Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
117,342
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 1
Si penganggur

Tahun 2012


Usai solat Asar, Suraya merebahkan diri di tilam. Tubuhnya tenggelam dalam empuk bantal, tetapi fikirannya tetap resah. Keluhan kecil terlepas sebelum dia bangkit, menarik keluar sebuah laptop dari laci di hujung bilik — teman setia sepanjang pencarian kerja yang tak pernah selesai.

Logo Windows berputar di skrin. Suraya menunggu, matanya terpaku pada gambar latar: wajah dia, mummy dan abah, tersenyum cerah pada pagi lebaran.

Dia menarik nafas panjang. Email dulu… atau Youtube? Hatinya berperang antara malas dan tanggungjawab.

“Han,” Suraya akhirnya bersuara, memecah diam.

“Tolong tengok CV aku ni. Okey tak?”

Hanis yang leka menatal telefon terus mengangkat muka. “Bak sini.” Dia sambut laptop itu tanpa tunggu Suraya hulur.

Wajahnya berubah serius. Kaki yang terjuntai masih bergoyang, tapi matanya tak berkelip membaca butiran di skrin. Suraya perhati senyap-senyap, jantung berdegup laju macam nak tunggu keputusan peperiksaan.

Not bad,” ujar Hanis selepas beberapa minit.

Senyum tipis menyusul. “Info semua update. Mantap.”

Suraya sempat lega. Hingga soalan seterusnya terpacul:

Company apa kau nak hantar?”

Telco. Iklan kat web kerja yang kau share semalam.”

Hanis mencebik kecil. “Telco lagi? Kau betul tak nak cuba government? Stabil, gaji tetap, benefit semua terjamin.”

Suraya menahan nafas panjang. Laptop cepat-cepat ditarik semula ke pangkuan. “Han, kita dah bincang. Aku tak minat.” Nada suaranya naik setingkat.

“Tapi apa salahnya cuba? Kalau ada rezeki, entah-entah kita boleh masuk jabatan sama. Abah kau pun-”

“Sharifah Yuhanis.” Suraya menoleh, menekan setiap suku kata. “Aku. Tak. Minat. Titik.”

Hanis terdiam.

Sunyi. Hanya bunyi kipas siling berdecit perlahan. Suraya tahu sahabatnya ikhlas, tapi dia sendiri sudah cukup letih dengan nasihat tentang jalan “selamat”. Dia mahu pilih laluan sendiri, walau penuh risiko.

“Okay… okay.” Hanis angkat tangan tanda mengalah, senyum hambar. “Degil betul kau.”

Suraya tidak menyahut. Degil itu harga yang perlu dia bayar untuk keinginan yang hanya dia faham.

Tiba-tiba bunyi notifikasi mencelah, mengusir lamunan. Suara elektronik singkat itu membuatkan Suraya kaku. Ah, notifikasi cuaca. Nafas yang tertahan entah bila dilepaskan perlahan-lahan.

"Kalau Yaya nak, abah boleh tolong hantarkan pada admin jabatan…”

Suara itu datang tiba-tiba, membuka kotak memori lama.

Bayangan segera menerpa: dirinya di taman, ayah di atas batu refleksologi. Senyumnya tenang, tawar, penuh cemas seorang bapa.

“Abah!… sanggup abah suruh Yaya guna kabel?”

“Yaya… abah cuma takut Yaya putus asa.”

Hati Suraya meruntuh. Dulu dia marah, sekarang dia tahu, itu bukan soal kabel. Itu soal kasih seorang ayah.

Bip!

Sekali lagi bunyi notifikasi menariknya kembali ke realiti. Satu email baru menunggu di barisan teratas. Font tebal, tajuknya belum terbaca.

Dengan jari terketar, dia klik. Bersinar matanya. Tanpa lengah, dia melompat turun dari katil dan menuju ke muka pintu. Kedua orang tuanya harus ditemui dengan segera!

Melihat mereka sedang santai di ruang tamu, Suraya lantas melabuhkan punggung di sisi mummy, tapi kata-kata yang keluar terus menahan senyumnya.

“Yaya ada dekat rumah pun dah cukup buat mummy rasa tak sunyi…” rintih Puan Norlin, mata memandang sayu anak kesayangan di sisi.

Debaran tadi jatuh perlahan. Mulutnya terkatup.

Hmm... Macam tau tau je aku nak cakap apa. Habis tu, macam mana nak cerita ni?

Matanya beralih pada abah. Dari balik kaca mata, abah sudah tangkap keresahannya. Akhbar dilipat kemas, cawan teh dihirup perlahan. Renungan yang singgah pada Suraya seakan berbisik: tenang, jangan gopoh.

“Nor,” suara Encik Ahmad Fauzi lembut, memujuk. “Anak bila dah belajar tinggi-tinggi… kerja tu langkah seterusnya. Kita kena lepaskan.”

Kata-kata itu menutup ruang kosong dalam hati Suraya.

Ya, Yaya nak kerja. Lagi lama tunggu, makin perit rasa.

“Mummy ni sentimental sangat sejak akhir-akhir ni,” tambah abah dengan senyum kecil.

Suraya cuba senyum, tapi hambar. Dalam hati, dia tahu lambat atau cepat, dia tetap kena buka cerita sebenar.

Pandangan Suraya kembali ke wajah mummy.

Tidak marah, cuma berat hati mahu melepaskan. Itulah wajah seorang ibu. Gusar bila tiba masa anak berdiri di atas kaki sendiri.

“Eh, abang sindir Nor, ke?” nada mummy separuh merajuk.

Abah tergelak kecil. Suraya mahu ikut, tapi hanya senyum sumbing yang terlukis.

“Nor faham maksud abang,” suara mummy kembali lirih. “Cuma… Yaya baru je habis study,”

Kata-kata itu jatuh bagai batu. Hati Suraya tenggelam, terikat antara impian dan rasa bersalah.

“Baru?” abah angkat kening, separuh ketawa. “Nor, Yaya dah hampir setahun dekat rumah. Siang malam dengan awak je. Mujur tak tidur sekali. Biarlah dia pandu hidup dia.”

Renungan mummy basah. “Abang ni tak sayang anak… sanggup biarkan dia susah di bandar besar tu. Kalau sayang, carikan dia kerja dekat sini aje. Tengoklah, mummy seorang saja yang risaukan Yaya.” Suaranya pecah di hujung.

Aduh. Suraya mengetap bibir. Aura girang yang tadi membuak, padam sekelip mata. Dia hanya mampu duduk diam, jadi saksi dua jiwa paling dia cinta berbalas kata. Pandangannya terikat pada mummy. Wajah yang serius, mata yang penuh cerita. Open book, kata abah dulu. Dan sekarang, helaian itu penuh resah, menikam terus ke hati Suraya.

“Nor…” suara abah kembali, lembut tapi teguh.

“Tak kesian ke dekat anak kita? Dah bertahun-tahun dia belajar, berhempas pulas. Sekarang nak disuruh duduk rumah saja?”

Mummy berpaling. Wajahnya masih tegang, tapi mata yang berkaca-kaca itu membongkar perasaan sebenar. Wajah takut, risau, dan belum sedia melepaskan.

Suraya menggenggam jari sendiri di pangkuan. Dadanya berombak. Ya Allah… sampai bila aku nak simpan berita ni? Kalau mummy terus begini, macam mana aku nak cerita?

“Macam nilah,” Suraya menghela nafas, dada berombak. “Biar Yaya terus terang. Sebenarnya… Yaya dah dapat kerja!!”

Sunyi sejenak.

“Hah? Betul ke, Yaya?” suara abah pecah dulu, penuh girang.

Riak bahagia Suraya terpancar, dadanya lapang mendengar reaksi itu.

Namun, wajah mummy tiba-tiba menegang.

“Alah, Yaya ni… kerja jugak yang dikejar. Tak suka ke temankan mummy di rumah ni?” Nada mummy bergetar, seolah menahan kecewa.

Senyum Suraya terus layu. Nafasnya terhenti seketika.

“Mummy… jangan cakap macam tu. Yaya suka temankan mummy… Yaya memang nak ada dengan mummy selalu.” Dia meraih tangan mummy erat, suara bergetar. “Cuma… Yaya juga nak belajar berdikari, nak rasa usaha sendiri.”

Mummy menunduk, bibirnya terketap seolah menahan hati. “Berdikari sampai sanggup tinggalkan mummy?”

“Mummy, bukan macam tu… Yaya tetap anak mummy. Kerja ni… untuk masa depan Yaya juga. Yaya janji, Yaya takkan jauh dari mummy.”

Tiba-tiba, mummy ketawa kecil. Lembut, nakal.

“Mummy gurau jelah, sayang. Nak tengok muka panik anak mummy tu macam mana.”

Suraya ternganga. “Mummy!! Ni seriuslah… Yaya betul-betul down kejap tadi tau!”

Abah sudah terbahak, jelas menahan dari tadi. Suraya menuding curiga.

“Eh, lain macam ketawa abah ni. Abah pun sama, kan? Dah pakat dengan mummy nak kenakan Yaya. Oo... sorang pura-pura bantah, sorang pura-pura sokong. Sungguh Yaya percaya!”

Abah makin galak ketawa. Suraya muncung konon merajuk, tapi elusan lembut di belakang tubuh segera mencairkan hati. Mummy menatapnya penuh cinta.

Akhirnya Suraya senyum kecil. “Tunggu kejap. Yaya ambil laptop. Biar mummy dengan abah tengok sendiri berita besar ni!”

Dengan langkah laju bercampur debar, dia menghilang ke kamar. Jantungnya berdegup kencang. Inilah masanya… tapi, sanggupkah mereka terima apa yang bakal dia tunjukkan?




p/s: Assalamualaikum🤗. Lama betul saya tenggelam. Setahun kot😅😅. Ini adalah versi edit cerita Khas Buat Suraya Anne! Selamat membaca^^~

Oh, cover pun saya dah tukar. Amacam?🤭


Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.