24
LANGKAH Suhailah
masih panjang biarpun kepenatan sedang menguasai dirinya. Sedari pagi lagi dia
terpaksa ke sana ke mari bagi menyempurnakan tugasannya di luar. Dia menoleh
jam di pergelangan tangannya.
“Dah pukul dua petang, patutlah
sunyi,” omelnya sendirian tanpa menyedari ada dua pasang mata sedang memandang
ke arahnya.
“Cikgu!” jerit si kembar.
Suhailah tersentak dan langkahnya
termati saat mendengar jeritan si kecil. Pantas sahaja kepalanya dipalingkan ke
arah buaian yang berada di taman mini Tadika Cahaya Suhailah. Tersenyum si
kembar sehingga menggamit dirinya menghampiri dua orang pelajarnya itu.
“Assalamualaikum cikgu.” Serentak
Laila dan Laili menuturkan salam sambil menyalami Suhailah.
“Cikgu, kenapa hari ni cikgu tak
ajar kita?” Lancar sahaja tuturan Laili.
“Cikgu ada kerja sikit dekat luar.
Kenapa? Laili tak suka ke Cikgu Marina gantikan tempat cikgu?” Sengaja Suhailah
ingin menduga hati si kecil.
“Bukan tak suka. Tapi kita orang
lebih suka kalau Cikgu Suhailah yang ajar. Kan, adik?” Kali ini giliran Laila
pula bersuara. Suhailah hanya tersenyum. Terasa terbang segala tekanan yang
menghantuinya sedari pagi tadi.
“Kenapa anak murid cikgu berdua ni
tak balik lagi? Driver atuk tak
sampai lagi ke?” Suhailah membelai lembut rambut Laili dan Laila pula sudah
terbuka mulutnya untuk menjawab persoalan itu.
“Hari ni wak ada hal. Jadi
terpaksalah tunggu atuk yang ambil kita orang. Tadi atuk dah telefon dekat
tadika, atuk cakap… atuk lambat sikit.” Lemah benar tuturan akhir itu.
“Kalau macam tu, kenapa Laila dengan
Laili tak nak tunggu dekat dalam. Kan, dekat luar ni panas.”
“Bukan Laila tak nak. Tapi adik ni degil
sangat. Sibuk nak main buaian,” omel si kakak.
“Alah! Akak pun samakan. Cakap orang
je lebih. Nanti bila adik balik, adik nak bagitahu papa yang akak buli adik.” Tajam
Laili memandang kakaknya. Tanda dirinya sudah berasa marah.
‘Cengil jugak si kecil ni,’ getus
hati Suhailah. Mulutnya pula sudah mengukirkan senyuman.
“Dah… tak nak gaduh-gaduh ya. Apa
kata kita tunggu atuk dekat dalam. Dekat luar ni, kan panas.” Suhailah sudah
membelai perlahan pipi Laili dan sebelah lagi tangannya memegang lembut tangan
Laila.
Dari kejauhan ada dua pasang mata si
tua yang sedang memerhatikan tingkah laku Suhailah. Mereka memandang sesama
sendiri sebelum senyuman melebar terukir di bibir.
“Assalamualaikum!!!” Terdengar
laungan salam dari luar pintu pagar.
“Waalaikumussalam.” Perlahan
Suhailah menjawab dan belum sempat dia menoleh ke arah suara itu, Laila dan
Laili sudah berlari ke arah pintu pagar.
“Atuk!!! Nenek!!!” Serentak si
kembar melaung.
Suhailah hanya menggelengkan kepala
dan senyuman masih kekal di bibirnya. Dia berjalan ke arah pintu pagar dan
membukanya. Menerpa kedua beradik itu ke arah Dato Haji Malik dan Datin Hajah
Zain.
Cepat pula Suhailah menghulurkan
salam kepada kedua orang tua di hadapannya itu dan salamnya bersambut bersama
senyuman senang.
“Kenapa atuk dengan nenek lambat
datang? Penat tau adik dengan kakak tunggu.” Memuncung bibir Laili.
“Penat apanya. Adik tu asyik main
buaian je, takkanlah penat kot,” perli Laila.
Laili memandang tajam ke arah
kakaknya, “Akak ni kenapa asyik nak cari gaduh dengan adik je?” Sedikit tinggi
nadanya.
“Dahlah tu. Janganlah asyik bergaduh
je. Kalau bergaduh, atuk dengan nenek tak nak bawak akak dan adik pergi beli
baju,” ugut Dato Haji Malik. Datin Hajah Zain pula hanya menggeleng kecil
melihat teletah kedua cucunya itu.
“Alah… mana ada akak gaduh. Adik
yang cari pasal dulu. Baju adiklah tak payah beli. Akak nak baju baru untuk
parti hari jadi esok…” rengek Laila.
“Adik pun nak jugak.” Penuh harapan
Laili meminta.
“Ooo… esok hari jadi Laila dengan
Laili ke?” soal Suhailah.
“Eh! Laila dengan Laili tak bagi kad
dekat cikgu dan kawan-kawan lagi ke?” soal Datin Hajah Zain laju.
“Alamak! Akak lupalah nak bagi dekat
Cikgu Suhailah. Tapi dengan kawan-kawan, akak dah bagi dah. Cikgu-cikgu lain
pun dah dapat.” Laila pantas membuka beg sekolahnya dan menghulurkan sekeping
kad berwarna merah jambu kepada Suhailah.
“Terima kasih. Kiranya kalau cikgu
datang nanti, cikgu kena bawak hadiahlah ni ya.” Lembut Suhailah bergurau.
“Ha’ah. Kena bawak dua tau.” Lancar
Laili.
“Kalau cikgu bawak satu je tak boleh
ke?” sakat Suhailah lagi. Kian senang hati Dato Haji Malik dan
Datin Hajah Zain
dengan kelembutan Suhailah melayani cucu-cucunya.
“Mana boleh. Laili tak nak kongsi
hadiah dengan kakak.” Sedikit tegas Laili bersuara.
“Okey. Kalau macam tu cikgu bawak
dua hadiah. Tapi sebelum tu cikgu kena dapat dua ciuman dulu.” Suhailah sudah
membongkokkan tubuhnya agar si kembar dapat menghadiahkan ciuman di pipinya.
Serentak Laila dan Laili menghadiahkan ciuman.
Dato Haji Malik dan Datin Hajah Zain
sekali lagi berpandangan sesama sendiri sebelum senyuman meniti di bibir
mereka. Senyuman yang tersirat maksud tersendiri. Maksud yang hanya dapat
difahami kedua mereka.
TERGOPOH-GOPOH Rouf mendapatkan
Aliif yang sudah pun melambaikan tangan ke arahnya. Punggung segera dilabuhkan
di hadapan sahabatnya itu.
“Sorry
bro, aku lambat sikit,” tutur Rouf.
“No
hallah. Macam biasalah, siapa lambat dia yang kena bayar bil,” tersengih Aliif.
“Perangai kau memang tak berubahkan.
Tapi, hari ni kau cakap je kau nak makan apa. Aku belanja.” Rouf menepuk-nepuk
perlahan bahu sahabatnya itu.
“Aku tak ada seleralah. Air jelah.”
Perlahan Aliif menuturkan kata-kata dan wajahnya bertukar sayu serta merta.
“Kenapa ni? Ada masalah ke?” Rouf
menyoal.
Aliif diam. Tiada patah kata yang
keluar dari bibirnya.
“Kenapa ni Aliif? Ada masalah dengan
awek ke?” Sengaja Rouf ingin ‘memancing’ sahabatnya itu.
Aliif mengeluh sebelum bersuara,
“Aku mana ada awek.”
“Habis tu?”
“Kakak aku,” sayu benar nada Aliif
tika ini.
“Kenapa dengan kakak kau? Dia ada
masalah ke?” Laju Rouf bertanya.
“Bukan dia.” Masih perlahan suara
Aliif.
“Tadi kau cakap kakak kau. Sekarang
ni kau cakap bukan dia pulak. Peninglah kepala aku,” runsing Rouf.
Namun belum sempat Aliif menjawab
persoalan Rouf. Datang seorang pelayan dan dua gelas jus kiwi dipesan. Melihat
pelayan sudah berlalu jauh barulah Aliif bersuara semula.
“Ahad lepas aku pergi rumah Pak
Alang aku. Sepupu aku kahwin,” kata-kata Aliif terhenti seketika. Riak wajahnya
sudah berubah sedikit tegang.
“Kau tahu tak, apa yang Pak Alang
aku gelarkan kakak aku?” soal Aliif kemudiannya.
Rouf menggeleng. Tetapi ternyata dia
berminat tentang isu wanita bernama Suhailah itu. Entah mengapa hatinya
berdebar perlahan saat perihal wanita itu menjadi perbincangan mereka tika ini.
“Dia panggil kakak aku andartu!” Jelas
kemarahan menguasai Aliif tika ini.
“What?!
But why?” Laju Rouf menyoal semula.
“Sebab kakak akukan dah berumur tapi
tak kahwin lagi… tapi bagi aku, orang tua tak guna tu tak ada hak nak kutuk
kakak aku macam tu,” amarah masih menguasai diri Aliif.
“Aku faham perasaan kau. Memang aku
tahu yang kakak kau dah berumur sikit. Tapi… dari lahiriahnya kakak kau tu tak
nampak tua pun. Sekali pandang macam orang berumur 28 atau 29 tahun. Lagipun
apa hak pak cik kau tu nak hina kakak kau sampai macam tu sekali.” Rouf turut
mempunyai perasaan tidak senang dengan sikap bapa saudara sahabatnya itu.
“Yang paling aku tak boleh terima
tu, bila dia kutuk kakak aku depan kawan-kawan tak boleh pakai dia tu! Habis
kakak aku jadi bahan tawa dia orang… sakit betul hati aku!” Tanpa sedar Aliif
sudah menumbuk meja di hadapannya.
Tersentak
Rouf. Dia menepuk perlahan bahu Aliif, “Sabar Aliif… habis macam mana penerimaan
kakak kau waktu tu?”
Aliif mengeluh lagi.
“Kakak aku macam biasalah… pura-pura
tak ada perasaan sedangkan aku tahu hati dia dah lunyai waktu tu.” Aliif
tertunduk dan entah mengapa terasa panas kelopak matanya. Ternyata saat ini dia
sudah tewas. Tewas dengan bayangan tangisan kakaknya di hadapan anak sungai
itu.
Rouf menyedari emosi sahabatnya itu.
Dia menggenggam bahu Aliif erat. Secara ‘halus’ menyalurkan kekuatan kepada
insan yang masih menundukkan wajahnya itu.
“Sabar Aliif. Suatu hari nanti… aku
yakin kakak kau akan bertemu jodoh jugak. Dia bukannya tak laku. Cuma mungkin
dia sekadar berhati-hati dalam membuat pilihan. Wanita cantik dan bekerjaya
seperti dia tu bertimbun lelaki yang cuba nak ngorat.” Entah mengapa saat
menuturkan kata-kata itu dada Rouf kian kuat berdebar. Ada apa sebenarnya
dengan ‘wanita itu’ sehingga boleh menggetarkan jiwanya?
Aliif menghapuskan kehadiran air
suam di kelopak mata saat pelayan datang menatang dua gelas jus kiwi dan
diletakkan di hadapan mereka.
Pelayan
berlalu setelah ucapan terima kasih diterima daripada dua orang pelanggan itu. Aliif
menyedut perlahan air sejuk itu dan Rouf turut melakukan perkara yang sama.
“Sorry… aku tak patut cerita pasal kakak
aku dekat kau.” Aliif memulakan semula perbualan.
“Tak
ada hallah. Aku ni kalau bab mendengar cerita orang memang nombor satu,”
seloroh Rouf.
Aliif
tersenyum sebelum memandang ke arah sahabatnya itu, “So… kau pulak ada hal apa nak jumpa aku hari ni?”
“Emm…
sebenarnya aku ada dua perkara. Pertama aku nak jemput kau datang ke majlis
hari jadi anak aku, esok.”
“Birthday party… aku suka. Insya-ALLAH
kalau tak ada aral aku datang dengan my
lovely sister.” Aliif tersenyum.
Rouf
pula apa lagi, semakin melebarlah senyumannya. Memang itu yang diharapkannya.
Harapannya agar dia dapat bertemu dengan wanita istimewa itu esok. Dia menjadi
rindu… rindu untuk menatap wajah insan yang bernama, Suhailah!
“Yang
kedua?” soal Aliif kemudiannya dan Rouf tersentak. Lamunannya terhalau.
“Kedua…
aku nak minta kau…” Kali ini tutur bicara Rouf tidak sempurna.
“Minta
apa?” Laju Aliif menyoal.
“Emm…
hari tu, syarikat aku ada buat mesyuarat. Syarikat aku dapat banyak projek mega area KL dan pantai timur. Tapi
masalahnya kita orang kekurangan engineer.
Jadi, kalau boleh aku nak minta kau bekerja dengan syarikat aku.”
Aliif
terdiam. Rouf sedikit resah menantikan jawapan daripada sahabatnya itu.
“Aku…
aku tak dapat tolong kau bro. Sorry.”
Lambat Aliif menjawab.
“Tapi
itukan cita-cita kau. Aku tahu memang dari dulu lagi kau teringin nak jadi engineer. Sekarang kau dah ada peluang. Just do it.”
“Just do it, kau cakap? Kau takkan faham
situasi aku.”
“Aliif…
aku tahu kau tolak tawaran aku ni sebab kakak kau, kan?” Yakin Rouf.
Aliif
mengangguk.
“Tapi
sampai bila? Sampai bila kau nak korbankan cita-cita kau demi kakak kau? Aku
yakin, kalau kau berterus-terang dengan dia… dia akan dapat cari pengganti
untuk jawatan kau sekarang,” pujuk Rouf.
“Aku
tak nak dia cari pengganti. Aku tak nak capai cita-cita aku.” Tegas Aliif.
“Tapi
kenapa?” Laju Rouf menyoal.
“Sebab
kakak aku perlukan aku dan aku akan sentiasa berada di sisi dia saat dia
memerlukan aku!” Kali ini tuturan Aliif lebih tegas sehingga mematahkan setiap
kata-kata pujukan yang berlegar-legar di minda Rouf.