Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
120,629
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 5

Majlis


Selesai merapikan tudung, Suraya bergegas keluar dari bilik. Dari ruang tamu, kelihatan abah dan mummy sudah siap sedia.

Abah segak dengan baju Melayu lengkap bersampin tenun tangan—hadiah ulang tahun perkahwinan ke-25 tahun daripada mummy. Kalau bab melaram, memang dialah juara. Rambut ikal yang dipotong kemas turut disapu minyak, berkilat elok. Suraya suka tengok gaya abah bila berpakaian begini. Ada karisma.

Kadang-kadang dia terfikir, pelik juga… kalau ke pejabat boleh bergaya, kalau sekadar lepak kedai kopi dengan jiran pun sanggup pakai kemeja lengan panjang. Tapi bila di rumah, cukup dengan singlet pagoda dan kain pelikat. Macam dua dunia berbeza. Namun, itulah sisi abah kesayangannya.

“Marilah kita pergi… tak sabar mummy nak tengok apa lagi yang tak cukup,” kata mummy sambil tersenyum lebar sebaik nampak anaknya keluar.

“Macam dia pulak yang nak terima menantu,” usik abah.

Suraya tergelak kecil, rasa manis melihat kemesraan abah dan mummy. Tapi tawa itu cepat mati bila pandangannya jatuh pada sebuah bungkusan plastik putih di atas meja kopi.

“Apa tu?” soalnya sambil bertenggek di tepi sofa, jari telunjuknya menunjuk ke arah bungkusan misteri itu.

"Kain alas meja. Mummy Yaya ni punya tak sabar nak dapat menantu, senyap-senyap dia beli kain tu online," sahut abah terlebih dahulu.

Suraya menepuk dahi. Abah tergelak besar melihat aksi mummy yang tersipu-sipu. Memang beginilah setiap kali mummy berbelanja—konon terapi minda, padahal alasan nak tambah koleksi.

Alasan, mummy… alasan!

“Habis tu, kenapa sampai dua helai sekali?” dia memprotes, muncung panjang.

“Mummy tak tahu nak pilih yang mana. Dua-dua cantik sangat,” jawab mummy selamba, sambil menayang senyum puas hati.

Makin kuat abah ketawa sampai terpaksa lap air mata. Suraya hanya mampu mengeluh. Menyesal pun ada—sebab dialah mummy jadi mahir shopping online. Dulu, beria-ia mummy minta ajar guna aplikasi. Sekarang? Nah, tuai sajalah hasilnya!

“Alah, tapi tak rugi pun… Mummy dah tanya Mak Long, dia suka warna maroon ni,” mummy mempertahankan ‘pelaburan’ barunya.

Suraya menjeling kain merah bata yang mummy tarik keluar. Cantik, memang cantik. Tapi tetap jugak dia geleng kepala. Ada sajalah alasan mummy ni sampai nama Mak Long—mama Hanis— pun dipetik. Abah macam biasa, malas campur—bagi dia, apa yang buat isterinya bahagia, cukup bahagia jugalah untuk dia.

“Yaya tak tahu nak cakap apa lagi. Tapi kalau boleh, mummy… janganlah sampai tahap membazir,” pesannya lembut.

Mummy sekadar tersenyum, macam nasihat tu masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Suraya pula, hanya mampu berdoa dalam hati.


• • •


Beriringan dengan mummy, Suraya melangkah ke arah dua khemah putih yang sudah dipasang di tengah jalan. Lorong depan rumah sekali lagi ditutup, sama macam waktu majlis kesyukuran yang pernah mereka adakan dahulu—bersempena dia dan Hanis tamat belajar. Bezanya, kali ini lebih meriah dengan alunan nasyid yang tak henti dari tadi. Suara perbualan dan tawa anak kecil turut menambah suasana.

Namun, di tengah riuh itu, hatinya terasa sayu. Setiap langkah seolah-olah mengingatkan Suraya pada langkah yang bakal diambil Hanis. Nekadnya bulat—puas dipujuk, tapi gadis itu tetap mahu mempercepatkan urusan. Mujur ibu dan bapa Hanis— yang mesra disapa Pak Long dan Mak Long izinkan tempoh pertunangan seketika, kalau tidak, Hanis dah pun bergelar isteri sekarang. Biarpun nampak terburu-buru, Suraya tetap memilih untuk menyokong. Lagipun, benda baik… siapa dia nak halang?

“Nor!”

Sapaan itu memecah lamunannya. Suraya berpaling, dan serta-merta matanya terpaku. Seorang wanita mendekati dengan penuh anggun. Wajahnya klasik, bak seniwati era hitam putih—membuatkan Suraya seolah-olah sedang menonton babak lama yang hidup kembali.

“Ya ALLAH, Kak Azah! Lamanya tak jumpa!” mummy menjerit kecil sebelum merangkul mesra wanita itu.

“Yaya, mari sini. Mummy rasa Yaya dah lupa siapa ni.”

Dengan senyum malu, Suraya melangkah mendekat. Dia hulur tangan, tapi wanita itu—Puan Azah—terus menariknya ke dalam pelukan erat. Suraya terkedu, hanya membiarkan tubuhnya kaku sebelum dilepaskan.

“Teringat dekat Azura, Nor…” suara wanita itu lembut, matanya berkaca.

Suraya terpinga. Azura? Nama itu langsung tidak dikenalinya.

“Yaya, inilah makcik Azah. Maksu kepada Hanis,” mummy segera menjelaskan, menyedari riak keliru di wajah anaknya.

“Panggil Maksu saja, Yaya,” tambah wanita itu sambil menggenggam erat tangannya.

Suraya mengangguk, masih cuba menyembunyikan rasa aneh di dada.

“Kali terakhir Maksu jumpa Yaya, lebih lima belas tahun lalu. Masa tu Yaya kecil lagi… tentu dah lupa pada Maksu, kan?”

Suraya senyum hambar. Ya, patutlah dia dah lupa, benda dah lama berlalu.

Mummy segera mempelawa Puan Azah duduk di meja bulat berdekatan, sementara dia pula kembali menyambung tugas yang tertangguh.

Kotak tisu ditindih kemas di setiap meja, namun telinganya sempat menangkap bunyi tawa kecil antara mummy dan Maksu Azah.

Hanis tak pernah pun sebut nama Maksu Azah… atau aku yang tak pernah ambil peduli masa dia bercerita?

“Datang dengan siapa, Kak?” soalan mummy jelas kedengaran.

“Azlan. Tu, yang berbaju hijau tu.”

Spontan, Suraya menoleh. Matanya segera tertumpu pada seorang lelaki muda berbaju polo hijau gelap. Azlan—sepupu Hanis. Dia sedang berbual santai dengan beberapa ahli keluarga di bawah khemah kecil. Dari wajah dan perawakannya, jelas dia sebaya dengan Suraya.

Selesai membantu di bawah khemah, Suraya menyelinap ke dalam rumah. Matanya segera menangkap Hanis yang sedang disolek, dikelilingi sanak saudara yang setia memerhati. Senyuman Hanis yang terukir di cermin sempat singgah padanya. Suraya membalas, sebelum segera mengundurkan diri. Dadanya terasa sesak.

Dia melangkah ke anjung sebelah bilik, tempat yang sudah terlalu biasa baginya. Rumah keluarga Hanis ini bukan sekadar rumah sahabat, malah seperti rumahnya sendiri. Setiap ruang menyimpan jejak kenangan mereka.

Matanya jatuh pada bangku di halaman. Ingatannya segera melayang.

"Yaya, apa kata tahun pertama kita kerja, kita explore pulau dulu."

"Wow, bagus tu! Sejak belajar lagi asyik dengar budak marine promote. Tak sabar nak tengok sendiri. Bukan setakat gambar."

Ketika itu, mereka baru tamat pengajian. Duduk berdua di halaman ini, berbicara tentang masa depan, tentang impian, tentang senarai bucket list yang mahu mereka kejar bersama.

Namun kini, segalanya terasa jauh. Hanis akan menjadi tunangan orang sebentar lagi. Sejak pertama kali Hanis menyebut tentang pertunangan, hatinya sudah diselubungi rasa kehilangan. Irfan akan membawa Hanis ke fasa hidup yang baharu, dan mungkin… menjauhkan mereka daripada impian lama yang pernah dijanjikan.

Sebu yang ditahan akhirnya pecah juga. Aku belum bersedia lepaskan dia.

"Yaya!"

Suraya tersentak. Cepat-cepat disapu titisan yang sempat jatuh di pipinya.

"Oh… dah siap mekap ke?" Dia memaksa senyum, cuba bersuara ceria.

"Dah. Aku nak bergambar dengan kau."

"Laa… kejap lagilah. Nanti waktu majlis berlangsung kan boleh." Suraya menolak, otaknya ligat mencari alasan.

Hanis merenung lama. "Yaya, kenapa? Sejak aku cerita pasal tunang, aku nampak kau lain. Kau… macam tak suka aku bertunang ni."

Senyuman Suraya yang kelat itu tak mampu menutup semuanya. Hanis menambah, suaranya lembut tapi tegas, "Jangan soroklah. Dari dulu aku dah perasan."

Suraya diam. Nafasnya berat. Akhirnya dia mengalah.

"Biar aku terus-terang, Han. Semua ni… terlalu cepat. Dalam masa singkat kau bertunang. Lepas ni? Mungkin bulan depan, mungkin hujung tahun, kau kahwin. Aku…" suaranya tersekat, matanya berkaca. "Aku, macam mana?"

Sepi. Hanya bunyi muzik dari bawah khemah menemani dua sahabat itu. Hanis memandangnya, terdiam, wajahnya antara terkejut dan serba salah.

Kemudian, dia tersenyum nipis, memandang wajah Suraya yang jelas cemas. Anehnya, kebimbangan itu malah menenangkan hatinya. Dia benar-benar bersyukur punya teman yang begitu tulus.

“Yaya… suami dan tunang tak sama. Selagi aku masih tunang, kau tetap orang yang aku hidup sama-sama. Kita nikmati dulu masa yang ada, sebelum status aku berubah. Boleh?”

Suraya terdiam. Kata-kata itu mengetuk fikirannya. Ya… kenapa dia sibuk mencongak masa depan, sedangkan momen sekarang pun belum sempat dihayati?

“Okay… sorry. Aku overthinking,” katanya, tersenyum segan.

Hanis menghela nafas, lalu bersuara perlahan. “I hate you, Yaya.”

I hate you, Han.

Serentak. Mereka saling terpaku sebelum pecah ketawa. Lucu dengan keserasian yang tak pernah gagal.

“Jom,” ajak Suraya.

Hanis mengangguk, senyumnya mekar. “I love you, Yaya.

I know you do.” Suraya membalas puas hati, sebelum mereka ketawa lagi.

Tidak lama kemudian, suasana rumah bertukar riuh. Keluarga lelaki tiba dengan tiga dulang hantaran, dibalas lima daripada pihak perempuan. Suraya mengikut dari jauh, sempat berseloroh dalam hati — patutlah lain macam abah melaram hari ni! Jadi jurucakap pihak perempuan rupanya.

Hanis yang sudah siap bersolek akhirnya dibawa keluar oleh Puan Sharifah Hassanah ke pelamin indah berhias bunga. Sepersalinan baju kurung moden rona pic lembut menyerlahkan keayuan sahabatnya. Senyumannya tidak pernah lekang, apatah lagi ketika ibu Irfan menyarungkan cincin ke jari manisnya. Riuh suara saudara mara, kamera berkelip-kelip.

Suraya berdiri di tepi, tersenyum. Sempat juga mereka bergambar berdua, sebelum Hanis kini sah bergelar tunangan orang. Dan di hati Suraya… ada bahagia, ada juga sedikit hiba yang masih bersembunyi.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.