Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 22

22

 

DARI jauh Maznah melihat tingkah laku anaknya. Dari duduk anak bongsunya itu bangkit dan menyandarkan tubuh kurus miliknya di balkoni. Senyuman kian melebar menandakan anaknya itu sedang meluahkan kata-kata indah dengan insan yang sedang berada di hujung talian.

Maznah pasti Syam yang menghubungi anak perempuannya itu dan dia juga yakin segala cadangannya sudah dipraktikkan oleh anaknya itu. Andai tidak masakan mood anak bongsunya itu seceria pelangi hari ini.

Hati Maznah kian memberontak untuk mengetahui isi perbualan di antara anaknya itu dengan insan yang menghubunginya. Lantas, langkah diatur perlahan agar anaknya itu tidak menyedari kehadirannya.

Dirian Maznah kini betul-betul di belakang Sally. Namun ternyata wanita yang sedang dilanda bahagia itu tidak menyedari akan kehadirannya.

“Ya ke cantik? Mana ada… biasa je,” senyuman kian memekar saat Sally menuturkan kata-kata itu.

“Emm… kiranya you sukalah I pakai baju kurung ya? Kalau macam tu hari-hari pun I sanggup pakai untuk you. Tapi untuk you je okey,” rengekan sudah kedengaran.

Sepi seketika. Entah apa yang dituturkan oleh Syam sehingga tawa kecil tercetus di bibir mungil milik Sally.

Sambil memintal-mintal rambutnya, Sally meneruskan bicara. “I pun happy hari ni. Tapi… I rasa papa you masih tak dapat terima Ilah,” rajukan sudah kedengaran.

Maznah pula kian memasakkan telinganya. Dia benar-benar ingin tahu bagaimanakah penerimaan papa Syam terhadap perubahan ‘drastik’ anaknya itu.

“Ya ke? Tapi… I dapat rasakan yang papa you masih bencikan I biarpun I dah minta maaf dekat dia pasal kes Tan Sri Chang hari tu. Tapi kenapa? Kenapa papa you susah sangat nak terima ungkapan maaf I?” Lakonan Sally kian menjadi-jadi. Sayu sengaja ‘diubah’ menjadi hiba.

Maznah menggeleng sedikit melihatkan sikap hipokrit anaknya itu. Entah fiil siapa yang diikuti, dia sendiri tidak tahu.

“Syam… hina sangat ke I pada pandangan famili you sampai papa you boleh perli-perli I pasal solat? Mama dengan papa I sendiri pun tak pernah nak perli-perli I macam tu!” Kali ini sikap cengil Sally terluah juga. Biarpun cuba ditahan-tahannya.

Sally diam sebentar. Telinganya ditadah untuk mendengar butir bicara kekasih hatinya itu. Entah apa yang dijanjikan oleh Syam, sehingga senyuman melebar terukir di bibir wanita ‘plastik’ itu.

“Janji?” Sepatah, kehendak Sally.

Syam menjawab di hujung talian dan senyuman kian memekar sebelum bicara diteruskan oleh Sally, “Baiklah, kalau macam tu… I mengalah kali ni. Janji tau you datang jemput I minggu depan. Tapi sebelum tu kita belikan hadiah untuk Laila dan Laili sama-sama ya. I nak berikan ‘anak-anak buah I’ tu hadiah yang special.” Keterujaan yang dilontarkan melalui intonasinya tidak sama dengan mimik muka mencebik yang dilahiriahkannya.

Sekali lagi, Maznah menggeleng. Kesal dengan sikap anaknya itu.

“Okey. Kalau macam tu, you aturkan waktunya. Emm… you dah mengantuk ya?”

Syam menjawab lagi di hujung talian dan Sally menuturkan kata akhir bagi penamat perbualan, “Okey, night. Love you so much! Muahhh…” Gedik benar gaya si dara sehingga si ibu yang mendengar menundukkan wajah.

Sally tersenyum puas. Biarpun panggilan sudah ditamatkan, namun kata-kata indah buah hatinya itu masih terngiang-ngiang di telinganya. Maznah yang menyedari tingkah anaknya itu…

“Ehem!!!” Maznah berdehem dan spontan Sally memusingkan tubuhnya. Riak wajahnya cukup menggambarkan betapa dia terkejut dengan kehadiran wanita itu.

“Mama! Mama buat apa dekat sini?!” tengking Sally. Marah benar dirinya saat ini.

“Ooo… dengan mama tengking-tengking. Tapi dengan Syam bukan main lembut lagi suara tu.”

“Mama jangan nak perli-perli Sally! Mama langsung tak menghormati privasi Sally. Mama ni memang teruk!” Sally membentak lagi.

“Kalau mama ni tak menghormati privasi Sally, dah lama dah mama bagitahu papa tentang apa yang berlaku.” Maznah mempertahankan tindakannya.

Sally mendengus sebelum mengatur langkah. Namun…

“Sally… sebagai orang tua, mama rasa mama tahu kenapa papa Syam tak boleh nak terima Sally.”

Sally terkaku. Ternyata mamanya itu sudah mendengar butiran perbualannya dengan Syam.

“Cinta tanpa restu orang tua takkan membuahkan hasil yang baik.” Lembut bicara Maznah.

“Apa maksud mama?!” Sally memusingkan tubuhnya semula. Nadanya masih meninggi.

“Syam cintakan Sally. Itu memang betul, tapi… sedarkah Sally kenapa sehingga saat ini Syam masih tidak ‘melanjutkan’ perhubungan kamu berdua? Maksud mama, kenapa dia tak mahu masuk merisik atau meminang Sally?”

“Syam belum bersedia.” Mengendur sedikit bicara Sally.

“Tapi mama tak rasa itu jawapan yang tepat.” Maznah merenung lembut anak bongsunya itu. Biarpun anaknya ini sering menyakiti hatinya, namun kasih seorang ibu tidak pernah pudar.

“Mama rasa… Syam masih belum mendapat restu daripada orang tuanya. Sally, kan tahu yang Syam tu sangat menghormati orang tuanya. Mama yakin kalau Sally dapat tawan hati papa dan mamanya, segala usaha Sally takkan sia-sia.”

“Mama nak suruh Sally buat apa lagi? Mama nak Sally sembah sujud orang tua tak guna tu! Baru Syam akan jadi milik Sally! Macam tu?” amarah Sally hadir semula.

“Tak… mama tak suruh Sally buat macam tu. Mama nak Sally buang sikap hipokrit tu dan bentuklah peribadi yang betul-betul diingini olah papa dan mama Syam.” Semakin lembut suara Maznah.

“Ooo… sekarang mama nak tuduh yang Sally ni hipokritlah!” bentak Sally.

“Mama tak tuduh! Tapi mama nampak dengan mata kepala mama sebentar tadi.” Habis menuturkan kata-kata itu Maznah mengatur langkahnya.

Sally tersentak. Bagaikan ada sebuah batu besar sedang menghimpap dirinya tika ini.

Previous: BAB 21
Next: BAB 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.