Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,851
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
15
BERITA tentang kematian Ah Meng masih panas diperkatakan ketika ini. Baik di media cetak dan juga media elektronik. Semua mengaitkan lelaki Cina itu dengan kes penangkapan dua lelaki kerana mengedar dadah di Pekan Mantin.

Kes ini sebenarnya hampir selesai. Namun, punca kematian Ah Meng terus disiasat kerana sebutir peluru telah dijumpai di dalam tempurung kepala mangsa selepas dibedah siasat.

Kusyuk Qadir menonton siaran berita yang tersiar di kaca televisyen ketika ini. Laporan tentang kematian Ah Meng sedang dikupas satu per satu. Buat masa ini, ketua polis yang menyiasat kes itu mengklasifikasikan kes itu bermotifkan khianat selepas penemuan sebutir peluru di dalam tubuh mangsa.

Senyuman sinis terukir di bibir Qadir selepas laporan kematian Ah Meng habis dibaca. Nampaknya, nama Merbok Construction Berhad masih belum menjadi sebutan. Pembunuhan Ah Meng juga telah dirancang dengan teliti. Dia yakin, pihak polis sukar mengesan siapa pembunuhnya kerana dua orang suruhannya sebelum ini telah menghapuskan bahan bukti yang ada sebaik-baiknya.

Alat kawalan jauh televisyen dicapai lalu butang merah ditekan. Serta merta televisyen itu padam. Senyumannya masih meleret.

“Aku dah pesan banyak kali kat kau. Ikut cakap aku. Nah sekarang. Kau jugak yang mati. Selamat jalan ke neraka wahai Ah Meng!” ujar Qadir lantang di ruang tamu itu.

“Nereka? Siapa nak ke neraka?” Pertanyaan itu menyentak lamunan Qadir.

Terkejut Qadir dibuatnya. Lekas dia memandang ke arah suara itu. Kelihatan adiknya sedang berdiri di belakangnya sambil memandangnya hairan.

“Tak ada apalah,” jawab Qadir terus bangun. Mahu meninggalkan ruang tamu itu.
Dia tidak mahu perbuatan kejinya dihidu keluarganya.

Berkerut dahi Qadira memandang sikap abangnya itu. Sejak dia pulang semula ke Malaysia, sikap abangnya itu ketara berubah. Seolah-olah ada sesuatu yang sedang abangnya sembunyikan daripadanya. Mug berisi milo panas di tangan dihirup sedikit.

“Abang ada kaitan dengan kematian lelaki Cina bernama Ah Meng tu ke?” tanya Qadira sebelum abangnya melangkah jauh.

Langkah Qadir terhenti. Dia memandang Qadira di belakangnya dengan ekor mata. Dia mula rasa tidak sedap hati. Qadira seolah-olah dapat menghidu perbuatannya.

“Apa kau merepek ni?” tanya Qadir serius tanpa berpaling mengadap Qadira.

Qadira tidak terus menjawab. Dia melangkah ke ruang tamu lalu melabuhkan punggungnya di atas sofa panjang. Alat kawalan jauh televisyen dicapai lalu televisyen dihidupkan kembali.

“Saja tanya. Manalah tahu abang terlibat. Dira tengok abang tadi, macam suka aje lelaki Cina tu mati? Siap tersengih-sengih lagi,” jawab Qadira.

“Bila pulak aku tersengih-sengih ni? Kau salah pandang kut?”

“Tapi tadi Dira dengar abang sebut nama...”

“Dahlah, jangan nak merepek. Aku tak nak kau sibuk hal tu dan syak aku yang bukan-bukan. Aku ada banyak kerja kat pejabat dari nak fikir hal-hal macam tu,” pintas Qadir lalu menyambung langkahnya semula.

Dia tidak mahu Qadira syak was sangka terhadapnya walaupun dia dapat merasakan adiknya itu mula syak sesuatu terhadapnya.

Qadira hanya mencebik melihat reaksi abangnya itu. Reaksi abangnya itu yang kelihatan sedikit gelabah dengan pertanyaannya tadi membuatkan dia rasa musykil. Sejak dia terdengar perbualan abangnya dengan seseorang melalui panggilan telefon seminggu yang lalu, semakin tebal rasa curiganya. Namun, dia abaikan perasaan itu.

Beberapa saat kemudian, dia teringatkan tentang kata-kata abangnya semalam yang ingin membantunya menyatukan dia dengan Darwish. Dia ingin tahu apakah abangnya itu serius atau sekadar omong kosong.

Dia menoleh memandang ke arah abangnya. Namun, kelibat abangnya sudah hilang di sebalik dinding. Hanya keluhan pengganti bicara. Bila ada masa yang sesuai, pasti dia akan bertanyakan akan hal itu.
Sampai sahaja di kamar, Qadir terus mengunci pintu bilik dari dalam. Dia berdiri bersandar di belakang pintu buat seketika. Menahan debaran di dada yang tiba-tiba melanda. Mujurlah dia dapat mengawal perasaan, emosi dan perwatakannya tadi. Jika dia terlalu menggelabah, sudah pasti apa yang dia lakukan selama ini dapat dihidu oleh adiknya. Sejak seminggu yang lalu adiknya itu seolah-olah sudah mengesyak sesuatu terhadapnya.

Dia mula bingung. Dengan laju dia melangkah ke meja kerjanya. Dalam kamarnya itu terdapat ruang rehat dan ruang kerja. Luas betul bilik Qadir. Ruang rehat sahaja dihiasi dengan perabut dan sofa. Di ruang kerjanya pula ada sebuah almari buku ilmiah dan buku-buku pelajarannya semasa menuntut di universiti dahulu.

Dengan resah Qadir melabuhkan punggungnya di atas kerusi sambil menongkat dahi di atas meja. Dia perlu mengalih perhatian Qadira. Dia tidak mahu Qadira mengesyaki apa-apa. Perlu buat sesuatu supaya Qadira melupakan tentang rasa curiganya itu.

Apa aku perlu buat untuk mengalihkan fikiran Qadira supaya dia fokus berfikir pada hal lain? Aku perlu buat sesuatu sebelum kegiatan haram aku dihidu Dira, bebelnya sambil meramas-ramas jari-emarinya.
Otaknya ligat memikirkan masalahnya yang baru tercetus ini. Selepas satu, satu masalah datang. Apalah malang nasibnya sejak beberapa hari ini.

Beberapa saat kemudian, senyuman mula tercarik di bibirnya. Satu rancangan baru mula terangka di dalam fikirannya ketika ini.



“MAKSUD
kau, lelaki yang kau belasah kat lif tu adalah bakal bos kau?”

Terbuntang mata Wanda bertanya selepas Zulaikha habis bercerita tentang apa yang berlaku siang tadi di Merbok Construction Berhad.

Siapa sangka, lelaki yang dikehel tangannya itu adalah bakal ketua Zulaikha.

“Macam mana ni... Wanda! Matilah aku,” raung Zulaikha, memeluk bantal di atas sofa panjang sambil menongeng. Seperti orang frust menongeng gayanya.

Siaran berita di televisyen sudah tidak diendahkan. Mala petaka yang sedang melanda dirinya ketika ini benar-benar meresahkan jiwanya sejak melangkah keluar dari bangunan Merbok Construction Berhad tengah hari tadi. Lebih-lebih lagi bila terpandang jelingan maut dari bakal ketuanya. Lagilah bertambah gerun dibuatnya.

Wanda tergelak kecil sambil mencapai mug berisi kopi panas di atas meja. Air minumannya itu diteguk sedikit sebelum diletakkan semula di atas meja di tengah ruang tamu itu.

Dia duduk bersila di atas sofa sambil memeluk bantal kecil mengadap televisyen. Balang berisi rempeyek dicapai. Sudah menjadi kebiasaan bagi mereka, akan duduk melepak depan televisyen sambil menonton berita setelah selesai makan malam.

“Tulah kau, suka-suka kau aje nak belasah anak teruna orang. Tak pasal-pasal terbelasah bakal bos sendiri. Nasib kaulah Laikha!” perli Wanda sambil mengunyah rempeyek.

Dengan pantas Zulaikha membaling bantal di tangan ke arah Wanda.

“Adui! Sakitlah!” jerit Wanda.

“Kau saja nak sindir aku, kan? Bukan nak bagi idea, apa perlu aku buat esok? Aku bukan suka-suka pukul dia. Memang dia tak beradap. Dahlah langgar aku, kemudian suka-suka maki hamun aku. Siapa tak malu? Lepas tu, suka-suka hati dia je nak tarik rambut aku. Mana aku tak marah?” ujar Zulaikha membela dirinya.

“Ya, aku tahu.”

“Lagipun mana aku tahu dia tu bakal bos aku? Kalau aku tahu awal-awal lagi, tak adalah aku belasah dia macam tu sekali,” sambung Zulaikha lagi.

Wanda menjeling benci pada Zulaikha. Sakit hatinya kerana dibaling bantal tidak tentu fasal. Dia kembali mengunyah rempeyek.

“Alah kau buat selamba aje macam tak berlaku apa-apa. Anggap apa yang berlaku siang tadi tu hanya mimpi kau di siang hari,” selamba Wanda memberi cadangan.

Dia kembali memandang televisyen. Yang dalam masalah ketika ini adalah kawan baiknya itu. Bukan dirinya. Sebab itu dia boleh bersikap sambil lewa.

Zulaikha sudah mengecilkan kelopak matanya memandang Wanda. Sinis sekali. Sakit hatinya bila kawan baiknya itu tidak mahu memberi kata-kata semangat dan perangsang kepadanya. Malahan bagi idea yang tidak berguna pula.

“Kalau dia buli aku tahap gaban esok, macam mana?” ucap Zulaikha kembali membuat andaian yang bukan-bukan.

Dia kembali baring di atas sofa panjang beralaskan lengan sambil memandang kipas siling yang berputar perlahan.

“Kau bulilah dia balik, macam tak biasa pulak?” Laju sahaja Wanda menjawab.

“Kau gila?” marah Zulaikha sambil memukul Wanda dengan bantal di tangannya.

“Sah-sah dia bos aku. Takkan aku nak buli bos aku, kan pelik.”

“Orang tak pernah buat, kaulah buat. Apa susah? Silap-silap nama kau boleh tersenarai dalam rekod Malaysia, pekerja buli bos tahap gaban. Tak ke nama kau meletop-letop selepas ni?”

“Kau ni Wanda! Aku serius kau main-main pulak.”

“Aku cakap betul-betullah. Dah semua cadangan aku, kau tolak. Aku nak kata apa lagi.”

Zulaikha terdiam. Termenung seketika memikirkan nasib diri. Memikirkan betapa malangnya nasibnya esok. Tiba-tiba dia merasakan ingin menarik diri dari meneruskan kes ini. Tapi, sebagai seorang anggota polis yang berpangkat inspektor, dia perlu bertanggungjawab dalam setiap kes yang diberikan. Dia perlu buat yang terbaik untuk membuktikan dia seorang anggota polis yang professional.

Wanda memandang seklias ke arah Zulaikha yang kelihatan bingung dan resah. Kasihan pula dia akan nasib kawan baiknya itu. Tak sampai hati membiarkan kawannya begitu.

Bekas rempeyek ditutup lalu diletak di atas meja. Dia menurunkan kaki dari sofa lalu duduk mengadap Zulaikha di sofa panjang.

“Kau ikut aje cara aku tadi. Buat tak tahu. Anggap aje apa yang berlaku siang tadi tak pernah berlaku.” Wanda mengulangi cadangannya tadi.

Laju Zulaikha bangkit duduk mengadap Wanda.

“Semudah itu? Dari riak wajah dia dan pandangan sinis lelaki tu siang tadi, aku nampak api dendam dia pada aku. Aku gerenti dia akan balas dendam atas perbuatan aku siang tadi.”

Cadangan Wanda ditolak mentah-mentah.

“Dah tu? Kau nak buat apa? Nak melarikan diri? Nak tak nak, kau kena mengadap muka lelaki tu dari kau mula kerja dan sampai habis office hour tau? Takkan kau nak terus melarikan diri? Kalau kau melarikan diri, macam mana kau nak siasat kes ni? Ingat Laikha, DSP Faliq dan ASP Jabir menaruh harapan tinggi kat kau,” ujar Wanda, mengingatkan hakikat sebenar.

Zulaikha kembali menghempas tubuhnya di atas sofa. Keluhan berat terus-terusan dihembus sejak tadi. Semakin berserabut kepalanya bila memikirkan tentang hal ini. Semakin dia membayangkan apa yang bakal berlaku di antara dia dan ketuanya esok di pejabat, semakin tidak tenang jiwanya.

“Dahlah, take it easy. Lagi kau fikirkan hal ni, semakin sakit jiwa kau dibuatnya. Aku yakin semuanya akan berjalan lancar. Kau sepatutnya bersyukur. Kau diterima menyandang jawatan tu tanpa interview.

ALLAH dah buka peluang untuk kau selesaikan kes ni. Bagaimana caranya kau nak settlekan kes ni, kau kena usaha sendiri. ALLAH hanya membuka pintu peluang pada hamba-NYA yang ingin berusaha.”

Wanda sudah bertukar mood menjadi ustazah. Lagipun, kata-katanya itu benar. Bukan sekadar suka-suka.

“Hmm... tulah, aku pun dah semakin pening ni. Aku harap, hari-hari yang bakal aku lalui mulai esok lancar. Aku takut bos aku tu akan cari pasal dengan aku yang membolehkan aku dipecat. Kalau aku dipecat, maka gagallah kes ni. ASP Jabir dah happy gila masa aku beritahu dia yang aku dapat kerja ni.”

“Haa... tengok, ramai tau yang menaruh harapan kat kau. Aku harap kau buat yang terbaik supaya tidak menghancurkan harapan mereka semua. Buktikan yang kau boleh ikut jejak langkah arwah ayah kau,” ujar Wanda memberi kata-kata sokongan.

Zulaikha memandang Wanda dengan pandangan sayu. Terharu dia dengan kata-kata kawannya itu. Dia malas nak fikirkan hal ini lagi. Dia serahkan segalanya pada takdir. Dalam masa yang masa, dia berharap semuanya berjalan lancar.

Zulaikha kembali memandang kipas siling yang berputar perlahan. Dia bermain dengan fikirannya. Wanda pula kembali menonton televisyen.

Previous: 14
Next: 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.