Saya nampak awak berdiri je kat situ,” lelaki tersebut menyoal.


Aku hanya memilih untuk diam dan tersenyum.


“Maaf tapi boleh saya tau nama Encik?” pinta aku perlahan selepas seketika tadi aku menyedari bahawa aku tak tahu apa-apa mengenai lelaki yang aku ikut ini.


Dia yang sedang mengetuai langkah menaiki tangga terhenti dua tapak dari aku, lalu berpusing memandang aku di belakang yang sedang menunggu jawapan dari dia. Tindakannya yang terhenti secara tiba-tiba, membuatkan aku sedikit terdongak memandang wajahnya. 


Dua saat dia hanya memandang aku tanpa berkata-kata. 


“Tak sangka awak minat nak tau pasal saya ye,” dia berkata sambil tersenyum lebar.


Kemudian lelaki tersebut terus menyambung semula langkahan kakinya.


Eh… aku yang tertinggal di belakang mula berasa pelik. Tak boleh ke aku ingin tahu nama seseorang? Setidaknya aku perlu tahu siapa yang aku ikut, kan?


Kami sampai di tingkat tiga bangunan shop lot berkenaan. Hanya ada sebuah pintu berwarna biru cair dan merah jambu menyambut kami. Pintu tersebut tertutup rapat. Aku mula berasa was-was, rumah siapa yang kami tuju ni? Bagaimana jika lelaki ini berniat jahat? Aku rasa mahu berlari turun semula dan masuk ke kereta. Aku melangkah dua tapak ke belakang. Bersedia untuk berlari jika perlu.


Lelaki tersebut menekan loceng. Beberapa saat kemudian seorang wanita dalam lingkungan umur 40 tahun membuka pintu dan tersenyum. Lelaki tersebut kemudian mengajak aku masuk.


Tak tahu kenapa kaki aku hanya mengikut langkahan kakinya, sedangkan tadi aku sebenarnya sudah bersedia untuk lari.


Masuk ke dalam ternyata aku jatuh cinta pandang pertama. Cantik. Keadaan di dalam sangat cantik dan menarik bagi aku. Tertulis di dinding ‘Candy’s world’ dengan tulisan berangkai dan berwarna putih. Aku yang dalam keadaan keliru memandang lelaki berkenaan meminta jawapan.


Beberapa buah meja dan kerusi yang tersusun seperti di dalam kafe seolah memberikan aku jawapan yang kabur. Ini kafe ke? 


Lelaki tersebut melangkah ke salah sebuah meja dan duduk di situ. Aku hanya mengikut langkahnya dan duduk berhadapan dengan dirinya. Ruang dalam kawasan itu senyap tanpa ada satu pun suara manusia walaupun ada dua buah meja lain yang berpenghuni. Suasana cuma diiringi oleh alunan rakaman bunyi instrumental yang menenangkan. Ruang kawasan di dalam tidaklah begitu luas, namun sangat minimalis dan simple. Di sudut kaunter yang dekat di dinding dan tingkap utama, berwarna-warni lolipop dengan berbagai bentuk tersusun. 


Aku masih memandang lelaki di hadapanku itu, menanti jika dia mahu menjelaskan sesuatu kepada aku. Tapi lelaki tersebut hanya tekun membaca sebuah buku yang aku andaikan mungkin menu makanan. Aku tak pasti jika ini memang kafe, atau apa jenis makanan yang dijual di sini secara spesifiknya. Aku tak sempat lagi melihat menu di tangan lelaki itu.


Tiba-tiba lelaki di hadapanku melambai ke arah seorang lelaki yang berada di kaunter. Lelaki di kaunter itu datang ke arah kami sambil memegang buku kecil mungkin untuk menulis tempahan. 


Eh.. aku terkejut buat kali kedua. Lelaki di hadapan aku kini, dan lelaki yang berada di kaunter tadi sedang berbual. Tapi tiada satu suara pun yang aku dengar dari mereka. Hanya tangan mereka yang bergerak dengan pantas. 


“Bahasa isyarat…?” perkataan yang terlepas dari mulut aku membuatkan lelaki yang duduk di hadapan aku itu memandang aku sedikit teruja.


Selesai berbual, lelaki di hadapan aku itu pun berkata sambil memandang aku;


“Okay. I’m ready. Awak boleh tanya saya apa je yang awak nak tahu.”


Aku terdiam bila diberi ruang bertanya seperti ini.


“Ini kafe ke?”


“Yup. Ini kafe gula-gula.. Hehehe.. Kat sini kita boleh custome made rasa, bentuk dan saiz gula-gula, asalkan ada duit.”


“Tadi.. Encik tahu bahasa isyarat?” ini sebenarnya yang lebih menarik minat aku.


“Yup. kalau awak nak tahu, semua orang yang datang sini, semuanya menggunakan bahasa isyarat. Cuba awak tengok meja kat belakang awak tu.”


Aku pantas memandang ke belakang. Benar. Sekumpulan remaja itu sedang menggunakan bahasa isyarat untuk berbual. Patutlah kafe ini senyap tanpa suara. 


“Tak ramai orang tahu tempat ni, kecuali jika mereka tergolong dalam kalangan istimewa. Orang biasa jarang sangat datang sini, melainkan mereka tahu bahasa isyarat, macam saya. Saya belajar bahasa isyarat dari kecil lagi, sebab mak saya pekak dan bisu,” jelas lelaki di hadapan aku ini lagi.


Aku terdiam. Aku sendiri tak tahu kenapa aku diam, atau aku tak tahu apa yang bermain di fikiran aku kini. Tiba-tiba fikiran aku jadi kosong.


“Nama Encik siapa ye? Kenapa tadi masa kat tangga Encik cakap macam tu kat saya?”


“Oh.. awak tahu tak ramai orang sebenarnya kat kelas malam kita bercakap pasal awak?” 


Aku hanya menggeleng. Mengumpat aku ke?


“Awak masa kelas malam, diam je duduk kat belakang. Tak banyak interaksi dengan orang lain dalam kelas, tapi markah awak selalu antara yang tinggi. And bila orang cuba bercakap dengan awak, awak mesra je. Tak sombong pun. Jadi ramai yang nak kenal rapat dengan awak, tapi awak ni macam jenis tak peduli orang sekeliling. Nama saya pun awak tak tahu sedangkan kita dah 3 bulan satu kelas. Jadi saya happy lah juga sebab awak minat nak tahu nama saya.. Hahaha.. ”


Aku hanya mendengar. Memberikan dia peluang untuk bercerita. Aku tidak memberikan apa-apa reaksi pada apa yang dikatakannya.


“By the way, nama saya Lutfi Ikram,” sambung dia lagi sambil menggunakan isyarat tangan bagaimana untuk ‘menyebut’ namanya. 


Aku tanpa sedar meniru isyarat tangan yang ditunjukkan. 


Lelaki di hadapan aku itu tersenyum merenung aku.


Entah bagaimana di luar sedar aku menunjukkan isyarat tangan kepada dia, bagaimana nama aku ‘disebut’ menggunakan bahasa isyarat. 


Dia nyata tergamam. Aku yang tersedar khilafku terus menarik semula tangan aku dari atas meja dan disorokkan di bawah meja. 


“Awak tahu bahasa isyarat ke?” tanya dia selepas beberapa saat.


Aku tak tahu apa yang perlu aku jawab. Mungkin aku perlu beritahu apa yang perlu sahaja.


“Tak tahu. Cuma, ada orang ajar saya cara untuk ‘sebut’ nama saya.”


Selepas menerima tempahan dan membayar harga barangan, kami berlalu turun ke kereta. Aku memilih untuk berdiam diri dan memberikan ruang untuk Lutfi Ikram berbicara apa yang mahu. Fikiran aku sebenarnya lebih tertumpu pada perkara lain. Aku ingin boleh berkomunikasi dalam bahasa isyarat dengan lancar seperti Lutfi Ikram. 


Aku ingin boleh berbicara dengan ‘dia’ tanpa perlu takut pada perbezaan kami.


“Boleh tak Encik Lutfi Ikram ajar saya bahasa isyarat?” 


Permintaan aku yang tiba-tiba memotong perbualan membuatkan Lutfi Ikram terdiam. Dia berfikir sejenak, kemudiannya dia tersenyum.


“Boleh. Dengan dua syarat. First, bagi saya nombor whatsapp awak. Syarat kedua, nanti malam dalam whatsapp saya bagitau.”


Eh….. kenapa aku rasa seperti terjerat?


Previous: 11.1✓
Next: 12✓

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.