Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 11

11

 

PACUAN empat roda milik Sally berhenti berdekatan dengan Syarikat Megah Engineering & Construction Sdn. Bhd.

“Mama kenapa kita datang tempat kerja Uncle Syam dengan Uncle Rouf?” Lancar Dani melontarkan pertanyaan. Dia sudah begitu arif milik siapakah bangunan tiga tingkat di hadapannya itu.

“Kita nak jumpa Uncle Syam dengan Uncle Rouf ke?” Sekali lagi pertanyaan diutarakan saat kedua-dua orang wanita di tempat duduk hadapan tidak mengendahkan persoalan sebelumnya.

“Dani boleh diam tak!” Sedikit meninggi intonasi Sally memarahi anak buahnya itu.

Terasa hati Azura dengan tingkah sahabatnya itu,“Kau ni agak-agaklah nak marah! Anak aku tu.”

‘Anak kau. Bukan anak aku!’ bentak hati Sally.

“Kalau ya pun ada masalah dengan pakwe kau tu, janganlah babitkan anak aku.” Masih belum puas Azura menyatakan isi hatinya. Namun tidak sedikitpun kata-kata Azura itu meninggalkan kesan di hati Sally.

‘Memang patut pun pakwe kau tu bencikan kau!!!’ memekik hati Azura sambil lahiriahnya sibuk memujuk anak tunggalnya yang telah berjuraian air mata.

“Dani, kan budak baik. Tak nak menangis ya sayang.” Masih lembut Azura melahirkan kata-kata.

“Cakap sikit nak nangis. Cengeng! Pondan agaknya,” perli Sally.

Semakin lebat tangisan Dani dan semerta jelingan tajam dipanahkan oleh Azura kepada insan di sisinya. Andai diikutkan hati mahu sahaja dia mengganyang-ganyang mulut adik iparnya itu.

“Kau ni kenapa ha?! Buang tebiat ke apa. Kalau kau ada masalah dengan Syam, janganlah nak libatkan orang lain. Ni dengan budak kecik pun kau nak cari pasal!” Tinggi suara Azura.

Muka ‘toya’ masih dipamerkan oleh Sally. Tidak sedikitpun dia mengendahkan kata-kata kakak iparnya itu.

“Mama, Dani nak balik! Dani nak balik!” Sengaja Dani menghentak-hentakkan kakinya untuk menunjukkan protes terhadap kata-kata Mak Usunya sebentar tadi.

“Kau tengok apa yang kau dah buat. Tak pasal-pasal Dani nak balik. Kalau aku tahulah macam ni cara kau layan anak aku, tak ingin aku temankan kau lain kali!” ugut Azura.

Mendengarkan itu cepat sahaja Sally memaniskan mukanya sebelum berhadapan dengan ‘pemberontakan’ si kecil, “Dani… Mak Usu minta maaf ya sayang. Mak Usu janji lain kali Mak Usu takkan marah-marah Dani lagi.”

“Mak Usu tipu. Dulu pun Mak Usu janji tak nak ejek Dani pondan, tapi sekarang Mak Usu ejek jugak.”

“Betul! Kali ni Mak Usu janji takkan marah dan ejek Dani pondan lagi. Mak Usu janji ya sayang.” Seraya menuturkan kata-kata itu sebuah kucupan dihadiahkan Sally di pipi anak buahnya itu. Ketidakikhlasan yang terpamer di wajah Sally menyebabkan Azura mencebik di dalam hati.

‘Hipokrit!’ cemuhan berupa kata-kata pula terlahir di hati Azura. Sungguh! Dia bencikan kepura-puraan adik iparnya itu.

“Okey, Dani percaya. Tapi… kalau lain kali Mak Usu ejek Dani lagi, Dani bagitahu papa.”

Senyuman Sally bersatu dengan anggukannya. Semua ini terpaksa dilakukan agar anak buahnya itu tidak lagi membentak untuk pulang. Andai Azura pergi meninggalkan dirinya pada waktu ini kian serabutlah dirinya. Tiada sesiapa yang boleh bersekongkol dengannya lagi!

Suasana kembali tenang. Dani diam bermain androidnya. Manakala Sally dan Azura masih memerhatikan kereta BMW three series berwarna hitam yang menjadi objek utama mereka.

“Tu, tu… Syam dah keluar.” Laju Azura memaklumkan.

Segera Sally memasukkan gear keretanya saat kekasihnya itu sudah memasuki pacuan empat rodanya dan saat kereta BMW three series itu membelah jalan, Sally turut melakukan perkara yang sama. Jarak keretanya dengan kereta mewah di hadapan tetap jua dijauhkan agar kekasihnya itu tidak dapat mengesan akan kehadiran pacuan empat rodanya di antara puluhan kereta lain yang turut bersesak di atas jalan raya yang sama.

“Kau rasa Syam nak pergi mana?” Kesunyian dipecahkan oleh pertanyaan yang dipasakkan di atas rasa curiga Sally.

“Entah. Manalah aku tahu. Bukan aku yang bercinta dengan dia.”

Sudah acap kali sebenarnya pertanyaan sebegitu disuakan ke halwa telinga Azura sehingga dirinya diundang muak. Malas hendak berfikir lama, akhirnya jawapan sebegitu diberikan.

“Memanglah bukan kau yang bercinta dengan dia! Tapi cubalah kau pakai sikit otak kau tu untuk berfikir. Ni tak. Dahlah pemalas, lembap pulak tu!” perli Sally.

“Ni dah lebih dah ni! Kalau kau tu pandai sangat, takkanlah susah sangat kau nak kawal si Syam tu! Cakap je lebih, otak tarak!” balas Azura.

Berdesing telinga Sally mendengarkan tiap patah kata ‘balasan’ yang keluar dari bibir Azura. Andai tidak diikutkan yang dirinya amat-amat memerlukan sokongan daripada kakak iparnya itu sudah lama ditendangnya keluar wanita sebayanya itu.

Dani di belakang hanya membisukan mulutnya. Dirinya sudah begitu lali melihatkan situasi yang sedang ‘terhidang’ di hadapannya. Sudah acap kali sebenarnya perbalahan seperti itu berlaku di antara mama dan Mak Usunya. Malas hendak memenangkan sesiapa lantas tumpuan tetap jua diberikan pada permainan mayanya. Jari jemarinya masih ligat bergerak-gerak di atas skrin android pemberian papanya itu. Namun saat terlihatkan dua orang kanak-kanak yang amat dikenalinya. Lantas…

“Mama. Tu anak Uncle Rouflah!” terjerit kecil Dani akibat keterujaannya.

Mendengarkan itu cepat sahaja Sally mematikan niat untuk ‘membasuh’ kakak iparnya yang kian lancang mulutnya saban hari. Sally memperlahan pacuan empat roda miliknya dan memberhentikan keretanya itu selang tiga buah kereta daripada kereta mewah milik Syam.

Kini, terhidang di hadapan Sally sebuah restoran eksklusif yang menjadi idamannya selama ini. Sedari dulu lagi Sally merengek meminta Syam membawanya ke situ. Namun pelbagai alasan diberikan oleh kekasihnya itu dan sudah pastilah kesibukan memonopoli alasan-alasan lainnya.

“Tak guna! Selama ni aku ajak dia datang sini, dia kata sibuk. Tapi boleh pulak dia bawak dua budak perempuan tak guna tu!” bentak Sally.

Azura sudah memberang hatinya mendengarkan kata-kata tajam Sally itu. Mana tidaknya, budak-budak perempuan yang dihina Sally itu sememangnya mempunyai ikatan persaudaraan dengannya.

“Cakap tu jangan ikut sedap mulut je. Yang kau hina tu anak buah aku!” Azura memberikan peringatan.

“Anak buah apa? Syam tu bukannya abang kau! Tapi abang saudara je.”

“Memanglah. Tapi…”

Belum sempat Azura meneruskan kata-katanya terdengar pintu kereta di bahagian penumpang belakang terbuka dan belum sempat dia menghalang, anak tunggalnya itu sudah meluru keluar. Melihatkan itu cepat sahaja Azura membuka pintu keretanya dan mengejar Dani. Mahu tidak mahu Sally terpaksa melakukan perkara yang sama. Andailah ada musibah yang menimpa anak buahnya itu, mampus dia dikerjakan abangnya nanti. Dani itu lebih bernilai daripada segala-galanya di mata abang kandungnya itu.

“Dani! Tunggu. Jangan lari!” terjerit Azura.

Jeritan daripada si ibu tidak diendahkan. Kian panjang pula langkahnya untuk mendapatkan dua orang kanak-kanak yang sudah begitu akrab dengan dirinya itu, “Laila! Laili!”

Bukan setakat pasangan kembar itu malahan kedua-dua orang dewasa di sisi kanak-kanak itu turut menoleh ke arah Dani yang sedang laju meluru ke arah mereka.

“Abang Dani!” Hampir serentak jeritan si kembar.

“Dani?” berkerut dahi Syam saat kanak-kanak lelaki itu sudah berada di hadapan matanya.

“Dani datang dengan siapa ni?” Desakan di hati memaksa Syam melontarkan pertanyaan.

“Dani datang dengan…”

“Dani!” Belum sempat kanak-kanak lelaki itu menjawab. Sekali lagi perhatian Syam dicuri oleh jeritan itu. Dia kenal milik siapakah lontaran suara itu!

“Azura! Azura datang dengan siapa?” Laju Syam menyoal.

Kelihatan gugup wajah insan yang sedang memeluk anak tunggalnya itu.

“Azura datang dengan…” Azura takut untuk menyatakan kebenarannya.

“Dengan siapa?” Syam bagaikan sudah mengerti ‘permainan’ apakah yang sedang berlangsung di sekelilingnya tika ini.

“Kenapa tak nak jawab?” desak Syam lagi.

Azura memandang lelaki tua yang sedang berdiri di sebelah Syam. Kian bertambah gusar hatinya andai lelaki berkopiah itu mengkhabarkan apa yang sedang berlaku kepada Pak Longnya.

“Dani. Tadi Dani datang sini dengan siapa?” Pancing dipasang pada si kecil saat merasakan mustahil adik saudaranya itu akan membuka mulutnya. Hatinya kuat mengatakan ‘insan’ itulah yang merancang semua ini. Namun pengesahan diperlukan.

“Dani… Dani datang dengan mama,” tutur Dani.

“Lagi?” Tidak sabar Syam bertanya.

“Dengan I. Kenapa? Ada masalah ke kalau I bawak kakak ipar dan anak buah I makan dekat sini?” Selamba Sally melontarkan penipuannya.

Enam pasang mata memandang tepat ke arah wanita berseluar jeans panjang dan berkemeja ketat itu.

‘Aku dah agak dah,’ desis hati Syam.

“Hai Laila, Laili,” senyuman palsu, Sally ukirkan saat mendapatkan anak-anak buah kekasih hatinya itu.

Namun pasangan kembar itu sedikitpun tidak beriak senang tika wanita itu memegang-megang lembut kepala mereka. Malahan Laili mengeratkan pautan lengannya pada kakak kembarnya saat dirinya terimbau amukan ‘ahli sihir’ di hadapannya itu sebulan yang lalu. Tengkingan ‘ahli sihir’ itu benar-benar menakutkan dirinya yang pada waktu itu secara tidak sengaja telah menumpahkan minuman coklat ke atas baju wanita itu.

“Laili dah makan?” Sally berpura-pura ramah.

“Be… belum,” gugup Laili.

Honey, you ni kejam tahu tak. Kenapa you tercegat lama-lama dekat sini? Cepatlah masuk. Kesian anak-anak buah you ni belum makan lagi.”

Ingin sahaja rasanya Syam mengheret keluar kekasihnya itu jauh daripada anak-anak buahnya. Semenjak Laili ditengking oleh Sally, hati Syam sudah tawar untuk mengakrabkan anak-anak buahnya itu dengan wanita yang sedang tersenyum mengada-ngada tika ini.

“Uncle Syam. Jomlah kita pergi makan.” Terdengar lemah Dani menyuakan usul.

Sekilas Syam memandang pasangan kembar di hadapannya. Terlihat ketakutan menguasai diri mereka. Ketakutan yang dihadirkan oleh ‘singa’ betina! Semerta hadir simpati di hati Syam buat anak-anak buahnya itu.

Azura yang bagaikan mengerti perasaan apakah yang sedang melingkari hati Laila dan Laili, segera mendapatkan kanak-kanak perempuan itu, “Laila, Laili. Jom kita masuk dulu. Laila dan Laili temankan Abang Dani makan dulu ya. Kesian Abang Dani kita ni dah lapar.”

Bagaikan pak turut. Laila dan Laili hanya menuruti cadangan Aunty Azura mereka. Bagi mereka berada di dalam restoran itu berjuta kali ganda lebih baik berbanding terpaksa berhadapan dengan ‘ahli sihir’ yang kian memekarkan senyuman palsunya itu.

Tika melihatkan bayangan cucu-cucu majikannya itu sudah ghaib bersama Azura dan anak lelakinya barulah lelaki tua berkopiah yang selama ini menyepi membuka mulutnya untuk melahirkan kata-kata.

“Syam. Wak pulang dululah.” Wak Mukmin meminta permisi.

“Eh! Takkanlah wak dah nak balik dah. Jomlah makan dengan kami dulu,” pelawa Syam.

Terasa menyampah Sally mendengarkan pelawaan Syam itu. Sememangnya Sally berasa kurang senang dengan lelaki tua yang sudah lama menjadi driver kepada Dato Haji Malik itu. Bukannya Sally tidak tahu, lelaki berkopiah itulah yang sering melaporkan kepada papa Syam mengenai dirinya dan disebabkan ‘laporan’ tidak bertauliah itulah Dato Haji Malik kian membenci dirinya.

Melihat raut wajah wanita seksi di hadapannya itu sahaja, Wak Mukmin sudah dapat menelah ketidaksenangan teman wanita anak majikannya itu terhadap dirinya.

“Tak apalah. Wak udah makan tadi di rumah papa kamu. Lagipun wak ke sini cuma mahu hantarkan Laila dan Laili sahaja. Wak minta diri dululah. Udah lambat dah ni.”

Tak ada apanya yang lambat wak. Jomlah kita makan dulu. Bukannya selalu saya ada masa nak makan tengah hari bersama-sama dengan wak. Jomlah,” pelawa Syam lagi.

Jelingan Sally sedikitpun tidak diendahkan oleh Syam. Baginya dia harus menjaga hati orang kepercayaan papanya itu.

“Tak apalah. Kamu pergilah. Kesian dengan Cik Sally ni udah lama berdiri di luar. Wak pulang dululah. Nanti kalau kamu udah selesai makannya telefon je wak. Nanti wak datang ambil Laila dan Laili.” Masih lembut Wak Mukmin menolak pelawaan Syam.

‘Bagus! Cepatlah berambus!’ jerit hati Sally.

“Yalah. Tapi Laila dengan Laili biar saya je yang hantar balik rumah.”

“Udah kalau begitu kata kamu. Wak tak kisah. Assalamualaikum.” Salam dihulurkan oleh Wak Mukmin sebelum dia melangkah pergi.

“Waalaikumussalam,” balas Syam.

Segera lelaki tua itu berlalu. Tidak mahu dilengah-lengahkan biarpun sesaat. Hati tuanya sudah terasa benar dengan sikap kekasih anak majikannya itu dan benak tuanya tika ini masih memikirkan persoalan yang sama setiap kali dia terpandangkan Sally… Apakah agaknya kelebihan yang ada pada wanita seksi itu sehingga Syam boleh ‘terperangkap’ dengannya?

“Buat apa you susah-susah nak hantar Laila dan Lalili balik? Suruh jelah wak tu ambik!” Sedikit meninggi intonasi Sally. Syam pula langsung tidak mengendahkan kekasihnya itu. Segera dia melangkah ke hadapan untuk menyertai anak-anak buahnya dan adik saudaranya di dalam.

“Nanti dulu! I belum habis cakap dengan you lagilah!” Kasar Sally menarik lengan Syam sehingga menyebabkan langkah lelaki itu terhenti.

Cemerlung pandangan Sally kian membakar kemarahan Syam yang cuba dipendamkan sahaja sementelah malas hendak bertengkar di tempat awam seperti itu.

“You nak cakap apa lagi?”

“Kenapa you tak suruh je wak tua tu ambil anak-anak buah you nanti? Kenapa you pulak yang nak susah payah jadi driver!” Masih tajam pandangan mata Sally.

Terdengar hembusan berat. Raut wajah yang cuba ditenangkan nampaknya tidak berjaya. Ketidaksenangan mulai terukir di wajah Syam. Memerah wajah putih itu saat dirinya dikuasai kemarahan.

“Sebab Laila dan Laili tu anak buah I! Sebab I tak nak wak tu terus terasa dengan sikap you tu! You ingat I buta ke? You ingat I tak perasan ke yang you jeling wak tu tadi? You ni kenapa ha? You sedar tak apa yang you dah lakukan sebenarnya?! Bila you layan wak macam tu, jangan salahkan wak kalau dia beritahu dekat papa I tentang sikap kurang ajar you tu!” marah Syam.

“Alah, bukan selama ni memang dia dah report dekat papa you tu ke?” Selamba sahaja Sally melahirkan kata-kata itu. Sedikit ketakutan pun tidak menyinggah di hatinya saat bertentang mata dengan kekasihnya itu.

“Suka hati youlah! I malas nak bertekak dengan you. Cuma satu je yang I nak pesan dekat you! Papa sangat-sangat percayakan Wak Mukmin dan anak-anak buah I. Tapi nampaknya mustahil you akan dapat pujian daripada Wak Mukmin setelah apa yang you lakukan tadi. Jadi lebih baik you gunakan sikit otak lembap you tu. Fikir… sekarang ni you hanya ada satu sahaja peluang! Layan anak-anak buah I dengan baik supaya intipan you pada hari ini tak sia-sia,” kemarahan Syam masih berlarutan.

“Siapa kata… I intip you?” Sedikit gugup Sally menyoal.

Syam hanya tersenyum sinis sebelum berlalu. Senyuman itu entah mengapa berjaya memacakkan rasa sakit di hati Sally berbanding amarah yang dilontarkan oleh Syam sebelumnya.

‘... sekarang ni you hanya ada satu sahaja peluang! Layan anak-anak buah I dengan baik supaya intipan you pada hari ini tak sia-sia.’

Kata-kata terakhir Syam bergema semula di telinga Sally. Pantas hatinya mengakui kebenaran kata-kata lelaki yang kian menjauh langkahnya dan semerta perancangan teratur di mindanya.

‘Aku hanya perlu mengambil hati Laila dan Laili. Apa yang penting aku harus mengikuti cara Azura melayan budak-budak tak guna tu!’ Perancangan di minda, dirapikan oleh hati dan diluluskan oleh senyuman Sally yang mulai terukir.

Senyuman devil itu kian memekar saat langkah panjangnya mengejar lelaki yang sudah memboloskan dirinya ke dalam restoran di hadapannya itu.

Previous: BAB 10
Next: BAB 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.