Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 26

26

AIR mata bagaikan sudah tidak dapat diseka akan kehadirannya. Berjuraian menghukumi diri atas kekhilafannya selama ini. Khilaf yang akhirnya membawa kepada sebuah kehancuran. Kehancuran di atas sebuah kebahagiaan yang baru hendak diciptanya.

“Suhailah…” Sudah acap kali Rusydi menyebut nama itu. Nama yang menghadirkan rasa cinta dan penyesalan serentak di hatinya.

Rusydi tertunduk. Lantai menjadi tumpuan matanya kini. Semerta imbauan petang tadi menjelma. Imbauan yang membawa seraut wajah yang amat dirinduinya. Wanita bertudung ungu itu terpempan memandangnya. Terlihat kesedihan menguasai wajah kuning langsat itu. Wajah yang suatu ketika dahulu menjadi pujaannya. Tiada yang berbeza mengenai wanita itu. Cuma tudung yang menutupi auratnya menjadikan wanita itu tampak lebih manis wajahnya.

Air mata Rusydi gugur lagi bersama kata penyesalan di bibirnya, “Maafkan aku Suhailah. Maafkan aku…”

Rusydi memejamkan matanya. Terasa pedih panca inderanya itu, namun kepedihan itu tidak layak disamai dengan kepedihan jiwanya.

“Kalaulah aku tak mencurangi dia… kalaulah aku…” Namun kata-kata itu tidak dapat disempurnakan akibat sendu yang hadir membataskannya.

Rusydi mengangkat wajah. Dikesat air mata yang masih ‘hidup’ membasahi pipinya. Dia bangkit dan menyandarkan tubuhnya di balkoni. Pandangan dibuang ke arah gelap malam. Mindanya kian terbang mengenang kisah silam. Kisah silam yang diputarkan dengan sebuah kecurangan dan kehancuran.

“Okey?” soal Ayub yang muncul tiba-tiba di sisi Rusydi.

Persoalan tunggal itu menyentak Rusydi. Dipalingkan wajahnya ke sisi. Papanya itu sedang memandang tepat ke arahnya.

“Ada masalah? Nak kongsi dengan papa?” soal Ayub kepada anak sulungnya itu.

Rusydi masih mendiamkan dirinya. Tangannya pula masih laju menghapuskan sisa air mata.

Ayub yakin anaknya itu sedang berhadapan dengan masalah yang besar. Sudah setengah jam dia memerhatikan anaknya itu dari jauh dan dalam tempoh itu jugalah air mata sentiasa membasahi wajah di sisinya itu.

“Rusydi… kita ni lelaki. Jarang nak menangis, tapi itu tak bermakna yang kita perlu pendamkan sahaja apa yang ada di dalam hati kita. Kalau Rusydi ada masalah, papa sedia mendengar.” Ayub menepuk-nepuk perlahan bahu anaknya itu.

“Rusydi okey pa,” serak suara Rusydi.

“Kalau okey takkanlah papa berdiri di sebelah Rusydi pun, Rusydi tak perasan.”

“Betul. Rusydi okey,” penipuan masih disuakan kepada papanya itu.

Bisu sebentar suasana. Ayub bagaikan memberi ruang kepada anaknya itu untuk berfikir sebelum mulutnya melancarkan sebuah nasihat yang diharapkan dapat mengurangkan bebanan anaknya itu.

“Kita ni sebagai suami kena tegas sikit. Papa tak maksudkan yang kamu perlu berkasar dengan isteri kamu tu. Tapi, kamu kena tegur kalau dia buat salah. Kamu kena nasihatkan dia kalau dia tak nak dengar. Kalau terpaksa gunakan tangan… pukullah dia dengan niat untuk mengajar dan bukannya mendera. Pukul di tempat yang tidak terbuka. Janganlah kamu pukul isteri kamu tu di muka pulak.” Ayub menggosok perlahan bahu anaknya itu saat kata-kata nasihatnya tamat.

Rusydi hanya menganggukan kepalanya. Dia tidak mahu berkata apa. Biarlah papanya itu beranggapan andai dia mempunyai perselisihan faham dengan isterinya. Biarkanlah… baginya itu lebih baik daripada papanya itu mengetahui kebenaran di atas kesedihannya tika ini.

AZURA menundukkan wajahnya. Dia tahu adik iparnya itu masih berasa bengang dengan dirinya kerana keengganannya untuk membantu adik iparnya itu tempoh hari.

“Dani mana?” soal Sally kasar.

“Dengan mama,” jawab Azura perlahan.

“Rusydi?” soal Sally lagi. Masih sama nada suaranya.

“Tak tahu. Mungkin ambil angin dekat luar kot.” Sambil lewa Azura memberikan jawapannya.

“Isteri apalah kau ni. Suami kau sendiri pun kau tak tahu pergi mana,” perli Sally sambil menjeling kakak iparnya itu.

Berang Azura dengan perlian itu. Lantas kepalanya diangkat dan muka sombong adik iparnya itu dipandang tajam.

“Apasal kau pandang aku macam tu? Tak puas hati dengan apa yang aku cakap?!” Kian kasar tuturan Sally.

Azura diam. Tidak mahu bergaduh dengan adik iparnya itu apatah lagi sekarang dia berada di rumah emak mentuanya.

“Macam tulah sakitnya hati aku bila aku mintak tolong kau hari tu, tapi kau tak nak tolong!” Sally kian memuntahkan amarahnya dan wajah kakak iparnya itu ditenung tajam.

“Bukan aku tak nak tolong. Tapi abang kau yang tak izinkan aku masuk campur lagi hal kau dengan Syam,” jawab Azura selamba.

“Sejak bila pulak kau pandai nak dengar cakap abang aku ni? Bukan kau ni isteri tak guna ke? Sanggup gunakan taktik kotor untuk dapatkan abang aku tu!” jerkah Sally.

“Apa kau cakap ni? Bukan kau ke yang ajar aku untuk gunakan taktik tu? Kalau kau tak hasut aku, aku takkan terfikir pun nak gunakan cara kotor kau tu!” Suara Azura kini turut meninggi. Sakit hatinya kerana dituduh sebegitu oleh adik iparnya itu sedangkan wanita kejam di hadapannya itulah yang telah menghasutnya untuk menggunakan taktik kotor itu!

“Bagus. Sekurang-kurangnya otak kau tu masih ingat akan jasa aku pada kau! Lebih baik kau tanamkan betul-betul dalam kepala otak kau tu, akulah insan yang menyatukan kau dengan abang aku! Dan aku juga nak kau ingat janji kau untuk menyatukan aku dengan Syam!” Sally menunjal-nunjal kepala Azura.

Azura menepis jari telunjuk Sally yang menunjal-nunjal kepalanya. Namun tiada kata yang berani diluahkan di bibirnya. Dia takut andai dia melawan adik iparnya itu, wanita kejam itu akan membongkarkan segala-galanya kepada suaminya.

Lambat… barulah Azura menganggukkan kepalanya dan mulutnya terbuka untuk berbicara, “Baiklah, aku akan tolong kau setakat mana yang aku mampu.”

Sally tersenyum dan kening kirinya terangkat, menandakan yang dirinya masih mampu untuk mengawal kakak iparnya itu. Azura pula sudah berasa jelik dengan sikap adik iparnya itu.

Previous: BAB 25
Next: BAB 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.