7
SEKALI-SEKALA terdengar bunyi dentingan saat
sudu dan garpu berlaga. Bunyi gelas dan pinggan pula usah dikata kuatnya. Habis
berkecah lantai dapur dibuatnya.
“Ya ALLAH. Adik ni cuci pinggan ke nak banjirkan
dapur ni?” Suhailah kian menghampiri adiknya yang masih meneruskan kerja
mencucinya.
“Dahlah tu, tinggalkan je. Kejap lagi biar akak
yang cuci semuanya. Adik pergilah masuk,” arah Suhailah.
Senyap. Masih tiada suara balas dari insan di
sebelahnya. Suhailah amati wajah adiknya. Ternyata figura itu masih dikuasai
kebencian.
“Kenapa akak jadi orang bisu tadi?!” bentak Aliif.
Tersentak Suhailah. Tidak disangkanya adiknya
itu akan melontarkan persoalan seperti itu, apatah lagi nada meninggi yang
digunakan benar-benar memberikan kesan di hatinya.
“Kenapa akak pekakkan je telinga akak masa Pak
Alang dan Mak Alang hina akak tadi?! Kenapa kak?” Aliif belum puas melontarkan
persoalan.
Suhailah sudah tertunduk. Terasa panas kelopak
matanya.
‘Sudah menyerahkah ‘kau’ wahai permata?’ bisik
hati Suhailah.
“Akak… adik tak sanggup nak dengar semua
penghinaan Pak Alang dengan Mak Alang tadi! Tapi akak…” kata-kata Aliif
tergantung.
“Kenapa kak? Kenapa akak tak nak balas balik
kata-kata Pak Alang dengan Mak Alang tu tadi? Kenapa?” Terdengar keluhan kasar
di hujung bicara.
“Untuk apa?” Wajah yang tertunduk sudah Suhailah
dongakkan. Dua pasang mata tepat memandang. Kemarahan masih berapi di mata Aliif
dan Suhailah…
“Akak tengok… cuba akak tengok diri akak
sekarang ni. Setiap kali Pak Alang dan Mak Alang hina akak, akak akan menangis!
Sebab tulah adik bencikan dua orang tua tak guna tu!” marah Aliif.
“Adik!!!” Gema jeritan itu bagaikan merencatkan
kelenjar air mata Suhailah. Titisan terakhir permata tidak sempat diseka saat
wajahnya terus tertoleh ke arah insan yang sedang kemerahan wajahnya menahan
amarah. Bukan setakat Suhailah malahan Aliif turut terkejut dengan kehadiran
insan itu.
“NAH,” sua lelaki di sisi Suhailah.
Suhailah menyambut huluran lelaki itu.
“Adik mana?” soal Suhailah kemudiannya.
“Ada dalam bilik dia. Tengah tunjuk protes.”
Suhailah helakan nafasnya perlahan. Rasa
bersalah menziarahinya saat kesedihan menjadi teman akrabnya.
“Betul ke apa yang adik cakapkan tu?” soal
lelaki itu pula.
Suhailah mengerti apa maksud insan di sisinya
itu. Jawapan tidak terus diberikan. Kopi panas yang dihulurkan tadi, Suhailah
teguk perlahan.
“Sedap kopi ni,” komen Suhailah.
“Itu bukan jawapannya kak. Apa yang telah
terjadi sebenarnya?” Sekali lagi panahan soalan yang seerti tepat mengenai
Suhailah.
“Pak Alang dengan Mak Alang datang sini semalam.
Dia orang tidur sini. Lepas makan malam tadi baru balik.” Suhailah menarik
nafasnya dalam untuk menghalang getaran suara dari terus-terusan melemahkan
emosinya.
“Itu Angah tahu. Ibu ada telefon Angah semalam.
Tapi Angah tak dapat balik sebab ada urusan di madrasah,” terang Haikal.
“Banyak sangat ke kerjanya?” Suhailah masih
berusaha mengubah topik perbualan.
“Biasalah kak… minggu depankan dah mula sesi
baru, tu yang banyak urusan tu.”
Suhailah sekadar menggerak-gerakkan kepalanya ke
bawah sebagai tanda mengerti.
“Akak faham.” Mulut pula membuatkan pengesahan
yang jelas.
“Tapi Angah tak faham. Tak faham apa sebenarnya
yang telah berlaku dalam rumah ni? Tadi Angah sempat berbual dengan ibu sebelum
ibu masuk tidur. Ibu beritahu benda sama yang adik ceritakan dekat Angah tadi.
Betul ke?” soal Haikal lagi. Masih menantikan kejujuran daripada kakaknya itu.
“Apa yang betul?” Entah mengapa pertanyaan
Suhailah itu telah mengundang senyum di bibir Haikal.
“Jadi betullah.” Yakin Haikal.
“Akak tak kata pun betul. Jangan mudah membuat
tafsiran. Lagipun akak tak jelas apa yang ibu dan adik beritahu Angah.”
“Memang akak tak kata, tapi akak tunjukkan. Muka
akak tu… bilalah akak nak belajar membohong… dan lagi satu Angah tahu yang akak
jelas apa yang ibu dan adik ceritakan.”
“Kalau Angah dah tahu kenapa Angah nak tanya
akak lagi?” sayu Suhailah bertanya.
Cawan yang masih Suhailah pegang diambil lembut
oleh Haikal sebelum diletakkannya di atas meja kecil di hadapan mereka.
Perlahan jari jemari kakaknya itu digenggamnya. Terasa kerapuhan hati Suhailah
kian memulih.
“Sebab Angah nak akak luahkan apa yang akak
bukukan di hati akak tu. Akak perlukan seseorang untuk berkongsi rasa dan insya-ALLAH…
Angah boleh jadi orang tu.”
Bersungguh Haikal meyakinkan kakaknya itu.
Haikal mahu mendengar sendiri dari mulut kakaknya tentang perbalahan yang
didengarinya di dapur sepulangnya dia dari madrasah tadi. Haikal yang pada
mulanya menyangkakan adik bongsunya itu sekadar berselisih faham dengan
kakaknya ini mula menumpukan perhatian saat nama Pak Alang dan Mak Alangnya
diungkitkan oleh adik bongsunya itu dan pada saat itulah dia dapat merasakan
bagai ada cucuhan api yang dinyalakan oleh kedua pak cik serta mak ciknya itu
sehingga semarah itu sekali adik bongsunya itu.
“Akak…” Lembut Haikal memanggil kakaknya dalam
nada memujuk dan perlahan pula bibir kakaknya itu terbuka bersama mata yang
berkaca.
‘Alhamdulillah. Akhirnya kau mahu bersuara,’
syukur hati Haikal.