5
SEAWAL
pagi pertengkaran sudah berlaku di antara pasangan suami isteri yang berada di
ruangan dapur basah itu.
“Jaga sikit mulut awak tu!” bentak Jaafar.
“Salah ke apa yang saya cakap?! Memang dasar pemalas! Sampai
dah pukul berapa tak bangun-bangun lagi. Laki bini sama je!” Asiah tidak gentar
memuntahkan amarahnya.
“Awak jangan nak naikkan darah saya. Yang awak kutuk tu adik
saya!” Semakin meninggi suara Jaafar.
“Ooo… saya kutuk adik awak, awak pandai nak marah. Habis tu
bila laki bini tu kutuk anak kita ada awak kesah? Ada awak tengking dia orang
macam awak tengking saya?! Ada?!” tengkingan Asiah membisukan mulut Jaafar
sebentar.
Namun kebisuan Jaafar
itu tidak lama, “Kalau tak ada andartu dalam rumah ni, tak adalah adik aku tu
nak mengata.”
Hampir sahaja titisan kekecewaan menitis mencemari wajah
Suhailah yang kebetulan berada di balik dinding simen. Perlahan dia menekan
dadanya. Sakit benar rasanya daerah itu saat tusukan kata-kata perlian abahnya
itu melunyaikan perasaannya.
“Sampai hati awak cakap macam tu. Awak sedar tak apa yang
awak katakan ni? Suhailah tu anak kita! Anak awak! Sampai hati awak hina dia
macam tu.” Bergetar suara Asiah.
“Sebab dia tu anak akulah, aku malu! Kalau dia tu bukannya
anak aku, tak adanya aku nak kesah. Entah badi apa yang melekat pada tubuh
budak tu sampai seorang lelaki pun tak lalu nak jadikan dia isteri, aku pun tak
tahulah!” hina Jaafar.
“Abang! Sampai hati abang hina anak kita sampai macam tu sekali.
Ya ALLAH… hantu mana yang dah merasuk abang ni? Setiap kali adik abang tu
datang, setiap kali tulah perangai abang berubah jadi macam ni.” Linangan air
mata sudah tidak mampu Asiah seka.
“Astaghfirullahal azhim…” Tanpa sedar permata yang cuba
Suhailah tahan gugur jua saat kalimah itu meluncur dari bibirnya.
“Adik nak pergi mana tu?” Segera Suhailah menarik lengan Aliif
saat tubuh adiknya itu sudah ke hadapan.
“Adik nak ajar abah tu!” marah Aliif.
Suhailah menggelengkan kepalanya bersama rayuan jelas
dipamerkan di wajahnya.
“Tapi kak, takkan kita nak biarkan je abah hina akak macam
tu!” Aliif tidak berpuas hati dengan sikap kakaknya itu.
Suhailah mengatur semula nafasnya
setelah titisan permata dihapuskannya dengan sempurna.
“Abah dengan ibu tak perlu tahu yang kita dengar semua ni.
Kita salam ibu dan abah, lepas tu kita terus pergi kerja.”
“Tapi kak, takkan kita…”
“Tak ada tapi-tapi. Kalau adik sayangkan akak… buat apa yang
akak suruh. Bolehkan?” Suhailah terus memotong percakapan Aliif dan terlihat
jelas perasaan tidak berpuas hati di segenap figura adiknya itu.
Di dalam keterpaksaan Aliif menganggukkan jua kepalanya.
“Salah ke apa yang aku kata! Kalau...” kata-kata Jaafar
terhenti saat terlihatkan anak sulung dan anak bongsunya itu memasuki ruangan
dapur basah itu. Muka yang dipenuhi kemarahan tidak mampu untuk di neutralkan
apatah lagi saat terlihatkan wajah Suhailah yang menjadi punca
pertelingkahannya dengan isterinya di pagi itu.
“Ibu, kami pergi kerja dulu ya.” Suhailah pantas menyalami
tangan tua milik ibunya sebelum tubuhnya dipeluk erat. Lebih erat dari
kebiasaannya.
“Suhailah tak nak jamah makanan dulu? Ibu ada masak nasi
lemak pagi ni,” terdengar serak suara Asiah. Tersentuh hati Suhailah.
“Tak apalah ibu. Kami dah lambat ni.” Sesaat pelukan terlerai.
Juraian air mata Asiah yang masih segar, Suhailah hapuskan lembut dan dicium
pipi ibunya itu perlahan. Begitulah kebiasaannya sebelum dia hendak ke
mana-mana.
“Abah… Suhailah pergi dulu ya.” Suhailah menghulurkan tangan
untuk menyalami insan yang masih bengis wajahnya. Namun sekerling pun tidak
diendahkan huluran salamnya itu. Lunyai di hati bagaikan tidak mampu ditahan
lagi maha kesakitannya.
‘Air mata janganlah kau tumpah di hadapan abahku! Jangan!’ Keras
peringatan itu Suhailah jeritkan di hatinya yang kian lemah.
“Dahlah kak. Jomlah pergi!” Aliif pantas menarik lengan
Suhailah setelah dia menyalami ibunya.
“Kenapa akak nak salam lagi abah tu?!” Kasar tuturan Aliif
setelah mereka meloloskan diri keluar dari daun pintu utama.
“Akak dengar tak apa yang adik cakapkan ni?!” soal Aliif.
Suaranya sedikit meninggi akibat tidak dapat menahan emosi diri.
“Dengar.” Bergetar suara Suhailah.
Mendengarkan nada suara kakaknya yang sedang bercampur
dengan air mata itu telah menimbulkan rasa bersalah di dalam diri Aliif. Bukan
niatnya untuk berkasar dengan kakak kesayangannya itu. Tetapi hatinya
benar-benar sakit dengan perlakuan abahnya sebentar tadi.
“Adik minta maaf… adik tak ada niat
nak tinggikan suara dengan akak. Adik cuma tak faham kenapa akak masih nak
bersalam dengan abah setelah dia hina akak. Kenapa kak?” soal Aliif di hujung
pujukannya.
“Sebab… sebab dia abah kita.” Pecah sudah empangan air mata
Suhailah.
Aliif memegang sepasang bahu milik kakaknya sebelum tubuh
sederhana tinggi itu dihadapkan padanya. Wajah yang menunduk diangkat perlahan
dan air mata yang sedang enak mengalir diseka sebelum Aliif menuturkan satu
persoalan untuk menyedarkan kakaknya itu, “Memang betul dia tu abah kita. Tapi
persoalannya pernahkah dia menganggap akak sebagai anak dia?”
Saat persoalan itu menjamahi telinga Suhailah, kian deras
tangisannya dan cepat pula kata-kata penghinaan abahnya sebentar tadi rakus
menghenyak-henyak hatinya yang sudah sedia lunyai dibaham rasa kecewa.
‘Sebab dia tu anak akulah, aku malu!
Kalau dia tu bukannya anak aku, tak adanya aku nak kesah. Entah badi apa yang
melekat pada tubuh budak tu sampai seorang lelaki pun tak lalu nak jadikan dia
isteri, aku pun tak tahulah!’
“TADIKA CAHAYA SUHAILAH. Emm… boleh tahan jugak namanya.”
Lelaki itu membuka cermin mata hitamnya bersama senyuman yang kian memekar di
bibirnya. Entah mengapa seawal pagi dirinya sudah bersemangat untuk
menghadirkan diri di hadapan rumah double storey yang sudah
dicat mewah dengan warna-warna menarik.
“Assalamualaikum. Encik cari siapa ya?” soal Baiti selaku
pembantu tadika.
Lelaki itu meneliti wanita di hadapannya. Wanita muda itu
berkurung dan bertudung sempurna. Senyuman wanita itu memaniskan lagi
figuranya.
“Saya nak cari Cik Suhailah. Dia ada ke?” soal lelaki
tersebut.
“Ooo… Cikgu Suhailah. Dia ada dekat dalam. Silakan masuk,”
pelawa pembantu tadika itu.
Lelaki itu membuntuti wanita di hadapannya dan memasuki
pekarangan rumah sebelum melangkah masuk ke dalam melalui daun pintu utama.
“Encik duduk dulu. Nanti saya panggilkan Cikgu Suhailah.”
Masih manis wajah Baiti saat dia menuturkan kata-kata terakhirnya. Dia segera
melangkah ke tingkat atas.
Tuk… tuk… tuk…
“Masuk!” laung Suhailah.
“Maaf cikgu kalau saya mengganggu,” tersembul wajah Baiti di
celahan daun pintu.
“Tak ada mengganggu pun. Ada apa Baiti?” soal Suhailah.
“Ada orang nak jumpa cikgu di bawah,” beritahu Baiti.
“Siapa?” Suhailah pantas meletakkan pen yang sedang dipegang
dan kini tumpuannya terhala tepat ke wajah pembantu tadika di hadapannya itu.
“Alamak… saya lupalah nak tanya siapa nama dia. Tapi dia
lelaki.”
“Lelaki?” Suhailah sudah mengerutkan dahinya.
“Dia kata dia nak jumpa cikgu. Tu yang saya suruh dia duduk
dekat bawah dulu.”
“Emm… kalau macam tu bagi saya 10 minit untuk selesaikan
kerja saya. Nanti saya turun ke bawah.” Akhirnya Suhailah memutuskan.
“Baik cikgu.”
“Lagi satu. Tolong hidangkan minuman untuk tetamu kita tu
ya,” arahan Suhailah berikan.
Baiti mengangguk sambil tersenyum. Dia menutup semula pintu
bilik sebelum beredar.
‘Siapa pulak yang datang pagi-pagi ni?’ berkerut semula dahi
Suhailah saat hatinya membangkitkan persoalan itu.
“Lelaki? Siapa dia?” Kali ini mulutnya pula menimbulkan
keraguan sedangkan matanya masih terarah kepada senarai para pelajar yang akan
memulakan sesi baru pada tahun ini.
Anak tangga dituruni dengan penuh berhati-hati. Fail di
tanganya dipegang rapi sambil cuba menenangkan kegelisahan di hati. Entah
mengapa hatinya kian gelisah untuk bertemu dengan insan yang entah siapa
gerangannya.
“Hai, Cikgu Suhailah.” Lelaki itu melemparkan senyuman
manis.
Sekilas Suhailah sudah mengenali gerangan siapakah insan di
hadapannya itu. “Assalamualaikum, En. Rouf.”
Rouf kian lebar senyumannya. Senyuman yang lebih kepada rasa
malu sebenarnya akibat kealpaannya untuk menghulurkan salam terlebih dahulu.
“Waalaikumussalam.” Perlahan Rouf menyambut salam Suhailah.
“Pagi datang ke sini.” Ringan sapaan Suhailah sebelum dia
mengambil tempat di hadapan Rouf.
“Saya mengganggu Suhailah ke?” soal Rouf kemudiannya.
“Eh… tak adalah. Saya tak adalah busy sangat.
Cuma… terkejut je En. Rouf datang seawal pagi ni.” Masih lembut suara Suhailah.
“Sebenarnya Aliif ada menghubungi saya berkenaan permohonan
saya untuk mendaftarkan anak-anak saya ke tadika ni...” Rouf memulakan
‘bunga-bunga’ hajat kedatangannya.
Sememangnya sudah Suhailah jangkakan itulah punca kehadiran
lelaki di hadapannya itu.
“Aliif pun ada maklumkan pada saya semalam. Umur anak kembar
En. Rouf tu 5 tahunkan?” Suhailah mahukan kepastian.
“Ya. Siti Laila dan Siti Laili baru berusia 5 tahun. Kenapa?
Ada masalah ke Suhailah?” Soalan, Rouf nyatakan di akhir kata-katanya.
“Tak. Tak ada masalah.” Laju Suhailah menjawab.
Senyuman tetap jua Suhailah sulamkan dalam bicaranya.
Sesungguhnya hampir sejam dia telah mengurungkan diri di dalam biliknya
sesampainya dia di tadika pagi tadi semata-mata kerana hendak menysusun semula
senarai nama para pelajar berusia 5 tahun yang akan memulakan sesi baru pada
minggu hadapan. Terdapat sedikit perubahan terpaksa dilakukan untuk menyelitkan
nama anak kembar lelaki di hadapannya itu. Namun perubahan itu sedikitpun tidak
menjejaskan kualiti pembelajaran di tadikanya.
“Ini ada beberapa borang yang perlu En. Rouf isikan dan
insya-ALLAH kalau semuanya sudah lengkap, anak-anak En. Rouf boleh memulakan
sesi pembelajaran mereka pada Isnin depan.” Suhailah menghulurkan beberapa
borang kemasukan kepada insan di hadapannya itu.
Rouf mengambil apa yang dihulurkan kepadanya. Hampir 5 minit
dia menganalisa terlebih dahulu apa yang diserahkan kepadanya sebelum tangannya
memulakan larian dalam menghasilkan patah-patah kata di atas borang-borang itu.
“Tadika ini menerima para pelajar seawal usia mereka 4 tahun
lagi. Kami sentiasa mendapat guideline dari pihak kerajaan
dalam menyediakan sukatan pembelajaran dan kami juga ada menyediakan kelas
fardhu ain untuk mereka yang beragama Islam. Terdapat satu kelas yang kami
sediakan untuk para pelajar yang berusia 4 tahun. Begitu juga dengan para
pelajar yang berusia 5 tahun dan dua kelas lagi kami khaskan untuk mereka yang
sudah mencecah usia 6 tahun. Di sini terdapat lima orang tenaga pengajar dan
tiga orang pembantu. Untuk pengetahuan En. Rouf, Tadika Cahaya Suhailah
mempunyai dua cawangan lagi iaitu di Bandar Putera dan Shah Alam. ”
Sengaja Suhailah memberikan sedikit maklumat mengenai tadika
itu untuk memecahkan kelumpuhan suasana yang melingkari mereka berdua dan
terlihat Rouf mengangguk-anggukkan kepalanya perlahan. Namun perhatian lelaki
itu masih tertumpah di atas dokumen yang sedang diisinya. Sebentar kemudian…
“Okey, dah siap.” Lantas, dua set borang diserahkan kepada
Suhailah.
Suhailah menyambut huluran lelaki itu dan menelitinya
seketika, “Baiklah. Semuanya dah lengkap kecuali pembayaran yurannya. Untuk
pengetahuan En. Rouf pihak...”
“Boleh tak kalau Suhailah tak payah berencik-encik dengan
saya. Panggil je Rouf.” Percakapan Suhailah yang dipotong menyebabkan butiran
maklumat yang hendak disampaikan tergantung.
“Emm… baiklah. Rouf… untuk pengetahuan awak, pihak kerajaan
ada menyediakan subsidi sebanyak RM 180 sebulan bagi setiap anak kepada ibu
bapa yang berpendapatan kurang dari RM 3000 setiap bulan. Tetapi hanya mereka
yang bekerja di sektor awam dan hanya jika penjawat awam itu menghantar anak
mereka ke tadika di tempat kerja sektor awam sahaja yang akan mendapat kelebihan
itu. Memandangkan tadika ini tidak ditubuhkan di dalam lingkungan persekitaran
tempat kerja sektor awam, oleh itu… subsidi itu secara automatik tidak boleh
diguna pakai. Saya harap penjelasan saya terang. Ada apa-apa yang Rouf hendak
tanyakan pada saya?”
Lelaki itu tersenyum. Mungkin penjelasan Suhailah sebentar
tadi menimbulkan rasa geli di hatinya sementelah persoalan kewangan hanyalah
perkara enteng bagi lelaki yang berkedudukan sepertinya.
“Ada.” Saat patah kata tunggal itu meluncur keluar dari
bibirnya, Rouf memaut sepasang mata milik wanita di hadapannya itu dengan
pandangan yang begitu lembut sehingga menghadirkan debaran di dada Suhailah.
Sudah lama irama itu tidak bergema di daerah itu.
“Boleh saya tahu kenapa awak gunakan nama awak untuk
‘menjenamakan’ tadika ini? Maksud saya… kenapa tadika ini dinamakan Tadika
Cahaya Suhailah?” Lembut benar suara Rouf tika ini, selembut pandangan matanya.
Pautan mata Rouf, Suhailah longgarkan dengan melarikan
pandangannya ke bawah sebelum mulutnya terbuka untuk memberikan penjelasan.