Home Novel Keluarga Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Tertulis di Hati ( Pergi Bersama Janji)
Azilah Wahab
26/8/2014 18:34:32
90,349
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 24

24

MARISSA NORHANIS akhirnya pulang ke rumah itu selepas beberapa bulan tidak menjejakkan kaki ke rumah mereka. Malam tadi, Marissa Norhanis menelefon dan bercakap panjang dengan Halim. Anaknya itu meluahkan perasaan rindu dan sayang yang teramat terhadap mereka. Halim juga dengan rendah diri, meminta maaf kerana telah mengabaikan perasaan anak sendiri.

Sememangnya sebagai seorang ayah, Halim cukup memahami sikap manja anaknya itu. Sesekali, sikap Marissa Norhanis jelas mewarisi sikap tegas Halim yang bergelar majistret. Bukan lagi bertegas, mungkin juga bersikap diktator. Keputusannya rigid dan sukar dipengaruhi sesiapa.

Pertemuan kali ini, mereka mahu menghabiskan waktu sebaiknya. Mereka mahu saling berkongsi cerita demi meleraikan segala rajuk di hati. Petang itu, mentari memancar lembut. Warna jingga di kaki langit kian berserakan. Mereka anak-beranak meluangkan waktu di situ. Bersuka ria, bergurau senda. Mereka ke ladang jagung. Luas ladang jagung itu saujana mata memandang.

Mereka berjalan dan terus berjalan. Hampir sejam mereka berjalan, barulah mereka tiba ke hujung ladang.

“Eh, arnab! Arnab!” teriak Marissa Norhanis kegembiraan.

“Mana, kak? Mana?” tanya Hakim melilau mencari apa yang dimaksudkan Marissa Norhanis.

“Wah, comelnya dia!” kata Marissa Norhanis dengan teruja. Dia berlari mendapatkan sepasang arnah putih yang nampak jinak.

“Ha’ahlah ayah, ibu. Comelnya dia. Jinak lagi,” kata Hakim sambil mengusap-usap badan arnab putih itu. Arnab putih itu langsung tidak terkejut dengan kehadiran mereka, malah begitu lahap memakan pucuk-pucuk tumbuhan yang melata di kawasan ladang itu.

Halim memetik pucuk pokok jagung dan mengeluarkan beberapa tongkol putik jagung di antara celah daun dan tangkainya. Putik jagung itu lantas diletaknya di depan pasangan arnab putih tadi. Pasangan arnab putih itu kian lahap menerima pemberian Halim.

Marissa Norhanis teruja. Hakim dan Raudah Maryam juga sedemikian. Tak pernah mereka bertemu dengan arnab hutan ini. Tak pernah mereka mendekati binatang jinak ini apatah lagi mengusap bulu badannya. Kalau sebelum-sebelum ini mereka hanya melihatnya di zoo.

“Ayah, ibu... tengok tu. Kim nampak tak tu?” Suara Marissa Norhanis kedengaran menjerit riang.

“Kim! Kim! Mehlah sini. Kau tengok, dia suka sekali kat kakak. Kaki seluar kakak pun nak digigitnya,” beritahu Marissa Norhanis yang sedang mencarik-carik pucuk jagung di tangannya untuk dibahagikan kepada arnab itu.

Hakim tergelak sambil mendekati tubuh Marissa Norhanis.

“Kak, bukan kaki seluar kakak yang dia nak gigit, tapi dia nak makan putik jagung yang jatuh kat seluar kakak tu,” jelas Hakim.

“Oh...” Marissa Norhanis hanya tergelak memerhati seekor dua arnab yang memijak kakinya hanya kerana mahu makan putik jagung yang jatuh di hujung seluar treknya.

“Kakak gelilah. Macam gigi dia kena kat kulit kaki kakak lah pulak.” Marissa Norhanis tergelak lagi mengiakan kata-kata Hakim itu.

Raudah Maryam dan Halim turut tergelak melihat gaya Marissa Norhanis yang menahan geli.

Hakim membantu Marissa Norhanis mencarik-carik pucuk pokok jagung. Dia turut mengeluarkan putik jagung di antara celah pelepah dan tangkainya lantas dilonggok ke tanah. Hakim dan Marissa Norhanis kemudiannya bertinggung, melayani kumpulan arnab yang mula mengerumuni putik jagung tadi.

“Tak sangka ya arnab makan putik jagung. Ingatkan makan lobak aje!”

“Mana nak cari lobak kat sini, kakak? Makan ajelah, apa-apa yang ada. Kan arnab comel, kan?” jawab Hakim sambil bercakap-cakap dengan arnab di depannya.

Marissa Norhanis mengambil seekor arnab yang berada di kakinya sejak tadi dan mengangkat tubuh arnab itu dekat dengan wajahnya.

“Alahai, comelnya dia! Kita ambik bawak balik, boleh tak ibu, ayah?” tanya Marissa Norhanis sambil mengagah-gagah arnab hitam itu.

“Cup! Cup! Cak! Cak!” agah Marissa Norhanis berkali-kali. Namun arnab yang nampaknya jinak sebentar tadi tiba-tiba bertukar agresif. Arnah itu seperti berusaha mahu meloloskan diri daripada pegangan Marissa Norhanis. Akhirnya arnab hitam di tangannya berjaya melompat ke tanah.

Marissa Norhanis buru-buru mengejar arnab tadi kala disedarinya kumpulan arnab itu bertempiaran lari seperti takutkan sesuatu.

“Arnab yang lain takut kot bila kakak angkat tinggi-tinggi macam tu. Arnab tu rasa terancam agaknya,” komen Hakim.

Marissa Norhanis masih mengejar arnab yang dipegangnya tadi tanpa mempedulikan kata-kata Hakim. Dia nekad mahu membawa arnab itu pulang ke rumah. Hatinya sudah terpaut akan wajah comel arnab tadi. Sudah jatuh kasih dengannya.

Marissa Norhanis memanggil-manggil arnab hitam tadi dengan harapan arnab itu kembali kepadanya.

“Cup! Cup! Cak! Cak!” ulang Marissa Norhanis lagi.

Matanya melilau ke kawasan semak, mencari-cari tubuh arnab yang bersembunyi entah ke mana. Sekejap benar mereka menghilang. Raudah Maryam dan Halim yang memerhati gelagat anaknya itu hanya menggeleng kepala.

“Aduh, hilang ke mana pulak?!” rungut Marissa Norhanis.

“Jomlah, kakak. Dah lewat petang ni. Lain kali kita datang sini lagi, ya?” pujuk Raudah Maryam menyedari wajah hampa anaknya.

“Sekejaplah bu, ayah. Kakak nak tangkap arnab tadi. Kakak nak bawa balik rumah,” laung Marissa Norhanis yang semakin menjauh daripada mereka.

“Jomlah, kakak. Matahari dah nak terbenam ni. Langit dah nampak jingga benar tu,” panggil Halim pula seraya memandang ke wajah langit. Terpukau dia memandang keindahan langit petang yang berserakan warna merah jingga.

“Layang-layang pun dah galak terbang, pulang ke sarang,” sambung Halim lagi.

“Subhanallah, indah sekali panorama ciptaan Allahpetang ni ya, bang?” komen Raudah Maryam.

Kepalanya dipanggung ke wajah langit sambil melangkah kaki, merapati tubuh suaminya. Raudah Maryam kemudian memegang erat tangan suaminya itu. Kelakuannya dibalas dakapan mesra Halim ke tubuhnya. Hakim memandang kemesraan ayah dan ibunya itu dengan penuh rasa bahagia.

“Eh, mana pulak kakak ni?!” Hakim berpaling ke belakang mencari susuk tubuh Marissa Norhanis.

“Ya Allah, kakak!” Hakim bertempik kuat kala matanya menujah tajam ke tubuh Marissa Norhanis yang sudah longlai dipatuk seekor ular tedung selar.

“Maryam, anak kita Maryam! Ya ALLAH... kakak dipatuk ular!” jerit Halim, terkocoh-kocoh berlari mendapatkan Marissa Norhanis.

“Allahuakbar! Allahuakbar!” Hanya itu yang kedengaran di cuping telinga Halim. Kalimah Allah Maha Besar, yang dilaung oleh isterinya itu cukup menggambarkan perasaan cemas Raudah Maryam.

“Kakak! Kakak!” Halim bertempik kuat.

“Kakak, mengucap kak, mengucap!” kata Raudah Maryam dengan nada tangisnya yang semakin kuat. Kepala Marissa Norhanis kini di ribanya.

“Ikut kata ibu, ikut. Lailahailallah, Muhammad ya rasulullah,” ulang Raudah Maryam beberapa kali.

Marissa Norhanis tercungap lesu, mahu menyebut kalimah yang diajar ibunya. Bibirnya bergerak-gerak bersama bebuih putih yang kian mengalir hingga ke dagu. Matanya layu. Tenaganya sudah terlalu lemah.

Hakim membantu Halim mengikat pergelangan betis Marissa Norhanis dengan stoking yang baru saja ditanggal anak lelakinya itu. Harapan mereka agar stoking itu dapat membantu memperlahankan aliran darah Marissa Norhanis ke serata tubuhnya. Sebentar tadi, Halim sudah pun menghisap keluar bisa ular dari tubuh anaknya. Halim dapat membayangkan apa yang akan berlaku andai kata racun ular tedung selar yang berbisa itu akan menghentikan degup jantung anak gadisnya itu. Satu-satunya anak perempuan yang dia ada.

Halim mencepong pantas tubuh Marissa Norhanis. Dia berlari dan berlari dengan sekuat hati. Tujuannya hanya satu, mahu segera membawa Marissa Norhanis ke hospital. Langkah kaki Halim yang berlari laju turut dikejar Raudah Maryam dan Hakim. Perjalanan mereka dari hujung ladang jagung itu dirasakan terlalu jauh pula untuk tiba ke kereta dalam keadaan cemas begini.

“Ayah... cepat ayah. Cepat ayah!” teriak Hakim.

Halim melajukan langkah. Berat badan Marissa Norhanis bagai tidak terbeban di badannya. Meskipun kakinya berasa sangat kejang dan sakit, Halim sudah tidak pedulikan semua itu. Apa yang penting, soal hidup mati Marissa Norhanis.

Nyawa Marissa Norhanis bak telur di hujung tanduk. Kalau suntikan anti venom lambat diambil... Ya ALLAH, tak sanggup Halim memikirkan semua itu.

“Ayah... cepat ayah! Baringkan kakak kat sini,” arah Hakim. Pintu kereta sudah pun dikuak lebar. Enjin kereta sudah pun dihidupkan Hakim sejak tadi.

Halim yang kecungapan membaringkan tubuh Marissa Norhanis di tempat duduk belakang. Seketika, Halim terbatuk-batuk menahan lelah di jiwa. Batuknya panjang dan berulang-ulang. Terduduk tubuhnya di rumput bumi. Badannya tersandar lesu di badan kereta, dekat dengan tayar.

Raudah Maryam menjadi tidak tentu arah. Perasaan panik bertambah cemas melihat keadaan suaminya. Sesekali dia melihat keadaan Marissa Norhanis. Sesekali pula matanya berubah arah ke arah Halim.

“Kim... ayah kau ni, Kim! Ayah kau kenapa ni, Kim? Ya ALLAH! Abang kenapa?” teriak Raudah Maryam seraya mengurut belakang suaminya.

Melihat keadaan Halim, Hakim tidak jadi menutup daun pintu kereta. Sebenarnya, dia sudah berada di tempat pemandu dan bersedia untuk memandu kereta milik ayahnya itu. Dia mahu segera membawa Marissa Norhanis boleh dibawa ke hospital.

Dalam benaknya hanyalah satu iaitu anti venom. Anti venom ialah sejenis penawar yang akan melawan segala bisa racun ular tedung selar yang mematuk betis kakaknya tadi. Dia tidak mahu terlambat dan mempertaruhkan nyawa kakaknya di ambang kematian. Ya ALLAH...

“Kim, cepat Kim!” Raudah Maryam menjerit lagi.

Hakim keluar dari perut kereta lantas menerpa mendapatkan tubuh ayahnya yang hampir terbaring di tanah. Ada darah merah pekat keluar membuak-buak daripada mulut Halim.

“Ya ALLAH! Ayah kenapa ni? Cepat bangun, ayah! Kita kena bawa kakak ke hospital dengan segera. Nyawa kakak dalam bahaya,” desak Hakim sambil membantu ayahnya bangun. Namun, Halim masih terbatuk-batuk panjang. Darah merah pekat semakin banyak kelihatan di bibir.

“Jangan pedulikan ayah. Cepat bawa kakak ke hospital,” arah Halim dengan suara tersekat-sekat. Tangannya menekan dada yang sakit.

“Bangun ayah, bangun!” desak Hakim seraya memegang lengan Halim. Dia mahu membantu ayahnya bangun.
“Usah pedulikan ayah. Cepatlah hantar kakak ke hospital. Pergi! Pergi!” gesa Halim lagi.

Mendengar perkataan kakak, Hakim mengintai dari cermin kereta yang direndahkan. Melihat keadaan Marissa Norhanis, denyut nadi Hakim bagai terhenti.

“Ya ALLAH kakak... kakak!” tempik Hakim dengan nafas tercungap-cungap sebaik saja pintu kereta dikuak.

Suaranya tersekat-sekat menahan sejuta rasa sebak sebaik saja memeriksa nadi tubuh Marissa Norhanis. Hakim memeluk tubuh Marissa Norhanis kejap-kejap. Dia menangis, meratap, meraung sambil memanggil-manggil nama kakaknya.

“Tidak, kakak! Jangan pergi dulu, kak. Kim sayang kakak. Kim sayang kakak.” Tangisannya kian lirih membuatkan Raudah Maryam dan Halim terpempan hebat.

Raudah Maryam menerpa mendapatkan tubuh Marissa Norhanis. Tanpa suara, dia memeluk tubuh anak perempuannya itu kejap-kejap. Seketika, suara tangisannya merintih pilu.

“Hah, apa? Tidak! Tidak, Hakim tidak! Tak mungkin! Tak mungkin! Kakak, jangan tinggalkan ayah. Jangan tinggalkan ayah, kakak! Jangan kakak! Jangan pergi dulu!” tempik Halim berkali-kali.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.