14
TERLOPONGZulaikha mendengar jawapan daripada Tan Sri Irfan.
Rasa-rasanya, lelaki itu belum lagi membuka fail resumenya tapi telah
menawarkan jawatan itu kepadanya.
“Kami akan tawarkan gaji
sepertimana diminta. Saya yakin, sebelum awak menghadiri temuduga ini,
awak sudah baca ciri-ciri wanita yang bagaimana kami hendaki. Di luar
tadi, tentu awak dah baca terma dan syarat untuk kerja yang ditawarkan.
Betul tak?” ujar Tan Sri Irfan dengan senyuman melebar di pipi.
Dengan teragak-agak Zulaikha mengangguk.
Tan
Sri Irfan tersenyum puas manakala Darsuki terpinga-pinga dengan
keputusan ketuanya itu yang secara tiba-tiba menerima wanita itu tanpa
melihat data peribadinya dahulu.
“Skop kerja awak mungkin
berubah-ubah dari masa ke sesama. Kerja sebagai pembantu peribadi ni,
tertakhluk kepada budi bicara ketua yang bakal awak jaga nanti. Cuma,
untuk kerja kali ini, ia agak special sedikit.”
Berkerut dahi
Zulaikha. Dia benar-benar berasa bingung dan hairan. Dia tidak pernah
menghadiri sesi temuduga seperti ini. Belum ditemuduga, sudah tahu
keputusannya.
Pelik sungguh! Jadi, apa pula nasib beberapa orang
wanita yang ditemuduga tadi? Adakah kesemuanya diterima bekerja di
syarikat serba berjaya ini? Semudah itukah?
Kata Kamal, sukar
untuk menjadi ‘ahli keluarga’ Merbok Construction Berhad. Tapi, aku
senang-senang je masuk? Zulaikha membebel di dalam hati.
“Special? Maksud tuan?” tanya Zulaikha teragak-agak.
Lebih baik dia bertanya sekarang. Jika tak, dia juga yang susah kelak. Malu bertanya, sesat jalan.
“Ketua
kamu nanti, seorang yang cerewat dan kebudak-budakkan. Umur dah 34
tahun. Tapi perangai macam budak-budak 12 tahun. Dia ni jenis malas
bangun pagi. Perangai dia sangat teruk sebagai salah seorang pengurus di
dalam syarikat ni. Setiap pagi, saya nak awak ke rumah dia. Kejut dia
ke pejabat tepat pada waktunya,” jelas Tan Sri Irfan.
Dia lebih
mengenali anaknya. Jadi, dia sudah tahu perangai Darwish. Kalau dia
kutuk Darwish di depan wanita itupun, dia tak kisah kerana Darwish
adalah anaknya.
Darsuki terus bingung melihat gelagat ketuanya itu. Dah nyanyok ke apa, orang tua ni? Detik hatinya.
Zulaikha bertambah-tambah bingung. Tak berapa jelas dengan tugasan yang bakal dilakukan selepas ini.
Kejutkan
bakal ketua aku bangun dari tidur? Apa kena mengena kerja pejabat
dengan kejut bangun tidur? Ini sesi temuduga untuk jadi mak tiri anak
ketua aku ke apa ni? Detik hati Zulaikha lagi. Semakin pusing kepala
Zulaikha bila memikirkan tentang tugasnya kelak.
Tan Sri Irfan
sejak tadi terus tersengih-sengih. Pagi tadi, semasa di lobi, dia telah
melihat satu sketsa pergaduhan di luar pintu lif antara Zulaikha dengan
Darwish. Inilah kali pertama dia melihat pergaduhan begitu. Zulaikhalah
wanita pertama yang berani memukul Darwish.
Mungkin Zulaikha
masih belum mengenali Darwish. Tapi dia tak mahu tahu. Yang dia tahu,
Zulaikha sahajalah yang boleh mengawal Darwish.
“Saya tak kisah
kalau awak nak maki ke atau nak pukul ke ketua awak tu nanti. Kalau dia
degil, tak dengar kata, pukul ajelah. Asalkan, apa yang awak buat tu
mendatangkan kebaikan untuk ketua awak dan syarikat ni,” jelas Tan Sri
Irfan lagi.
Darsuki terkejut mendengar kata-kata Tan Sri Irfan.
Sampai begitu sekali ketuanya itu menyandarkan kepercayaan kepada wanita
di hadapannya ini.
Hui! Belum apa-apa lagi, dia dah bagi green
light kat aku? Biar betul orang tua ni? Biul ke apa? Tapi aku memang tak
suka orang keras kepala. Mampu ke aku pukul manusia yang menjadi ketua
aku? Macam cari nahas aje? Bebel Zulaikha.
Tak faham Zulaikha dengan tugasan yang bakal dilakukan nanti. Terlalu merumitkan. Zulaikha terus tersengih-sengih.
“Bila awak boleh mula kerja?” tanya Tan Sri Irfan, tidak sabar-sabar.
Hampir rebah Darsuki dibuatnya dengan sikap pelik majikannya hari ini.
Sekali
lagi Zulaikha terlopong. Dia masih tidak berapa jelas tentang skop
kerjanya. Sebenarnya, dia pohon kerja sebagai pembantu peribadi atau
kaki pukul? Tak pun sebagai pembantu rumah? Mungkin juga pengasuh.
Aduh... pening dah kepala aku ni, keluh Zulaikha. Tapi, hanya
berkata-kata di dalam hati.
“Err...” Zulaikha tak tahu nak buat keputusan.
Apa
yang berlaku ketika ini benar-benar mengejutkan. Begitu mudah dia
memiliki kerja ini. Tak seperti yang digembar-gemburkan Kamal dan DSP
Faliq.
“Mungkin awak masih terkejut dan tak berapa faham dengan
tugasan awak sebenarnya. Sebentar lagi Encik Darsuki akan menerangkan
tentang tugasan awak dengan terperinci,” ujar Tan Sri Irfan.
Zulaikha tersengih. Macam tahu-tahu aje orang tua ni apa yang sedang bermain dalam fikirannya.
“Baiklah Cik...” Tan Sri Irfan melihat nama yang tertera pada resume wanita di hadapannya itu.
“Cik
Zulaikha, esok awak boleh mula kerja. Hari ni, pembatu peribadi saya
akan terangkan skop kerja awak, meja awak dan manusia yang bakal jadi
ketua awak esok,” ujar Tan Sri Irfan sambil menghulur fail di tangan
kepada Zulaikha.
Zulaikha menyambut fail yang dihulur sambil
berdiri. Senyuman diberikan kepada lelaki di hadapannya itu sebelum
meminta diri meninggalkan bilik serba mewah itu.
“Kenapa Tan Sri
terima budak tu sebelum kita interview dia?” Terus sahaja Darsuki
bertanya selepas kelibat Zulaikha hilang di sebalik pintu bilik
mesyuarat itu.
“Kau terangkan dulu pada dia skop kerjanya, di
mana tempat duduk dia dan perkenalkan pada Darwish. Nanti aku beritahu.
Okey?” jawab Tan Sri Irfan sambil tersenyum lebar.
Fail-fail di atas meja dikemas. Resume-resume dari calon lain terus sahaja direnyuk.
Sekali lagi Darsuki terkejut dengan tindakan ketuanya itu. Memang sukar ditembak tindakkan Tan Sri Irfan.
“Kalau
Darwish bising-bising pasal budak baru tu, kau suruh dia jumpa aku. Nak
tak nak, dia kena terima Zulaikha tu sebagai pembantu peribadi dia yang
baru. Tak sesiapa boleh pecat dia selain aku. Faham?” pesan Tan Sri
Irfan.
Resume-resume yang direnyuknya tadi dibuang ke dalam tong sampah yang berhampiran.
Tercengang-cengang Darsuki melihat tindakkan ketuanya itu. Dia hanya mampu mengeleng.
Sempat Tan Sri Irfan berpesan sebelum dia melangkah keluar dari bilik mesyuarat itu.
“Aku
nak kau perkenalkan Zulaikha pada Darwish terlebih dahulu, barulah
tunjukan di mana mejanya dan terangkan skop kerjanya dengan terperinci
seperti yang kau rancang hari tu. Selesai aje, bawa budak tu jumpa aku
kat pejabat. Aku akan siapkan offer letter dia untuk daftar masuk esok
di pejabat Human Resources (HR).”
“Baik Tan Sri,” akur Darsuki.
Selepas
kelibat Tan Sri Irfan hilang dari pandangan mata, dia mula mengemas
barang-barangnya. Tugasnya selepas ini adalah membawa pekerja baru
Merbok Construction Berhad itu berjumpa dengan ketuanya iaitu, Darwish
Darnie bin Tan Sri Irfan. Dia mula melangkah keluar dari bilik
mesyuarat.
“Zulaikha, ikut saya,” panggil Darsuki kepada ahli baru Merbok Construction Berhad itu yang sedang duduk di ruang menunggu.
Zulaikha
tidak menunggu lama. Terus sahaja bangun lalu menyusun langkah
mengekori lelaki yang masih belum dia kenali itu tanpa banyak soal.
Matanya terus liar memandang keadaan pejabat di aras itu. Sungguh moden
dan elegen sekali. Perabutnya nampak mahal dan bergaya. Langkah terhenti
di hadapan sebuah pejabat berpintu kayu.
“Ini bilik ketua kamu.
Sebelum saya tunjuk di mana meja kamu, saya perkenalkan dulu manusia
yang bakal jadi ketua kamu esok,” ujar Darsuki sebelum mengetuk pintu
pejabat itu.
Zulaikha mengangguk akur.
Kedengaran suara lelaki dari dalam menyuruh mereka masuk. Mereka berdua melangkah masuk dengan rasa hormat.
Zulaikha
terpaku bila pandangannya bertembung dengan mata lelaki yang sedang
duduk di hadapannya. Begitu juga dengan lelaki itu turut terkejut
melihat kemunculannya di pejabatnya.
Dia ni perempuan bertocang satu kat bawah tadi. Apa dia buat kat sini? Darwish tertanya-tanya. Marahnya kembali meledak.
What??? Lelaki ni ke bakal ketua aku? Tidak!!! Jerit Zulaikha di dalam hati. Dia sudah menggigit jari ketakutan.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.