Luka Pertama
Sebaik waktu pejabat bermula, Suraya sudah pun menumpukan perhatian pada skrin komputernya. Laporan-laporan menggunakan templat Microsoft Excel disiapkan satu demi satu dengan tekun. Hampir dua fail berjaya diselesaikan sebelum dia menekan butang simpan ke dalam folder khas. Masih ada satu lagi laporan menunggu untuk dibuat, semuanya perlu siap sebelum jam 4.00 petang dan dihantar kepada Mr. Lee.
Sesekali dia berbual kecil dengan teman-teman di meja berbentuk segi empat itu, sekadar gurauan ringkas untuk hilangkan bosan. Tiga orang lelaki di hujung meja juga kadang-kadang menyampuk, menjadikan suasana pejabat tidak terlalu sunyi.
Menjelang tengah hari, Amy dan Lisa sempat mempelawanya makan bersama. Suraya hanya tersenyum sambil menolak dengan baik. Dia sudah berjanji untuk keluar dengan tim sendiri.
Hari itu, Zamri membawa mereka bertiga ke sebuah restoran yang agak jauh dari pejabat. Perjalanan perlu menaiki kereta, menyusuri jalan berbukit yang kiri kanannya dipenuhi hutan semula jadi. Dari luar, restoran itu kelihatan sederhana, tetapi kawasan parkirnya penuh dan orang ramai beratur panjang di depan kaunter makanan.
Suraya terpinga-pinga melihat barisan yang tidak berkesudahan. Dia sudah membayangkan betapa lamanya mereka perlu menunggu. Namun Zamri hanya tersenyum, seperti sudah menjangka reaksi itu. Rupanya awal-awal lagi dia sudah membuat tempahan meja.
“Abang Zam ni nak berhenti kerja ke?” gurau Suraya, sengaja mahu menceriakan suasana.
Gurauan itu tidak berbalas. Zamri hanya mengangguk perlahan, wajah tenang.
"Ha'ah. Hujung bulan ni.”
Seketika, Suraya kaku. Senyuman yang singgah di bibirnya mati serta-merta. Gelas minuman di hujung jari hampir terlepas. Hadi dan Aidil pula masih bersahaja, seolah-olah berita itu sudah lama mereka tahu.
‘Oo… lupa pulak. I don’t matter.’
Dadanya terasa kosong, namun wajahnya tetap dipaksa tenang.
Zamri kemudian mula bercerita tentang kerja barunya. Katanya, dia tak lagi dituntut turun ke tapak projek. Lebih banyak masa akan dihabiskan di pejabat, hanya sesekali ke lapangan. Suaranya penuh keyakinan, mata bercahaya.
Suraya hanya mendengar, senyum nipis dipaksa.
Apabila jarum jam menghampiri pukul dua, mereka bertiga kembali ke pejabat. Dalam perjalanan menuruni bukit, Suraya membisu. Hanya deruan enjin dan gurauan Aidil bersama Hadi memecah suasana. Dia menatap keluar tingkap, memerhati hutan menghijau yang berundur laju. Sesekali bayangan wajah kemesraan mereka bertiga singgah di ruang fikirannya—senyum, yakin dan seolah-olah jauh darinya.
Sampai di pejabat, Suraya bergegas ke surau, melunaskan kewajipan. Hanya selepas itu, dia kembali menatap skrin komputer. Sisa laporan disiapkan dengan tekun, meski mindanya masih terganggu.
Sedang jarum jam menghampiri angka empat, dia menekan butang “send”. Fail khas yang ditukar kepada zip, laju meluncur ke peti masuk Mr. Lee.
“Well done, Anne!” suara itu lantang dari dalam bilik kaca Mr. Lee.
Suraya tersentak, lalu mengukir senyum tipis. Pujian itu hanya kerana dia menghantar tepat pada masa, bukan kerana isi laporan.
Usai tugasan itu dihantar, Suraya meminta izin untuk berehat sebentar. Zamri mengangguk memberi pelepasan. Langkahnya perlahan ketika memasuki lif, lalu butang tingkat paling atas ditekan.
Pintu terbuka pada sebuah ruang yang dikenali staf sebagai Terrace Garden—teras kecil di puncak bangunan, tempat mereka lari sebentar daripada kedinginan pejabat. Ruang itu sederhana: mesin layan diri di sudut, beberapa bangku panjang, kerusi urut, dan pelindung layar lebar menahan terik mentari.
Suraya menekan butang pada mesin, mengambil satu tin minuman. Hangat udara luar menyapa tubuhnya. Zip jaket diturunkan. Saat itu, fikiran nakal melayang pada sehelai hoodie Dr. Adrian yang masih terlipat kemas dalam almari kanvas di biliknya. Sudah dibasuh, sudah dibungkus dalam beg kertas, tapi masih belum dipulangkan.
Dia menarik nafas panjang, lalu duduk di bangku panjang menghadap ruang lepas. Dari situ, dunia terasa lebih luas, bagaikan miliknya seorang.
Tumbuhan renek menghijau memenuhi hampir separuh ruang, diselang-seli bunga warna-warni yang seolah melukis kanvas tenang di depan mata. Suraya menarik nafas dalam, membiarkan ketenangan itu meresap, menggantikan lelah kerja yang masih bersisa.
Dari jauh, kedengaran hiruk-pikuk hon kenderaan yang bertali arus. Namun di sudut ini, hanya kedamaian menemaninya.
Dia membuka tin soda, bunyi “pssstt” kecil memecah sunyi. Tegukan pertama perit seketika, sebelum rasa nyaman menjalar ke kerongkong. Seperti hidup juga, fikirnya—kadang perit di awal, tapi akan ada lega selepasnya.
Langkahnya perlahan menuju ke hujung teres yang melengkung. Tangan menggenggam rel besi, hangat menyentuh kulitnya. Pandangannya jatuh ke bawah. Kereta-kereta berlari seperti semut di jalan raya, kecil, tidak berdaya. Suatu ketika dulu, dia juga merasa kecil saat pertama kali Amy membawanya ke sini. Teruja bercampur ngeri. Kini, ketinggian itu bagai teman lama. Spot ini menjadi tempat kegemarannya… tempat untuk merasa dunia luas, tapi dirinya tetap wujud.
Puas menghirup udara segar, Suraya melangkah masuk ke ruang permainan yang sudah acap kali dijejaknya. Dua staf lelaki tekun berlaga di konsol Nintendo. Dia memilih basketball arcade machine — cabaran poin melawan masa. Bola melantun deras, papan skor berkelip-kelip. Lazimnya, totalnya sekitar seratus lima puluh.
Sedang dia asyik mengulang permainan, satu kelibat menangkap perhatiannya. Susuk tinggi lampai berdiri di spot kegemarannya tadi. Jeans biru straight cut, kemeja putih lengan panjang yang dilipat kemas hingga siku, rambut hitam separa bahu diikat rapi. Dr. Adrian.
Suraya terdiam. Selepas projek itu, inilah kali pertama mereka bersua. Dia tidak pernah mencari, tidak juga berani menegur. Dr. Adrian selalu kelihatan sibuk, setiap projek seakan menuntut pandangan darinya. Sama ada kerana pengaruh atau memang tugasnya, dia sendiri tidak pasti.
Yang pasti, ada rasa yang menekan dada. Dia terhutang budi. Bukan sekadar sehelai pakaian, tetapi tunjuk ajar yang tanpa sedar mengembangkan pengalaman dan keyakinannya.
Permainan yang sedang dilayani segera ditinggalkan. Baru beberapa langkah, dia terhenti. Dua orang wanita muncul, gaya mereka jelas menuju ke arah Dr. Adrian. Seorang melangkah penuh yakin, tumit tingginya berketuk lantai, manakala seorang lagi seakan bayang, mengekori dari belakang.
Dr. Adrian menoleh sebaik wanita pertama menghampiri. Tawa riangnya bergema, membuatkan rel besi di tangannya seakan turut bergetar. Suraya kaku. Ada sesuatu menyesak di dada. Hatinya berbaur keliru dan… entah, mungkin cemburu? Tidak menunggu lebih lama, dia memilih untuk beredar.
Kembali ke meja kerja, suasana masih sibuk. Jam di pergelangan tangannya menunjukkan hampir dua puluh minit dia menghilang. Sambil melayari server jabatan mencari maklumat projek terdahulu, fikirannya sudah jauh merencana.
Hari itu dia mahu pulang menaiki bas. Selama ini dia hanya menurut rutin bersama Hanis — naik tren dan berjalan kaki sebelum tiba di apartmen. Tetapi, dengan Hanis kini di Pantai Timur menghadiri kursus, tibalah masanya dia menunaikan hasrat yang lama tertangguh. Petang ini, dia akan mencuba jalannya sendiri.
Teringat pula kata-kata abah suatu ketika dulu — sejak sebelum bekerja lagi, lelaki itu sudah berkali-kali menawarkan kereta baharu untuknya.
“Tak perlulah, abah. Yaya malaslah nak berperang atas jalan setiap pagi,” ujarnya setiap kali topik itu timbul. Baginya, kenderaan awam lebih memadai—jimat masa, jimat wang, dan yang penting, tiada stres.
Tepat jam enam, Suraya sudah bersedia — fail dikemas, laptop ditutup, beg galas tersandang di bahu. Di sekelilingnya, klik tetikus dan ketukan papan kekunci masih rancak. Tiada seorang pun nampak mahu pulang. Dia hanya sempat melambai kecil sebelum melangkah keluar.
Hentian bas cuma dua blok dari pejabat. Setiap lima belas minit, bas ke Ampang akan berhenti mengambil penumpang di situ. Suraya tidak kisah kalau terlepas satu pun—petang itu dia hanya mahu menunaikan hasrat yang sudah lama tertangguh.
“Nak pergi mana?”
Suraya tersentak, menoleh. Dr. Adrian berdiri bersandar di dinding pintu masuk, seorang diri. Ruang foyer lengang; dia jelas orang pertama yang keluar hari itu.
“Balik,” sahut Suraya sepatah.
“Naik apa?”
“Bas.”
“Tak naik tren?”
Eh, banyak pulak soalan, fikir Suraya.
“Saya dah lambat, bos. Nanti kita bercakap,” gesanya sambil melangkah ke lif.
Belum sempat jari Suraya menyentuh butang lif, sesuatu mencengkam lengannya — mendadak dan terlalu pantas. Dia berpaling. Dr. Adrian sudah melangkah, membawanya ke lorong sepi di sebelah pintu kecemasan. Lorong itu sempit, malap, dan di hadapan mereka sebuah lif kecil menunggu.
Jantung Suraya berdegup kencang. Dia cuba meronta, menumbuk lengan lelaki itu beberapa kali. Namun Dr. Adrian tetap tenang, kalis terhadap segala cubaan itu.
Pintu lif terbuka, dan Suraya sekali lagi diikuti lelaki itu masuk. Nombor "4" ditekan.
Dadanya terasa sesak dengan debaran. Dr. Adrian masih selamba memegang lengannya, tanpa satu rasa bersalah pun. Tubuh Suraya bergetar, menahan marah, bimbang, dan takut. Aneh, suaranya seakan hilang!
Pintu lif kemudian terbuka, menyingkap lapangan parkir. Kereta Dr. Adrian menanti betul-betul di hadapan. Pegangan lelaki itu akhirnya terlerai, namun tubuh Suraya kaku. Tanpa banyak bicara, Dr. Adrian menuntunnya masuk ke dalam kereta.
Suraya hanya menurut. Antara marah, takut, dan bingung, dia tak tahu apa yang patut dilakukan—selain membiarkan keadaan terus bergerak mengikut rentak lelaki itu.
“Saya minta maaf, Suraya… sungguh. Saya tak fikir panjang tadi.”
Nadanya rendah, pecah sedikit di hujung, seperti menahan sesuatu daripada runtuh sepenuhnya.
Suraya berdiam. Dada berdegup kencang, nafasnya tersekat, kolam di tubir mata sarat menanti rebah.
“Suraya, please… I’m so sorry. Saya bukan nak sakitkan awak. Saya cuma nak hantar awak balik,” rayu lelaki itu, suaranya bergetar.
Dengan lafaz itu, tangan Suraya terangkat. Plak! —satu tamparan hinggap di pipinya. Dr. Adrian kaku, terperanjat besar, matanya terbeliak seketika.
Maruahnya bukan mainan! Apa, dia fikir kuasa bos besar membolehkan dia menarik orang sesuka hati?
“Jangan sesekali buat saya macam tu lagi!!”
Suara Suraya membara.
Sejalur air mata akhirnya tumpah. Matanya menikam wajah Dr. Adrian yang jelas terseksa dengan reaksi itu—dan anehnya, itu hanya menambah jijik serta marah yang meluap.
“Awak ni memang bos pelik! Tak pernah dalam hidup saya jumpa orang macam awak. Terlalu egois! Kenapa buat macam ni dekat saya? Sebab saya senang dibuli??” jeritnya lantang. Tiada lagi bahasa formal; rasa hormat telah tercabut, yang tinggal hanya maruah yang harus dipertahankan.
Dr. Adrian memejam mata seketika, sesal bertimpa-timpa. Dahinya berkerut, menahan perasaan yang berkecamuk.
“Saya minta maaf, Suraya. Saya tak ada kata lain selain maaf. Sumpah. Saya hilang kawalan tadi. Saya… tak sepatutnya buat macam tu.,” mohon Dr. Adrian berkali-kali. Sungguh tak diduga tindakannya meninggalkan kesan mendalam terhadap gadis itu. Dari awal, niatnya hanya mahu menghantar Suraya pulang. Namun, melihat gadis itu tergesa-gesa, seolah mahu mengusir dirinya tanpa bicara, hatinya terasa tercabar.
“Tak boleh ke cakap elok-elok?” suara Suraya memecah kesunyian, penuh jengkel.
Dr. Adrian diam sejenak. Nafasnya berat, matanya memandang ke hadapan tanpa fokus. Hujung jarinya menggenggam stereng, menahan gelora yang berbaur antara sesal dan keliru.
“Saya tak tahu kenapa, Suraya. Bila awak depan mata… kadang saya hilang pertimbangan,” akhirnya dia bersuara perlahan.
Ya, berhadapan Suraya sering menggoyahkan akalnya. Dia menarik nafas dalam, menyandar pada headrest dengan mata terpejam rapat. Tangan di pangkuan mengepal, menahan rasa bersalah yang terus membuak.
“Kenapa dengan saya, Dr. Adrian? Ada apa dengan saya ni??” Suraya tiba-tiba naik angin, mahu tahu alasan sebenar layanan kasar tadi.
“Ada sesuatu pada diri awak yang saya suka, Suraya.”
Huh?? Suraya spontan melarikan wajahnya. Kata-kata itu membawa seribu satu maksud, dan maksud itu kurang disenangi. Duduknya tegak, beg masih digalas, dia memeluk tubuh sendiri. Keinginan untuk menuntut penjelasan kuat, tetapi jawapan lelaki itu membuatnya menapis semula rasa ingin tahu itu.
“Apa saja yang awak suka tu bukan alasan untuk berkasar dengan saya,” tegasnya.
“Saya minta maaf, Suraya. Saya cuba kawal diri, tapi bila awak depan mata… it’s hard. Saya pun tak tahu kenapa.”
Suraya menelan air liur. Getaran emosinya yang lemah mulai rancak. Nafasnya naik turun, tetapi tidak segila tadi.
“Saya rasa bos dah salah faham… atau mungkin salah sangka. Apa pun, biar saya balik sendiri. Apa yang berlaku tadi… saya maafkan, tapi takkan saya lupakan.”
Tangannya meraih pemegang pintu, bersedia untuk segera beredar dari situ—jauh dari lelaki itu dan dari kawasan parkir yang sunyi.
Klik! Bunyi kunci kereta dari dalam mengejutkannya. Suraya menoleh, wajahnya masam.
Tak faham bahasa ke dia ni? fikirnya dalam hati.
Degil! Pemaksa! kutuknya lagi, berdesis di hati sendiri.
"Awak punya?" suara Dr. Adrian ringkas, tapi penuh perhatian.
Suraya buat tak peduli, menunduk dan menarik muka masam lebih tebal.
"Saya nampak awak di teres tadi. Kenapa tak tegur?" tambah lelaki itu, nada suara santai tapi menunggu jawapan.
Kening Suraya terangkat, seakan tersedar bahawa dia sudah kantoi. Tapi, apa masalahnya?
"Suraya…" panggil Dr. Adrian lembut, mengekalkan jarak, namun nada itu membawa maksud yang berat.
Suraya menelan liur, tangan kuat mengepal di sisi. Hati berdebar, minda ligat menimbang langkah seterusnya.
Akhirnya, dia melirik dengan ekor mata. Huluran itu masih mengarah kepadanya. Sekilas, dia menangkap rupa objek yang amat dikenalinya—sehelai tisu, dengan lebah kuning tercetak di atas permukaannya yang lembut.
Dia segera memalingkan pandangan ke dinding konkrit merah gelap, mencari ketenangan dari memandang wajah Dr. Adrian yang dikatakan “sejuk mata memandang.”
Tak sejuk langsung! Panas hati pun ada.
"Saya naik ke situ untuk relaks sekejap, dah habis rehat, saya cabutlah," katanya kasar, cuba menyembunyikan secebis kebenaran.
"Awak tak nak tahu siapa tadi tu?" tanya Dr. Adrian.
"Tak nak tahu! Saya nak balik!" Suraya meninggikan suara, satu per satu katanya penuh tegas.
Sebaik pemegang pintu dicapai sekali lagi, kedengaran kunci dilepaskan. Suraya menarik nafas dalam-dalam seketika, cuba menenangkan diri. Cukup! Petang ini, dia hanya mahu pulang. Lelaki itu boleh uruskan halnya sendiri—tidak ada kaitan dengannya.