Home Novel Keluarga XANDER
XANDER
kamika
25/7/2023 11:34:27
18,383
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 19


Kereta kembali bergerak di atas jalan raya. Dia tidak tahu ke mana arah tuju seterusnya tetapi mereka kembali memasuki lebuh raya dengan bangunan pencakar langit di kanan dan kiri.

"Kita nak ke mana?" soalnya seraya menoleh ke arah Alex di sisi.

"Hotel."

"Hotel? Kita tak balik?"

Alex menggeleng.

Segaris senyuman bermain di bibir Uzma. Bergembira dengan keputusan lelaki itu. Nampaknya, dapatlah dia melihat keindahan bandaraya Kuala Lumpur pada waktu malam pula. Perjalanan singkat yang diambil berakhir apabila kereta yang dinaiki memasuki ke sebuah kawasan gedung membeli-belah bersaiz mega. Parkir di kawasan bawah tanah diambil oleh lelaki itu. Setelah beberapa kali membuat pusingan di dalam kawasan yang sesak dengan kenderaan itu, barulah satu petak parkir kosong ditemukan.

Alex mematikan enjin kereta. Mencapai sebuah beg galas di tempat duduk pemandu kemudian turun diikuti oleh dirinya. Setelah mengunci kenderaan, lelaki itu menapak ke arahnya. Terkebil-kebil dia memandang. Dengan selamba tangannya dicapai lantas langkah suaminya itu diikuti.

Dengan menggunakan lif, mereka naik ke tingkat atas pula. Apabila pintu lif terbuka dia ikut saja pergerakan Alex yang menuju ke sebuah lobi hotel. Disuruh Uzma duduk menunggu sementara dia berurusan di kaunter penyambut tetamu. Tidak sampai lima belas minit lelaki itu kembali dengan tangan tersedia dihulurkan. Dia memberi sambutan.

Mereka berjalan pula ke kawasan membeli belah yang hingar bingar dengan pengunjung. Lalu, keluar dari bangunan itu menuju ke bangunan bersebelahan. Langkah lelaki itu pantas, hinggakan dia tertinggal selangkah di belakang. Penat dia mengejar. Papan tanda di pintu masuk yang besar itu dibaca. Midvalley Megamall. Dia dibawa merentasi pelbagai jenis kedai, kafe, butik, restoran dan bermacam lagi. Keadaan di dalam kompleks mega itu sedikit sibuk dengan pengunjung yang mundar-mandir. Seringkali mata-mata yang memandang meninggalkan kesan tidak selesa pada dirinya meskipun dia sedar pandangan yang dihantar merupakan satu pandangan kosong sahaja.

"Kita nak ke mana ni?" soalnya hairan setelah dirasakan agak lama mereka berjalan.

Bukankah tadi lelaki itu telah mendaftar masuk ke hotel. Di mana bilik penginapan mereka? Jauh betul dari kawasan penyambut tetamu itu berada. Tak masuk akal langsung!

"Beli baju. Saya tak bawak baju. Juma pun sama."

Oh. Baru dia tersedar. Dia diam. Membiarkan dirinya dibawa mengikut haluan lelaki itu. Dan lagak lelaki itu seperti tempat itu sudah biasa dikunjungi sebelum ini.

Lebih kurang lima minit berjalan, mereka berhenti di hadapan sebuah butik pakaian. Uzma mendongak. PADINI. Dibaca papan tanda itu di dalam hati. Suaminya mahu membeli di sinikah? Tetapi, pakaian yang dipamerkan seperti tidak sesuai untuk gayanya itu. Bukan sekali dia menjeling ke arah patung mannequin yang tersarung sehelai dress di atas paras lutut. Urghh! Malu dia melihatnya. Dikemaskan pegangan tangan. Alex berpaling. Mengesan riak kurang selesa di wajahnya itu.

"Kenapa?"

"Ju tak nak cari baju dekat sini. Kalau abang nak beli abang beli untuk abang sorang." katanya.

Alex melirik sebentar ke dalam butik pakaian tersebut kemudian membawanya beredar dari situ. Mereka menapak lagi tetapi tidak lama sebelum lelaki itu berhenti dan terus membawanya masuk ke dalam gedung Parkson tanpa bertanyakan pendapatnya terlebih dahulu. Dia dibawa ke bahagian pakaian. Sebaik terpandangkan bahagian pakaian wanita, Uzma mendongak memandang suaminya.

"Ju pergi ke situ dulu, boleh?" soalnya sambil jari telunjuk diangkat.

Alex melirik arah yang ditunjukkan kemudian mengangguk. Uzma tersenyum kecil lalu meleraikan pegangan. Baru setapak langkahnya, dia menoleh.

"Erm... Abang, berapa helai Ju boleh beli?"

Alex yang tercegat memerhati kelihatan sedikit tersentak.

"Terserah pada Ju." sahut Alex lantas melangkah ke arah bahagian pakaian lelaki yang terletak berdekatan.

Uzma tersenyum tipis lantas memulakan operasi mencari. Pakaian yang dimahukan tidak lain adalah sehelai t-shirt berlengan pendek untuk tidur pada malam nanti dan sepasang tracksuit. Sehelai blouse berwarna merah jambu yang pucat menarik perhatiannya. Dibelek sebelum diukur pada badan. Saiz baju itu ditilik dan dia tercari-cari saiznya sendiri. Kemudian, sepasang palazzo pula dicapai. Dia, sudah siap mencari.

Namun, ketika mencuci mata melihat pelbagai fesyen yang terpamer, matanya terpandangkan bahagian pakaian dalam. Alamak! Terlupa pula pakaian penting itu. Dia menoleh ke belakang. Alex tidak kelihatan di mana-mana. Sedang sibuk mencari baju agaknya.

Pantas, dia melangkah ke arah bahagian pakaian dalam pula. Tanpa perlu melilau ke sana sini terus dicekau pasangan pakaian dalam yang dirasakan sesuai dan bertepatan dengan saiz tubuhnya. Cepat-cepat disorok pakaian sulit itu di bawah helaian pakaian yang sedang dipegang. Selesai, lantas dia berpaling. Ternampak Alex sedang berjalan ke arahnya. Alahai, kenapalah datang ke sini. Kan dah kantoi dia membeli barang rahsia itu. Uzma tersenyum kelat sebelum buru-buru mengangkat kaki daripada membiarkan lelaki itu menyedari tujuannya berada di situ.

"Sudah?" soal Alex.

Dalam serba malu dan segan, dia lantas mengangguk.

"Juma beratur dulu. Saya nak ambil barang sekejap," ujar lelaki itu ketika mereka sedang beratur untuk membuat pembayaran.

"Ambil ni. Bayar guna wave." kata lelaki itu lagi lalu sekeping kad bank dihulurkan kepadanya.

Ketika tiba gilirannya, dilemparkan satu senyuman kepada staf di kaunter pembayaran. Senyuman mesra dibalas kepadanya. Pakaiannya mula dimasukkan ke dalam bungkusan dan ketika helaian palazzo dikira, Alex kembali dengan meletakkan baju berserta sehelai tracksuit.

"Sekali?" tanya staf tersebut.

Uzma angguk sambil tersenyum. Siap melakukan pembayaran, mereka beredar sebelum Alex singgah memasuki ke sebuah kedai serbaneka untuk membeli satu botol air mineral dan sedikit makanan. Mereka berjalan beriringan dan kali ini kembali ke bangunan yang pertama kali mereka jejaki tadi.

"Kita nak ke mana pulak?" soalnya meminta kepastian. Seperti tadi, tangannya sentiasa dalam posesi lelaki itu.

"Naik ke bilik." sahut Alex membuatkan dia menarik lega.

Dia dah penat dan tak sabar mahu berehat!

Kompleks membeli-belah itu ditinggalkan dan mereka meneruskan langkah sehingga tiba di ruang legar hotel sebentar tadi. Sebuah lif yang kosong diambil. Tangan yang bertautan itu terlerai. Sekeping kad dikeluarkan oleh Alex dari dalam poket seluar kemudian dimasukkan ke dalam slot pada papan lif sebelum kad itu ditarik kembali dan lelaki itu menekan butang bernombor lima belas.

Dalam tempoh yang singkat, mereka berada di dalam perut lif itu sebelum pintu yang tertutup rapat itu kembali terbuka. Uzma mengekori sebaik Alex membuka langkah ke satu lorong yang agak panjang. Apabila tiba di hadapan bilik bernombor 1510, Alex menghentikan langkah. Sekali lagi kad itu digunakan untuk membukakan pintu bilik. Lelaki itu menolak daun pintu lantas memintanya masuk terlebih dahulu.

Wah! Cantik, harum dan selesa.

Alex meletakkan barangan yang dibeli di atas sebuah meja studi sebelum membuang beg galas di bahu. Dia pula terus duduk di atas katil jenis queen yang berada bertentangan sambil matanya melilau melihat keadaan sekeliling.

Tanpa berkata sepatah, Alex menghilang ke dalam bilik air lalu kembali dan merebahkan badan ke tilam. Uzma memandang hairan. Sebentar sebelum bingkas dia bangun. Meletakkan beg galas yang sejak tadi tersangkut di bahu ke atas meja studi lalu menghampiri sebuah almari. Tudung di kepala ditanggalkan dan disangkutkan di dalam almari tersebut. Dia berhasrat untuk menukar pakaian yang baru dibeli tadi.

Usai mandi dan menukar pakaian, dilihat Alex masih dalam posisi yang sama. Perlahan dia mendekati lantas duduk di birai katil.

"Abang kenapa? Penat sangat ke?" soalnya perlahan.

Wajah lelaki itu tidak kelihatan. Berpaling ke arah bertentangan.

Diam.

Isy, tak kan dah tidur?

"Abang..." serunya seraya menyentuh lengan lelaki itu.

"Hmm..."

Terdengar lelaki itu menyahut.

"Kenapa? Abang tak sihat?" soalnya lagi.

Diam lagi. Uzma mengeluh perlahan dengan sikap acuh tak acuh itu. Tak tahu ke dia sedang risau melihat keadaan lelaki itu yang tiba-tiba kelihatan lemah tidak bermaya! Tanpa menunggu lama, dia bangun dan duduk di sebelah lagi satu. Mata lelaki itu sedang terpejam rapat. Didekatkan wajahnya.

"Abang..." serunya perlahan.

Sepasang mata itu celik.

"Abang tak sihat ke?" soalnya lagi.

"Saya tak boleh makan pulut. Bila makan jadi macam ni."

Oh! Uzma menggigit bibirnya. Baru teringat akan perbuatan saja-saja yang dikenakan pada Alex ketika berada di kafe tadi. Tangan yang terkulai di atas bantal itu terus dicapai. Wajahnya mula diselaputi kesal dan bersalah.

"Abang, Ju minta maaf. Ju tak tahu... Tadi, Ju sengaja bagi abang makan sebab Ju geram abang tak nak makan pulut yang Ju masak semalam. Ju yang buat abang jadi macam ni... Ju minta maaf..." rayunya bersungguh-sungguh.

Alex tidak berkata apa-apa. Cuma menganggukkan kepala. Lagilah Uzma sebak. Kenapalah dia tidak terfikirkan perkara itu sebelum ini. Bukankah Mak Teh juga seperti Alex jikalau memakan pulut. Habis bisa-bisa satu badan!

Dia, tertunduk lesu. Sayu menatap wajah yang sedang memejamkan mata itu.

"Apa Ju boleh buat? Abang ada apa-apa ubat untuk hilangkan sakit tu?" soalnya.

Alex menggeleng. Bertambah penyesalannya.

"Takpe. Sekejap lagi lepas tidur ni okaylah." kata Alex tanpa membukakan matanya.

Uzma mengeluh lagi. Manakala hati kecil tak henti memarahi diri sendiri. Tangan yang masih bertautan itu terasa digenggam kemas. Kedudukan tubuhnya lantas diubah dan dia berbaring mengiring menghadap Alex dengan membiarkan tangannya dipegang. Dia tidak tahu cara apakah yang boleh dilakukan buat meredakan kesakitan yang ditanggung. Apa yang mampu dilakukan hanyalah menemani lelaki itu merehatkan diri. Namun, entah bagaimana, matanya berbuat khianat. Mungkin dia yang terlebih dahulu lelap berbanding orang yang sakit di sebelahnya itu.

Jaganya dari tidur satu jam kemudian. Uzma terus terbangun. Duduk, lalu mengamati sekeliling. Jam di pergelangan tangan dikerling. Sudah melepasi waktu Zuhur. Alex sedang tidur. Lena agaknya melihatkan keadaannya yang tetap begitu. Uzma memberanikan diri mendekatkan wajahnya. Memerhati dan meneliti. Ingin sekali dia melihat wajah itu tanpa sebarang bulu-bulu misai dan jambang itu. Ditenung wajah yang tenang itu lama. Seorang lelaki berdarah campuran jelas kelihatan andai ditenung lama-lama begitu. Jika tidak, perwatakan lelaki itu pasti tersangka berbangsa Melayu. Sudahlah fasih dalam berbahasa, sedikit pun tiada bunyi pelat asing.

Sambil menarik nafas yang dalam dia kembali merebahkan tubuhnya. Dengan keadaan mengiring, dipejamkan mata sebelum terasa Alex turut melakukan perkara yang sama.

"Juma..." seru Alex dengan suara sedikit serak. Sebelah tangan lelaki itu berlabuh di atas bahunya. Uzma menahan nafas sebentar.

"Hmm..."

Sambil memejamkan mata dia menjawab. Dada hebat berdebar.

"Lapar ke?"

Digeleng perlahan padahal memang perutnya sedang kelaparan.

"Sekejap lagi kita turun makan. Kalau lapar, Juma makan roti yang saya beli tadi." kata Alex lagi.

Uzma membukakan kelopak mata. Mata itu masih terpejam.

"Abang sakit lagi?" bisiknya.

Alex menggelengkan kepala. Lega hatinya.

"Ju minta maaf." ucapnya ikhlas. Sumpah, andai dia tahu perbuatannya bakal menyebabkan lelaki itu jatuh sakit tentu perbuatan saja-saja itu tidak dilakukan tadi.

"Erm... Saya maafkan." sahut Alex separuh berbisik.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.