Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 10

10

 

RALIT benar Rusydi memerhati sepasang kekasih di hadapannya. Riak wajah kedua mereka menunjukkan betapa rasa bahagia sedang melingkari jiwa mereka. Di antara kedua insan di hadapnnya itu, dia lebih tertarik kepada jantina berlawanannya. Wanita itu ditenungnya kian lama. Insan itu mengingatkan Rusydi pada seseorang… Seseorang yang pernah menjadi teman akrabnya. Wanita yang pernah menghadirkan rasa rindu di dalam dirinya. Wanita yang pernah mencambahkan rasa suka di dalam hatinya dan wanita yang pernah memekarkan rasa cinta di dalam jiwanya. Wanita itu akhirnya ‘dilamar’ menjadi kekasihnya. Bahagia senantiasa mewarnai hari-hari mereka berdua. Tiada tangisan mahupun kecewa saat dia berdampingan dengan insan istimewa itu. Wanita itu tidak pernah sekalipun merungut saat wang sakunya yang pada waktu itu masih bergelar pelajar tidak mampu menghadiahkan barangan mewah untuknya. Cukuplah sekadar sebar coklat sudah mampu menjadikan hari wanita itu dilimpahi pelangi.

Rusydi kian melebarkan senyumannya dan pandangan masih dikhaskan buat wanita berambut pendek yang sedang berkongsi ABC dengan pasangannya itu. Mungkinkah kerana potongan rambutnya atau kenakalannya menyebabkan seraut wajah comel itu kian nyata di pandangan mata Rusydi. Wanita comel yang pernah tertawa riang bersamanya satu tika dahulu sering sahaja menghadirkan bahagia dalam hidupnya, namun segala bahagia itu hilang… hilangnya bahagia diragut oleh satu peristiwa yang benar-benar merubah hidup Rusydi yang telahpun melencongkan pandangannya dari pasangan bahagia itu. Kini pandangannya tepat pada kerusi kosong di hadapannya. Kerusi kosong itu sering dihuni oleh insan yang pernah dicintai dan masih berbaki cintainya itu hingga ke saat ini. Ya! Di kerusi itulah mereka bertemu buat kali pertama dan di kolej inilah mereka pernah mengukir kisah bahagia mereka!

‘Malam’ itu… ‘Malam’ yang betul-betul malang buat dirinya! Kerana ‘malam’ itulah hidupnya porak-peranda dan kerana ‘malam’ itulah hari-harinya kini disulami kecewa. Kecewa dengan segala masalah yang melingkari hidupnya. Masalah yang ditaburi oleh seorang wanita. Wanita yang hanya tahu hendak membuta! Ah! Sikap malas isterinya itu sangat-sangat menyakitkan hatinya. Sepintas pergaduhan pagi tadi menjelma semula dan untuk kesekian kalinya keluhan terpacul keluar.

“Tak baik mengeluh.” Terasa bahunya ditepuk-tepuk lembut oleh seseorang. Sekilas, Rusydi sudah dapat mengagak milik siapakah suara itu.

“Kau Badrul. Duduklah,” pelawa Rusydi kepada rakan sekerjanya itu.

Cepat sahaja Badrul melabuhkan punggungnya di sisi Rusydi.

“Apa yang kau keluhkan tu Rusydi?” soal Badrul kemudiannya.

Pasti sahaja perkara sebenar tidak akan dibongkarkannya, “Tak ada apa-apa. Kau dari mana ni?” Segera Rusydi mengubah topik bicara.

“Aku datang dari pejabat tadi,” terlihat kegusaran di wajah Badrul.

“Lain macam je aku tengok kau ni. Baru kena ‘ceramah’ dengan ketua jabatan ke?”

“Taklah. Tapi aku baru lepas berbincang dengan Ustaz Syuib.”

“Ooo… kiranya perbincangan wardenlah ni. Isu apa pulak kali ni?” Rusydi memandang tepat ke arah insan di sisinya.

Harapannya biarlah bicara temannya ini mampu memadamkan bayangan wanita yang masih menari-nari di ruang matanya tika ini. Biarpun dia merindui wanita itu tetapi untuk saat ini dia tidak seharusnya terus-terusan menjejaki memori silam sementelah teman di sisinya ini pandai benar menelah hati dan perasaan insan lainnya.

“Semalam aku dan beberapa orang warden ada buat pemeriksaan dekat asrama lelaki. Kau tahu tak apa yang kita orang jumpa?” Perlahan suara Badrul.

“Rokok? CD blue?” tekaan, Rusydi sasarkan terhadap apa yang pernah dirampas oleh temannya itu sewaktu pemeriksaan sebelum ini.

“Itu dah biasa dah aku rampas. Ini lagi dahsyat.” Kian sayu wajah Badrul dan entah mengapa perubahan itu mampu menghadirkan perasaan ingin tahu yang begitu membuak-buak di hati Rusydi.

“Kau jumpa apa?” Segera Rusydi bertanya.

“Aku jumpa ‘sarung getah’.”

“Sarung getah?” Persoalan bersama kerutan di wajah sudah menandakan bahawa tahap pengetahuan Rusydi masih tidak mampu menelah apa yang berada di dalam pemikiran temannya itu.

“Takkan kau tak tahu ‘sarung getah’ tu apa?” Seakan berbisik Badrul bertanya dan laju pula Rusydi menggelengkan kepalanya.

“Aku jumpa… kondom.”

“Kondom?!” terjerit kecil Rusydi. Mujur insan-insan yang sedang menjamah makanan di kantin itu tidak mengambil endah akan perbualan mereka. Andai tidak, habis kecoh satu kolej itu dibuatnya.

 

TING TONG… ting tong… ting tong…

Berlari Dani mendapatkan daun pintu sebelum meluru keluar ke arah pintu pagar.
“Mak Usu! Mak Usu nak jumpa mama ke?” ceria si kecil mendapatkan ibu saudaranya saat wanita itu laju melangkah ke dalam rumah.

“Mama Dani mana?” Laju Sally bertanya dan langsung tidak diendahkannya akan pertanyaan anak buahnya itu.

“Mama dekat atas. Tengah tidur,” jujur si kecil sambil membuntuti ibu saudaranya.

“Apa?! Membuta lagi perempuan tu! Pemalas betullah!” bentak Sally.

Sudah acap kali Dani mendengar papa dan ibu saudaranya itu menggelarkan mamanya ‘pemalas’. Sudah tidak terlarat rasanya dia ingin memberitahu mereka bahawa mamanya bukanlah pemalas. Tetapi mamanya itu penat dan perlukan rehat.

“Mama tak malas. Mama cuma nak berehat je. Mama penat,” bela Dani.

“Penat apa? Penat membuta!” Sally masih mendaki anak tangga dan Dani setia mengekori.

“Woi! Bangunlah!” jerkah Sally sambil tangannya menggoyang-goyangkan tubuh sahabatnya itu.

“Bangunlah perempuan! Pemalas betullah kau ni. Bangunlah!!!” jerit Sally.

Terdengarkan jeritan yang panjang itu, bergerak-gerak sedikit tubuh Azura. Perlahan-lahan kelopak matanya dibuka. Rasa kantuk masih mengikat kuat dirinya.

“Bangunlah perempuan! Aku kata bangun!” Kali ini bertambah kuat Sally menggoncang-goncangkan tubuh kakak iparnya itu.

“Kau nak apa?” soal Azura setelah disandarkan tubuhnya di kepala katil dan kuap panjang membungai bicaranya itu.

“Pemalas betullah kau ni! Kau tahu tak dah pukul 1 petang dah ni. Boleh lagi kau tidur! Cepat pergi mandi,” arahan diberikan. Namun Azura masih kaku di katil kelaminnya.

“Aku kata cepat mandi. Aku nak ajak kau keluar.” Rendah sudah nada suara Sally. Seakan meminta tolong gayanya.

“Kau nak ajak aku keluar ke nak mintak tolong aku?” Azura sudah masak benar dengan fiil temannya itu.

Lambat barulah Sally bersuara, “Okey. Aku nak minta tolong kau temankan aku boleh?”

“Pergi mana?” Bukan Azura yang bertanya tapi si kecil, Dani. Azura sudah tersenyum dengan sikap anaknya itu dan cepat sahaja tangannya didepangkan. Berlari Dani memeluk dirinya.

“Dani tak kisah ke peluk mama? Mama busuk tau, belum mandi.” Lembut Azura mengusik anak tunggalnya itu.

“Taklah. Mama tak busuk. Wangi.”

Mencebik Sally mendengarkan perbualan dua beranak itu.

‘Wangi apa. Bau taik adalah!’ lancang hati Sally melahirkan kata-kata.

“Kau nak ajak aku pergi mana?” soal Azura kemudiannya sambil pandangannya di tepatkan ke wajah adik iparnya itu.

Sally berpura-pura mengukirkan senyuman biarpun hatinya sudah menghina kakak iparnya itu.

“Aku nak ajak kau pergi spy orang.”

“Siapa?” Laju Azura menyoal.

Pertanyaan Azura tidak dijawab secara lisan. Namun pandangan Sally yang penuh dengan rasa curiga itu sudah mengesahkan siapakah mangsanya kali ini.
‘Ah! Takkan ‘dia’ lagi!’ bentak hati Azura.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.