Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,884
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
11
DSP Faliq khusyuk membaca laporan yang baru diterima daripada Cif Inspektor Razi mengenai mangsa kemalangan semalam.

Dalam laporan itu, pihak polis dan forensik hanya mengesan seorang mangsa sahaja yang ada di dalam kereta Toyota Vios itu. Mangsa dikenali sebagai Ah Meng menurut maklumat dari JPJ.

Bukti terbaru yang dapat diperolehi di kawasan kejadian adalah telefon bimbit masa yang rosak 30% sahaja dari keseluruhannya. Mujurlah kad sim yang ada di dalam telefon bimbit itu tidak rosak. Kini, kad sim itu telah dihantar ke syarikat telekomunikasi untuk disemak siapa pengguna nombor kad sim itu.

DSP Faliq kemudian menyandarkan tubuhnya ke kerusi. Wajah-wajah yang ada di hadapannya dipandang satu per satu. Duduk di hadapannya adalah ASP Jabir dan Cif Inspektor Razi. Sementara yang berdiri di belakang pula Zulaikha dan Kamal.

“Setelah disiasat, mangsa dikenali sebagai Ah Meng sama seperti daftar keretanya di JPJ. Kita pun dah pergi ke alamat kediaman mangsa. Namun, tempat tu kini sudah jadi kawasan perumahan baru,” ujar DSP Faliq.

“Saya dapat rasakan, kes kemalangan Ah Meng ini bukan disebabkan kemalangan. Sebaliknya, ia seolah-olah dirancang,” hujah DSP Faliq mengutarakan pendapatnya.

“Saya pun beranggapan begitu. Dari hasil siasatan mengenai dua lelaki Cina yang diberkas minggu lalu. Nama Ah Meng kerap kali disebut. Berkemungkinan, Ah Meng yang dimaksudkan adalah si mangsa ni,” celah Kamal turut memberi pendapat.

“Kalau benar apa yang kamu katakan tu, kenapa Ah Meng mati? Dia bunuh diri ke?” tanya DSP Faliq kurang jelas dengan pendapat Kamal.

“Tidak. Saya beranggapan, Ah Meng bukan dalang utama dalam kes ni. Ada dalang yang lebih besar di atasnya. Jadi, untuk mengelak perniagaan haram mereka dikesan. Dalang utama perlu membunuh saksi kuat dalam kes ini, iaitu Ah Meng. Kerana, dalang utama tahu, dua lelaki yang berjaya kita berkas itu adalah budak-budak suruhan Ah Meng.

Bila budak-budak Ah Meng telah ditangkap, sudah pasti nama Ah Meng disebut. Jadi, sebelum kita berkas Ah Meng, dia bunuh Ah Meng dahulu supaya, nama dalang sebenar kes ini takkan disebut.” Panjang berjela Kamal menjelaskan.

Yang lain hanya mendengar dengan teliti. Hujah Kamal benar-benar tepat mengikut situasi kes.
“Jadi, macam mana kita nak tahu siapa dalang utama kes ni?” sampuk ASP Jabir pula.
Semua yang ada di situ memandang ASP Jabir. ASP Jabir tersengih.

Tiba-tiba pintu bilik itu diketuk. Serentak mereka berlima memandang ke arah pintu. Kelihatan seorang anggota polis berpangkat koperal berdiri di muka pintu bersama beberapa keping kertas bersaiz A4 di tangan.

DSP Faliq membenarkan dia masuk. Koperal itu melangkah masuk sambil menghulur kertas itu kepada DSP Faliq.

“Ini maklumat terbaru dari syarikat telekomunikasi untuk kes kemalangan tu,” ujar koperal itu.
“Terima kasih,” ucap DSP Faliq.

Masing-masing menanti DSP Faliq berbicara selepas melihat maklumat yang baru sahaja diterima. Wajah DSP Faliq tiba-tiba berubah membuatkan yang lain turut cemas.

“Cuba kamu lihat ini Inspektor Razi,” pinta DSP Faliq kepada orang kepercayaannya itu.
Cif Inspektor Razi meneliti maklumat di tangan. Dia turut terkejut dengan apa yang tercetak di atas kertas putih itu.

Zulaikha dan Kamal saling berpandang. Dalam hati tertanya-tanya, apa yang membuatkan wajah DSP Faliq dan Cif Inspektor Razi berubah.

“Hmm... menurut laporan ini, panggilan terakhir mangsa terima dari talian tetap. Dan pemilik talian tetap ini adalah Merbok Construction Berhad,” ujar Cif Inspektor Razi.

Cif Inspektor Razi dan DSP Faliq saling berpandangan. Mereka memikirkan hal yang sama. Bermakna, hasil soal siasat pada dua suspek sebelum ini adalah benar. Kes ini melibatkan Merbok Construction Berhad. Dalang sebenar ada di sebalik Merbok Construction Berhad.

“Bermakna, apa yang suspek katakan sebelum ini adalah benar,” ujar DSP Faliq.
Cif Inspektor Razi yang turut membantu menyelesaikan kes ini mengangguk.

“Tapi, macam mana kita nak tahu siapa dalangnya? Sedangkan, Merbok Construction Berhad tu bukan calang-calang syarikat. Terkenal di seluruh negara. Nanti tak pasal-pasal kita kena saman kalau maklumat tu tak betul,” jelas Cif Inspektor Razi berasa bimbang kalau pihak polis tersalah langkah.

“Betul cakap awak tu,” sokong DSP Faliq.

Masing-masing terdiam seketika mencari idea.

“Apa kata, kita hantar anggota-anggota kita soal siasat semua pekerja di Merbok Construction Berhad?” cadang DSP Faliq.

“Tak boleh tuan. Kita tak boleh buat macam tu walaupun kita keluarkan waran geledah atau soal siasat. Tindakan kita tu hanya akan buat dalang sebenar melarikan diri,” celah Kamal.

“Jadi, macam mana kita nak siasat kes ni? Ada cadangan?” tanya DSP Faliq.

“Saya rasa, kita perlu menyamar,” usul Kamal.

“Menyamar?” Terpinga-pinga ASP Jabir mendengar cadangan itu.

“Saya setuju, tuan,” sampuk Cif Inspektor Razi.

“Menyamar macam mana tu?” tanya DSP Faliq.

“Kita perlu menyamar secara professional supaya tak ada orang tahu. Orang yang kita pilih tu, mesti pandai berlakon dan kita perlu memalsukan data peribadi mereka agar identiti perisik kita tak dapat dikesan. Saya yakin, dalang utama dalam kes ni, bukan calang-calang. Dia lebih bijak dalam hal-hal begini,” terang Kamal dengan panjang lebar.

Berkerut dahi DSP Faliq. Dia masih kurang jelas.

“Saya masih tak faham,” ujar DSP Faliq sambil menegakan tubuhnya memandang Kamal dengan wajah serius.

“Kita tak boleh hantar perisik terlalu ramai untuk siasat kes ini. Kita hantar dua atau tiga orang sahaja. Perisik kita pulak perlu mencari bahan bukti sebanyak mungkin. Tak kiralah dalam bentuk data, cetakan, audio atau video sehingga kita boleh mendakwa dalang sebenar dengan bukti yang kita ada,” jelas Kamal tentang strategik rancangannya.

Sungguh teratur sekali. Terserlah kreabiliti Kamal sebagai seorang anggota polis yang berpengalaman dalam melakukan kerja-kerja detektif begini.

“Kalau begitu, perisik kita nanti perlu sentiasa memberi maklumat pada kita dari masa ke semasa. Begitu?”

“Ya.”

“Tapi kenapa kita nak palsukan identiti perisik kita?”

“Seperti yang sedia maklum, Merbok Construction Berhad sebuah syarikat besar yang agak ketat kawalannya. Setiap pekerja ada ‘matrix’ kad sendiri untuk akses ke pejabat mereka. Orang luar memang sukar masuk. Jadi, perisik kita nanti perlu menjadi salah seorang ‘ahli keluarga’ Merbok Construction Berhad.”

“Tapi, macam mana?”

Kamal tersenyum. Sudah pasti ketuanya itu lupa tentang maklumat yang dia berikan sebelum ini.
“Tuan masih ingat pasal jawatan kosong yang Merbok Construction Berhad buka baru-baru ini?” tanya Kamal cuba menguji tahap ingatan ketuanya itu.

DSP Faliq diam seketika. Memikirkan jawapan untuk pertanyaan itu.

ASP Jabir sudah memandang Zulaikha di belakangnya. Mereka berdua sejak tadi sudah seperti Patung Cendana. Diam sahaja dan lebih banyak mendengar dari berkata-kata. Hakikatnya mereka masih tidak jelas akan kes ini. Namun, mereka masih dapat memahami perjalanan kes ini walaupun tidak banyak.

“Iklan mengenai jawatan kosong pembantu peribadi tu ke?” tembak DSP Faliq.

“Ya tuan. Hanya dengan cara itu perisik kita boleh masuk ke Merbok Construction Berhad untuk menyiasat dalang sebenar,” ujar Kamal.

Cif Inspektor Razi yang sejak tadi mendengar turut bersetuju dengan cadangan Kamal itu.

DSP Faliq tergelak kecil. Bangga dia dengan salah seorang anak buahnya itu.

“Awak memang seorang yang cekap dan berfikirkan jauh Kamal. Saya bangga awak berada di unit kita,” puji DSP Faliq.

“Itu sudah menjadi tugas anggota polis untuk memikirkan strategik yang berkesan untuk membentras jenayah supaya tidak terus berleluasa,” jawab Kamal.

“Bukan ke jawatan tu untuk perempuan?” tanya DSP Faliq lagi.

Setahunya, jawatan yang ditawarkan seperti dalam laman web Merbok Construction Berhad hanya untuk perempuan. Bukannya lelaki.

“Jadi, perisik kita nanti mestilah seorang perempuan,” sampuk Cif Inspektor Razi.

“Siapa?” tanya DSP Faliq.

Masing-masing memandang ke arah Zulaikha termasuk Kamal dan ASP Jabir.

Zulaikha terkejut bila semua memandang ke arahnya. Adakah dia yang akan menjadi perisik itu? Zulaikha hanya mampu menelan air liur.

Previous: 10
Next: 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.