Home Novel Komedi/Romantik Komedi SAYA TETAP NAK AWAK!
SAYA TETAP NAK AWAK!
Aida Adia
23/8/2013 13:07:43
291,353
Kategori: Novel
Genre: Komedi/Romantik Komedi
Beli Sekarang
Bab 33

BAB 33

Azlan tersedar dari tidurnya yang nyenyak apabila terdengar bunyi deringan telefon bimbitnya menjerit-jerit minta dijawab. Dalam keadaan terpisat-pisat dan mata yang masih terkatup akibat terlalu mengantuk itu, Azlan gagahkan juga untuk bangun. Sempat juga dia melihat jam loceng yang berada di atas meja kecil bersebelahan katilnya itu. Pukul 3 pagi! Memikirkan itu mungkin panggilan kecemasan dari ibu pejabat Bukit Aman, Azlan segera menjawab panggilan itu.

Melihat dari paparan skrin telefon bimbitnya, nama Surya tertera di situ, Azlan mula naik angin. Namun niatnya untuk memarahi Surya terbantut apabila mendengar tangisan dan raungan Surya di hujung talian.

“Abang Lan.. Tolong Surya Abang Lan..! Tolong Surya!” Tangis Surya.

“Kenapa ni Surya? Apa dah terjadi ni?” Tanya Azlan.

“Abang Lan.. Surya kat rumah Abang Meor ni..! Surya… Surya kena ….” Jawab Surya dalam tangisannya yang masih tidak berkesudahan.

“Bertenang Surya… apa halnya ni? Mana Meor?” Tanya Azlan cuba menenangkan Surya yang sudah terjerit-jerit di sana seperti orang hilang akal.

“Surya… tengah bercuti dan berehat kat rumah Abang Meor. Petang tadi, Abang Meor sekeluarga kena balik ke kampung kakak ipar Surya sebab mak mentua Abang Meor sakit tenat kat Hospital Sungai Buluh. Surya… Surya tak dapat ikut sebab esok, Surya.. ada perjumpaan bersama pelajar-pelajar Surya…” Cerita Surya dalam nada tersekat-sekat. Tangisannya sudah agak reda.

“Ok… apa yang dah berlaku lepas tu?” Tanya Azlan tenang. Dia sudah bangun dari pembaringannya itu.

“Tadi… masa Surya nak masuk tidur… Surya perasan macam ada bunyi orang umpil tingkap bilik yang Surya tidur ni.. Bila.. bila.. Surya selak langsir, ada.. ada seorang lelaki cuba menyerang Surya….Abang Lan.. datanglah sini.. Surya..Surya takutttt!!”

Surya sudah meraung semula. Azlan mula panik dan serba-salah. Antara ingin mempercayai kata-kata Surya ataupun tidak mahu melayan kerenah Surya.

Namun, di dalam fikirannya mula risau, jika ada sesuatu yang buruk terjadi kepada Surya, sudah tentu teman baiknya Meor akan menyalahi dirinya. Padahal Surya sudah menangis-nangis meminta pertolongan darinya. Lagipun, jika difikir secara logiknya, takkanlah pula Surya nak buat hal pada pagi-pagi buta begini!

Azlan cuba mendail nombor telefon Meor untuk menanyakan perkara sebenar tetapi tiada jawapan dari pihak Meor.

“Agaknya dia sibuk dengan urusan mak mertuanya ni..!” Fikir Azlan sendirian.

“Tak apalah.. kejap lagi aku telefon dia..!” Sambung Azlan sendirian.

Tidak membuang masa lagi, Azlan segera bersiap dan terus memandu laju ke rumah Meor di Bukit Kemuning, Shah Alam. Memandu di dalam waktu begini hanya mengambil masa lebih kurang setengah jam sahaja untuk Azlan sampai ke destinasi yang hendak dituju.

Memang benar, ketika Azlan tiba di rumah Meor, hanya kereta Surya sahaja yang berada di rumah Meor itu. Suasana begitu sunyi di kawasan itu. Maklumlah, baru pukul 3.30 pagi. Jiran-jiran sekeliling pun masih enak dibuai mimpi.

Azlan memicit loceng di tembok bersebelahan pagar rumah. Sementara menunggu pintu di buka, sempat lagi Azlan meneliti setiap penjuru pagar kalau-kalau ada kesan pencerobohan. Dalam cahaya samar lampu jalan itu, menyukarkan lagi Azlan untuk meneliti secara terperinci di setiap penjuru pagar rumah Meor itu.

Tidak berapa lama kemudian, pintu pagar terbuka dan lampu di halaman terang benderang. Kelihatan Surya muncul di pintu dalam keadaan lemah namun bila melihat Azlan di pagar rumah, Surya terus rebah ke lantai. Sepantas itu juga, Azlan berlari mendapatkan Surya yang rebah di muka pintu.

Alangkah terkejutnya Azlan apabila melihat seluruh badan Surya berlumuran darah. Tangannya luka seperti ditoreh pisau. Dahinya juga luka berdarah seperti dihantuk ke dinding.

“Ya Allah.. apa dah jadi ni Surya? Siapa yang lakukan ini semua?” Tanya Azlan. Dia memangku kepala Surya. Surya masih sedar namun kelihatan amat lemah.

“Abang Lan… tolong Surya…! Ada lelaki… masuk bilik Surya..Surya…” Rintih Surya lemah.

“Okey.. saya bawak Surya ke hospital ye.. Bertenang… nanti kita buat report polis..!” Kata Azlan.

Serentak itu, Azlan mengangkat Surya lalu terus membawa Surya masuk ke dalam keretanya. Selepas meletakkan Surya di kerusi belakang, Azlan berlari masuk ke rumah Meor lalu dikuncinya pintu. Setelah memastikan, pintu rumah Meor terkunci dengan selamatnya, barulah Azlan kembali ke keretanya dan terus masuk ke tempat pemandu.

Ketika kereta mula bergerak, Surya sempat berpesan agar dia hanya dihantar ke klinik 24 jam yang berdekatan kerana Surya mengadu tidak dapat menahan sakit yang berterusan akibat ditoreh dengan pisau di lengannya itu.

Memikirkan hendak sampai ke hospital tentu jauh dan dalam masa itu sudah tentu akan banyak darah Surya yang keluar dan keadaan ini sudah tentu akan membahayakan Surya, maka Azlan terus mengubah haluannya ke klinik 24 jam yang berdekatan.

Sebaik tiba di klinik 24 jam itu, Surya terus diberi rawatan kecemasan. Lebih kurang setengah jam Surya di dalam bilik rawatan kecemasan, Surya dibenarkan pulang. Kasihan pula Azlan melihat Surya. Dahinya menerima lima jahitan dan luka di lengan kirinya menerima dua belas jahitan. Itu belum lagi lebam-lebam di seluruh tubuh Surya.

Pelik Azlan memikirkannya. Kerja siapakah ini? Menurut Surya, lelaki yang menyerangnya itu tidak sempat mengambil apa-apa pun barang-barang di rumah abangnya itu. Malah, Surya sempat memukul kepala lelaki itu dengan seterika. Mungkin tercedera terkena pukulan seterika itu, lelaki itu terus melarikan diri melalui tingkap yang diumpilkannya.

Atas nasihat doctor, Surya dibenarkan pulang untuk berehat. Azlan sempat membawa Surya ke balai polis yang berdekatan sebelum pulang ke rumah Meor semula. Bersama laporan doctor, Surya membuat laporan tentang apa yang telah berlaku ke atas dirinya itu.

Menurut Surya di dalam laporannya itu, dia cuba melawan lelaki yang menyerangnya itu lalu terjadilah pergelutan antara Surya dan lelaki yang bertopeng itu. Dalam pergelutan itu, lelaki itu telah cuba merentap baju tidur yang dipakai oleh Surya. Surya cuba mengelak dan sempat meludah ke arah muka lelaki yang bertopeng itu.

Lelaki itu marah lalu terus menampar Surya dan menarik rambut panjang Surya ke hadapan. Lantas dihumbankan tubuh Surya ke dinding. Surya terdorong ke hadapan lalu dahinya terhantuk kuat ke dinding.

Tidak cukup dengan itu, Surya yang sudah terperosok lembik ke sudut dinding, tubuh Surya dipijak-pijak oleh lelaki itu. Dalam sisa-sisa kudrat yang ada, Surya sempat menendang pangkal peha lelaki itu dan tindakan Surya itu telah menaikkan api kemarahan lelaki itu. Lantas lelaki itu telah mengeluarkan pisau yang berada di poketnya dan dengan kasarnya lelaki itu menoreh tangan Surya di mana dalam masa yang sama, tangan itu telah dipijaknya sehingga Surya tidak boleh bergerak ke mana-mana.

Azlan mengeluh sebaik mendengar keterangan dari Surya. Memang kejam lelaki itu! Pegawai polis di situ berjanji akan menghantar beberapa orang anggotanya ke rumah abang Surya secepat mungkin untuk menyiasat secara terperinci motif kejadian dan seterusnya menjejaki lelaki penyerang itu.

Azlan tidak pula mendedahkan identitinya kepada pihak polis itu, “Biarlah polis kat sini menjalankan tanggung-jawab mereka dengan sebaiknya.” Fikir Azlan sendirian.

Ketika di dalam kereta, Azlan meminta kepastian, apakah Meor telah diberitahu tentang kejadian itu. Surya memberitahu bahawa awal-awal lagi, dia sudah memaklumkan kepada abangnya. Malah abangnyalah yang mengusulkan agar meminta bantuan daripada Azlan. Surya memberitahu bahawa abangnya akan menyusul kemudian sebaik urusan ibu mertuanya selesai.

“Ohh.. kalau begitu.. baguslah! At least Meor dah tahu perkara ini…!” Kata Azlan pula.

Ketika tiba di rumah Meor, Surya mempersilakan Azlan masuk. Azlan duduk di ruang tamu.

“Abang Lan boleh temankan Surya di sini.. sehingga Abang Meor balik nanti? Boleh Bang?..” Tanya Surya penuh mengharap.

Azlan memandang simpati kepada Surya. Dia melirik jam besar di dinding rumah.

” Hampir pukul 5 pagi! Tak lama lagi.. Meor akan pulang. Pegawai polis tu pun dah janji nak datang sini buat siasatan. Apa salahnya aku tunggu sekejap.” Fikir Azlan.

Akhirnya Azlan mengangguk tanda setuju. Azlan kemudiannya duduk di sofa di ruang tamu. Sementara itu, Surya sudah menghilangkan diri ke bilik belakang.

Sepuluh minit kemudian, Surya muncul dengan membawa satu mug kopi panas. Dia menghulurkan mug itu kepada Azlan.

“Ehh.. apa yang susah-susah ni Surya.? Surya kan tak sihat.. Pergilah berehat kat bilik. Biar saya tunggu di sini sampai Meor sampai..” Kata Azlan terperanjat namun tetap diambilnya juga mug yang dihulurkan oleh Surya itu.

“Tak apa Bang Lan.. Kesian pulak tengok Abang Lan terkejar sana sini uruskan hal Surya. Surya okay ni.. kejap-kejap lagi.. Surya naik ke bilik ehh..” Jawab Surya.

Azlan terdiam. Tidak terkata apa.

“Jemputlah minum Bang…!” Pelawa Surya.

Seketika kemudian, Surya berlalu masuk ke bilik di tingkat bawah, meninggalkan Azlan keseorangan di situ. Azlan masih termangu-mangu di situ. Lamanya pegawai polis tu nak ke mari! Keluh Azlan.

Azlan meneguk air di dalam mug itu. Kopi panas! Baru sedar dirinya merasa dahaga. Dihirup air kopi itu perlahan-lahan sehingga habis. Di dalam fikiran, masih memikirkan apakah motif lelaki itu menyerang Surya. Meor mempunyai musuhkah? Atau.. bekas kekasih atau bekas suami Suryakah? Dalam memikirkan beberapa kebarangkalian, Azlan merasakan matanya terlalu berat untuk dibuka.

Sudah beberapa kali dia menguap. Terasa benar-benar mengantuk dan melihat objek sekitarnya berpusing dengan laju sekali.

“Apa kena pulak ni? Macamlah aku tak biasa berjaga sampai ke pagi?” Rungut Azlan di dalam hati.

Dalam masa yang sama, pandangannya mula terasa kabur. Kepalanya benar-benar rasa berat dan berpinar-pinar. Azlan dapat merasakan badannya seakan ringan melayang ke udara. Dalam samar-samar penglihatannya itu, dia ternampak bayang-bayang Surya berdiri di hadapannya.

Dia cuba memanggil nama Surya tetapi suaranya seakan tersekat di kerongkong. Dia cuba menggapai-gapaikan tangannya ke arah bayangan Surya itu tetapi dirasakan gapaian tangannya itu terlalu lemah. Tidak terangkat kedua-dua tangannya itu.

Namun, dalam pada itu, Azlan menuturkan sesuatu kepada Surya tetapi tidak jelas di pendengaran. Azlan sendiri juga tidak tahu, apakah yang direpekkannya kepada Surya. Yang jelas dan nyata, kepalanya memang terasa berdenyut-denyut yang amat sangat.

Akhirnya, Azlan sudah tersandar sambil terlelap di sofa di ruang tamu rumah Meor itu tanpa mempedulikan keadaan sekelilingnya…

Previous: Bab 32
Next: Bab 34

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.