25
TERDENGAR gelak
tawa keriangan dari celah daun pintu yang tidak tertutup rapat. Terhenti
langkah Syam dan dilencongkan niatnya daripada terus masuk ke biliknya. Dia
menapak ke arah kamar bilik tidur anak buahnya.
“Ehem!!!” Syam berdehem setelah
melangkah masuk ke bilik si kembar.
Laila dan Laili terhenti tawa
mereka. Namun senyuman melebar masih menghiasi wajah-wajah bersih itu.
“Apa yang seronok sangat ni? Sampai
Pak Long masuk pun Laila dan Laili tak perasaan.” Syam melabuhkan punggungnya
di birai katil.
“Tak ada apa-apalah Pak Long,” tipu
si adik.
“Ya ke tak ada apa-apa ni? Kalau tak
ada apa-apa kenapa adik dengan kakak ketawa bukan main lagi?” Syam masih mahu
menyelongkar hati si kecil.
“Betul. Tak ada apa-apa.” Si adik
masih enggan menuturkan kebenaran.
“Adik… kan, Cikgu Suhailah kata tak
boleh menipu. Cakap jelah dengan Pak Long.” Kali ini giliran si kakak pula
mengingatkan adiknya.
‘Suhailah.’ Tanpa disangka hati Syam
menuturkan nama itu dan semerta terasa debaran di dadanya.
“Pak Long… Pak Long kenapa termenung
pulak ni?” Laila menggoyang-goyangkan bahu Syam.
“Tak… tak ada apa-apa…” gugup Syam.
“Betul ke Pak Long nak tahu apa yang
adik dan kakak gelakkan?” soal Laili laju.
Syam
sekadar menganggukkan kepalanya. Entah mengapa fokusnya kini tidak lagi
tertumpu kepada kedua anak buahnya. Dadanya kian berdebar hebat sedang minda
cuba mengingati di manakah dia pernah mendengar nama SUHAILAH!
“Emm… sebenarnya, esokkan hari jadi
adik dan kakak. Jadi, atuk cakap atuk bagi kebebasan pada adik dan kakak untuk
minta apa sahaja sebagai hadiah. Itu yang adik dengan kakak gembira sangat tu.”
Laili sudah tersenyum sakan saat ayat akhir dihabiskan. Laila turut serta.
“Adik dengan kakak minta apa pada
atuk?” Sengaja Syam menuturkan pertanyaan itu untuk mengurangkan gendang irama
di jiwa.
“Rahsia!!!” Serentak si kembar
menjerit dan merebahkan tubuh mereka ke tilam sebelum menutupi diri mereka
dengan selimut. Kekekan kian kedengaran saat Syam menggeletek anak-anak
buahnya. Sedikit sebanyak keriangan itu mampu melupakan Syam kepada wanita yang
telah menghadirkan debaran di dadanya sebentar tadi.
SEGALA persiapan sudah sempurna.
Para jemputan juga sudah mula memenuhi banglo tiga tingkat itu. Kanak-kanak
tertawa riang melihat gelagat si badut yang sentiasa mencuit hati. Golongan
dewasa pula sibuk mengawasi anak-anak mereka. Ternyata semuanya nampak sempurna
apatah lagi saat dua orang kanak-kanak comel yang diraikan pada hari ini sudah
berada di taman yang dihiasi penuh warna-warni. Laila dan Laili comel bergaun
merah jambu. Tersenyum lebar mereka saat ramai yang memuji kecomelan mereka
saat ini.
“Kan, adik dah cakap yang dia orang
akan puji adik comel,” riak si adik.
“Dia orang bukan puji adik seorang
je. Akak pun dia orang puji jugak,” tutur si kakak tak nak mengalah.
“Tapi adik lagi comel!” Laili masih
mempertahankan pendapatnya.
“Dahlah tu. Boleh tak kalau adik
dengan akak hari ni tak bergaduh. Bagi papa dua-dua anak papa ni comel tau.”
Rouf mengambil jalan tengah untuk mendamaikan kedua anaknya itu. Dato Haji Malik
hanya menggeleng kecil melihat telatah cucu-cucunya dan Datin Hajah Zain pula
hanya tersenyum.
“Minta perhatian semua. Orang yang
kita nak raikan hari jadinya pada hari ini sudah tiba. Dipersilakan dua orang
anak buah saya yang sangat comel, Siti Laila dan Siti Laili,” bertepuk tangan
para jemputan mendengar kata-kata Syam yang menjadi pengerusi majlis pada hari
ini.
Laila dan Laili tersenyum riang
sambil melambai-lambaikan tangannya kepada para tetamu. Namun saat mata mereka
terlihatkan seorang wanita bertudung ungu sedang tersenyum ke arah mereka,
cepat sahaja mereka menjerit, “Cikgu Suhailah!!!”
Para hadirin terdiam. Tiada lagi
tepukan. Semua mata tertumpu ke arah larian kecil kedua beradik itu. Laila dan
Laili berlari mendapatkan Suhailah yang berdiri di barisan tengah.
“Cikgu, kita ingatkan cikgu tak
datang.” Laila bersuara.
“Bukan tak datang. Cuma cikgu
terlambat sikit. Cikgu tunggu adik cikgu.” Suhailah menoleh ke sisi. Aliif
tersenyum.
“Hai Laila, Laili. Saya Cikgu Aliif.”
Aliif membongkokkan tubuhnya sedikit dan huluran tangan disuakan. Cepat si
kembar menyalami tangannya.
“Cikgu. Jomlah ikut kita potong
kek.” Manja benar suara Laili.
“Emm… tak apalah. Cikgu seganlah.”
“Kalau segan, ajaklah Cikgu Aliif,”
pujuk Laila pula.
Aliif
sudah meraba tengkuknya. Kurang senang dengan permintaan itu kerana sememangnya
dia sebenarnya mudah berasa malu saat berhadapan dengan orang ramai.
“Jomlah cikgu…” rengek Laili.
Suhailah sekali lagi memandang insan
di sisi. Seketika Aliif terdiam. Namun saat melihatkan puluhan orang sedang
menantikan si kembar memotong kek, cepat sahaja Aliif menganggukkan kepalanya.
Laila dan Laili tersenyum girang.
“Happy
birthday to you, happy birthday to you, happy birthday to Laila and Laili…
happy birthday to you.” Bergema nyanyian selamat hari jadi daripada para
tetamu dan tepukan kian kedengaran saat si kembar meniup lilin.
“Selamat hari jadi sayang,” kucupan
dihadiahkan di pipi anak-anaknya itu dan dua buah kotak yang sudah berbungkus
sama cantiknya dihadiahkan kapada mereka.
“Yeay… yeay… dapat hadiah. Thanks papa.” Riang Laila dan Laili
sambil memeluk papa mereka.
Kini
tiba pula giliran Dato Haji Malik dan Datin Hajah Zain, lama cucu mereka itu
dipeluk dan entah mengapa mudah benar air mata mereka bergenang.
“Dah besar dah cucu atuk.” Serak
suara Dato Haji Malik.
“Alah… atuk janganlah nangis,” pujuk
Laili dan Laila sudahpun mengelap titisan permata itu dengan jari-jemari halus
miliknya.
“Atuk menangis bukan sebab sedih.
Tapi gembira,” senyuman kecil diukirkan.
Namun
Sally yang melihatkan adengan kasih sayang itu mencebik di hati. Menyampah dia
melihat kasih sayang yang terbentang di ruang matanya.
‘Mengada-ngada! Dah tua pun nak menangis.
Nak berlakonlah tu,’ terlahir kata-kata itu di hati busuk milik Sally, namun bibirnya
masih mengukirkan senyuman.
Syam yang berdiri di sebelah Sally
langsung tidak menyedari apa yang sedang berlaku di sekelilingnya. Biarpun dia
melihat apa yang terbentang di hadapan matanya, tetapi minda serta hatinya
bagaikan cuba memisahkan dirinya dengan situasi sekarang. Mindanya sentiasa
terfokus kepada wanita bertudung ungu itu. Wanita berkulit kuning langsat itu
telah menghadirkan getaran di hatinya. Getaran sama yang telah ‘menjenguk’
daerah hatinya semalam.
‘Suhailah,” bisik hati Syam. Tanpa
disangka Suhailah menoleh ke arahnya dan senyuman manis dihadiahkan. Pada saat
ini, hanya ALLAH sahaja yang tahu betapa hebatnya debaran yang sedang ‘menghentak’
hatinya.
“You pandang apa tu?” Sally kurang
senang dengan tingkah kekasihnya yang sedari tadi tertoleh-toleh melihat wanita
bertudung ungu itu.
“Tak ada apa-apa,” jawab Syam.
Menyembunyikan rasa hatinya.
“You jangan nak menggatal dengan
perempuan tu ya!” Agak keras suara Sally.
Syam
hanya membiarkan sahaja amaran itu. Sally yang disangkanya sudah berubah kian
kembali kepada sikap asalnya. Sikap yang paling dibenci oleh Syam. Mengongkong!
“You kata nak bagi hadiah dekat
anak-anak buah I. Pergilah,” tutur Syam.
“You temankanlah. I takutlah dengan
papa you tu.” Sedikit kendur suara Sally.
“Papa I tak makan orang,” jawab
Syam, malas.
“You ni kenapa? You sepatutnya
hargai kehadiran I di sini. You ingat I buat semua ni sebab apa? I pakai baju
kurung, belikan hadiah… you ingat semua ni untuk apa? Untuk ambil hati papa dan
mama you. Tapi you sikitpun tak membantu.” Sakit benar hati Sally tika ini
dengan sikap endah tak endah Syam itu.
Syam tidak menjawab apa. Malas dia
hendak bertengkar. Lantas kakinya melangkah ke arah anak-anak buahnya.
“Selamat hari jadi anak-anak buah
Pak Long.” Keriangan ‘disuntikkan’ di dalam bicaranya sambil kedua-dua tubuh si
kecil itu dipeluknya.
“Thanks
Pak Long,” ujar Laila dan Laili yang sudahpun menunjukkan sebuah biola
bersaiz kecil kepadanya.
“Pak Long, cantik tak biola ni?
Inilah hadiah rahsia yang kita orang minta daripada atuk dengan nenek,” gembira
si kembar.
“Ooo… inilah rahsianya ya.” Serentak
bicaranya, Syam menggeletek Laili dan Laila pula sudah angkat kaki menyorok di
belakang papanya. Takut digeletek bapa saudaranya itu.
Suhailah ralit memerhatikan gelagat
lelaki di hadapannya itu. Tanpa disangkanya, dadanya berdebar perlahan. Dia
tersentak! Sudah lama dadanya itu tidak berirama. Hilangnya debaran itu saat
dirinya dicurangi!
Sally menjeling ke arah Suhailah.
Sakit hatinya melihat wanita bertudung itu memandang ke arah kekasihnya.
Suhailah tidak menyedari jelingan itu. Aliif yang menyedari keadaan itu
menentang pandang wanita bermuka cengil itu. Sally tersentak dan akhirnya dia
mengalah. Lantas wajahnya dihalakan ke hadapan.
“Laila… Laili, ini aunty ada belikan
hadiah untuk Laila dan Laili.” Suara sengaja dilembutkan sebelum Sally
menghulurkan dua buah bungkusan hadiah berwarna oren.
“Kita orang tak suka warna oren,” jujur
Laili saat menerima hadiah itu. Berubah riak wajah Sally.
“Ish… apa adik ni. Tak baik cakap
macam tu. Kan, aunty Sally dah belikan hadiah tu. Ucapkan terima kasih cepat,”
arah Rouf. Kesal sedikit dia dengan keceluparan anaknya itu.
“Terima kasih aunty.” Serentak Laila
dan Laili menuturkan ucapan terima kasih. Sally hanya tersenyum. Senyuman penuh
kepalsuan!
Laila dan Laili menghampiri
Suhailah.
“Cikgu… mana hadiah kita?” soal
Laili.
Suhailah tersenyum, “ Nak hadiah
ke?” Sengaja Suhailah mengusik kedua beradik itu.
“Mestilah nak.” Sudah memuncung
bibir Laili. Suhailah menyentuh muncung itu.
“Kalau nak, macam biasa...” Suhailah
sudah membongkokkan tubuhnya dan serentak si kembar mencium kedua belah
pipinya. Aliif di sisi tersenyum. Dia tahu kakaknya itu seorang penyayang.
Dato Haji Malik, Datin Hajah Zain,
Rouf dan Syam turut tersenyum. Hanya Sally sahaja mencuka wajahnya. Tidak
senang dengan penerimaan semua orang terhadap wanita bergelar cikgu itu.
Suhailah membuka tas tangannya
sebelum menghulurkan dua kotak kecil hadiah berwarna merah jambu dan dihulurkan
kepada anak-anak muridnya.
“Kecilnya hadiah.” Sengaja Sally
meluahkan perliannya.
Berubah wajah Dato Haji Malik dan
Datin Hajah Zain. Suhailah tertunduk. Aliif memandang tajam wanita yang sudah
menghadirkan kebencian di dalam dirinya itu.
“Kecil ke besar kita orang tak
kisah. Yang penting kita orang suka warna merah jambu. Kan, adik?” tutur Laila.
“Ha’ah. Kita orang sayangkan cikgu.
Cikgu memang pandai belikan hadiah.” Laili tersenyum dan memeluk tubuh
Suhailah. Laila turut melakukan perkara yang sama. Tersentuh hati Suhailah.
Syam dan Rouf tersenyum melihat
kasih sayang yang terbentang di hadapan mata mereka. Debaran pula sudah sekian
lama bergendang-gendang di dada mereka dari saat pertama menatapi wajah keibuan
Suhailah itu. Masing-masing mempunyai rasa yang sama terhadap wanita manis itu.
Apakah rasa itu? Mungkinkah sayang? Ataupun cinta?
“Bukalah.” Lembut bicara Suhailah.
Laila dan Laili cepat sahaja
menuruti arahan itu. Berhati-hati mereka membuka balutan kecil itu dan saat
mereka terpandangkan apa yang berada di dalam kotak itu…
“Jam tangan!!!” jerit mereka dan
pelukan terpatri antara Laila dan Laili.
“Adik suka jam tangan Barbie ni.
Cantik sangat!” riang benar Laili.
“Akak pun suka. Terima kasih cikgu!”
jerit Laila pula.
“Sama-sama sayang. Tapi hadiah cikgu
kecil je.” Tiada niat untuk Suhailah memerli Sally. Namun cepat pula wanita
bongkak itu terasa.
‘Geramnya aku!!!’ jeritan bergema di
hati hitam milik Sally.
“Laila, Laili!!!” jeritan itu
hadirnya daripada seorang budak lelaki.
“Abang Dani!” gamit Laila.
“Kenapa Abang Dani datang lambat?”
soal Laili pula.
“Sorrylah.
Tadi papa dengan mama ada hal sikit… tu yang abang datang lambat tu.” Termengah-mengah
Dani.
“Mana aunty dengan uncle?” soal
Laila kemudiannya.
“Tu!” Jari telunjuk diarahkan kepada
papa dan mamanya yang kian menghampiri mereka.
Entah mengapa Suhailah tertarik
untuk melihat siapakah gerangan papa dan mama budak kecil bernama Dani itu dan
saat sepasang matanya terlihat susuk tubuh serta raut wajah lelaki bertubuh
tinggi itu, dadanya terasa sempit untuk bernafas. Terasa seluruh tubuhnya
menggigil. Tangisan di jiwa juga sudah kedengaran.
‘Kenapa? Kenapa perlu kau hadir
semula? Kenapa?!!!’ jeritan bersama tangisan di jiwa mencederakan retakan hati
yang sudah bertahun lamanya meratapi kecurangan lelaki itu. Lelaki yang pernah
berjanji untuk sehidup semati dengannya! Lelaki yang pernah berjanji untuk
memberikan seluruh bahagia kepadanya! Lelaki yang pernah mengimpikan istana
cinta buatnya!