BAB 15
Surya menghempaskan dirinya di atas katil di dalam biliknya. Habis semua pakaiannya yang disimpan di dalam beg semasa dibawanya ke majlis reunion itu diterbalikkan di atas lantai. Habis berterabur dan bersepah di sana sini di keseluruhan bilik.
“Ahhh..!!! Tak guna! Kenapa kau selalu menyusahkan hidup aku ha..!!”
Jerit Surya seorang diri di dalam biliknya itu. Ditarik-tarik rambutnya yang panjang melepasi bahu itu. Lama terlentang, Surya bangun dan duduk di atas katilnya pula. Fikirannya kusut. Dia duduk sambil badannya seperti menghayun perlahan ke depan dan ke belakang. Surya menggigit kuku jari telunjuknya. Wajahnya benar-benar seperti orang dalam kebingungan.
Hatinya benar-benar sakit. Dendam lama masih lagi tersimpan kejap di dadanya. Sangkanya, dia tidak akan bertemu lagi dengan “perempuan” itu yang selama ini sering membayangi kehidupannya. Sering “menyusahkan” hidupnya sejak dari zaman persekolahan lagi.
Namun, tidak disangkanya dia bertemu semula dengan Effa di malam Reunion itu. Orang yang selama ini sangat-sangat dihindarinya. Orang yang selama ini sentiasa menjadikan dirinya tidak dihargai dan dipinggirkan oleh rakan-rakan dan juga guru-guru.
Entah apa ilmu yang Effa gunakan, ke mana sahaja dia pergi, dia sentiasa mendapat perhatian. Semua orang suka padanya walau Effa sering melakukan perkara-perkara yang mendatangkan kemarahan orang lain. Semuanya Effa yang utama!
Walau Surya tidak kurang cerdiknya namun Effa juga tetap jadi pilihan. Biasanya dalam sebarang pertandingan di sekolah, nama Surya sentiasa diletakkan di dalam senarai “simpanan”. Jika Effa benar-benar tidak dapat memasuki pertandingan itu, barulah nama Surya dipilih. Itupun sentiasa dipilih di saat-saat akhir.
Bertambah sakit hatinya lagi apabila Effa sering menjadi pujaan pelajar-pelajar lelaki di sekolah. Bukan setakat di sekolah yang sama malah Effa mempunyai “peminat” di sekolah yang lain. Malah kebanyakan guru-guru lelaki yang mengajar praktikal di sekolah mereka juga turut meminati Effa.
Surya hairan apa sangatlah yang dikejar oleh semua lelaki kepada si pemilik nama Effa yang dilihatnya seorang yang terlalu ‘simple’ malah seperti ‘tomboy’ itu! Sudahlah garang, kasar dan tidak ada ciri-ciri ‘keperempuanan’ langsung! Barangkali, semua lelaki yang melihat Effa memang terbukti ‘buta’..! Buta menilai kehalusan peribadi seorang perempuan seperti yang dimiliki oleh dirinya; fikir Surya selama ini.
Surya masih ingat bagaimana dia sentiasa menjadi “spy” sukarela kepada warden asrama, guru displin dan pengetua sekolahnya. Dialah orangnya yang sentiasa melaporkan segala aktiviti nakal yang dilakukan oleh Effa dan rakan-rakan.
Kejadian Effa memanjat pagar asrama lalu menyusup keluar kawasan asrama, terlepas ke tapak pesta Port Dickson dan pelbagai lagi aktiviti nakal Effa semuanya diadukan kepada warden asrama dan Pengetua. Namun hukuman yang diterima oleh Effa tidak memuaskan hati Surya. Kalau boleh dia mahu Effa disingkirkan dari asrama dan juga sekolah mereka itu.
Niat Surya untuk menyingkirkan Effa akhirnya tercapai apabila Surya dapat membongkar aktiviti yang Effa lakukan pada malam Jumaat di mana Effa sedang bermain “spirit of the coin” di bawah cahaya bulan mengambang! Memang agak menggerunkan ketika Surya terpaksa menunggu secara sembunyi sehingga Effa habis bermain. Malah Surya sendiri pelik memikirkan perangai Effa yang tidak pernah rasa takut itu.
Segala apa yang dilakukan oleh Effa semuanya diceritakan kepada warden asrama, Cikgu Zabedah. Malah untuk menyedapkan cerita lagi, Surya telah menokok tambah cerita dengan membuat cerita yang Effa seperti sudah hilang pedoman. Sembahyangnya selalu tinggal dan hari-hari Effa dilihat seperti bercakap dengan “seseorang”.
Lebih dramatic lagi, kebetulan di asrama mereka itu diserang hysteria. Surya mengaitkan kejadian itu dengan aktiviti yang dilakukan oleh Effa selama ini. Surya menambah lagi,“spirit” yang dipuja oleh Effa telah marah kerana mengganggunya dan kini menyerang pelajar-pelajar perempuan di asrama itu.
Tidak disangkanya pengetua telah memandang serius tentang kes yang dilaporkannya itu. Pengetua bimbang kalau-kalau Effa telah terpesong akidahnya. Kemuncaknya, Effa telah digantung persekolahan selama dua minggu dan disingkirkan dari asrama. Itulah satu berita yang benar-benar membuatkan Surya bahagia dan tenteram sekali hatinya.
Selepas ini, nama Effa akan tercemar dan semua guru-guru akan hilang kepercayaannya kepada Effa. Itulah harapan Surya. Namun,Surya tidak menyangka, seminggu kemudian, kes Effa ditarik balik dan Effa juga diterima untuk tinggal di asrama semula.
Bertambah sakit lagi hatinya apabila selepas itu, Effa menjadi semakin popular. Semua orang seakan seperti tidak mempedulikan apa yang telah dilakukan oleh Effa sebelum ini. Malah Effa juga dijadikan tempat rujukan jika rakan-rakan lain menghadapi masalah di asrama.
Surya bangun dari katilnya. Dia menuju ke tingkap bilik kondominiumnya. Memandang suasana kelam di luar. Sudah masuk waktu senja. Hatinya teramat pilu dan seperti dicucuk dengan pisau belati.
Mengapa Effa sentiasa bertuah dalam hidupnya? Sentiasa mendapat perhatian dan menjadi kesayangan ramai? Surya mendapat tahu, Effa baru menamatkan pengajiannya di luar Negara. Tentu selepas ini, Effa akan mempunyai pekerjaan yang mantap. Sedangkan dia hanyalah seorang pensyarah politeknik lulusan universiti tempatan sahaja.
Dalam percintaan dan kasih sayang juga, Surya merasakan dirinya selalu malang dalam hal ini. Dua kali putus tunang dan baru berjumpa teman hidup untuk sehidup mati akhirnya kini bercerai juga. Surya tidak sanggup hidup bermadu dan yang paling utama, Surya tidak mahu berkongsi kasih. Cukuplah dirinya yang sentiasa tandus kasih sayang dan terabai sejak kecil lagi akibat kemusnahan rumahtangga ibubapanya. Dia tidak mahu kasihnya diagih-agihkan.
Kisah ketandusan kasih sayangnya bermula sebaik sahaja ibubapanya bercerai. Dirinya dan abangnya Meor terpisah di mana Surya di bawah jagaan ibunya dan abangnya Meor mengikut bapanya. Lebih memilukan selepas berpisah, ibu dan bapanya berkahwin lain. Surya yang tinggal bersama-sama ibunya merasa semakin dipinggirkan. Ibunya lebih banyak menumpukan perhatian di samping terikat dengan tanggungjawab pada suami barunya. Kasih sayang yang pudar semakin hilang dengan kehadiran adik baru Surya. Seluruh kasih ibunya tertumpah kepada adik barunya itu.
Surya menjeruk hati dan menyimpan rasa benci kepada ibunya sendiri. Malah dia menyimpan dendam akan cuba menghapuskan sesiapa sahaja yang menjadi penyebab dan peragut kebahagiaan dan kasih sayangnya dari ibunya.
Surya masih ingat lagi akan kejadian itu. Ketika dia di dalam tingkatan empat. Ketika itu, Surya pulang ke rumah ibunya kerana cuti semester. Hatinya melonjak riang ingin pulang ke rumah dan tidak sabar ingin menikmati masakan ibunya serta ingin bermanja-manja dengan ibunya. Maklum sahaja, tinggal di asrama dan jarang-jarang dilawati ibunya membuatkan dirinya benar-benar rasa kesunyian dan kekosongan.
Namun kepulangannya itu langsung tidak diendahkan oleh ibunya. Bapa tirinya apatah lagi kerana semenjak berkahwin dengan ibunya, bapa tirinya itu memang kurang mesra dengannya. Surya merasa bosan kerana merasakan dirinya tidak pernah wujud di tengah-tengah keluarga itu. Apatah lagi kehadiran adik barunya, Haikal yang baru berusia satu tahun setengah itu membuatkan semua orang tertumpu kepadanya.
Suatu hari, ibunya meminta Surya menjaga Haikal sebentar kerana dia ingin keluar ke pasaraya untuk membeli barang keperluan dapur. Bapa tirinya bekerja. Tiada pilihan, Surya terpaksa akur. Namun Surya tidak menyangka bahawa menjaga Haikal tidaklah sesukar mana.
Walaupun masih kecil, Haikal mendengar kata dan tidak nakal sangat. Selepas diberi susu, Haikal duduk bermain di ruang tamu seorang diri. Sekali sekala, Haikal memandang takut-takut kepada Surya yang sentiasa memasamkan mukanya bila memandang Haikal.
Selepas sejam keluar, ibunya pulang. Ketika Surya membuka pintu rumah, dalam waktu yang sama telefon berbunyi. Surya membiarkan pintu itu terbuka dan terus berkejar untuk mengangkat telefon yang sedang berbunyi. Baru sahaja ingin memberi salam, tiba-tiba Surya terdengar seakan kereta yang dipandu ibunya melanggar sesuatu dan serentak itu, terdengar suara ibunya menjerit. Cepat-cepat Surya berlari ke pintu untuk melihat apa yang berlaku.
Ketika dia keluar, terpandang olehnya Haikal telah tersepit di bawah kereta yang diundur oleh ibunya itu. Surya percaya, sewaktu mengundurkan kereta itu, ibunya tidak perasan waktu bilakah Haikal berada di belakang kereta itu. Seluruh tubuh Surya menggigil bila melihat tubuh Haikal yang berlumuran darah dan tidak bergerak itu. Ibunya seperti orang yang dirasuk, menjerit-jerit memanggil nama Haikal.
Dari sudut lain, Surya sepatutnya ‘bersyukur’ kerana Haikal orang yang menyebabkan kasih dan perhatian ibunya pudar terhadapnya. Namun, kematian Haikal telah memburukkan lagi keadaan. Bapa tiri Surya tidak dapat menerima kenyataan bahawa anak kesayangannya mati dilanggar oleh isterinya sendiri! Walaupun telah diterangkan punca kematiannya, bapa tiri Surya tetap menyalahkan ibu Suryalah penyebab kematian anaknya.
Ibu Surya pula tidak putus-putus menyalahkan dirinya yang menyebabkan kematian Haikal. Ditambah pula, di saat kesedihan itu, suaminya pula telah hilang kepercayaan kepada dirinya. Ibu Surya hilang pertimbangan dan selalu maracau-racau. Keadaan lebih buruk lagi bila suaminya terus meninggalkannya tanpa sebarang berita.
Surya semakin tertekan dengan keadaan ibunya. Malah ibunya seperti tidak mengenalinya lagi. Hati Surya semakin hancur bila ibunya sepanjang masa menyebut-nyebut nama Haikal. Seolah-olah hanya Haikal sahaja anaknya.
Kemuncaknya, ibu Surya terpaksa dimasukkan ke Hospital Sakit Jiwa di Tampoi bila ibunya cuba menikam Surya dengan pisau ketika Surya sedang tidur di biliknya. Mujurlah Surya dapat mengelak, itupun lengan kirinya luka sedikit terkena libasan pisau dari ibunya itu. Ibunya menuduh Suryalah penyebab Haikal terbunuh. Jika Surya tidak cuai menjaga Haikal, perkara sebegini tidak mungkin berlaku.
Sedihnya hati Surya dituduh begitu. Ibunya benar-benar membenci dirinya. Tinggallah Surya dalam ketandusan kasih seorang ibu. Sejak itu, barulah bapanya mengambil alih menjaga Surya. Surya masih mahu tinggal di asrama lamanya walau beberapa kali bapanya menyuruh tinggal di rumahnya dan bersekolah di daerah berhampiran. Surya masih lagi merasa kekok untuk bermesra dengan keluarga baru bapanya walaupun abang kandungnya Meor juga berada di situ.
Begitulah Surya selepas itu. Sentiasa suka menyendiri dan kurang bergaul dengan rakan-rakan yang lain. Sentiasa menyimpan perasaan-perasaan dendam dan bersangka buruk dengan semua orang. Sentiasa menyimpan rasa rendah diri dan cemburu kepada kesenangan orang lain.
Itulah sifat yang tidak boleh dikikisnya bila dia memandang Effa sebagai orang yang patut dimusuhinya. Surya sakit hati bila melihat Effa menjadi kesayangan semua orang. Dia cuba menandingi Effa namun dirinya seperti tidak pernah wujud di kalangan teman-teman mahupun guru-guru. Permulaan bencinya pada Effa bila Surya dapat tahu bahawa Cikgu Roslan yang merupakan guru maktab yang ketika itu sedang menjalani latihan praktikal juga turut menyimpan hati pada Effa.
Surya yang memang meminati Cikgu Roslan dalam diam-diam itu merasa tercabar kerana tidak menyangka bagaimana seorang tomboy diminati oleh seorang guru lelaki yang tampan dan menjadi pujaan pelajar-pelajar perempuan di situ. Hati Surya semakin sakit bila dia mendapat tahu, Effa dengan berlagaknya meminta Cikgu Roslan melupakan sahaja perasaan itu dan memberinya kepada orang yang benar-benar layak.
Seminggu selepas itu, Cikgu Roslan meminta tukar sekolah untuk latihan praktikalnya atas alasan ibunya sakit dan perlukan dirinya berdekatan dengan ibunya. Itulah kali terakhir dia melihat Cikgu Roslan.
Surya mengeluh lagi di jendela. Kali ini kepalanya terasa berdenyut-denyut. Bisikan-bisikan halus di telinganya tidak mahu lenyap. Berterusan menggasak telinga dan pemikirannya. Nama Effa terngiang-ngiang di mana-mana. Bencinya dia mendengar nama itu.
Terbayang bagaimana terkejutnya dia melihat penampilan Effa di malam reunion itu. Surya terpaksa mengakui Effa kelihatan cantik dan anggun walaupun bertudung pada malam itu.
Lebih menaikkan lagi suhu cemburunya itu, apabila dia menyedari Azlan, lelaki yang mula mendapat tempat di hatinya itu asyik menanya tentang Effa sepanjang mereka berdua di dalam kereta ketika Azlan menghantarnya ke bengkel kereta.
Surya hairan mengapa Azlan asyik menanya tentang Effa sedangkan itulah pertama kali Azlan diperkenalkan kepada Effa. Dari gaya renungan Azlan memandang Effa petang tadi, Surya dapat menangkap Azlan mula tertarik pada Effa.
“Huh… kenapa kau mesti ada pada ketika aku ingin menggapai bahagiaku?” Keluh Surya sendirian.
“Tidak… aku takkan biarkan kau rampas kebahagiaanku. Cukuplah dengan apa yang kau dah buat pada aku selama ini… Aku takkan biarkan kau berbuat sesuka hati… Aku akan pastikan hidup kau juga merana macam aku!” Kata Surya seorang diri mengadap cermin. Seolah-olah cermin yang berada di hadapannya itu adalah Effa yang sedang berdiri mengadapnya.
“Aku takkan biarkan kau bahagia! Aku takkan biarkan…!!!” Jerit Surya.
Serentak itu, Surya mencapai pasu bunga di atas meja soleknya. Dilemparkan pasu itu ke arah cermin, seolah-olah dia melemparkan pasu itu ke muka Effa. Habis pecah berderai cermin itu.
Surya memandang cermin yang pecah dalam renungan yang sukar ditafsirkan. Dia mengangguk perlahan-lahan lalu dia tersenyum sendirian. Diikuti pula dengan hilaian tawanya yang menyeramkan…