Home Novel Cinta Jodoh Yang Kucari
BAB 28

28

SETIAP dakian anak tangganya begitu berhati-hati. Seboleh-bolehnya Suhailah tidak mahu satu pun langkahnya menghasilkan derapan. Dia menjeling ke arah bilik yang bertentangan dengan biliknya. Bilik itu gelap gelita. Yakinlah dia si empunya bilik itu sudah melenakan dirinya. Dia tersenyum sebelum melangkah ke arah biliknya dan cepat sahaja tombol pintu dipulas.

“Lambat balik!” Terdengar sergahan di dalam kegelapan.

Tersentak Suhailah mendengar bicara kasar itu. Dia tahu empunya siapakah suara itu.

Suis lampu ditekan dan tersemarak cahaya di sekitar biliknya. Suhailah melangkah perlahan ke arah lelaki yang sedang memandang sedikit tajam ke arahnya. Tiada segaris senyuman pun dilemparkan kepadanya.

Suhailah melabuhkan punggung di birai katil. Kedudukannya kini bertentangan dengan insan yang masih memasamkan wajahnya itu.

“Akak ada hal sikit tadi.” Lembut suara Suhailah.

“Hal apa?” Masih kasar suara Aliif.

Diam. Tiada jawapan yang Suhailah berikan.

“Akak tak sayangkan adik!” Aliif sudah mulai memberontak saat kebisuan kakaknya itu membenamkan dirinya ke jalan buntu. Buntu dengan sikap kakaknya siang tadi. Semenjak pulang dari majlis hari jadi Laila dan Laili hanya kebisuan serta kesuraman mendominasi kakaknya itu.

“Akak sayang adik.” Suhailah memujuk. Cuba dirapati adiknya yang sedang duduk di kerusi tunggal bersebelahan katilnya itu.

“Jangan sentuh adik! Selagi akak tak terangkan perkara sebenar pada adik. Akak jangan sentuh adik!” bentak Aliif.

“Adik…” Air mata Suhailah sudah mulai tumpah akibat sikap adiknya itu. Sudahlah derita di hati tidak mampu ditanggungnya, kini ditekani pula dengan sikap ‘keras’ adiknya itu.

“Akak sedih? Adik lagi sedih… adik sayangkan akak. Akak tahu tak macam mana risaunya adik dengan perangai akak hari ni? Kenapa kak? Kenapa akak jadi macam ni?” Bertalu-talu soalan, Aliif utarakan.

Diam. Air mata yang mengalir cuba Suhailah bisukan, sebisu mulutnya saat ini.

“Kenapa akak diam? Cakap kak! Cakap! Luahkan apa yang akak pendamkan selama ni? Bukankah akak yang ajar adik untuk berkongsi masalah? Tapi kenapa sekarang akak jadi bisu pulak.” Bukan niat Aliif untuk bersikap kurang ajar dengan kakaknya itu. Tetapi dia harus ‘menekan’ kakaknya itu pada malam ini. Dia mahu kakaknya itu meluahkan segala apa yang terbuku di hatinya.

“Akak penat. Akak nak rehat.” Suhailah masih enggan berkongsi apa yang terbenam di sudut hatinya selama ini. ‘Benaman’ itu biarpun menghasilkan rekahan yang maha hebat di atas pertemuannya dengan Rusydi siang tadi, namun dia masih enggan bercerita dengan adiknya itu.

“Penat? Penat menjadi penipu,” sinis benar kata-kata Aliif.

Air mata Suhailah tumpah lagi. Aliif menangkis segera rasa simpatinya. Biarpun berasa belas dengan kesedihan kakaknya itu, namun dia nekad untuk terus-terusan menyakiti hati kakaknya itu. Hanya dengan cara itu sahaja, dia yakin perkara sebenar akan terbongkar.

“Adik boleh cakap apa yang adik nak cakap. Tapi akak takkan beritahu apa-apa,” sayu benar suara Suhailah tika ini.

“Tapi kenapa? Kenapa harus akak menyembunyikan rasa hati akak yang sebenarnya? Kenapa akak harus menjadi seorang penipu untuk melukai hati akak sendiri? Menipu adik… ibu… akak tahukan yang adik dengan ibu mahukan kebahagiaan menjadi milik akak. Akak… beritahu adik apa hubungan akak dengan lelaki tu?” Suara Aliif sudah mulai mengendur. Dia melutut di hadapan kakaknya. Jari jemari kakaknya itu digenggam erat.

Suhailah tersentak! Lelaki? Adakah Aliif sudah dapat menghidu tentang perhubungan lampaunya dengan Rusydi?

“Rusydi. Siapa dia dengan akak?” Perlahan, namun jelas di pendengaran Suhailah akan persoalan adiknya itu.

“Adik nampak bagaimana terkejutnya akak saat akak bertembung pandang dengan Rusydi. Wajah akak saat tu pucat dan selepas tu, akak terus berubah sikap. Akak jadi seorang yang sangat-sangat pendiam. Adik boleh melihat dengan jelas akan kesedihan di dalam diri akak waktu tu. Malahan… adik perasan Rusydi juga mempunyai reaksi yang lebih kurang sama dengan akak. Siapa dia kak? Siapa dia pada akak?” Aliif masih terus berusaha. Dia tahu ada ‘satu jalinan’ yang pernah menyatukan kakaknya itu dengan Rusydi.

Suhailah sudah tidak mampu menampung empangan air matanya. Pecah lagi benteng air mata yang cuba dibinanya sedari tadi. Kali ini tangisannya terus menggila. Bagaikan sedang melepaskan bebanan perasaan yang maha hebat.

Aliif segera memeluk tubuh kakaknya itu. Erat benar pelukannya. Dia kian yakin dengan telahannya sebentar tadi.

“Menangislah kak. Menangislah andai itu mampu melegakan hati akak.” Air mata Aliif turut gugur. Tidak pernah selama hidupnya dia melihat kesedihan sebegini ‘melumpuhkan’ insan di dalam pelukannya itu.

Hampir setengah jam barulah tangisan Suhailah reda. Aliif meleraikan pelukannya. Dia mengelap sisa air mata di wajah mulus kakaknya itu. Tepat dia memandang kakaknya itu. Pandangan yang penuh dengan limpahan kasih sayang. Jari jemari kakaknya itu digenggam kembali sebelum mulutnya bersuara.

“Adik tak nak paksa akak. Kalau akak rasa akak perlukan adik. Adik ada di sini.” Lembut benar tuturan Aliif kali ini. Berbeda dengan awalan tadi.

Diam. Suhailah hanya memandang sayu wajah adiknya itu. Betapa kasih sayang adiknya itu telah meruntuhkan ‘peti besi’ yang menyimpan rahsianya selama ini.

Melihatkan kebisuan kakaknya itu. Aliif sedar yang kakaknya itu masih enggan berkongsi apa yang terpendam di hatinya.

“Dahlah… akak rehatlah. Adik masuk tidur dulu.” Aliif sudah bangkit. Namun saat dirinya hendak berpaling...

“Adik. Akak dah bersedia...” Perlahan suara Suhailah. Namun cepat sahaja ‘ditangkap’ oleh insan yang sudahpun melabuhkan punggung di sisinya.

“Sebenarnya kalau adik nak tahu, Rusydilah…” Bersama patah kata permulaan itu, maka terbukalah sebuah cerita. Cerita yang penuh dengan kecurangan dan air mata. Air mata yang sentiasa hadir di tubir mata Suhailah saat bibirnya membuka helaian derita itu yang akhirnya turut menjerumuskan Aliif ke lembah kebencian. Kebencian terhadap lelaki yang bernama Rusydi! Hampir sejam barulah penderitaan itu mampu Suhailah ‘tamatkan’.

“Kurang ajar! Tak guna!” Berombak dada Aliif. Suhailah pula masih mengalirkan air mata deritanya.

“Kenapa akak tak pernah ceritakan pada adik selama ni? Kenapa akak tak pernah beritahu adik mengenai lelaki tak guna tu?! Akak… kalaulah adik tahu betapa deritanya akak selama ni, mesti adik takkan persoalkan tentang jodoh akak.” Aliif sudah melepaskan pelukan. Rasa bersalah hadir di dalam dirinya.

“Nak beritahu apa? Nak beritahu bahawa dialah penyebab mengapa sehingga kini rasa cinta di dalam diri akak tak pernah wujud untuk mana-mana lelaki? Macam tu?” Kesedihan masih tergambar di dalam kesayuan bicara Suhailah.

“Kenapa akak tak lupakan sahaja lelaki tak guna tu?”

“Bukan akak tak cuba untuk melupakan. Tapi terlalu sukar untuk akak ketepikan lelaki yang pernah berjanji untuk sama-sama mengharungi hidup sehingga hari tua bersama akak. Akak… akak sentiasa mencuba, tapi… kenapa? Kenapa mesti ALLAH pertemukan akak dengan dia di saat dia berbahagia dengan anak dan isterinya? Sedangkan akak masih mengharungi kehidupan tanpa cinta. Kenapa dik?” Aliif meraih kembali kakaknya itu ke dalam pelukan. Dia tahu betapa kakaknya itu memerlukan sokongan daripadanya tika ini.

“Anggaplah ini ujian dari ALLAH S.W.T. ALLAH itu Maha Mengetahui apa yang tidak tercapai oleh akal kita. Adik yakin ada hikmah di sebaliknya dan adik nak akak tahu satu perkara… akak mungkin masih tidak dapat menemui CINTA sejati akak, tapi akak sentiasa memiliki sepenuh KASIH SAYANG adik.” Kian kuat pelukan Aliif. Suhailah membalas pelukan itu dan limpahan kasih sayang dua beradik itu akhirnya ‘menumbuhkan’ kembali kekuatan di dalam diri Suhailah.

Previous: BAB 27
Next: BAB 29

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.