BAB 37
Surya bersandar santai di atas sofa di dalam biliknya. Dia tersenyum-senyum seorang diri sambil memintal-mintal hujung rambutnya yang sudah panjang itu. Merenung jauh ke hadapan cermin meja soleknya sambil tersenyum melihat arca dirinya di cermin.
Surya bangun lantas berdiri di hadapan cermin. Sekejap dia meniru aksi seorang model yang sedang berjalan “catwalk”, sekejap dia berdiri sambil ber’posing’ bagaikan ada kamera di hadapannya. Dalam renungannya ke arca wajahnya di cermin, tiba-tiba Surya ketawa. Semakin lama ketawanya semakin tinggi, nyaring dan kemudiannya mengilai nyaring.
Surya menoleh ke kanan di sisi katil. Bunga pahar sudah siap hanya menunggu untuk diisi telurnya sahaja. Baju nikah berwarna putih krim siap tergantung di luar almari.
Dia memandang sekeliling bilik itu yang dicat berwarna ungu muda lembut. Bilik yang dikhaskan untuk dirinya itu dipandangnya sekali lagi. Cadar berwarna ungu juga yang akan dipasang di hari pernikahannya nanti masih belum dibuka dan sedang elok terletak di sudut katil. Surya terharu dengan sikap perihatin abangnya Meor dan kakak iparnya, Siti yang begitu mengambil berat tentang dirinya dan juga persiapan pernikahannya nanti.
Sejak seminggu yang lalu, Surya sudah mengambil cuti dan kini tinggal bersama abangnya. Abangnya mahukan majlis pernikahannya nanti dijalankan di rumah abangnya juga. Surya sebenarnya tidak kisah walaupun dia lebih selesa jika pernikahan itu dijalankan di rumahnya sendiri. Namun bila melihat kesungguhan abangnya itu, Surya hanya mengikut sahaja.
Surya menoleh ke arah kirinya pula. Tiba-tiba bayangan seorang perempuan yang tidak ubah seperti wajahnya sedang berdiri di sisi katil sambil memandangnya dengan tersenyum.
“Syabas Surya! Syabas!! Aku bangga dengan kau!... “ Kata perempuan itu tersenyum sambil bertepuk tangan.
Surya tersenyum sambil memandang perempuan itu, lalu menunduk hormat kepada perempuan itu. Perempuan itu hanya ketawa.
“Kau puas sekarang Surya?” Tanya perempuan itu.
“Sudah tentu.. tapi masih belum sepenuhnya.. selagi Azlan tidak bergelar suamiku!” Jawab Surya.
“Itu sudah pasti.. Tak lama saja lagi Surya. Lagi tiga hari kau akan bergelar isteri kepada Azlan. Tidak akan ada sesiapa lagi yang akan memisahkan kau orang berdua. Azlan akan menjadi milik kau sepenuhnya.. Kau sudah Berjaya merampasnya dari Effa, Surya..!” Kata perempuan itu lagi.
Surya tersenyum meleret mendengar kata-kata perempuan itu. Mendengar nama Effa disebut, hatinya seakan puas dan lega. Lega kerana tidak lama lagi, Azlan akan menjadi miliknya dan bukannya Effa yang dibencinya sejak dulu itu.
Surya ketawa puas. Dendam yang tersimpan lama, cemburu yang meluap-luap kepada Effa sudah berbalas. Puas hatinya kerana Effa tidak lama lagi akan hanya menggigit jari kerana tidak Berjaya memiliki Azlan.
“Padan muka kau Effa..! Kau ingat.. semua yang kau nak, kau akan perolehi? Kau ingat.. aku tak boleh miliki apa yang jadi milik kau? Sekarang.. rasakan bagaimana rasanya bila apa yang kau miliki dirampas oleh orang lain..!” Luah Surya dengan suara yang keras. Cuba melepaskan apa yang terbuku di hatinya selama ini.
Surya memandang pula arca dirinya di cermin. Renungannya jauh menusuk ke dalam seolah-olah dapat menembusi cermin itu. Masih segar terlayar di ingatannya bagaimana dia terserempak Effa dan Azlan begitu mesra di kedai Habib Jewels, di Semua House bulan lalu. Ketika itu, Surya sedang membeli-belah seorang diri di Semua House. Berderau darah Surya apabila melihat Azlan dan Effa sedang memilih-milih cincin.
“Mereka berdua hendak bertunangkah?” Tanya Surya sendirian.
Suraya mengetap giginya menahan geram. Rasa sakit hati melihat kemesraan mereka berdua tiba-tiba mencengkam dalam diam. Kepalanya jadi pusing dan jantungnya berdegup dengan kencang. Rasa benci, menyampah dan marah menjadi satu, meluap-luap membakar hatinya.
“Tidak… Effa tidak boleh miliki Azlan. Azlan milik aku! Aku yang lebih berhak.. Tidak… Aku tak boleh biarkan perkara ini berlaku..!” Jerit Surya di dalam hati.
“Habis… kau nak biarkan macam tu aje? Apa kau nak buat sekarang?” Tiba-tiba suara halus itu membisik di telinganya.
“Apa aku nak buat sekarang?” Tanya Surya kembali. Fikirannya buntu.
“Surya… takkan kau tak boleh fikir langsung! Cari jalan supaya Azlan tak jatuh ke tangan orang lain.. Cari jalan Surya!” Suara halus itu berkata dalam nada tegas dan mendesak.
Surya terdiam. Lama dia memerhatikan aksi pasangan itu. Semakin mesra perlakuan mereka, semakin sakit hati dan matanya melihatnya. Surya menahan geram. Kepalanya berfikir ligat, mencari jalan agar Azlan dapat dimilikinya. Dia tidak mahu Azlan pergi darinya, lebih-lebih lagi ke sisi Effa, insan yang paling dibencinya itu.
Sehinggalah suatu malam, ketika dia bercuti dan tinggal di rumah abangnya, Meor di Shah Alam. Kebetulan pula, ibu mertua abangnya sakit tenat dan Surya diminta oleh abangnya untuk tinggal seorang diri di rumahnya itu.
Dalam keseorangan itulah, suara bisikan halus itu tidak putus-putus ‘mengajarnya’ dan menyuruhnya mengikut ‘arahan’nya itu. Surya dengan tenang berjalan ke dapur lalu diambilnya pisau lantas ditoreh pisau itu ke tangannya sendiri. Dalam kesakitan, Surya membasuh pisau itu lalu dilap dan simpan semula pisau itu ke tempat asalnya.
Kemudian, dia naik semula ke biliknya di tingkat atas. Surya memandang sekeliling biliknya seperti mencari sesuatu. Bisikan halus yang masih kedengaran ‘memberi arahan’ agar kepalanya dihantukkan ke dinding. Surya tanpa membantah terus menghantukkan kepalanya ke dinding beberapa kali. Bukan kepalanya sahaja malah dahinya juga dihantukkan ke dinding sehingga mengeluarkan darah.
Dalam keadaan sakit yang ditahannya itu, Surya mengoyak-ngoyakkan baju dan lengan bajunya itu seperti kelihatan dirinya diserang oleh seseorang. Setelah berpuas hati dengan keadaan dirinya yang sedang berlumuran darah, dia terus menghubungi Azlan.
“Abang Lan.. Tolong Surya Abang Lan..! Tolong Surya!” Tangis Surya, memulakan ‘drama’ arahannya sendiri.
Namun begitu, sebelum itu Surya sempat memaklumkan serba sedikit apa yang terjadi ke atas dirinya kepada abangnya, Meor. Meor juga telah memaklumkan bahawa ibu mertuanya baru sahaja meninggal dunia dan dia perlu menguruskan jenazah ibu mertuanya kerana Siti merupakan anak tunggal dalam keluarganya. Maka, segala tanggung-jawab itu perlu disempurnakan oleh Meor.
Mendengar berita itu, Surya tersenyum di dalam hati.
“Bagus..! Terima kasih kerana memudahkan kerja aku!” Detik hati Surya. Surya amat faham, dalam keadaan begitu, sudah tentu abangnya agak berbelah bagi yang mana satu harus diutamakan dahulu.
“Tak apalah Bang.. Abang settlekan hal mak mertua abang tu. Nanti Surya mintak Abang Azlan tolong. Apa-apa hal nanti.. Surya call abang ehh…” Kata Surya dengan suara yang meyakinkan.
“Okey.. kalau macam tu.. call Azlan cepat, mintak dia tolong tengokkan. Abang janji, settle hal kat sini.. abang balik rumah, okey!” Kata Meor.
“Okey.. abang jangan risau. Mak mertua abang tu dulukan.. Surya tahu jaga diri nanti. Lagipun, Abang Azlan ada.. insyaallah.. tak ada apa-apa..!” Jawab Surya.
Dan begitulah seterusnya lakonannya di dalam drama ciptaannya itu. Tidak disangkanya, Azlan begitu baik dan perihatin akan keadaan dirinya. Sanggup menemaninya membuat pemeriksaan doctor di klinik dan menemaninya membuat report di balai polis.
Ketika membuat laporan polis, sempat Surya memberi alamat rumah palsu agar tugas penyiasatan polis dapat dilambatkan dan memberinya ruang waktu yang lebih untuk dia meneruskan dramanya itu.
Surya telah menyiapkan beberapa alasan di dalam kepalanya jika disoal oleh pihak polis kerana memberi alamat palsu sewaktu membuat laporan polis. Pertama; dia bukanlah penduduk tetap di taman perumahan abangnya itu. Hanya sekali-sekala sahaja tinggal bermalam di rumah abangnya. Maka, dia tidak berapa ingat alamat lengkap rumah abangnya itu.
Dan kedua; sewaktu dia di dalam keadaan trauma dan kesakitan, adalah mustahil untuk dia mengingati secara tepat alamat rumah abangnya apatah lagi nombor rumah, lorong apa dan jalan mana.
Peluangnya memainkan peranannya terbuka luas apabila Azlan bersetuju untuk tinggal di rumah abangnya itu sementara menunggu kedatangan polis. Peluang itulah yang ditunggu-tunggu olehnya, apabila Surya telah memasukkan sebiji pil Eramin 5 yang telah ditumbuk halus ke dalam minuman kopi Azlan.
Memang Surya tahu akan kesan minuman yang telah bercampur dengan Eramin 5 itu. Seseorang yang meminumnya akan merasa dirinya terawang-awang, kepala rasa berat dan matanya akan merasa sangat mengantuk. Kesannya, seseorang itu memang akan tidak sedar diri dan tidak tahu apa yang telah dilakukannya dalam masa itu.
Surya dengan pantasnya, memapah Azlan masuk ke dalam bilik di tingkat bawah apabila melihat Azlan seperti orang mamai ketika itu. Ditidurkan Azlan di atas katil di bilik itu lalu dibukakan bajunya. Sementara itu, Surya tanpa segan silu membuka bajunya dan menutup tubuhnya dengan selimut.
Hatinya puas dan dia tersenyum memandang tubuh Azlan yang kaku di atas katil. Surya membelai tubuh Azlan dan mendakap tubuh Azlan lama.
“Azlan Sayang… tak lama lagi… kau akan menjadi milikku…!” Bisik Surya perlahan ke telinga Azlan.
Terdengar dengkuran halus Azlan di telinganya. Surya membelai lembut rambut Azlan. Diusapnya wajah Azlan sambil memandang lama wajah itu. Tidak dihiraukannya rasa sakit yang berdenyut di kepala yang berbungkus akibat hantukan tadi.
Apa yang dirasakan ketika itu ialah kepuasan yang selama ini didambakannya. Akhirnya dia sendiri terlelap di sisi Azlan sehinggalah dia terdengar tempikkan kuat suara abangnya, Meor memanggil nama Azlan.
Memang kecut perut Surya bila melihat untuk pertama kalinya abangnya sedang marah. Dia berdoa agar Abangnya itu tidak memanjangkan cerita mengenai dirinya ‘diserang’ tetapi lebih kepada marahkan Azlan bila melihat keadaan mereka berdua di atas katil awal pagi itu.
Memang tepat dugaannya, abangnya memang marah dan kecewa dengan sikap sahabat karibnya itu. Terlebih kecewa lagi bila ianya melibatkan sahabat karibnya yang dianggap seperti adik-beradik sendiri dan merupakan orang yang dipercayainya selama ini.
Apatah lagi dengan keadaan diri Azlan yang masih mamai dan menjawab soalan abangnya dengan nada yang bingung dan seolah-olah mempermainkan dirinya, sudah tentu abangnya naik angin.
Surya memang merasa puas, lebih-lebih lagi mendengar keputusan abangnya yang menyuruh Azlan segera menikahi dirinya. Dia tidak mahu memikirkan dengan cara bagaimana dia dapat menikahi Azlan janji Azlan dapat dimiliki.
Justeru itu, apabila dia memandang Azlan, dia hanya terbayangkan pelamin impiannya semakin menghampiri dirinya. Dia tersenyum puas atas kemenangan dirinya dapat memiliki Azlan, lelaki yang dicintainya. Dia menang merampas Azlan dari tangan perempuan yang dibencinya.
“Sabar sayang… kita akan bersama tak lama lagi..!” Ucap Surya di dalam hati sambil tersenyum memandang Azlan ketika berlalu di hadapan Azlan ketika itu walau dia sedar, wajah Azlan mengungkapkan seribu kesangsian ke atas dirinya itu.
“Bagus…! Kau memang hebat Surya..! Kau memang hebat!”
Tepukan tangan dari arah kirinya mematikan lamunan Surya sebentar tadi. Dia memerhatikan perempuan yang menyerupai wajahnya itu. Baru dia sedar, dia masih berada di dalam biliknya itu.
“Kau siapa?.. Kenapa muka kau macam muka aku?” Tanya Surya seperti orang bodoh.
“Aku.. adalah kau..! Aku akan sentiasa berada di sisi kau bila-bila masa kau perlukan aku..!” Jawab perempuan itu sambil tersenyum.
Surya tersenyum juga. Namun senyumannya terhenti apabila dia dapati sepasang mata comel sedang memerhatikan dirinya. Surya memandang ke pintu biliknya. Menyedari dirinya direnung sebegitu tajam, akhirnya sipemilik tubuh comel itu menunjukkan dirinya yang sedang bersembunyi di balik pintu.
“Dah lama Azley kat situ?” Tanya Surya serius kepada anak buahnya yang berusia lima tahun itu.
Azley yang masih takut-takut hanya menganggukkan kepalanya.
“Ayah panggil…!” Akhirnya suara comel itu keluar memberitahu tujuan sebenarnya dia berada di bilik Surya itu.
Surya memandang perempuan yang mengaku dirinya itu di sebelah kirinya. Terdengar bisikan halus sedang membisikkan sesuatu di telinga Surya. Surya terdiam. Dia memandang lagi perempuan itu. Perempuan itu juga mengangguk sambil tersenyum penuh makna.
Akhirnya, Surya juga turut tersenyum dan memandang Azley yang masih berdiri di hadapannya.
“Azleyyy……!”
Suara Surya memanggil dengan nada perlahan dan memujuk. Di waktu yang sama, tangan kirinya sedang membuka laci meja soleknya itu…..