Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 16

16

 

CERIA wajah Aliif saat menghampiri meja makan.

“Wah! Banyaknya kuih pagi ni.” Laju sahaja Aliif mencapai seketul kuih karipap di dalam piring yang sedang Suhailah tatang.

“Adik ni tak senonohlah. Tunggulah akak letak kuih dekat atas meja dulu. Ni tak. Buruk lantak,” tutur Suhailah.

“Aloh… nak ambil seketul pun kedekutlah akak ni.”

“Bukannya masalah kedekut. Tapi cuba-cubalah belajar bersopan sikit. Ha, tadi nak makan sangatkan. Makanlah.”

Susunan piring yang mengisi kuih-muih dan mee goreng, elok Suhailah aturkan di atas meja.

“Tunggu apa lagi? Makanlah,” arah Suhailah lagi.

“Nanti dululah.” Pendek, Aliif menjawab.

“Lah, dah nanti pulak. Tadi bukan main kebulur lagi akak tengok,” perli Suhailah kemudiannya.

“Akak nikan, kalau nak perli adik memang nombor satu, kan,” omel Aliif.

Suhailah hanya tersenyum mendengarkan omelan Aliif seraya mengambil tempat di sebelah adik bongsunya itu setelah terlihatkan kelibat ibu yang baru muncul dari ruangan dapur basah.

“Ibu, banyaknya ibu masak kuih hari ni. Abang Ngah nak balik ya?” tekaan di hati, Aliif luahkan.

“Ha’ah.” Sepatah sahaja jawapan Asiah.

“Adik dah agak dah. Ibu ni kalau anak kesayangannya tu nak balik bukan main lagi masak kuih banyak-banyakkan kak?”

‘Cemburulah tu,’desis hati Suhailah dan serta merta senyuman kian melebar di bibirnya. Geli hatinya dengan sikap kebudak-budakkan adik bongsunya itu.

“Akak ni. Orang cakap dengan akak boleh pulak akak gelak-gelak, kan.”

“Ha? Adik cakap apa tadi?” Topeng kepura-puraan cepat Suhailah tempekkan ke mukanya.

“Tak payahlah nak buat muka macam tu. Kalau nak menipu pun agak-agaklah. Takkan duduk sebelah pun tak dengar,” sindir Aliif.

Aliif sudah begitu arif dengan fiil kakaknya itu. Andailah dia mengulangi persoalannya sebelum ini pasti dirinya akan ‘dikenakan’ oleh insan di sebelahnya itu. Sudah acap kali kakak kesayangannya itu melabelkan dirinya sebagai seorang yang kuat cemburu. Cemburu dengan Abang Ngahnya sendiri!

“Dah-dah. Cukup tu. Aliif, ibu ni tak pernah tahu nak bezakan anak-anak ibu. Dah Abang Ngah tukan ke duduk dekat madrasah. Jarang-jarang dapat balik, tu yang ibu masak lebih sikit pagi ni. Takkan itu pun nak cemburu.” Asiah memandang tepat ke wajah Aliif.

“Tengok! Akak tak cakap. Tapi kali ni ibu yang cakap. Jadi maknanya memang adik cemburu dengan Angah.” Suhailah sudah tertawa kecil. Riang hatinya dapat menyakat adik bongsunya itu.

“Tolong sikit. Tak ada maknanya adik nak cemburu.” Segera Aliif menafikan kata-kata kakaknya itu.

Sekali lagi kuih karipap di dalam piring, Aliif capai dan dikunyahnya laju. Protes dinyatakan secara tingkah laku!

“Makan tu pelan-pelan sikit Aliif. Nanti tercekik susah,” tegur Asiah. Namun tegurannya itu tidak diendahkan oleh anak bongsunya itu.

Suhailah pantas mengambil secawan kopi dan diletakkannya di hadapan insan di sebelahnya sebelum perhatian ditumpukan semula kepada ibunya. Ada sesuatu yang ingin ditanyai kepada ibunya itu.

“Ibu, Angah datang pukul berapa ibu?” soal Suhailah.

Terdengar keluhan. Semerta kunyahan Aliif terhenti dan tumpuannya kini sama seperti kakanya itu.

“Kenapa ibu mengeluh?” Aliif mendahului Suhailah menuturkan pertanyaan itu.

“Tadi Angah telefon. Katanya lepas zohor baru dia boleh datang. Ada budak dekat madrasah tu tiba-tiba je demam panas. Angah kena hantar budak tu pergi hospital dulu dan uruskan apa yang patut… ibu ingatkan dapatlah sarapan pagi sama-sama dengan Angah. Tapi nak buat macam mana, dah tak ada rezeki,” sayu suara Asiah.

“Alah… ibu janganlah cakap macam tu. Kalau Abang Ngah dah tak boleh, nak buat macam mana. Takkan nak paksa-paksa dia pulak. Apa yang penting, adik dengan akakkan ada temankan ibu. Kan, kak?”

“Betul tu ibu. Dah Angah tak boleh, tak apalah. Kuih-kuih ni nanti kita asingkan sikit untuk dia.” Sedaya upaya Suhailah memujuk hati ibunya yang sedang dilanda kehampaan. Hampa akibat ketidakhadiran anak keduanya pagi ini.

“Tak payahlah awak nak sedih-sedih. Budak tu dah besar. Kalau dia rasa nak balik, dia baliklah nanti.” Semerta tumpuan ketiga-tiga insan di meja makan itu berkalih ke arah lelaki berusia yang sedang melangkah menghampiri mereka.

“Senanglah awak cakap…” Asiah sudah mencuka wajahnya saat menuturkan kata-kata yang tiada akhirannya setelah suaminya itu mengambil tempat di sebelahnya.

Suhailah segera menuangkan air kopi di dalam cawan dan diletakkan elok di hadapan abahnya itu. Aliif pula sekadar memerhatikan sahaja tingkah kakaknya itu.

“Salah ke apa yang saya cakapkan tu? Budak tu dah besar panjang dah. Tak payahlah awak nak pening-peningkan kepala pasal dia. Nanti agak-agak dia rindukan kita, dia baliklah.”

“Susahlah cakap dengan orang tak ada perasaan ni!” Sudah agak meninggi nada suara Asiah. Geram dengan sikap suaminya itu!

“Apa awak cakap? Awak ingat saya ni tak ada perasaan…”

“Dahlah tu abah, ibu. Takkanlah depan rezeki pun nak bergaduh. Lagipun, kan Abang Ngah cakap dia nak balik hari ni. Tunggu jelah.” Segera Aliif memotong percakapan abahnya itu, agar cetusan-cetusan api kemarahan tidak merebak menjadi pertengkaran. Namun di saat kakaknya itu memandang ke arahnya, segera Aliif membisukan semula mulutnya.

Aliif teramat mengerti akan cara pandangan kakaknya itu. Pandangan yang menandakan kakaknya itu mahukan dirinya menghentikan segera patah kata yang bakal meluncur keluar dari bibirnya agar tidak menyinggung hati dan perasaan kedua orang tua mereka.

“Dahlah tu ibu. Kita makan dulu ya, nanti lepas ni kita hubungi Angah balik. Tanya betul-betul, bila dia nak balik.” Lembut intonasi yang digunakan Suhailah untuk memujuk hati tua ibunya yang sudah terasa dengan bicara abahnya sebentar tadi.

Terasa tenang sedikit Asiah dipujuk dengan bicara anak sulungnya itu.

Namun kelembutan tuturan Suhailah sedikitpun tidak menyenangi hati tua Jaafar. Malahan mulutnya cepat sahaja memanggil anak sulungnya itu setelah dihirup sedikit kopi di dalam cawannya, “Suhailah…”

Segera Suhailah memandang ke arah abahnya setelah lelaki itu memanggil namanya. Dari cara pandangan abahnya itu Suhailah tahu abahnya itu ingin menyatakan sesuatu yang penting. Entah mengapa terasa debaran di dadanya.

“Minggu depan kamu jangan lupa pulak.” Tiada nada lembut dan tiada pula nada kasar melatari bicara Jaafar.

“Minggu depan? Kenapa dengan minggu depan abah?” soal Suhailah. Setelah agak lama memikirkan, ada apa dengan minggu hadapan?

“Takkan kamu tak ingat?!” Sudah terdengar nada amarah dalam persoalan Jaafar. Semerta hatinya terbakar dengan sikap sambil lewa anak sulungnya itu.

“Minggu depan, Azrul nak buat kenduri kahwin. Dia jemput kita sekeluarga.” Segera Asiah mengingatkan semula anak sulungnya itu, agar kemarahan suami di sisi tidak marak.

Aliif sudah berasa tidak senang dengan cara abahnya itu melayani kakaknya. Andai perkara yang berkaitan dengan anak-anak Pak Alangnya itu, pasti kakaknya dilayani seperti musuh! Walhal insan yang sering ditengking dan diperli itulah anak kandungnya sendiri. Kadangkala, Aliif sendiri berasa bingung dengan sikap abahnya itu.

Rasa bersalah sudah memonopoli perasaan Suhailah. Bersalah kerana melupai majlis yang penuh bersejarah buat sepupunya itu.

“Tulah padahnya kalau orang lambat kahwin ni. Otak cepat sangat jadi beku!” Lancang benar mulut Jaafar menyakiti anak kandungnya itu.

Tersentap Suhailah mendengarkan bicara berbisa abahnya itu. Hampir sahaja air matanya itu tumpah membasahi pipinya. Besar sangatkah kesalahan yang dilakukannya sehingga abahnya itu sanggup mengungkit tentang status dirinya? Hanya kerana dia terlupakan tarikh persandingan sepupunya itu, dirinya dihina sebegitu!

“Abang ni betul-betul tak ada perasaan! Sanggup abang hina anak kita semata-mata kerana anak buah abang tu! Abang ni memang kejam tahu tak?!” Asiah sudah merenung tajam suami di sisi.

Aliif apatah lagi. Mahu sahaja rasanya dia membalas kata-kata abahnya. Tetapi kerana renungan insan di sebelahnya, petanda yang kakaknya itu tidak mahu dia menjadi anak yang derhaka. Maka Aliif sanggup membisukan mulutnya biarpun dadanya sudah berombak, menahan amarah di jiwa.

“Betul apa yang aku cakap! Memang anak awak ni dah tak laku! Buat malu aku je!!!” Kian tinggi intonasi Jaafar sambil matanya cengil memandang insan di hadapannya. Insan yang seringkali mencucuh api kemarahnya.

“ Buat malu awak kata?! Awak sedar tak apa yang awak cakapkan ni? Suhailah ni, anak awak! Anak kandung awak. Anak yang saya lahirkan!!!” Sesal Asiah dengan sikap suami di sisi.

Genangan air mata tidak diendahkan. Biar apa pun yang terjadi, kali ini Asiah tidak akan mengalah! Berhabis-habisan dia akan menentang suaminya itu! Asiah mahu lelaki yang sudah berpuluh-puluh tahun menikahinya itu mengerti bahawa anak sulung mereka itu tidak pernah mendatangkan aib, malahan anaknya itulah yang telah banyak menabur jasanya ke atas keluarga mereka!

“Sebab dia ni anak akulah, aku malu. Entah apalah majalnya budak ni pun, aku tak tahulah!!!” Jaafar sudah bangkit untuk berlalu setelah meluahkan apa yang terbuku di hatinya. Memang! Memang, Suhailah dianggapnya majal! Majal yang sering sahaja menghadirkan aib kepada dirinya!

“Abah!!!” terjerit Aliif.

Langkah Jaafar terhenti. Tersentap dia mendengar jeritan itu. Bukan anak yang dihinannya sebentar tadi nyaring memanggil namanya. Bukan jua isterinya yang sudah berlinangan air mata. Tetapi anak bongsunya! Anak bongsunya itulah yang telah menjerit penuh amarah. Terlihat menggigil tubuh anaknya itu saat menghampiri dirinya. Gigilan itu bukanlah petanda yang anaknya itu dikuasai ketakutan, tetapi amarah! Jaafar sudah sedia maklum akan sikap melindungi anak bongsunya itu. Melindungi si kakak bagaikan sudah sebati dengan insan yang sedang bergerak-gerak bibirnya untuk menyambung semula amarahnya.

“Majal abah cakap! Kalau tak disebabkan anak yang abah hina ni, tak mungkin kita sekeluarga dapat duduk dalam rumah ni. Tak mungkin abah dapat menikmati hidup macam sekarang ni! Sedarlah sikit abah… duit rokok abah tu pun akak yang bagi. Kalau betullah akak ni majal! Kenapa abah mintak duit dekat akak? Kenapa abah tak usaha sendiri? Kenapa abah masih nak duduk rumah ni? Kenapa?! Sebab… abah sendiri tahu yang abah tak mungkin dapat menikmati semua ni, kalau tak disebabkan titik peluh akak!!!” Puas Aliif dapat melunaskan amarah di hatinya, namun…

“Kurang ajar!!!” Seraya tengkingan itu bergema, telapak tangan Jaafar ringan menampar mulut lancang insan di hadapannya itu.

“Adik!” Laju Suhailah mendapatkan adiknya itu. Dipeluknya adik bongsunya itu dengan harapan abahnya tidak akan melayangkan tamparan kali kedua.

“Abah boleh tampar adik. Adik tak kisah. Tapi ingat abah… tanpa akak, abah takkan boleh merasai apa yang abah ada sekarang dan lagi satu… jangan ingat adik tak tahu dengan duit siapa Abang Azrul boleh buat kenduri kahwin dia. Kalau tak disebabkan Pak Alang merayu hari tu, adik sendiri akan menghalang akak dari bagi pinjam duit tu. Tapi… betullah kata orang, tak guna lepaskan anjing yang tersepit. Nanti digigitnya kita balik. Macam apa yang Pak Alang buat pada akak!”

Jaafar terdiam. Ligat otaknya memikirkan siapakah di antara dua wanita di sekitarnya itu yang telah memberitahu anak bongsunya itu perihal tersebut?

“Kenapa? Abah terkejut sebab adik boleh tahu perkara ni? Mesti abah fikir akak yang beritahu, kan? Tapi, abah silap! Bukan akak ataupun sesiapa. Adik sendiri yang terdengar lakonan Pak Alang dengan abah malam tu. Pelikkan… Pak Alang kata Abang Azrul tu banyak sangat duit sampai boleh beli apartmen. Kalau banyak sangat duitnya kenapa nak pinjam duit akak? Kenapa?” Aliif semakin berani mendepani abahnya.

Jaafar kian tertekan. Amarah yang tadinya memuncak sudah mula menghilangkan banyangnya sedikit demi sedikit dan digantikan dengan perasaan malu dengan kenyataan anak bongsunya itu.

“Kalau betullah akak ni majal… abah ataupun Pak Alang tak layak nak pakai satu sen pun duit akak!” Puas Aliif dapat mengungkit perihal itu.

“Aliif… sudahlah tu dik. Cukuplah. Tolong berhenti demi akak… demi ibu…” rintih Suhailah sambil tangannya lembut menarik adiknya itu menjauhi abahnya yang kian menghilang ‘taringnya’.

Lambat… barulah Aliif mengikuti kemahuan kakaknya dan segera pula Asiah mengikuti langkah kedua-dua anaknya itu. Asiah sendiri sebenarnya sudah tidak betah dengan sikap suaminya itu. Sikap seorang bapa langsung tidak terlihat di dalam diri lelaki itu, yang ada hanyalah sikap baran yang dipacakkan dengan penghinaan!

Previous: BAB 15
Next: BAB 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.