Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
121,132
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 10

Kena Gosip


“Anne, kau dengan Abang Zam tu rapat semacam je. Ada apa-apa kah?”

Suraya terbatuk kecil. Tekaknya terasa perit. Mujur teh tarik ais itu belum sempat disedut — kalau tidak, habislah nasib sesiapa yang duduk di hadapan. Tisu di atas meja cepat-cepat dicapai, sambil matanya mencerlung pada dua orang lelaki yang sedang asyik memerhatikannya. Hadi hanya tersengih-sengih, Aidil di sebelah pula menahan tawa.

“Korang ni masuk ofis nak kerja ke nak jadi wartawan hiburan?” sindirnya, pura-pura berwajah garang.

Kedua-duanya menggeleng serentak, langsung tak rasa bersalah.

“Habis tu?”

“Tak adalah... Abang Zam tu asyik-asyik mintak tolong kau je. Cara dia cakap dengan kau pun lain, lah.” Sama seperti tadi, Hadi menutur dengan nada selamba, sambil mengangkat kening.

“Kitorang yang duduk semeja ni meremang bulu tengkuk dengar, tahu?” kata Aidil pula, hujung bibirnya terjungkit sedikit.

Suraya membulatkan biji mata. Hadi pula tidak mampu bertahan, ketawa kuat sampai meja sebelah menoleh hairan.

“Tapi aku rasa biasa je,” balas Suraya, cuba mempertahankan diri.

“Ha, kau tak sedar. Nanti bila dah lama-lama baru kau perasan. Masa tu dah terlambat. Orang tu dah jauh angau.” Hadi menambah lagi minyak.

Suraya mencebik sambil menjeling. Namun di dalam hati, degupan jantungnya jadi tidak keruan. Angau? Merepek. Tapi… betul ke cara Abang Zam layan aku lain dari orang lain?

“Dah dah…,” putusnya sambil mengangkat tangan.

“Hari ni korang makanlah apa yang korang nak. Aku belanja.”

“Serius?”

Alright!”

Hadi dan Aidil sama-sama tersengih sampai ke telinga.

“Dah kenapa nak belanja?” Hadi menyoal, masih tak percaya.

“Alah, korang kan senior aku dekat ofis. Banyak tolong, beri tunjuk ajar… Semua tulah. Terima kasih banyak-banyak, eh.”

Suraya menguntum senyum kecil, tapi jauh di hati dia lega kerana akhirnya topik tadi lenyap.

“Oo...” Kepala Hadi terangguk-angguk sebelum dia menyambung, “Eh Aidil, kalau tahu Anne nak belanja, kita order ayam golek je lah!” seloroh Hadi, buat mereka bertiga tergelak kecil.

“Eh, Abang Zam! Jom makan sama. Anne belanja,” seru Aidil, sambil menepuk perlahan bahu lelaki itu. Wajahnya ceria, senyuman lebar mengiringi ajakan. Dia baru sahaja bangun dari kerusi, langkah dihala ke meja bufet yang dipenuhi aroma lauk-pauk panas.

Suraya terdiam. Jantung terasa tersentak kecil, tapi cepat-cepat dia capai telefon dan mula menekan skrin seolah-olah ada mesej penting.

Tanpa banyak soal, Zamri mengambil makanan lalu menarik kerusi di sebelahnya. Bunyi geseran kaki kerusi di lantai serba tak kena di telinganya. Suraya menunduk, pura-pura fokus pada skrin yang malap.

“Ehek!” Aidil berdeham kecil. Hadi pula terbatuk-batuk menahan gelak.

Sengajalah tu!

Kembali ke pejabat, Suraya segera mendekati meja kerjanya. Belum sempat dia duduk, Zamri sudah berdiri berhampiran, memberi isyarat supaya dia bersedia. Tanpa banyak soal, Suraya pantas mengikut langkah lelaki itu keluar dari pejabat.

“Kita ada mesyuarat di Batu Tiga,” katanya ringkas.

Suraya sedikit terkejut. Mesyuarat? Bila masa pula ada makluman? hatinya berdetik, keliru. Namun, kaki tetap melangkah laju mengekori Zamri menuju ke parkir.

Beberapa minit kemudian, mereka sudah berada di dalam pacuan empat roda. Enjin dihidupkan, kereta perlahan-lahan meninggalkan kawasan syarikat. Keheningan singgah seketika, hanya ditemani deru pendingin hawa.

Tanpa menoleh, Zamri bersuara, tenang tetapi cukup jelas, “Waktu Anne mula-mula masuk kerja dulu, abang fikir cukup bulan mesti Anne hantar resign letter. Tapi abang silap. Anne ni boleh tahan mental dengan fizikalnya.”

Suraya hampir terbatuk. Serius ke ni puji? Atau sebenarnya sindir halus?

“Itulah. Beauty and brain seiring,” balasnya, sengaja berseloroh walaupun telinga terasa panas sendiri.

Zamri tergelak kecil. Gelak yang jarang keluar, tapi bila sekali dengar, Suraya rasa pelik—seolah-olah ia berbunyi sindiran.

Melalui ekor mata dia nampak lelaki itu bersandar, memeluk tubuh. Cermin mata hitam menutup pandangan, tapi Suraya yakin bibirnya masih menguntum senyum.

Bosan dengan sunyi yang memanjang, dia menekan butang radio. Suara DJ berkumandang, membicarakan topik: “Dalam kerja, pasangan yang paling kita tak sangka selalunya jadi paling serasi…”

Suraya segera mencebik. Alahai, radio pun nak join pakat usik aku ke ni?

Sebaik tiba di Batu Tiga, kenderaan keluar dari Lebuhraya Persekutuan lalu menyusuri kawasan perindustrian yang sarat dengan bangunan mega. Kontena Nasional dilewati sebelum mereka memasuki sebuah kompleks berpagar, lengkap dengan kawalan keselamatan yang ketat.

Setelah mendaftarkan kehadiran dan menerima pas lawatan, Zamri akhirnya bersuara.

“Sebenarnya abang je yang patut pergi. Tapi entah macam mana, last minute call dari Mr. Lee, nama Anne pun ada sekali.” Suaranya tenang, tapi lirikan matanya ke belakang membuatkan Suraya bertambah keliru.

“Kena? Kenapa kena bawa saya?” soalnya, separuh cemas.

“Entah… abang pun tak perasan nama Anne ada dalam circle email.”

Suraya terpempan. Kakinya terasa kaku meniti anak tangga kecemasan yang dingin. Jauh di hati, dia sedar dirinya hanyalah antah yang tercampak dalam bekas beras—tidak sepadan, tetapi terpaksa duduk sama rendah, berdiri sama tinggi.

Seakan sudah hafal peta pejabat itu, Zamri terus memimpin langkah melalui lorong sempit yang dindingnya bercermin, memperlihatkan ruangan pekerja. Suraya hampir terhenti. Deretan meja dipenuhi komputer, dua atau tiga buah pada setiap stesen kerja. Paparan peta, graf, dan angka yang berkelip-kelip langsung tidak difahami olehnya. Bunyi papan kekunci dan dengungan pendingin hawa bercampur menjadi satu irama.

Tiba di bilik mesyuarat, dua lelaki sedang tekun di depan komputer riba masing-masing. Tidak sedikit pun mereka menoleh. Zamri terbatuk kecil, sekadar helah—dan ia berhasil.

“Anne, kenalkan, ini Azlan dan Kit. NOC engineer.” Jari telunjuknya menuding seorang demi seorang.

Suraya cuba menguntum senyum, namun terasa kaku. Dia hanya mengangguk tipis.

“Encik Musa dan Josh mana?” soal Zamri, menarik kerusi untuk duduk.

Kit menolak cermin mata ke batang hidung sebelum menjawab perlahan, “Belum sampai lagi. Sekejap lagi, kot.”

Kata-kata itu jatuh lalu menenggelamkan ruang ke dalam sepi. Hanya bunyi jarum jam yang berdetik, perlahan tapi menikam telinga.

“Erm, you… anak Che Nor, kan?”

Suraya tersentak. Nama panggilan itu—nama yang hanya diguna oleh segelintir orang rapat dengan mummy—membuatkan kepalanya terangkat spontan. Tiga pasang mata serentak menoleh, tetapi hanya sepasang benar-benar menembusinya. Dahinya berkerut, cuba mencerna.

“Azlan. Sepupu Hanis,” lelaki itu mengingatkan, senyum tipis menghiasi wajahnya.

Suraya terkebil-kebil, sebelum menutup mulut dengan tangan. “Oh…” Dia mengangguk-angguk, memori lama pantas kembali—majlis pertunangan Hanis, senda gurau, dan wajah Maksu Azah yang lebih melekat di ingatan berbanding anak-anaknya. Tidak terjangka hari ini, di tempat asing ini, mereka akan bersua.

Sorry, tak perasan…” suaranya perlahan, malu-malu.

Zamri segera menyampuk, nada tegas namun terkawal. “Oh, kalau dah kenal tu baguslah.” Seolah-olah menutup ruang untuk sebarang sambungan.

Suraya hanya sempat menarik nafas, menyedari waktu peribadinya telah dipintas oleh suasana kerja yang lebih besar menunggu.

Benarlah sangkaan, Encik Musa dan Josh akhirnya tiba tidak lama kemudian. Namun, bukan berdua seperti diduga. Di tengah-tengah mereka, hadir juga Dr. Adrian dengan wajahnya yang tenang, dingin, seolah-olah tidak terusik oleh hiruk-pikuk dunia.

Encik Musa dan Josh kelihatan sebaya, lewat empat puluhan, gaya lelaki yang sudah lama selesa dengan kehidupan — sedikit berperut, tawa besar mereka berulang kali memenuhi ruang. Sejak mula melangkah masuk, perbualan mereka tidak pernah putus, malah ketika duduk pun gurauan itu masih berlarutan. Anehnya, gurauan itu seakan milik mereka berdua sahaja. Dr. Adrian langsung tidak mencelah, sekadar memandang kosong seolah-olah sudah biasa dibiarkan terasing.

Saat lelaki itu mengambil tempat duduk berhadapan dengannya, lirikan matanya jatuh tepat ke arah Suraya. Sekejap cuma, tapi cukup untuk meremangkan bulu roma. Dadanya bergelora, lalu dia cepat-cepat menundukkan wajah, berpura-pura sibuk membetulkan kertas di hadapan.

Kecut. Itulah hakikatnya. Selepas kata-kata berani matinya terhadap lelaki itu tempoh hari, kini dia terpaksa menelan akibatnya. Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata… nah, inilah balasannya. Namun, sesuatu yang aneh membungkam fikirannya — kenapa tiada sebarang tindakan darinya?

Mungkin, kerana apa yang diucapkan memang benar.

Dan kebenaran, bukankah memang pahit?

Telanlah, Dr. Adrian.

Alright,” tutur Encik Musa sambil menepuk ringan meja bulat, cuba menarik fokus semua yang ada. “Let’s start the meeting… Eh?” Dahinya berkerut, matanya singgah pada Zamri. “Kenapa you yang ada, Zamri?”

Zamri membuka mulut, namun sempat terhenti.

I requested him,” pintas Dr. Adrian tenang, nada tegas seolah-olah tidak memberi ruang untuk dipersoal.

Suraya menjeling sekilas ke arah Zamri, mencari jawapan, tapi lelaki itu hanya mengangkat bahu kecil.

And her?..” soal Josh, jari telunjuknya menunjuk ke arah Suraya seolah-olah dia pesalah di kerusi tertuduh.

Darahnya naik mendadak. Panas pipi, tapi tubuh terasa kaku. Suraya terkebil-kebil, tidak tahu apa alasan kewujudannya di meja itu. Perlahan, matanya teralih pada Dr. Adrian di hadapan — memohon penjelasan yang tidak terucap.

Suraya Anne. She’s the night shift backup.”

Seolah-olah seluruh bilik bergetar.

Apa? Syif malam? Backup?

Dia hampir bersuara, tetapi hanya mampu memandang Zamri, mencari pengesahan. Lelaki itu mengangguk perlahan — ya, memang begitu. Jadi dia seorang saja yang masih kabur?

Okay then, settle.” Encik Musa cepat memintas. “So, our project, as per requested by Dr. Adrian, adalah untuk NOC sending backup connectivity to all his special sites if the sites go down until connectivity restore. Kalau pre-phase ni berjaya, kita akan extend ke entire region…”

Ayat demi ayat berterbangan di atas kepalanya, seperti bahasa asing. Namun, dia tetap tekun mencatat — biarpun tidak faham sepenuhnya. Sekurang-kurangnya, nota itu boleh jadi bukti: bahawa dia memang pernah ada di sini.

Berada di Network Operating Centre benar-benar membuka mata Suraya. Dia kagum melihat semangat mereka yang seakan tidak kenal erti lelah; memerhati, memeriksa dan menyelia jaringan perhubungan tanpa henti. Semua itu demi memastikan rangkaian berjalan lancar, mengikut prosedur yang ketat. Kerja yang menuntut komitmen dua puluh empat jam itu jelas bukan satu tugasan mudah. Tidak hairanlah, ketika dia melewati meja staf NOC tadi, hanya beberapa kerat sahaja pekerja wanita yang kelihatan.

“Anne, ada peluang boleh kita jumpa lagi.” Azlan menitip kata sambil tersengih, sebelum cepat-cepat beredar tanpa menunggu jawapan.

Suraya terpaku di ambang pintu bilik mesyuarat. Matanya mengekori langkah lelaki itu sehingga hilang di celah lorong. Kata-katanya pula berdesir seperti angin lalu, tidak sempat dihadam. Yang lebih memberati benaknya kini ialah persoalan sebenar—mengapa dia dimasukkan ke dalam pasukan itu tanpa sebarang notis awal. Mr. Lee… dia betul-betul terlupa, atau ada sesuatu yang sengaja dirahsiakan?

“Balik ofis dengan I.”

Suraya segera berpaling. Hanya sebidang dada yang terhidang di hadapannya, membuat dia cepat berundur selangkah.

“S-saya balik dengan Zamri,” sahutnya pantas, hampir tergagap.

“Tak boleh.” Suara Dr. Adrian datar, tapi tegas. “You balik dengan I. Ada task yang I perlu jelaskan.”

Kepala Suraya tertoleh ke kiri dan kanan. Panik. Bayangan Zamri langsung tak kelihatan. Sejak tamat mesyuarat tadi, lelaki itu terus menghilang—mungkin ke tandas. Tinggal dia, terperangkap berdua dengan Dr. Adrian di hadapan pintu. Otaknya ligat mencari alasan, namun semua jawapan terasa bodoh dan tidak meyakinkan.

Come on, Suraya. I have no patience with traffic jammed.”

Nada mendesak itu menghentikan segala usaha untuk menolak. Dengan hati berat, Suraya terpaksa mengikut jejak lelaki itu melangkah keluar dari ruang NOC—medan pertahanan digital sesebuah negara.

“You may ask, and I will tell,” tutur Dr. Adrian selamba, matanya masih fokus ke jalan.

Suraya tersentak kecil. Pelukannya pada beg komputer riba semakin erat, seolah-olah itu perisai terakhirnya. Dia menarik nafas dalam-dalam, cuba menenangkan diri dengan aroma mint frost yang lembut. Namun, rasa tenang itu hanya sementara.

Sejak meninggalkan kawasan perindustrian tadi, hanya sunyi menemani mereka berdua. Suraya mengalih pandangan ke luar. Jalan raya penuh bertali-arus kenderaan, tetapi anehnya, langsung tidak menimbulkan kesesakan.

“Kenapa saya?” akhirnya dia bersuara, cuba berani. “Sedangkan saya tak tahu apa-apa pun. Maksud saya, saya masih baru... tiada pengalaman, apalagi ilmu dalam tugas ni.”

Dia terdiam seketika, rasa was-was mula menekan dada. Adakah ini balas dendam Dr. Adrian?

I thought you sendiri yang kata nak turun site, kan?” balas Dr. Adrian, suaranya tenang tetapi menusuk.

Oh, jadi betullah tekaannya. Suraya menjeling sekilas. Patutlah tiada sebarang tindakan atas kelancangan mulutnya hari itu. Rupa-rupanya lelaki ini membalas dengan cara halus—membawanya masuk ke tim lalu terus disuruh bekerja pada waktu malam. Begitu rupanya?

“Bukan sebab saya perempuan ke?” suaranya bergetar, tapi tegas. “Orang perempuan kan senang kena buli, tak begitu? Terutama orang baru… mudah aje disuruh buat itu ini tanpa membantah.”

Degup jantungnya bertambah kencang. Apa? Tak salah ke apa yang aku fikir? Sejak kali pertama turun ke tapak projek bersama Zamri, hinggalah ke hari ini, tindak-tanduk mereka seperti mengiyakan wujudnya amalan buli dan diskriminasi. Tak sangka… lelaki ini pun sekaki!

“Buli?” Dr. Adrian menoleh sekilas, nada suaranya kali ini lebih tajam. “Are you sure?”

Ekor matanya menangkap Suraya yang kaku di sisi, seperti membeku dalam kebisuan. Tegang. Seakan marah, tetapi memilih untuk diam.

Bibir Dr. Adrian mengulas senyum nipis—namun cepat padam. Kecewa. Frust. Kenapa gadis itu tidak menjawab?

“Suraya, I tanya sekali lagi. You kena buli ke di ofis?”

Dengan sengaja Dr. Adrian menekan perkataan buli itu—menuding semula isu yang gadis itu sendiri bangkitkan sebentar tadi.

Bisu.

Sekali lagi dia menerima layanan dingin. Pelik. Mengapa Suraya mudah mesra dengan orang lain, tetapi tidak dirinya? Wajahnya garang sangatkah? Tegas? Atau… dia sudah tahu sesuatu tentang dirinya? Tidak mungkin. Buntu. Satu-satunya cara untuk tahu: bertanya terus pada gadis itu.

“Saya tak tahu.”

Jawapan itu datang perlahan, disertai genggaman erat pada beg komputer ribanya.

“Tapi you yang cakap tadi—” desak Dr. Adrian, nada makin keras.

“Bos, please laa... saya saja serkap tadi. Takde pape lah...” balas Suraya, pura-pura selamba. Dalam diam, jantungnya berdegup laju. Menyesal terlepas cakap. Dia belum bersedia membuka rahsia itu, walau pada kawan baik sekalipun.

Dr. Adrian menarik nafas dalam, lalu menundukkan sedikit suara. “Okay, okay... baiklah. Tapi kalau betul you kena buli... make a report. Jangan diamkan.”

Sekilas dia menjeling gadis itu. Ada sesuatu pada nada Suraya tadi yang membuat dadanya berat. Dia hanya mampu berharap… kata-kata itu bukan satu kebenaran yang disembunyikan.

Suraya membatukan diri, menatap ke luar seolah-olah pemandangan itu mampu menyembunyikan kegusarannya. Dada yang terasa senak dikemaskan dengan genggaman erat pada beg riba. Belum masanya—belum lagi untuk dia mendapatkan bantuan pihak ketiga. Tanpa bukti, tanpa saksi, semuanya sekadar andaian. Dan andaian takkan mampu memberi pembelaan. Jadi, lebih baik diam daripada menanggung akibat lain.

“Esok you tak perlu datang kerja,” tiba-tiba suara Dr. Adrian memecah hening.

Suraya spontan membulatkan mata.

Amboi… protective betul! getusnya dalam hati.

“Siang esok, kalau boleh… you tidur sebanyak mungkin—”

“Bos!” Suraya cepat memintas, wajahnya penuh tanda tanya. “Apa sebenarnya ni? Saya tak faham lah.” Tatapannya terarah tepat pada wajah lelaki itu, bercampur keliru dan waspada.

Night shift, kan? So, siang esok you dikira on standby, bukan ponteng. Jam sepuluh malam I pick you up di rumah. Ambil ni... save nombor and alamat rumah you.” Dr. Adrian mencapai telefon pintarnya di phone holder, lalu menghulurkan.

Suraya terpinga sesaat. Dia tahu lelaki itu tidak perlukan maklumat itu—fail peribadinya ada saja dalam simpanan HR. Tapi bila melihat wajah Dr. Adrian yang bersahaja, dia akur juga.

Telefon itu diajukan. Suraya teragak sejenak sebelum menyambut, menggigit bibir menahan perasaan yang bercampur-baur. Dia menekan nombor sendiri di skrin, memerhati pantulan wajahnya samar pada kaca telefon itu. Setelah selesai, dia menyerahkan kembali kepada lelaki itu tanpa sepatah bicara.

“Alamat?”

Suraya menggeleng, matanya menyorokkan sesuatu. “Esok.” Jawapannya ringkas, tegas.

Tiada lagi kata daripadanya selepas itu. Hanya Dr. Adrian yang terus bersuara, menerangkan sebab musabab Suraya dibawa masuk ke dalam pasukan. Tentang projek besar yang menanti mereka. Namun, di sebalik tutur kata tenang itu, ada sesuatu yang tidak diluahkan. Sesuatu yang hanya Dr. Adrian simpan dalam fikirannya sendiri.

Previous: Bab 9
Next: Bab 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.