Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
140,432
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
16
HAMPIR terkoyak kulit kepalanya digaru-garu. Rambutnya yang sebelum ini sentiasa kemas dan cantik, kini serabai seperti orang tak pernah syampu rambut setahun. Apa yang berlaku di dalam hidupnya sejak akhir-akhir ini sangat melemaskan jiwanya. Setelah satu, satu masalah tiba. Runsing dibuatnya.

Tubuh di rebah di atas tilam. Bergelombang seketika tubuhnya di atas tilam empuk itu. Lampu kristal yang tergantung di atas siling biliknya dipandang. Yang terbayang di matanya ketika ini, hanyalah wanita bertocang satu itu!

“Argh!!! Kenapa muka dia yang aku nampak ni?” jeritnya sekuat hati.

Sekali lagi rambutnya dicarik-carik kasar. Cuba mengusir bayangan wanita bertocang satu itu. Mungkin disebabkan rasa benci, dendam dan menyampahnya pada wanita itu membuatkan wajah wanita itu terus melekat pada tabir pandangannya. Dia masih tidak puas hati dengan papanya. Mengapa wanita sekasar itu diterima menjadi pembantu peribadinya?

“Argh!!! Kenapa hidup aku macam ni? Serabutlah kepala otak aku!!!” jeritnya lagi melepaskan tekanan jiwa yang sedang melanda dirinya.

Tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Kedengaran suara Mak Lijah memanggilnya.

“Tuan Darwish, Tan Sri suruh turun makan. Kalau Tuan Darwish tak turun, dia yang akan naik,” ujar Mak Lijah.

Satu lagi beban besar melanda. Sejak pulang dari pejabat tadi, dia terus memerap di dalam biliknya. Dia mahu menunjuk protes pada Tan Sri Irfan. Tapi tetap tak menjadi. Ada sahaja ugutan dari Tan Sri Irfan. Dari dia dimaki hamun jika papanya muncul, lebih baik dia turun sekarang. Walaupun dadanya terasa sakit dengan sikap papanya itu.

“Huh!”

Darwish merengus menyampah. Bengang dan berang.

“Ya, kejap lagi saya turun!” pekiknya dari dalam bilik.

Dengan malas Darwish bingkas bangun lalu melangkah menuju ke arah cemin. Rambutnya yang serabai dikemaskan. Oleh kerana terlalu kusut, sikatnya tersekat di sebalik rambutnya yang menyimpul kuat pada sikat. Dia menarik kasar. Namun sikat yang tersimpul tidak dapat lepas dari simpulan rambutnya. Sudah tahu rambutnya jenis rambut kering. Masih mahu menggunakan sikat bergigi rapat. Inilah padahnya.

“Aduhai... sikat ni pulak buat hal. Apa aku nak buat ni?”

Sikat di rambutnya masih tersekat di sebalik rambutnya yang kusut. Dia malas mahu berfikir lagi. Dengan malas dia melangkah keluar dari biliknya menuju ke tingkat bawah.

Sampai sahaja di meja makan, Darwish melabuhkan punggungnya bersebelahan dengan Tan Sri Irfan. Dengan muka toya dia mencapai bekas nasi.

Terlopong Tan Sri Irfan melihat keadaan anaknya itu.

“Kau ni kenapa? Rambut dah tak serupa orang. Tu sikat kat atas kepala kau tu, fesyen baru ke apa?” tanya Tan Sri Irfan pelik dengan gaya anak tunggalnya itu.

“Emm...” Hanya itu jawapan yang Darwish berikan.

Bekas nasi diletak semula di tengah meja. Seketul ayam goreng dicapai lalu diletak di atas pinggan. Ayam goreng adalah makanan kegemarannya.

Berkerut dahi Tan Sri Irfan melihat gelagat anaknya itu. Bukannya dia tidak tahu anaknya itu mahu tunjuk protes padanya. Jangan harap dia nak terpedaya. Dia tetap dengan keputusannya.

“Haah, fesyen baru,” jawab Darwish sambil menceduk kuah sayur pucuk ubi masak lemak.

Hakikat sebenarnya, sikat di atas kepalanya itu tidak boleh diusai dari belitan rambutnya. Dari mendengar Tan Sri Irfan itu membebel di biliknya, dia lebih rela turun makan bersama papanya itu.

“Esok, perempuan yang Darsuki kenalkan pada kau pagi tadi akan jadi pembantu peribadi kau,” ujar Tan Sri Irfan serius sekali. Makanannya kembali disuap ke dalam mulut.

Darwish mengeluh. Rasa marahnya kembali meledak bila perempuan bertocang satu itu disebut lagi. Hilang terus seleranya untuk menjamah makanannya.

“Papa, boleh tak pilih orang lain? Kenapa mesti perempuan tu jadi pembantu Wish? Perempuan tu, nampak aje lemah lembut dan sopan santun. Tapi pa, perempuan tu sebenarnya kasar. Pagi tadi dia...”

“Papa tak peduli. Kau nak kata apa pun, katalah. Papa tetap dengan keputusan papa. Papa yakin perempuan tu boleh jadi pembantu kau dengan baik,” pintas Tan Sri Irfan.

Darwish mengeluh kasar. Bengang bila hak bersuaranya telah ditindas dengan kuasa veto papanya. Ini tidak adil!!!

Suasana sepi seketika. Masing-masing menjamah makan malam mereka. Tan Sri Irfan tersengih memandang Darwish. Geli hatinya melihat wajah cemberot anaknya itu. Darwish pula terus buat muka 14 sambil mengunyah makanannya dengan keterpaksaan.

“Hisy... papa rimaslah tengok sikat kat atas rambut kau ni. Semak aje papa tengok. Buanglah.” Selamba Tan Sri Irfan menarik sikat yang terbelit di atas kepala Darwish.

“Argh!!!” Terjerit Darwish dibuatnya.



PINTU bilik Dato’ Zabadi diketuk dari luar. Ada sesuatu yang ingin dibincang dengan papanya. Dia perlu cepat. Jika lambat, dia khuatir adiknya semakin kuat mengesyakinya.

Kedengaran suara Dato’ Zabadi menyuruhnya masuk. Perlahan-lahan tombol pintu dipulas lalu daun pintu ditolak ke dalam. Kelihatan Dato’ Zabadi sedang asyik menaip sesuatu pada papan kekunci komputer ribanya.

“Ha Qadir, ada apa?” tanya Dato’ Zabadi kepada anak sulungnya itu.

Qadir tidak terus menjawab. Dia melabuhkan punggungnya di hadapan meja Dato’ Zabadi dengan senyuman biasa.

“Papa sibuk ke?”

Dato’ Zabadi mengabaikan komputer ribanya seketika. Dia mengalih fokusnya pada Qadir. Dari riak wajah Qadir seolah-olah ada sesuatu yang serius ingin disampaikan. Jarang sekali anak sulungnya itu nak bertemunya di rumah.

“Ada apa-apa Qadir nak beritahu?”

Keluhan halus Qadir kedengaran. Mahu tak mahu, dia mesti meluahkan apa yang sedang bermain di dalam fikirkannya kini. Bukan untuk kepentingan sendiri, tetapi untuk kepentingan mereka bersama.
“Qadir nak bincang dengan papa sesuatu.”

Dato’ Zabadi mula menyandar. Wajah Qadir dipandang lama. Dari nada suara Qadir itu, jelas sekali apa yang bakal dibincangan terlalu serius.

“Bincang pasal apa?”

Perbualan bertukar serius.

“Pasal Dira dan Darwish.”

Terdiam seketika Dato’ Zabadi mendengar jawapan anaknya itu. Apa kaitan Qadir dengan anak saudaranya itu? Setahunya, anaknya itu tidak berminat langsung nak masuk campur akan rancangannya.
“Kenapa dengan Dira dan Darwish?” tanya Dato’ Zabadi serius.

“Papa tahukan, Dira tu sebenarnya betul-betul cintakan Darwish?” ujar Qadir, ingin menduga Tan Sri Irfan.

Qadir yakin Tan Sri Irfan tahu akan perasaan adiknya itu. Cuma orang tua itu buat-buat tak tahu sahaja.
“Kalau papa tahu sekali pun, Qadir peduli apa?”

“Kenapa kita tak biarkan Dira bercinta dengan Darwish aje?”

“Kau dah gila? Kalau papa benarkan Dira bercinta dengan Darwish, peluang kau untuk mengganti tempat Uncle Irfan sebagai CEO Merbok Construction Berhad semakin tipis.”

Qadir tertawa sinis. Seperti yang dia dah agak. Fikiran papanya terlalu cetek. Tidak dapat fikir hal yang lebih jauh.

“Kenapa peluang Qadir nak ganti tempat Uncle Irfan semakin tipis? Bukannya ada kaitan pun dengan percintaan Dira denga Darwish?” Qadir sengaja bertanya soalan itu.

Dia ingin tahu apa rancangan papanya sebenar. Apakah sama seperti yang ditembaknya.

Dato’ Zabadi sudah menegakkan tubuhnya. Ternyata anaknya itu tidak dapat melihat kesan akan keputusannya. Wajah Qadir dipandang lama.

“Kalau Darwish kembali bercinta dengan Dira, kemungkinan Darwish akan kembali seperti dulu adalah tinggi. Papa nak kepala otak budak tu biol. Papa takut dia kembali normal seperti sebelum dia putus cinta dengan Dira. Peluang kau untuk menggantikan uncle kau tu semakin tipis!” Panjang lebar Dato’ Zabadi menjelaskan.

Dia mahu anak sulungnya itu jelas dan faham tentang rancangannya selama ini.

Sekali lagi Qadir tertawa sinis. Ternyata tembakkannya selama ini adalah benar.

“Papa...papa... Papa ingat Darwish tu akan selama-lamanya kebudak-budakkan macam tu ke? Kalau dia jumpa perempuan lain yang boleh mengatasi cinta dia pada Dira, macam mana? Kemungkinan Darwish kembali normal seperti dulu adalah tinggi. Sama aje pa.”

Dato’ Zabadi terdiam. Perlahan-lahan dia menyandarkan tubuhnya pula. Tidak terfikir pula dia akan hakikat itu. Namun, egoisnya tetap tinggi.

“Papa rasa tak mungkin. Mustahil budak tu akan kembali seperti dulu. Buktinya, dah empat tahun masa berlalu. Dia tetap macam tu,” ujar Dato’ Zabadi mengambil sikap sambil lewa.

“Apa yang Qadir cakap tadi, tak mustahil akan berlaku pa. Manusia ni boleh berubah dalam sekelip mata aje. Kalau papa rasa papa nak teruskan dengan rancangan papa tu, terserah. Sama ada Qadir dapat ganti tempat Uncle Irfan atau tidak, Qadir tak kisah.”

Qadir guna taktik pisko. Dia tahu pendirian papanya itu mula goyah. Dia mula mengangkat punggung.
“Nanti!” Tahan Tan Sri Irfan.

Senyuman mula meleret di hujung bibir Qadir. Rancangannya berhasil. Dia yakin, rancangannya ini akan membawa kegembiraan pada semua pihak yang terlibat. Kecuali Darwish! Dia kembali melabuhkan punggungnya.

“Papa nak tahu, apa sebenarnya rancangan Qadir. Apa tujuan kau menyuruh papa membenarkan Dira bercinta dengan Darwish,” tanya Dato’ Zabadi serius.

Dia dapat merasakan anaknya itu telah merancang sesuatu yang lebih baik untuk merealisasikan impiannya.

Sengihan Qadir semakin melengkung. Ternyata, umpannya mengena.

Previous: 15
Next: 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.