PROLOG
SESEKALI wanita
itu membetul-betulkan gaun berpotongan agak seksi di tubuhnya. Sejujurnya
inilah kali pertama dia mengenakan pakaian sebegitu. Kebiasaannya dia lebih
gemar mengenakan t-shirt dan seluar jean sahaja. Tetapi di atas nasihat
sahabatnya, dia mengizinkan sehelai pakaian yang agak tidak selesa itu
membaluti tubuhnya. Denyutan di betisnya masih terasa akibat langkah panjangnya
ke sini yang dipadukan dengan kasut bertumit tinggi yang amat janggal sekali
disarungi di kakinya.
Aturan nafasnya diperbaiki saat terlihatkan
insan yang dinantikan kian menghampiri mejanya. Dia melemparkan senyuman manis
sambil mengelus-ngelus rambut pendeknya. Lidahnya cepat sahaja membasahkan
bibirnya yang sudah dipalitkan dengan warna merah kecoklatan selaras dengan
warna eye shadownya. Puas sahabatnya
itu menjadikan wajah mulusnya sebagai sebuah ‘lukisan’. Harapannya biarlah
‘lukisan’ yang bakal dijamahi sepasang mata milik lelaki yang sudahpun
mengambil tempat di hadapannya itu akan memberikan kesan positif di hati lelaki
itu.
“You nampak lain.” Agak terkaku
lelaki itu menuturkan kata-katanya.
“Lain? Emm… Biasa je.” Suhailah
mulai kegugupan.
Biarpun
sudah bertahun menjalinkan hubungan istimewa dengan lelaki itu, rasa gemuruh
dan gementar masih hadir. Hadirnya seiring dengan renungan lembut kekasih
hatinya itu.
“You cantik sangat hari ni,” pujian
terus meniti di bibir lelaki itu.
Suhailah terkaku. Tidak tahu untuk
melahirkan kata apa saat pujian tulus diberikan kepadanya.
“Janganlah pandang I macam tu… I tak
biasa,” kata-kata terlahir jua saat dirinya tidak betah dengan renungan demi
renungan daripada insan di hadapannya itu.
Lelaki itu tertunduk. Senyuman
terukir di bibirnya, “You dah pesan makanan?”
“Belum. I tunggu you,” jawab
Suhailah.
“Okey. Kita pesan makanan dulu, ya.”
Masih lembut bicara lelaki itu.
“Tak. Nanti dulu...” tegah Suhailah.
Berkerut dahi insan di hadapannya.
“You kata ada hal penting yang you nak
beritahu I. I harap… You boleh berterus terang dengan I sebelum kita membuat
pesanan makanan. Bolehkan?” pinta Suhailah.
Senyuman yang bersisa di wajah
lelaki itu terus melenyap dan digantikan dengan kesuraman.
“Kenapa ni? You okey ke?” soal
Suhailah. Kebisuan lelaki itu menggusarkan jiwa wanitanya.
“Kita dah lama bercinta. Dah kenal
hati budi masing-masing. Kalau you ada apa-apa yang hendak dibincangkan dengan
I, I sudi mendengar.” Masih lembut Suhailah menuturkan kata-kata.
‘Tak... Kau masih belum kenal aku
sepenuhnya. Kalaulah kau tahu apa yang telah aku lakukan, sanggupkah kau untuk bertemu
dengan aku saat ini?’ sayu hati lelaki itu. Kata-kata yang bergema di hati
lelaki itu kian menghempap dirinya dengan rasa bersalah terhadap wanita yang
sedang menantikan bicara daripadanya.
“You kata ada hal penting yang you
nak beritahu I. Apa dia?” Suhailah mengulangi persoalan di awalan tadi.
Lelaki itu masih tidak menggerakkan
bibir hanya tangannya sahaja yang dimasukkan ke dalam briefcasenya. Sekeping kad yang masih bersampul putih dikeluarkan
dari kocek hadapan. Lambat kad bersaiz sederhana dan bersegi empat tepat itu
dihulurkan kepada Suhailah.
“Kad apa ni?” soal Suhailah dan
entah mengapa dadanya sudah diamuk satu perasaan yang tidak pernah dirasainya
sebelum ini. Perasaan yang digabungkan dengan debaran itu benar-benar
menyesakkan dadanya.
“Kad apa ni?” ulangi Suhailah sekali
lagi dan wajah kekasihnya yang kian ditutupi dengan kesayuan serta kesuraman
itu kian meningkatkan rasa aneh di hatinya.
“Bukalah.” Perlahan lelaki itu
memberikan arahan.
Agak terketar jari jemari Suhailah
mengeluarkan sekeping kad berwarna gold
yang amat cantik serta harum baunya. Dia begitu kenal akan kad itu. Kad yang
sering dihulurkan kepadanya pada setiap cuti sekolah dan hujung tahun itu telah
menyuntik segaris senyuman di bibirnya.
“Lah… Kad jemputan perkahwinan. I
ingat kad apa tadi. Siapa yang kahwin? Adik you ke?” soal Suhailah
bertalu-talu.
Bisu dan sedikit menggelabah lelaki
yang telahpun menundukkan semula wajahnya itu.
“Cantik kad ni. Nanti kalau kita nak
kahwin kita buat kad yang lebih sempurna daripada ni ya.” Ceria suara Suhailah
saat angan-angan disumbatkan ke mindanya agar rasa aneh yang kian menekan
hatinya mampu dihapuskan sepenuhnya.
Namun senyuman Suhailah terus
termati saat matanya mambaca sebaris nama yang amat dikenali… Lelaki yang
sepatutnya menikahi dirinya pada hujung tahun ini sudahpun tercatit namanya
dengan tinta emas bersama seorang wanita yang tidak pernah dikenalinya.
“Apa maksud semua ni??? Kenapa nama
you ada pada kad ni? Kenapa?” Permata yang telah gugur menambahkan lagi rasa
sakit serta sesak di dada Suhailah.
“Kenapa? Kenapa nama you? Siapa
perempuan ni?” Segera Suhailah mencapai jari jemari lelaki di hadapannya dan
pantas pula lelaki itu menariknya kasar sebelum bangkit. Seketika pandangan
mereka bertaut.
Terlihat jelas penyesalan di
sepasang mata milik lelaki itu sebelum bibirnya terbuka, “Maafkan I. Antara
kita sudah tiada apa-apa. Anggap sahaja kita tidak pernah mengenali antara satu
sama lain. Maafkan I!”
Segera lelaki itu membelakangi
Suhailah sebelum melangkah laju.
Tangisan Suhailah kian menggila.
Jiwanya kian merintih, ‘Ya ALLAH… Apakah makna semua ini? Adakah ini hanyalah
sebuah mimpi? Mimpi yang KAU kirimkan untuk memberitahuku akan kebenaran hati
lelaki itu? Hati lelaki yang kian menjauhi diriku sejak kebelakangan ini.
Tetapi andai benar ini hanyalah sebuah mimpi mengapa sakit benar rasa di hati
ini? Dan mengapa air mata yang melencunkan pipiku ini terasa benar-benar membengkakkan
mataku? Mengapa Ya ALLAH? Mengapa? Benarkah ini hanyalah mimpi atau hakikat
sebenar yang perluku lalui untuk menyedarkan aku akan kesengsaraan saat cintaku
dihancuri oleh seorang lelaki yang telah menjanjikan mahligai perkahwinan
buatku...’
“WAH! Gembira nampak,” sinis Sally.
Tersenyum wanita yang sedang
memegang kad jemputan perkahwinannya sendiri, “Mestilah. Tak lama lagikan aku
akan jadi kakak ipar kau.”
“Jadi kau gembira sangatlah sebab
dapat menjadi ‘permaisuri’ abang aku?” Sally memandang tepat ke wajah bakal
kakak iparnya itu.
“Gila kau tak gembira! Abang kau
adalah jejaka idaman aku. Jejaka yang aku hendak jadikan pasangan aku seumur
hidup. Jejaka yang aku impikan selama ini dan akhirnya bakal menjadi milik aku
sepenuhnya tidak lama lagi.”
“Baguslah kalau kau gembira sebab
aku nak peringatkan kau satu perkara...” Sengaja Sally tidak menyudahkan
kata-katanya.
Wanita yang sedang memegang kad
bersaiz sederhana itu termati senyumannya saat terlihatkan pandangan insan di
hadapannya. Pandangan yang amat tidak digemarinya. Pandangan yang pastinya
dipenuhi dengan sejuta muslihat.
“Kau tahukan atas bantuan siapa kau
dapat memiliki abang aku?” soal Sally kian menghampiri insan di hadapannya.
Wanita itu mengangguk-anggukkan
kepalanya.
“Dan kau tahukan apa yang aku
mahukan sebagai pertukarannya?” soal Sally lagi.
Sekali lagi anggukan diberikan.
“Kau bisu ke? Aku tanya kau! Kau
tahu tak apa yang aku mahukan sebagai pertukarannya?!” tengking Sally.
Rasa sakit hati akibat ditengking
dipendam sekejap. Rasa meluat dengan sahabatnya itu juga dibuang jauh-jauh.
Perlahan dia membuka mulutnya, “Kau mahukan abang sepupu aku!”