Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,848
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
08
AH Meng memandu laju menuju ke arah pusat bandar. Stok dadahnya sudah semakin susut. Walaupun dua orang anak buahnya sudah merengkok di dalam penjara namun dia masih berani beroperasi. Ketuanya sudah mengarahkan agar membekukan semua jualan buat sementara waktu namun dia tetap keras kepala.

“Gua mahu hentikan jualan? Lupakan aje. Jualan masih panas, mahu diberhentikan. Gila ke apa?” bebel Ah Meng sambil menarik gear. Keretanya bergerak semakin laju.

Beberapa minit kemudian, telefon bimbitnya di desk board berdering. Terkial-kial tangannya mencapai ear phone telefon bimbitnya lalu disumbat ke telinga. Mujurlah jalan yang dilaluinya ketika ini tidak sesak. Jika tak, sudah pasti membahayakan dirinya kerana memandu dengan laju.

Sekilas Ah Meng memandang cermin pandangan belakang. Kelihatan sebuah kereta Proton Wira lama berwarna silver sejak tadi mengekorinya. Telefon bimbitnya terus berdering. Diletaknya ear phone sekali lagi di telinga. Kemudian butang hijau ditekan.

“Helo kawan,” sapa Ah Meng selepas talian disambungkan.

Panggilan dari ketuanya.

“Helo brother Meng. Lu kat mana?” tanya ketuanya.

“Apa pasal lu mahu tahu gua kat mana?” jawab Ah Meng dengan pertanyaan.

Matanya terus mencuri pandang ke arah kereta di belakang melalui cermin pandang belakang.

“Nampaknya lu tak mahu dengar arahan gua.”

Ah Meng tergelak.

“Lu tak perlu risaulah kawan. Kes tu sudah lebih tiga hari. Nama lu tak naik, kan? Gua jamin, nama lu dan syarikat bapak lu tak terlibat. Lagipun pasaran sekarang tengah panas, kawan.” Beria-ia Ah Meng meyakinkan ketuanya itu.

“Lu tahu tak? Kes ni masih dalam siasatan. Polis sedang bekerja keras cari dalang kes ni. Gua tak nak lu kena cekup macam budak-budak lu.”

“Jangan risaulah. Gua akan pastikan semuanya selamat.”

Suasana sepi seketika. Hanya kedengaran rengusan kasar di hujung talian.

“Baik, gua tanya lu sekali lagi. Lu mahu berhenti jual atau tak?” Ketuanya ingin kepastian.

“Tak!” jawab Ah Meng pantas.

“Okey. Kalau itu keputusan lu, gua terima. Gua harap lu bahagia. Gua minta maaf kalau gua ada buat salah pada lu sebelum ni,” ujar ketuanya lalu memutuskan talian.

Ah Meng tergelak sinis semasa mencabut ear phone di telinga.

“Bodoh punya orang. Jualan tengah panas mahu suruh gua berhenti jual. Rugilah gua nanti,” bebel Ah Meng.

Kereta dari belakang masih lagi mengekorinya. Hatinya mula rasa tidak sedap.

Beberapa minit kemudian, kereta Proton Wira itu memotong keretanya. Dia memandang ke arah kereta itu. Tiba-tiba tingkap kereta itu terbuka lalu kelihatan seorang lelaki bertopeng dan berkaca mata hitam sedang memacu pistol ke arahnya. Belum sempat dia menekan pedal minyak, satu das tembakkan dilepaskan. Peluru itu menembusi cermin keretanya dan terus tembus di kepala. Pandangannya serta merta jadi gelap.

Kereta yang dipandu Ah Meng hilang kawalan lalu terbabas ke bahu jalan menuju ke arah curam. Tubuh Ah Meng yang sudah terpisah nyawanya dari badan terus longlai di dalam kereta.

Keretanya menghentam pada sebatang pokok besar lalu meletop dan terbakar. Terbakarlah jasad Ah Meng di dalam kereta itu. Proton Wira tadi terus hilang entah ke mana.



LAMA Qadir merenung ke arah luar pejabatnya melalui tingkap yang terbuka. Kerja-kerjanya di atas meja diabaikan seketika. Hatinya masih bengang dengan sikap Ah Meng. Walaupun sudah diberi amaran keras, lelaki Cina itu tetap berdegil.

Qadir tiada pilihan lain melainkan menghapuskan Ah Meng. Kegiatan Ah Meng sudah dikesan pihak polis. Bila-bila masa sahaja Ah Meng boleh diberkas kerana dua orang anak buahnya kini berada di dalam penjara. Dia tak mahu ambil risiko. Dengan matinya Ah Meng, kegiatan haramnya boleh kembali beroperasi selepas kes ini selesai.

Qadir terus berdiri di tepi tingkap sambil menyimpul tangan di dada. Tangan kanannya sejak tadi terus menggenggam telefon bimbitnya. Dia sedang menanti panggilan dari orang suruhannya.

Kelmarin, hampir sahaja rancanganya terbongkar bila adiknya tiba-tiba muncul di pejabat ketika dia sedang berbincang tentang pembunuhan Ah Meng. Mujurlah adiknya tidak menghidu apa-apa selepas dia memutarbelitkan cerita. Jika tak, sudah pasti masalahnya ini semakin rumit.

Maafkan aku Ah Meng. Aku terpaksa hapuskan kau. Kau yang paksa aku lakukan semua ini. Kalau kau tak melawan arahan aku, aku masih boleh biarkan kau hidup. Tapi, apa yang kau lakukan telah mencabar kesabaran aku, Qadir bermonolog di dalam hati.

Bohonglah jika dia tidak berasa sedih atas kematian sahabat yang banyak membantu perniagaan gelapnya ini. Tapi, dia tiada pilihan. Demi menyelamatkan diri dengan perniagaan gelapnya dan nama Merbok Construction Berhad, dia terpaksa keraskan hati untuk menghapuskan salah satu empayar perniagaan gelapnya ini.

Nak tak nak, dia perlu teruskan. Dia sudah terjebak. Lagipun, perniagaan ini menguntungkan. Mahu mengharap pada Merbok Construction Berhad, kedudukan masih belum yakin untuk mewarisi syarikat itu. Lagipun dia tidak berminat pada Merbok Construction Berhad.
Beberapa minit kemudian telefon bimbitnya berbunyi. Tanpa melihat nama yang tertera, panggilan itu dijawab.

“Helo...”

Dia hanya mendengar penjelasan dari si pemanggil.

“Okey,” jawabnya sepatah lalu memutuskan talian.

Dia terpunduk sedih seketika. Orang suruhannya memaklumkan kerjanya sudah selesai. Kini, rakan niaganya Ah Meng sudah mati.

Walaupun sedih, dia perlu kuat. Kematian Ah Meng bukan pengakhir segala-galanya. Selepas ini, dia perlu lebih berhati-hati.



DSP Faliq dan Kamal serentak melabuhkan punggungnya. Kemudian kedengaran mereka mengeluh. Sekali lagi sesi soal siasat mereka pada suspek yang ditangkap atas tuduhan mengedar dadah beberapa hari lalu tidak mendatangkan hasil. Masih jawapan yang sama mereka perolehi.

Nama syarikat Merbok Construction Berhad masih disebut-sebut oleh suspek. Tetapi, nama dalang sebenar tidak diketahui. Merbok Construction Berhad bukan sebuah syarikat kecil. Masakan kesemua manusia yang ada di Merbok Construction Berhad itu terlibat dengan kes ini? Mustahil.

Siasatan yang dibuat Kamal atas bantuan rakan setugasnya Cif Inspektor Razi, Merbok Construction Berhad menjalankan perniagaan secara sah dan berlesen. Tiada bukti yang mereka menjalankan perniagaan haram.

Tapi, apa motif dua suspek itu mengaitkan Merbok Construction Berhad sebagai dalang dalam kegiatan haram mereka? Namun, hasil soal siasat hari ini, ada nama baru yang disebut suspek.

“Kalau kelmarin nama Merbok Construction Berhad naik. Kali ni nama brother Ah Meng pulak naik. Suspek baru yang perlu kita siasat,” keluh Kamal sambil meletak buku di tangan di atas meja di hadapan DSP Faliq.

DSP Faliq tidak terus menjawab. Dia berfikir seketika.

“Selepas dipaksa dan didesak secara keras, baru mereka nak sebut nama tu. Awak dah siasat tentang Merbok Construction Berhad? Ada tak pekerja-pekerja mereka bernama Ah Meng?” tanya DSP Faliq.

“Pasal pekerja-pekerja Merbok Construction Berhad saya belum siasat lagi. Bagi saya masa untuk siasat.”
DSP Faliq mengangguk.

“Saya nak awak siasat kalau-kalau ada pekerja Merbok Construction Berhad yang bernama Ah Meng.”
“Baiklah.”

Kes siasatan ini telah diserahkan kepada Kamal disebabkan Cif Inspektor Razi perlu menguruskan beberapa kes lain.

“Awak agak, Ah Meng ni siapa?” tanya DSP Faliq lagi, sekadar ingin tahu pendapat Kamal.

Kamal terdiam seketika. Mengimbas kembali kes ini melalui siasatan yang telah dilakukan.

“Pada pendapat saya, Ah Meng ni sekadar orang bawahan. Manakala dua suspek tu budak-budak dia. Dalang besar dia ada di sebalik Merbok Construction Berhad.”

“Saya pun berpendapat begitu. Tapi, kita tak tahu siapa dalang sebenar dalam Merbok Construction Berhad.”

“Saya rasa, dalangnya memegang jawatan tinggi dalam Merbok Contruction Berhad.Jika tak, masakan dia mampu melindungi kegiatannya. Pada pandangan saya, hanya orang yang berduit aje boleh menjadi dalang besar dalam perniagaan haram ni,” luah Kamal melaluli pengalamannya sebelum ini.

“Apakah kita perlu selongkar Merbok Construction Berhad untuk menyiasat dalang sebenar?” tanya DSP Faliq lagi.

“Jika diikutkan, kita tak boleh buat analisis dan keputusan sendiri tuan. Kita perlu bawa hal ini kepada pegawai atasan. Mereka yang lebih layak buat keputusan.”

Kes ini, kes besar yang melibatkan jenayah serius. Perlu dibawa ke pihak yang lebih tinggi.

“Itu saya tahu. Saya cuma mahu pendapat awak. Manalah tahu pendapat awak itu akan saya usulkan kepada pegawai atasan. Mudahlah kerja kita nanti andai pendapat awak tu diterima.” DSP Faliq menjelaskan niatnya yang sebenar atas pertanyaannya tadi.

Kamal mengangguk.

“Pada pendapat saya, andai pihak polis terus membuat siasatan di Merbok Construction Berhad, kemungkinan dalang sebenar akan melarikan diri kerana pihak polis sudah mengesyaki syarikat itu. Kehadiran polis jugak akan menyedarkan suspek utama kita yang dia semakin dijejaki polis. Senanglah mereka merangka strategik lain untuk melarikan diri dan memanipulasikan cerita.” Panjang lebar Kamal meluahkan pendapatnya.

Sebagai Cif Inspektor, Kamal sudah banyak menyelesaikan kes begini. Jadi, banyak ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi. Hanya tunggu masa sahaja untuk dinaikan pangkat.

Berkerut dahi DSP Faliq. Tidak berapa jelas dengan pendapat Kamal yang terselit satu rancangan lain.
“Jadi, apa yang perlu kita buat?”

“Kita perlu hantar beberapa orang anggota kita untuk siasat melalui kaedah menyamar.”

“Menyamar? Tapi, macam mana anggota kita nak masuk ke Merbok Contruction Berhad?”

“Sebentar tuan.”

Tanpa berlengah lagi, buku yang berada di tangan Kamal, diselak-selaknya seketika. Kemudian sekeping kertas A4 dihulurkan pada DSP Faliq.

“Apa ni?” tanya DSP Faliq, berkerut dahinya.

“Saya cetak dari laman web Merbok Contruction Berhad.”

“Jawatan kosong sebagai ‘Pembantu Peribadi?’ Apa kaitannya dengan kes ni?” ujar DSP Faliq, masih tidak faham lagi.

Kamal tersenyum. Dia perlu menjelaskan rancangannya dengan terperinci kepada ketuanya itu. Namun, belum sempat dia ingin menerangkan rancangannya itu, DSP Faliq terlebih dahulu mencelah.

“Tunggu dulu.”

“Kenapa tuan?”

Kamal kebingunggan. Masakan rancangannya ditolak sebelum dia menjelaskan?

“Saya nak awak jelaskan rancangan awak tu pada pegawai atasan. Saya pun nak dengar rancangan awak tu masa perbincangan dengan mereka nanti.”

Lega Kamal mendengar kata-kata ketuanya itu. Sangkanya, rancangannya ditolak mentah-mentah.
Tiba-tiba alat interkom di atas meja DSP Faliq berdering. Pantas lelaki itu menjawab panggilan itu.

DSP Faliq hanya mendengar si pemanggil bersuara sambil memandang Kamal di hadapannya yang mula kelihatan risau.

“Baiklah, terima kasih. Saya akan segera ke sana,” ujar DSP Faliq lalu mematikan panggilan.

Dengan tergesa-gesa dia bangun lalu mencapai topi khas untuk pegawai polis.

“Kenapa tuan?” tanya Kamal cemas, turut berdiri.

“Ada kemalangan yang melibatkan sebuah kereta berdekatan dengan Jalan Sepang menuju ke pusat bandar. Kereta itu terbakar di tempat kejadian. Kita perlu segera ke sana. Ayuh!” jawab DSP Faliq mula menyusun langkah meninggalkan pejabat dengan diekori Kamal dari belakang.

Previous: 07
Next: 09

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.