Home Novel Thriller/Aksi Ops! Zulaikha
Ops! Zulaikha
Hasrudi Jawawi
22/11/2012 08:35:52
139,798
Kategori: Novel
Genre: Thriller/Aksi
Senarai Bab
26
QADIR menghela nafas lega. Stok lama dadahnya sudah habis dijual. Seminggu yang lalu, dialah manusia yang paling risau. Apatahnya, menyimpan stok dadah dalam kuantiti yang terlalu banyak. Tinggi risikonya.

Selepas stok lamanya habis dijual, kerisauannya hilang 50 peratus. Stok baru sudah boleh diedarkan. Dia boleh tersenyum lebar sekarang. Namun dia masih hairan, kes kematian Ah Meng dan penangkapan dua orang suruhan Ah Meng senyap begitu sahaja. Seolah-olah kes sudah ditutup. Tak tahu apa nasib dua orang suruhan Ah Meng yang telah diberkas pihak berkuasa itu.

Ah! Tu bukan urusan aku. Yang aku tahu, stok aku berjalan lancar, dengus hatinya.

Sebentar tadi, dia baru sahaja menyemak baki akaun. Jumlah wangnya di dalam akaun bank persendirian semakin bertambah. Perniagaan haramnya berjalan lancar walaupun mengalami sedikit gangguan. Senyuman gembira perlahan-lahan terukir di bibirnya.

Walau bagaimanapun, dia perlu berhati-hati walaupun orang-orang suruhannya mula mengedarkan stok dadah kepada ‘agen-agen’ rasmi ‘kawasannya’. Kes senyap, tak bererti kes tutup.

Dia tahu, pihak polis masih menyiasat kes ini. Cuma, siasatan kes itu diperlahankan sedikit kerana bahan bukti sukar ditemui buat masa ini. Bukti kukuh sudah terhapus dari muka bumi ini.

Skrin komputer ribanya dipandang sekilas. Laporan projek membina pusat membeli belah di Batu Pahat terpampang di skrin. Laporan itu perlu dibentangkan di mesyuarat lembaga pengarah Jumaat ini. Dia akan buat yang terbaik. Dia perlu buat papanya bangga.

Tapi kasihan pula dia dengan sepupunya, Darwish. Sebenarnya, dia taklah benci sangat sepupunya itu. Dia pun tak berminat dengan perniagaan Merbok Construction Berhad ini. Dia lebih suka bekerja sendiri. Sejak kecil dia tidak suka dengan dunia korporat. Namun disebabkan papanya mendesak, dia tiada pilihan.

Telefon bimbitnya dicapai lalu mendail nombor telefon salah seorang anak buahnya. Dia menyandarkan tubuhnya pada kerusi sementara menunggu panggilan dijawab.

“Helo Botak, malam ni aku nak kau mula edarkan stok baru,” arah Qadir.

Dalam masa tidak sampai seminit panggilan ditamatkan selepas arahannya diterima. Dia termangu seketika sambil bermain dengan telefon bimbitnya. Tiba-tiba melintas satu wajah di pandangannya. Wajah yang sejak akhir-akhir ini mula melekat di dalam ingatannya.

Dia bangun lalu melangkah keluar dari pejabat. Pejabat yang nak dituju adalah pejabat sepupunya, Darwish. Sebenarnya, bukan Darwish yang ingin ditemuinya. Sebaliknya, dia ingin bertemu dengan pembantu peribadi Darwish, iaitu Zulaikha.

Entah mengapa, sejak kali pertama dia berbual dengan wanita itu seminggu yang lalu, hatinya bagaikan ada menyimpan sedikit rindu pada wanita berkulit putih dan anggun itu. Namun belum pun sempat langkahnya sampai ke meja Zulaikha, tiba-tiba namanya diseru dari belakang.

“Tuan Qadir!”

Langkah Qadir terhenti lalu dia berpaling ke arah pembantu peribadinya.
“Ya Kenanga, ada apa?” tanyanya lembut.

“Dato’ Zabadi mahu jumpa tuan di pejabatnya sekarang.”

“Sekarang?”

Kenanga mengangguk. Mengiakan pertanyaan ketuanya itu.

“Huh! Potong stim betullah orang tua ni. Ada apa lagi dia nak beritahu aku? Kat rumah tadi tak nak pulak beritahu,” rungut Qadir lalu memesongkan langkahnya menuju ke arah pejabat Dato’ Zabadi. Serta merta niatnya ingin bertemu Zulaikha terbantut.

Kenanga hanya menjengkit bahu dan menjuihkan bibir selepas kelibat ketuanya hilang dari pandangan. Seketika kemudian dia kembali ke mejanya.

Sampai di hadapan pintu pejabat Dato’ Zabadi, daun pintu diketuk beberapa kali. Kedengaran suara papanya menyuruhnya masuk.

“Ada apa papa nak jumpa saya ni?” tanya Qadir sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk di hadapan Dato’ Zabadi.

Dato’ Zabadi menutup fail di tangan. Cermin mata yang tersangkut pada batang hidung dibuka lalu diletak di atas meja. Wajah anaknya dipandang.

“Macam mana dengan laporan projek shopping mall kat Batu Pahat tu? Dah buat slide show?”
Hal itulah yang ingin ditanya. Dia ingin memastikan anak sulungnya itu bersiap sedia untuk mesyuarat Jumaat nanti. Dia mahu anaknya lakukan yang terbaik. Senanglah dia mahu melobi anaknya itu untuk menggantikan tempat abang iparnya itu.

“Papa, hari ni baru hari Isnin. Ada tiga hari lagi meeting tu. Adir tengah buatlah. Lagipun, laporan tu senang. Banyak lagi kerja Adir nak buat selain laporan tu,” jawab Qadir bosan.

Setiap kali hendak adakan mesyuarat ahli lembaga pengarah, pasti Dato’ Zabadi akan bersikap demikian. Seolah-olah dia baru kali pertama menghadiri mesyuarat begitu.

“Papa nak ingatkan aje. Papa tak nak kau alpa. Papa nak kau buat yang terbaik. Papa nak kau buat semua ahli lembaga pengarah menaruh kepercayaan kepada kau. Lepas ni, senanglah mereka nak undi kau untuk gantikan uncle kau tu.”

Qadir mengeluh halus. Lagi-lagi topik yang sama. Naik bosan dibuatnya. Hendak tidak hendak, dia terpaksa telan juga. Dia sudah terbiasa.

“Baiklah pa,” akur Qadir tidak ikhlas.

“Papa bukannya nak...” Belum sempat Dato’ Zabadi menghabiskan kata-katanya, tiba-tiba pintu biliknya diketuk. Dia memandang Qadir. Buat seketika mereka saling berpandangan.

“Masuk!” laung Dato’ Zabadi. “Adik kau, papa suruh dia ke sini tadi.”

Qadir hanya menaikkan kedua-dua keningnya. Tiada kata-kata yang terluah.

Pintu bilik dibuka dari luar. Muncul Qadira dengan skirt paras lutut, kemeja putih mengikut potongan badan, rambut yang disanggul rapi dan berkasut tumit tinggi. Dia melangkah masuk dengan penuh bergaya.

“Eh, abang pun ada kat sini?”

Tak sangka Qadir turut ada di situ. Sangkanya, papanya hanya ingin bertemu dengannya sahaja.
“Duduk Dira,” pelawa Dato’ Zabadi.

Qadira melabuhkan punggung di atas kerusi empuk yang bersebelahan dengan abangnya.
“Ada apa papa nak jumpa Dira ni?” tanya Qadira.

Dato’ Zabadi terus menyandar tubuhnya pada kerusi. Wajah anak sulung dan bongsunya dipandang silih berganti.

“Emm... macam mana dengan Darwish? Dira dah dapat tambat hatinya semula?” tanya Dato’ Zabadi terus ke pangkal soalan.

Laju bola mata Qadir memandang Dato’ Zabadi. Dia sudah mengagak sejak adiknya melangkah masuk ke dalam bilik ini tadi. Pasti papanya ingin membincangkan hal ini.Dia mengambil sikap mendiam diri dan mendengar sahaja.

Qadira mengeluh. Sangkanya, dia dipanggil ke bilik ini atas urusan kerja. Tetapi apa yang berlaku adalah sebaliknya.

“Dira belum sempat jumpa Darwish, pa. Minggu ni Dira dah dapat kerja berat. Kena ubah semua jenis iklan kat web site Merbok Construction Berhad. Sampai tak sempat nak jumpa Darwish. Balik-balik mengadap pakar IT syarikat aje,” jawab Qadira jujur.

“Kau jangan berlengah, Dira,” pesan Dato’ Zabadi, mula risau.

Berkerut dahi Qadira memandang Dato’ Zabadi selepas mendengar pesanan papanya itu.
“Apa maksud papa ni?” tanya Qadira hairan.

Dia memandang abangnya di sebelah dengan wajah penuh tanda tanya. Tidak faham apa yang cuba papanya itu sampaikan.

“Kau tahu tentang pembantu peribadi Darwish yang baru?” tanya Dato’ Zabadi serius.

“Perempuan yang kita nampak kat lif hari tu, kan abang?” jawab Qadira dengan pertanyaan. Tetapi pertanyaan itu ditujukan kepada abangnya.

Qadir mengangguk.

“Apa masalahnya dengan pembantu peribadi Darwish tu?”

Dato’ Zabadi memicit hujung dahinya. Lurus bendul betullah anak aku seorang ni, tak dapat berfikir jauh, detik hatinya.

“Kau ni okey ke tak? Kalau kau tak ambil kesempatan yang ada, papa bimbang perempuan tu akan jadi pesaing kau. Kau nak berebut Darwish dengan perempuan lain?” jelas Dato’ Zabadi cuba membuat anaknya itu sedar akan hakikat sebenar.

“Ya ke? Sebelum ni tak jadi apa-apa pun Darwish dengan bekas pembantu-pembantu peribadinya?” ucap Qadira mempertikaikan.

“Pembantu peribadi Darwish sebelum ni lelaki Dira! Bukan perempuan!” Serentak Dato’ Zabadi dan Qadir menjawab.

Tak sangka mereka berdua memikirkan hal yang sama. Sudahnya mereka saling berpandangan untuk beberapa saat sebelum kembali memandang Qadira.

Terkejut Qadira dibuatnya sambil menggigit jari. Sekarang, baru dia faham maksud papa dan abangnya tu.

“Kau perlu cepat bertindak Dira, sebelum Darwish jatuh cinta dengan pembantu peribadinya sendiri,” pesan Dato’ Zabadi lagi.

Mendengar pesanan papanya kepada adiknya itu, tiba-tiba Qadir merasakan satu perasaan aneh di dalam hatinya. Perasaan itu menyebabkan dadanya terasa senak. Kenapa ni? Tanya hatinya sambil mengusap dada.

Qadira terdiam sambil mengangguk beberapa kali. Akur dengan kata-kata papanya itu. Beria benar papa dan abangnya inginkan dia meraih cinta Darwish semula. Sebelum ini, pantang disebut nama Darwish, pasti papanya akan melenting. Tapi sekarang, kenapa papanya berubah tiba-tiba? Mindanya mula bermain dengan pelbagai persoalan yang memusykilkan.



SAKIT hati Zulaikha dengan ketuanya itu. Tak fasal-fasal dahinya benjol dan sedikit bengkak kerana dibaling dengan bekas pensel. Nasib baik bekas pensel. Kalau ketuanya itu baling dengan komputer ribanya. Alamak! Terus pengsan di situ. Entah-entah dia sudah jadi arwah sekarang ini.

Dengan muka masam mencuka, dia mengemas pejabat ketuanya itu. Bulu ayam di tangan diguna sebagai alat membersihkan habuk. Di ketika ini, dia sedang membersihkan ruang perbincangan santai di sudut kiri pejabat itu.

Majalah-majalah korporat dari syarikat-syarikat lain yang bersepah di atas meja disusun lalu diletak di rak kecil di bawah meja.

Sejak tadi Darwish memandang Zulaikha mengemas pejabatnya. Hujung kuku ibu jarinya sudah sompek digigit-gigit. Rasa serba salah semakin menebal bila melihat bekas benjol di kepala Zulaikha.

Zulaikha terus mendiamkan diri. Biasanya, ada sahaja bebelan dari wanita itu setiap kali berhadapan dengannya. Tapi tidak kali ini. Wanita itu senyap dengan muka marah. Yalah, kalau dia berada di tempat wanita itu pun, sudah pasti dia akan marah.

Tapi dia kenakan aku, lagi melampau. Dia tahu aku tak suka minum kopi Tongkat Ali. Kenapa dia bancuhkan untuk aku? Aku yang sepatutnya marah. Dan, benjol di kepalanya itu adalah bayaran atas segala rasa sakit hati aku selama aku mengenali dia, bebel Darwish di dalam hati.

Eh, tiba-tiba aku kesian kat dia ni kenapa? Kalau difikirkan, apa yang dia lakukan sebelum ni dah cukup sempurna. Kejut aku sampai ke bilik aku setiap pagi. Dia terpaksa mengurangkan masa tidurnya semata-mata mahu kejutkan aku dari tidur.

Selalu buat kopi untuk aku. Pasal kopi Tongkat Ali tu, bukan salah dia. Aku pun tak pernah beritahu dia aku tak suka kopi Tongkat Ali. Aduh, kenapa aku kejam sangat? Wish, dia seorang perempuan, bukan lelaki macam Syafiq, hatinya bertingkah.

Hei Wish, yang kau tak pasal-pasal nak kesian dengan perempuan tu apa hal? Dia tu dah selalu buat kau sakit hati. Layaklah tu untuk dia kena sebijik kat dahi dia, egoisnya pula mencelah.

Darwish mengeluh halus. Matanya terus memandang Zulaikha. Hati dan egoisnya terus berperang. Hanya akalnya sahaja dapat menimbang keputusan yang terbaik. Sama ada kata hati atau egois yang perlu dia ikut.

Zulaikha terus mengemas pejabat itu tanpa mengendahkan ketuanya. Hatinya sedang sakit. Marahnya sedang meluap-luap. Buat masa ini dia tidak mahu memandang wajah ketuanya. Benci!!!

Darwish tersentak. Seolah-olah teringatkan sesuatu. Lekas-lekas dia membuka laci mejanya yang paling bawah. Kotak ‘First aid’. Tanpa membuang masa lagi, ‘First aid’ itu dibuka. Dia mencari sesuatu. Senyuman mula meleret bila terlihat krim bengkak.

Cepat-cepat dia meletakkan kotak ‘First aid’ itu di atas mejanya lalu krim bengkak tadi diletak di atas penutup kotak itu. Isi laci disepah-sepahkan. Sengaja dia berbuat demikian.

“Laci saya ni, bersepah!” arah Darwish sambil buat muka serius. Duduk bersandar sambil memandang Zulaikha.

Zulaikha yang sedang menyusun fail di rak mengeluh bosan. Terpaksa dia melangkah ke arah meja ketuanya. Laci yang dimaksudkan ketuanya tadi dipandang. Dengan malas dia menyusun isi laci itu sebelum ditutup semula. Dia malas mahu ambil tahu apa isi laci itu. Yang dia tahu isinya sudah tersusun kemas.

“Eh, kotak ‘First aid’ ni letak kat laci paling bawah,” arah Darwish sambil menolak kotak itu di atas mejanya ke arah Zulaikha.

Dia kembali memandang skrin komputer ribanya, berlakon konon-konon sibuk. Sedangkan, tiada apa-apa dokumen dibuka di komputer ribanya ketika ini.

Zulaikha tanpa banyak bicara memasukkan ubat bengkak itu ke dalam kotak lalu memasukkan kotak itu ke dalam laci yang dimaksudkan ketuanya tadi.

Darwish terkejut melihat tindakkan Zulaikha itu. Sedikit pun tidak perasan akan maksud sebenar mengapa dia meletak ubat bengkak di atas kotak ‘First aid’ tadi.

“Awak ni... sengal betullah. Kan saya dah letak krim bengkak kat atas kotak ‘First aid’ tu? Kenapa awak tak guna krim tu untuk sapu bengkak kat dahi awak tu?” ujar Darwish bengang.

Zulaikha malas mahu panjangkan cerita, dia menarik semula laci tadi lalu kotak ‘First aid’ dibuka. Krim tadi dicapai. Bulu ayam di tangan diletak di atas meja. Dia memicit sedikit krim yang seperti ubat gigi bentuknya itu di hujung jari telunjuknya. Dengan perlahan-lahan dia menyapu ubat itu ke bahagian dahinya yang bengkak.

Darwish hanya melihat perilaku Zulaikha itu. Namun, bila Zulaikha tidak menyapu krim itu di bahagian bengkak kerana tiada cermin di pejabatnya, membuatkan dia geram.

“Bukan kat situlah!” ujar Darwish sudah tidak mampu bersabar.

Krim bengkak di tangan Zulaikha dirampas lalu dipicit sedikit di hujung jari telunjuknya. Bahu Zulaikha ditarik mengadap wajahnya. Mujurlah dia sama tinggi dengan Zulaikha. Tidak perlulah dia menjinjit.
Zulaikha yang terkejut dengan tindakan ketuanya itu hanya terpaku bila wajahnya hanya berjarak tidak sampai sejengkal dengan wajah ketuanya.

Darwish menyapu krim di hujung jari telunjuknya pada dahi Zulaikha yang bengkak. Namun, bila mata mereka saling bertembung membuatkan kedua-duanya terpaku seketika melihat anak mata masing-masing. Buat seketika mereka tenggelam ke dasar hati masing-masing. Tanpa sedar, wajah mereka perlahan-lahan menghampiri.

“Ehem!”

Tiba-tiba kedengaran bunyi suara orang berdehem di muka pintu.
Mereka berdua terkejut lalu menjauhkan wajah masing-masing. Serentak mereka memandang ke arah pintu. Terpaku seketika.

Apakah perlakuan mereka tadi telah dilihat oleh insan yang berdehem itu? Siapakah insan yang berdehem itu?

Previous: 25
Next: 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.