Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 30

30

SUASANA sunyi menyelubungi rumah dua tingkat yang diubahsuai menjadi tadika itu. Kesemua si cilik sudah pulang ke rumah masing-masing. Suhailah masih membuang pandangannya ke luar melalui jendela yang sudah terbuka. Biarpun sepasang matanya menjamah taman mini yang dibina di luar tadika itu, namun minda dan tumpuannya sudah terbang jauh mengenangkan sikap abahnya pagi tadi.

Rasa sayu cepat sahaja menghadirkan kesedihan di jiwanya. Sedih dengan layanan yang diberikan oleh ayah kandungnya itu. Tidak habis-habis lelaki itu mempergunakan dirinya untuk kepentingan bapa saudaranya itu. Andailah ada sesuatu yang diingini oleh Pak Alangnya itu pasti lidah abahnya selembut sutera ketika berbicara dengannya. Tetapi setelah segala kemahuan abah dan Pak Alangnya itu dituruti semerta sikap sebenar kedua lelaki itu muncul semula. Sikap suka menghina dan menggelarkan dirinya sebagai andartu itu sudah begitu sebati dengan diri mereka.

Genangan air mata hadir saat emosi Suhailah kian tidak stabil. Entah mengapa mudah benar dia mengalirkan titisan kesedihan itu. Perasaannya begitu rapuh. Suhailah menarik nafasnya dalam dan mengusir jauh segala ‘perasaan gelap’ yang cuba untuk menjatuhkan dirinya. Jari jemari pula segera digerakkan untuk mengelap linangan air mata yang kian tegar membasahi wajahnya. Dia cuba mengukirkan senyuman untuk menyuntik sedikit kekuatan di dalam dirinya dan cepat pula bayangan adik bongsunya itu menjelma.

Adik yang begitu melindungi dirinya. Adik yang begitu menyayangi dan mengasihi dirinya. Setiap kali abah mahupun Pak Alang ataupun sesiapa sahaja yang menyindir serta menghinanya, pasti adik bongsunya itu akan bertindak menjadi ‘perisai’ dan kadangkala berubah menjadi ‘anak panah’ yang akan mematahkan setiap serangan kata-kata yang begitu menghiris perasaannya.

Senyuman Suhailah kian melebar saat teringatkan zaman kanak-kanak mereka. Siapa sangka ibunya yang pada waktu itu menghampiri umur 40 tahun disahkan mengandung oleh doktor. Dirinya dan ahli keluarga yang lain gembira bukan kepalang dalam menantikan kelahiran adik bongsu mereka.

Kelahiran Aliif benar-benar menghadirkan cahaya kegembiraan dan kebahagiaan di dalam diri Suhailah. Daripada seorang anak perempuan yang terlalu tekun dengan pelajaran dan terlalu serius dalam semua perkara, Suhailah berubah menjadi seorang yang begitu lembut serta riang. Semuanya kerana kenakalan serta usikan adik bongsunya itu yang menyedarkan dirinya betapa hidup ini perlu diwarna-warnikan dengan pelbagai rasa.

Kasih sayang yang terjalin begitu mengakrabkan kedua beradik itu sehingga Aliif digelar sebagai ‘baby’ oleh Suhailah. Panggilan itu lekat sehingga Aliif menginjak ke alam persekolahan dan hilang saat dia menjejaki alam remaja.

“Segalanya indah...” Tanpa sedar Suhailah sudah berjaya mengubati hatinya saat bibirnya menuturkan kata-kata itu.

Suhailah mengerling jam di pergelangan tangannya. Sudah menghampiri pukul tiga petang. Pada hari ini dia tidak mempunyai sebarang temujanji, tiada apa yang perlu digesakan. Dia berlalu ke mejanya dan cuba menumpukan semula perhatian terhadap sisa-sisa kerja yang perlu disudahkan pada hari ini. Cek-cek yang belum ditandatangani diambil. Cek-cek itu perlu ditanda tangan pada hari ini untuk diserahkan kepada para pekerjanya esok hari.

Baru sahaja sehelai cek siap ditanda tangan, handphonenya berdering. Suhailah pantas menjawab panggilan itu biarpun nombor yang tertera di skrin begitu asing baginya. Tetapi tiada apa yang menghairankannya sementelah di dalam name cardnya tertulis nombor handphonenya itu.

“Assalamualaikum.” Huluran salam didahulukan Suhailah.

Namun si pemanggil tidak menjawab salamnya. Insan di hujung talian masih membisukan mulutnya. Menyangka yang suaranya terlalu perlahan untuk didengari, lantas ucapan salam dalam nada yang sedikit tinggi dituturkan, “Assalamualaikum. Nak bercakap dengan siapa ya?”

Diam. Masih tiada jawapan dan entah mengapa dada Suhailah berdebar perlahan. Ada satu rasa yang menjalar di dalam jiwanya. Rasa yang menghiris perasaannya.

“Boleh saya tahu, siapa ni?” Suhailah masih mencuba.

“Saya...” Sepatah kata itu sudah berjaya menjemput sengsara dan kesedihan ‘bergembira’ semula di dalam diri Suhailah.

Bergetar bibir Suhailah. Jari jemarinya kaku. Tidak mampu untuk menamatkan talian itu. Mungkinkah kerana rasa rindunya terhadap lelaki itu yang menyebabkan dia hanya membiarkan sahaja gegendang telinganya menantikan butir bicara seterusnya daripada insan yang pernah mencurangi dirinya itu?

“Suhailah. Saya… saya nak minta maaf dengan awak.” Sudah lama Rusydi ingin menuturkan ungkapan maaf itu dan setelah dia mendapatkan nombor telefon insan yang masih dicintainya itu, segera dia menghubungi wanita yang masih membisukan mulutnya tika ini.

“Suhailah… saya, saya rindukan awak,” luah Rusydi lagi.

‘Ya ALLAH… kenapa harus lelaki itu menuturkan ungkapan itu? Kenapa Ya ALLAH?’ rintihan di hati selari dengan linangan air mata yang menzahirkan perasannya tika ini.

“Suhailah. Saya tahu awak dengar apa yang sedang saya katakan ini. Saya… saya betul-betul rindukan awak. Saya...” Belum sempat Rusydi menghabiskan kata-katanya. Talian sudah terputus.

Suhailah memutuskan talian. Tidak sanggup rasanya untuk dia mendengar segala luahan rasa lelaki itu. Kenapa? Kenapa di saat dia sudah hampir berjaya melupakan lelaki itu, lelaki itu muncul semula di dalam hidupnya? Kenapa harus lelaki itu menghubunginya hari ini? Kenapa???

Tindihan persoalan menjatuhkan Suhailah di tingkat ‘terbawah’, dia rebah. Tertunduk menangisi nasibnya. Nasib dicurangi dan didustai cintanya oleh seorang lelaki yang kini cuba menangih semula kasihnya.

“Rusydi…” Begitu perlahan Suhailah menyebut nama insan yang suatu ketika dahulu amat didambakan kehadirannya sebagai seorang suami. Air matanya kian laju mengalir.

Deringan bertalu-talu dari handphonenya dibiarkan sahaja. Tidak mahu Suhailah menjawab panggilan itu lagi. Dia tidak mahu perasaan sedih dan kecewanya kian ‘melumpuhkan’ dirinya tika ini.

Hampir sejam Suhailah menangisi nasibnya. Terlihat bengkak di matanya akibat tsunami air mata. Pedih di mata menyebabkan dia berusaha untuk menghentikan tangisannya itu. Tersendu-sendu dirinya tika ini.

Suhailah mengangkat wajahnya. Dia mencapai beberapa helai tisu dan dilapkan kering sisa-sisa air mata. Dia menyandarkan tubuhnya di kerusi sebelum mencapai semula handphonenya. Ada 37 miss call dan satu SMS. Suhailah membuka SMS itu dan sangkaannya meleset sama sekali. Bukan Rusydi yang menghantar pesanan ringkas itu. Tetapi Rouf!

Assalamualaikum. Saya cuba untuk menghubungi Suhailah kerana ada perkara penting yang ingin saya sampaikan. Jika Suhailah mendapat mesej ini sila hubungi saya semula. Terima kasih- ROUF.

Debaran hadir semula. Perkara penting? Perkara penting apakah yang ingin dibincangkan oleh Rouf? Mungkinkah sesuatu perkara yang buruk telah berlaku? Tetapi apakah dia?

Kegelisahan pula menguasai diri Suhailah.


Previous: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.