19
SIANG sudah
menurunkan tirainya dan diangkatkan malam bagi menyempurnakan kitaran alam. Di
saat tiraian siang diluruhkan ke bawah, gelap gelita mulai mewarnai dada
langit. Namun gelita itu mampu dinyahkan saat kilauan-kilauan bintang menyinari
luasnya angkasa.
“Cantiknya…” Tanpa sedar Suhailah
memuji keindahan ciptaan ILAHI bersama dongakan masih dikekalkan agar sepasang
matanya mampu menikmati kilauan bintang yang jauh di langit sana.
Senyuman kian melebar saat matanya
begitu ralit memandang kilauan-kilauan ‘permata’ itu. Terasa lapang dadanya dan
terasa ringan bahunya saat hatinya merasai bahagia meresapi bahagian dalam
jiwanya saat ini.
Bintang…
entah mengapa sedari kecil ciptaan ALLAH yang begitu indah itu akan dinantikan
kehadirannya di malam hari, apatah lagi saat jiwa serta hatinya disentap kecewa
dan derita.
“Alhamdulillah… hari ni tak hujan.
Kalau hujan, melepaslah aku nak tengok bintang.” Suhailah bermonolog sendirian
bersama dongakan masih dikekalkan.
Namun konsentrasinya terganggu saat
terdengar hilai tawa sepasang kekasih yang kedudukannya benar-benar di sebelah
diriannya. Terlihat si gadis tertawa manja dan si jejaka naik gila menggeletek
si gadis yang kian gedik lagaknya.
Suhailah mengeluh sendirian sambil
langkahnya diaturkan perlahan menjauhi pasangan kekasih itu. Minatnya terhadap
bintang yang sentiasa menggodanya bagaikan tawar saat matanya terus-terusan
melihat gelagat si dara dan si teruna yang bagaikan telah mengghaibkan orang
sekelilingnya. Pasangan itu langsung tidak mempedulikan orang sekeliling yang
memandang serong ke arah mereka. Malahan perlian demi perlian yang dilontarkan
oleh beberapa orang lelaki di sekitar mereka juga masih tidak mampu untuk
melumpuhkan aksi ‘gila’ mereka. Si dara masih terkekek dan si teruna kian miang
tingkahnya.
Suhailah mengeluh lagi saat
mengenangkan malam yang sepatutnya berakhir dengan kenangan yang indah bersama
bintang-bintang kesayangannya bagaikan hambar dengan adegan ‘kotor’ pasangan
itu. Merasakan matanya sudah tidak betah untuk melihatkan dua susuk tubuh
manusia yang bagaikan belangkas itu, Suhailah melilaukan pandangannya ke arah
lain.
Kini, pandangan Suhailah dipukau pula
dengan warna-warni tiang-tiang besi yang utuh memegang jambatan yang sedang
dihuni oleh puluhan pengunjung. Tiang-tiang besi itu akan menyemarakkan
warna-warna yang berbeza bagi menarik perhatian ramai sambil menunjukkan
kemegahannya yang mampu memegang utuh jambatan Putrajaya itu. Ya! Suhailah kini
berada di Putrajaya yang merupakan Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan.
Putrajaya
mengambil alih peranan itu daripada Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur semenjak
tahun 1999 dan nama Putrajaya pula diambil bersempena nama Perdana Menteri
pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra. Bandaraya pintar ini dibangunkan di
sebuah kawasan bekas ladang kelapa sawit seluas 4931 hektar yang terletak di
tengah-tengah Koridor Pertumbuhan Selatan yang juga membentuk sebahagian
Koridor Raya Multimedia.Dirancang
dengan sistem rangkaian maklumat canggih yang menggunakan teknologi komunikasi
termoden, Putrajaya merupakan mercu tanda penting dalam sejarah perancangan
bandar moden di negara ini dan yang paling membanggakan bandaraya pintar ini
adalah cetusan idea mantan Perdana Menteri Malaysia ke empat iaitu Tun Dr.
Mahathir Mohamad, pada pertengahan tahun 1980-an.
“Janganlah
abang… tak suka tau,” terdengar manja gadis gedik itu mengada-ngada.
“Abang
suka.” Bersama senyuman penuh makna, lelaki itu terusan-terusan menyentuh bibir
gadis gatal itu.
Namun
ianya tidak lama…
“Tunjukkan
kad pengenalan anda!” Tegas, seorang lelaki yang berpakaian biasa memberikan
arahan kepada kedua remaja itu sambil tangannya memisahkan kedua mereka.
Cepat
pula dua orang lagi lelaki di belakangnya yang turut hadir bersama lelaki yang sudah
pun menunjukkan kad kuasanya memegang kuat remaja lelaki itu saat dia mahu
melarikan diri.
“Apa
ni! Tak payahlah nak kasar-kasar!” bentak remaja lelaki itu.
Manakala
remaja perempuan itu pula sudah pun mengalirkan air mata.
“Melawan
ya! Dahlah buat salah. Melawan lagi!” terdengar kasar lelaki yang paling tua
antara penguatkuasa-penguatkuasa itu bersuara.
“Bila
masa pulak aku buat salah? Aku tak buat apa-apa pun! Aku cuma lepak dekat sini,
takkan tak boleh!” Remaja lelaki itu kian berani menunjukkan ‘taringnya’. Langsung
tidak dihormati lelaki-lelaki yang jauh lebih berusia daripada dirinya itu.
Orang
ramai pula sudah mulai mengerumuni mereka. Suhailah turut serta, tetapi dengan
jarak yang sedikit jauh.
“Tak
salah kau cakap! Berpelukan di hadapan khalayak ramai, bermesra-mesra. Itu yang
kau kata tak salah?! Dia ni bini kau ke?!” Sudah naik berang salah seorang
penguatkuasa itu bertanya.
“Aku
tanya kau?! Dia ni, isteri kau ke?!” Sekali lagi soalan ditanyai oleh orang
yang sama dan di dalam intonasi yang senada dengan tadi.
“Tak…”
Perlahan remaja lelaki itu bersuara.
“Tahu
pun, kalau…”
“Dahlah
tu. Angkut bawak balai je.” Belum sempat penguatkuasa tadi melempiaskan
amarahnya yang kian membara, si ketua sudah memberikan arahan.
“Yang
lain, sila alihkan kereta anda. Anda tak boleh meletakkan kereta anda di
sepanjang jambatan ini. Ianya akan mengganggu lalu lintas. Harap semuanya
memberikan kerjasama,” arahan diberikan oleh penguatkuasa yang sama.
Segera
Suhailah mencapai kunci kereta yang diletakkan di dalam kocek seluarnya sebelum
mendapatkan pacuan empat rodanya. Hatinya terasa sedikit sebal dengan apa yang
berlaku pada malam ini. Malam yang diharapkan mampu mengubati saki baki bisa di
hati, nampaknya tidak sesempurna yang diimpi. Namun senyuman terlahir semula
saat kilauan-kilauan bintang di dada langit bagaikan memberi lambaian selamat
tinggal!
Orang
ramai mulai meninggalkan jambatan Putrajaya itu, tetapi seorang lelaki masih
utuh di tempatnya sambil matanya ralit memerhatikan wanita bertubuh sederhana
dan berkulit kuning langsat itu memasuki kereta VIOS putih di hadapannya.
Otaknya mulai ligat memikirkan, di manakah dia bersua muka dengan wanita jelita
itu dan beberapa minit kemudian dia mengingati peristiwa itu… peristiwa yang
menyebabkan dadanya tiba-tiba sahaja berdebar dan disebabkan peristiwa itulah,
kadangkala dirinya dihimpit rindu. Rindu terhadap insan yang sudah memandu
kereta putih itu.
“Troli…
dia terlanggar troli aku...” Tanpa sedar Syam melahirkan peristiwa yang telah
mempertemukan dirinya dengan wanita itu. Ya! Disebabkan ‘kemalangan’ itulah dia
mampu bersua muka dengan wanita misteri itu!
“TAPI
abah tak boleh cakap macam tu. Tak baik abah…” Lembut Haikal menasihati Jaafar.
“Tak
baik aku kata kakak kau tu majal! Macam tu? Hei! Kau jangan ingat sekarang ni
kau dah jadi ustaz dekat madrasah tu, kau nak ajar-ajar aku pulak! Aku ni bapak
kau! Ingat sikit. Kalau tak disebabkan aku yang bagi makan minum kau dengan
kakak kau tu, kau ingat kau boleh jadi apa yang kau jadi sekarang?!” bentak
Jaafar. Terasa egonya tercabar dengan nasihat yang diberikan oleh anaknya itu.
“Lagi sekali aku dengar kau bela kakak kau
yang sentiasa mengaibkan aku tu, tahulah aku nak ajar kau adik beradik!” amaran
terus dilanjutkan oleh Jaafar saat dilihatnya anak keduanya itu terdiam
membisu.
Jaafar
terus melangkah masuk ke dalam bersama bara yang masih mencengkam dadanya.
Sakit hatinya terhadap anak sulung dan anak bongsunya semalam masih belum
berkesudahan. Kini, hadir pula anak keduanya memberikan ceramah percuma
kepadanya. Di saat itulah, syaitan mulai menghasut! ‘Di manakah martabat kau
sebagai bapa andai anak bini kau tidak mahu mendengar kata-kata?!’
Tiada
keluhan yang keluar dari mulut Haikal, hanya hatinya sahaja yang beristighfar.
Dari dirian, dia mahu melabuhkan punggungnya di kerusi yang berhadapan dengan kolam
renang. Namun di saat matanya terlihatkan sesuatu di balik pintu…
“Dah
lama ke menyorok dekat situ?” soal Haikal bersama senyuman.
Terkejut
Suhailah mendengar sapaan berbentuk soalan. Pantas dipalingkan wajahnya sebelum
air mata yang bergenang dihapuskan segera. Setelah semuanya nampak seperti
sediakala, Suhailah melangkah mendapatkan adiknya yang masih kekal dengan
senyuman.
“Dah
lama ke menyorok dekat situ?” Sekali lagi soalan yang sama ditanyai.
“Tak
adalah. Akak baru je lalu tadi.” Cuba bernada tenang, sedangkan hatinya masih
terasa mahu meraung saat teringatkan bicara tajam abahnya sebentar tadi.
“Menipu
tu, hukumnya berdosa di sisi ALLAH.” Haikal sekadar mengingatkan.
Suhailah
terdiam. Hanya kakinya sahaja yang melangkah menghampiri kerusi malas di
sisinya sebelum dilabuhkan punggungnya. Haikal turut melakukan perkara yang
sama.
Suasana
menyepi semula. Kedua-dua adik beradik itu membuang pandangan ke arah tenang
air kolam.
“Dah
puas tengok bintang dekat Putrajaya?” Tidak betah dengan kebisuan, akhirnya
Haikal mengalah.
“Macam
mana adik tahu akak pergi Putrajaya?” Berkerut kening Suhailah saat wajah adik keduanya
itu ditatapi.
“Alah…
bukan susah pun nak agak akak pergi mana? Dah tenang dah hati bila tengok
bintang tadi?” Haikal masih berusaha untuk menyelongkar isi hati si kakak.
Suhailah
terdiam. Cuba menstabilkan semula emosi yang sudah berkocak dengan persoalan
terakhir adiknya.
‘Tenangkah
aku setelah mendengar bicara abahku sebentar tadi?’ Hati Suhailah bernada sayu.
“Akak…
akak okey ke?” Haikal tidak mahu kakaknya itu terus hanyut dengan perasaan
sedihnya. Biarpun
kata-kata masih belum terlahir di bibir milik kakaknya itu
tetapi Haikal tahu sedih yang terukir di riak wajah kakaknya itu sudah mampu
menjelaskan segala apa yang terbuku di hati insan kesayangannya itu.
“Kenapa
adik… cakap macam tu dengan abah tadi?” Bergetar nada suara Suhailah.
Haikal
mengalihkan semula pandangannya ke arah kolam. Cuba memproses minda bagi
membolehkan bibir melahirkan kata-kata yang paling sempurna. Berbicara dengan
kakaknya ini, dia harus berhati-hati. Tidak mahu hati kakaknya yang sudah
terluka kian rabak akibat salah bicaranya.
“Akak…
sebagai seorang Islam dan anak, kita mempunyai tanggungjawab. Ya, memang betul…
sebagai seorang anak kita harus mematuhi dan mengikuti segala arahan ibu bapa
kita. Seperti firman-NYA yang bermaksud, “…dan TUHANmu telah perintahkan supaya
engkau tidak menyembah melainkan kepada-NYA semata-mata, dan hendaklah engkau
berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya atau
kedua-duanya sekali sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu maka
janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun
perkataan ‘Ah’, dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi
katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan santun ).” (Surah
al- Isra’ ayat 23). Tetapi, Islam itu agama yang sempurna.” Ayat Haikal
berhenti di situ sebelum dialihkan semula pandangannya ke arah kakaknya. Masih
terukir kesedihan di wajah wanita yang lebih tua daripada dirinya itu.
“Disebabkan
kesempurnaan itulah, ALLAH S.W.T telah meletakkan garis panduan. Seandainya ibu
mahupun bapa kita melakukan sesuatu yang bertentangan dengan hukum ALLAH, maka
haruslah kita untuk tidak mengikuti mereka dan nasihatilah mereka dengan
kata-kata yang baik seperti apa yang telah digariskan di dalam Al-Quran dan
Sunnah. Akak nak dengar tak satu cerita di zaman Nabi?” Masih lembut Haikal
berbicara, cuba mengalihkan perhatian kakaknya dari terus-terusan melayani
kesedihan di hati.
“Cerita
apa?” Agak berminat Suhailah dengan bicara adiknya itu.
“Cerita
mengenai sahabat Nabi kita iaitu Mus’ab di mana ibunya beragama kafir sedangkan
dia telah memeluk Agama Islam. Dalam kisah ini, ibunya mula merajuk dan
menggertak anaknya supaya pulang kepada agama nenek moyangnya dahulu. Ibunya
menggertak anaknya di mana dia akan mati kebuluran jika anaknya tidak mahu
kembali ke ajaran sesat itu dan anaknya enggan, lalu menerangkan sesuatu kepada
ibunya dengan butir-butir kata yang penuh rasa hormat dan belas kasihan.
Keterangan anak itu ialah “jika tuhan memberi kepada kamu seribu nyawa dan kamu
cuba membunuh dirimu seribu kali juga, jawapan aku tetap sama, aku akan tetap
berpegang teguh dengan agama aku dan ibu dengan agama ibu”. Lihatlah, betapa
Mus’ab mengutamakan ALLAH S.W.T dan Islam berbanding ibunya sendiri.Oleh yang demikian, kita haruslah
mendengar segala suruhan ibu bapa kita selagi mereka menyuruh kepada perkara
yang makruf dan tegurlah mereka dengan baik jika mereka membuat kesilapan. Akak
fahamkan, kenapa adik harus menegur abah tadi dan adik kira, teguran adik juga
penuh dengan hemah.” Di akhir bicara, senyuman masih Haikal pacakkan.
Entah
mengapa saat mendengarkan bait-bait kata daripada adiknya itu, kelapangan mulai
mengecilkan kesempitan yang menghimpit dadanya.
“Akak
tak salah. Kalau itulah yang masih berlegar-legar di dalam minda akak.” Haikal
bersuara semula.
Suhailah
tersentak buat kali keduanya. Cuba memahami erti di sebalik bicara adiknya itu.
“Siang
tadi… Aliif ada beritahu, yang akak salahkan diri akak dengan apa yang berlaku
pagi semalam. Walaupun Angah tak ada dekat situ, tapi Angah tahu akak tak
salah. Akak nak tahu kenapa?” Haikal masih mahu kakaknya itu meneka. Namun
tiada anggukan mahupun gelengan diterima.
“Bila
abah menyalahkan akak dan mengatakan akak majal serta mengaibkan akak kerana
status akak yang masih belum berkahwin biarpun sudah berusia, akak tak salah. Sebab…
jodoh itu di tangan ALLAH S.W.T dan bukannya di tangan kita!” Kali ini
kata-kata Haikal penuh dengan ketegasan biarpun nadanya tidak meninggi.
Suhailah
terpaku. Terasa panas kelopak matanya dan terasa batu yang menghempap dirinya
sedari semalam dengan ‘cop majal’ di atasnya itu terus bergolek meninggalkan
bahunya bersama ketenangan yang benar-benar berbekas di hatinya. Ketenangan
yang meyakinkan dirinya bahawa dia bukanlah pembawa aib! Dan bukan juga si
majal seperti yang dicanangkan oleh abahnya itu!