Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 56


Sebaik bunyi ketukan di papan kekunci tenggelam, satu keluhan kasar pula kedengaran. Ianya berulang beberapa kali sebelum sepi.

"Duduk sorang-sorang pun kena pakai password ke?" gumamnya tidak berpuas hati.

User dengan nama Admin ditekan setelah user bernama Adrian tidak dapat ditembusi kerana memerlukan kata kunci untuk masuk. Bukan sekali dia mencuba kata kunci. Pelbagai aksara digabungkan. Namun, kesemuanya hampa.

Dilarikan tetikus. Mengeksplorasi ruang desktop yang padat dengan fail kerja. Setiap satu fail itu dibaca dengan teliti hinggakan ikon Recycle Bin turut ditekan. Diselidiki dan tiada fail yang dirasakan berkaitan sebelum dia menutup tong sampah itu. Puas, dia kembali ke laman desktop. Menekan ikon G dan tiba-tiba berdekah dia ketawa sendirian.

How to win a girl's heart terpapar dalam kotak carian. Amboi! Google juga yang dijadikan tempat rujukan. Dalam kelucuan itu, perasaannya tiba-tiba diterpa. Terus dijauhkan kerusi beroda itu dari meja studi. Memikir, betulkah perbuatannya ini? Keliru dan bersalah akhirnya, dia menutup komputer itu sebelum melarikan diri ke tingkat bawah.

Sebenarnya, sejak dari bangun tidur tadi dia bersendirian. Apabila puas bergolek di atas katil, dia memanjat ke tingkat atas. Membaca buat beberapa ketika sebelum komputer itu pula ditinjau.

Dari bilik tidur itu, dia membawa diri ke dapur. Perut terasa lapar. Sebaik menjejak ke ruangan itu didapati satu penutup besi berbentuk bulat dengan saiz sederhana dan sebiji mangkuk berada di atas meja. Terus saja dibuka penutup tersebut. Terdapat sepinggan mi tarik tetapi kosong. Sepertinya ia sudah dicelur. Juga, terselit sekeping nota dengan tulisan tangan lelaki itu di bawah pinggan tersebut.

Saya keluar. Makan dulu.

Nota itu direnung sebentar kemudian diletakkan kembali ke atas meja. Dia mendekati mesin kopi untuk membancuh minuman. Siap dan dia kembali duduk di meja itu. Mangkuk yang bertutup rapat itu dibuka pula penutupnya. Aroma sup ayam bertebaran. Enak sekali baunya. Oh, rupa-rupanya Dr. Adrian menyediakan sarapan mi sup untuknya. Senyum hingga ke telinga dia menghabiskan hidangan paginya itu.

Usai makan dan mencuci, dia duduk berteleku di meja. Dikerling ruang yang sentiasa menenangkan mata. Tiada apa untuk dikemas apatah lagi dibersihkan. Akhirnya, ditinjau laman belakang melalui cermin tingkap. Sebelum ini, halaman itu cuma dilihat dari balkoni tingkat atas dan belum lagi berkesempatan untuk dijelajahi. Alang-alang tiada apa mahu dibuat, dia ingin meneroka laman itu pula dari duduk bermalasan.

Dia melangkah ke pintu belakang. Daun pintu ditarik dan udara pagi menjemput kehadirannya. Wah, halaman belakang yang agak luas. Diintai beberapa pasang selipar bersaiz besar. Tentu milik lelaki itu. Disarung ia ke kaki dan dia menapak di atas lantai yang diperbuat daripada material kayu untuk menuruni dua mata anak tangga.

Di halaman kiri, padang rumput dengan lebar lebih kurang sepuluh kaki terbentang dengan tiga binaan tempat sidaian yang kosong. Dihujung pula terdapat sebuah gelanggang bola keranjang mini. Laluan pejalan kaki dibina bermula dari tempatnya berpijak membelah kawasan berpagar itu menjadi dua bahagian. Sebuah pondok berdindingkan kaca dan berbingkai hitam berada di sebelah kanannya. Manakala, bersebelahan rumah hijau itu sebuah taman mini bertemakan Zen Garden menenangkan mata yang memandang. Taburan batuan kecil berwarna hitam dan putih menjadi laluan berpijak. Pokok-pokok hiasan yang pelbagai saiz dan dua buah kerusi kayu menjadi pelengkap dekorasi.

Dia mengerling rumah hijau. Tanaman di dalam rumah itu amat dikenali olehnya. Bagaikan magnet kakinya tertarik untuk ke situ. Ditolak pintu gelongsor itu. Harum mewangi tumbuhan itu menyapa. Di mana-mana kelihatan tanaman orkid di dalam pasu serba putih yang digantung, di atas para atau pun di tanah.

Perasaannya bercampur-baur. Teringatkan arwah mummy yang gemarkan tanaman itu. Apakah Dr. Adrian juga berkongsi minat yang sama seperti arwah mummy? Perlahan-lahan, dia mengelilingi ruang sederhana bersegi empat tepat itu. Telapak tangan membelai beberapa jenis yang dikenali antaranya Cattleya, Mokara dan Doritis yang pelbagai bentuk dan warna.

Akhirnya, sebuah meja kecil dan bangku yang terletak di bahagian hujung diduduki. Dia memerhati. Terlihat bayangan arwah mummy semasa sedang menguruskan tanaman kesayangan itu.

Buat beberapa ketika dia melayani perasaan sebelum bakul di atas meja mendapat perhatian. Sarung tangan, gunting, botol-botol spray dan pelbagai alatan berkebun. Diteliti sebuah pasu berdekatan yang dipanggil dengan nama Phal oleh arwah mummy.

Segera dia bangun lalu mendekati tanaman yang diletakkan di atas para itu. Disentuh dan dibelek dengan hujung jarinya. Tiada bunga. Hanya dedaun hijau dan batang yang tinggi. Bahagian bawah batang pokok itu ditilik. Nampak keiki dengan daun selebar tiga hingga empat sentimeter tumbuh di celahan. Dia mengenalinya kerana diajar oleh arwah mummy sebelum ini. Itu pun sudah ingat-ingat lupa.

Dibawa pasu itu kembali ke meja. Gunting dan botol yang bertanda alkohol dicapai. Disembur cecair itu pada bilah gunting dan dia kembali duduk. Rasanya dia masih ingat akan cara memotong keiki. Kaedah untuk mengalihkan anak pokok ke dalam satu pasu kecil yang lain bagi proses tumbesaran tersendiri.

Sambil memerhati, ligat otaknya mengingat jarak yang seharusnya diambil untuk dipotong batang kecil itu.

'Lebih kurang dua ruas jari, kot?'

Hujung gunting diacah beberapa kali ke arah batang pokok tersebut. Meski yakin dengan kiraan itu, dia masih ragu-ragu. Bimbang pula jikalau tersilap.

"Ops! Takpe takpe.. I'll take it from there."

Tergamam.

Tangan yang memegang gunting terasa dipegang kejap. Spontan dadanya deras bergetar. Terkejut sungguh disapa begitu. Dia mendongakkan kepala. Dr. Adrian tersengih dengan gunting yang telah dirampas berada di tangannya. Suraya memuncungkan bibir sebelum teringatkan sesuatu.

"Oh, sorry, tak mintak izin." ujarnya setelah menyedari. Dipandang ke hadapan kembali melihat keiki yang hampir dipenggal sebentar tadi. Sebelah tangan lelaki itu dirasakan berlabuh di atas bahunya.

"Yup. Lagi satu, kenapa tak pakai glove?"

Tersipu Suraya apabila ditegur. Terlupa. Mungkin kerana terlalu teruja setelah sekian lama tidak melakukan aktiviti itu.

"Bosan?.." tanya Dr. Adrian lagi.

"Boleh, lah." sahut Suraya.

"Dah makan?"

"Dah. Awak?"

"Awak? Malam tadi bukan nama lain ke awak panggil saya?"

Kerut-merut kening Suraya. Direnung Phal di hadapan. Memikir.

"Panggil apa?" soalnya hairan.

Dr. Adrian, meletakkan gunting di tepi pasu sebelum disentuh kedua belah bahunya untuk turut sama berdiri.

"Cuba ingat balik." kata lelaki itu.

Suraya menunduk. Memerah otak memikirkan.

'Malam tadi? Bila masa pulak aku panggil dia malam tadi?'

Rasanya semasa bermimpikan arwah abah pada malam tadi memang dia ada menjerit. Memanggil abah berulang kali dengan perasaan bergembira. Tetapi, tidak pula dia ingat memanggil lelaki itu. Kepala tergeleng-geleng. Langsung tak mengingat.

Dalam keadaan sedikit menunduk, Dr. Adrian merendahkan wajah bertemu betul-betul di hadapan mukanya. Terkelip-kelip kelopak matanya membalas tatapan itu.

"Awak panggil saya abang."

Mulut Suraya sedikit terbuka. Kemudian tutup. Adakah seruannya malam tadi terlalu kuat hinggakan didengari oleh lelaki itu. Tetapi, dia pasti lelaki itu telah salah mendengar.

"Tak. Mana ada..." nafinya perlahan.

Dr. Adrian sengih.

"Maybe, awak bercakap dalam tidur. Tapi saya suka dengarnya. Apa kata lain kali awak praktis panggil saya macam tu." ucap Dr. Adrian berbaur harapan sebelum kembali menegakkan badan.

Pipi Suraya bertambah panas. Tidak sampai hati mahu membetulkan salah faham itu kerana dia belum bersedia untuk berkongsi mimpinya itu dengan sesiapa. Ia memori peribadinya dan terlalu peribadi untuk dikongsi.

"Erm... Awak pergi mana tadi?"

Dr. Adrian ketawa lepas. Satu cubitan mesra di pipi Suraya diberikan.

"Pandai tukar topik,"

Suraya kembali tersipu.

"Jumpa kawan baik. Jangan fikir awak sorang aje yang ada kawan baik." tutur Dr. Adrian lantas bersandar pada tiang para di belakangnya. Kedua tangan masuk ke dalam poket jeans. Gadis di hadapannya ditatap dalam.

"Siapa? Zia?" soal Suraya ingin tahu. Dari pertemuan dengan Zia itu dia dapat merasakan wanita itu merupakan teman baik kepada Dr. Adrian. Meski hanya perkara kecil yang didedahkan oleh Zia tentang sikap dan perangai Dr. Adrian, dengan hanya memerhati sanjungan dan pujian yang Zia berikan menggambarkan perhubungan mereka bukan sekadar kenalan semata.

"Tak. Orang lain."

"Oh. Tak sangka awak ada kawan jugak. Saya fikir dunia awak cuma ada diri awak dan kerja aje." getus Suraya selamba.

Dr. Adrian nipis tersenyum.

"Itu pandangan awak?"

Suraya mengangguk.

"Sebab apa?"

"Sebab di ofis awak sentiasa nampak sendirian."

Suaranya diperlahankan. Bimbang memandai membuat andaian. Sebaliknya, lelaki itu tetap dengan lagak tenangnya.

"And?.."

"Sebenarnya, sebelum ni saya tak pernah pun pedulikan awak. Tapi, selepas kali pertama kita jumpa di site, kadang-kadang saya jadi pemerhati." ceritanya akan tabiat dalam diam terhadap lelaki itu sebelum ini.

"Pemerhati? Apa yang nak diperhati?"

"Eh, awak tak tahu ke berapa ramai peminat awak dekat ofis tu yang gemar spy awak?"

"Hmm... I don't know. Tapi, saya tak berminat nak tahu. Saya nak tahu tentang awak. Apa yang awak perhati tentang saya tu?" luah Dr. Adrian selamba. Suraya menggeleng. Keluhan, bergema di dalam diri.

"Bila terserempak dengan awak, saya tengok awak macam menutup ruang di sekeliling awak. Orang lain seperti tiada kaitan dengan awak. Bila seseorang tegur, awak akan balas sebab ia tindak balas yang spontan bukan sebab awak yang sapa mereka dulu. Bila mereka pandang, awak balas juga tapi tanpa emosi. Awak macam tengah berfikir. Dan, bila mereka berbual awak macam tak ambil peduli. Tapi, awak dengar dan akan mencelah bila sesuatu berkaitan dengan a-..." ucapan panjang lebarnya terhenti kerana kedua belah tangannya tiba-tiba ditarik. Terus terdorong tubuhnya ke depan. Dadanya, kembali deras berdebar.

"Untuk kesekian kali saya tertanya-tanya, siapa sebenarnya awak Suraya?" soal Dr. Adrian separuh berbisik. Juga berhati-hati.

Jari telunjuknya mencuit hidung Suraya lalu ia kembali di situ. Tetap seketika sebelum turun pula ke bibir. Lama ia meniti di atas ulas bibir berona merah jambu yang pucat sebelum hujung jari itu tiba-tiba digigit.

"Aduh!!!" Pantas Dr. Adrian menarik tangannya.

"Ahahaha!!.. Awak gigit saya? Awak gigit saya, Suraya?" kata Dr. Adrian sambil ketawa besar. Sungguh dia terkejut dan lucu dengan tingkah gadis itu.

"Berhenti main-main boleh tak?" kata Suraya dengan suara sedikit meninggi.

"Tapi, suami isteri bergurau-senda dapat pahala, kan?" usik Dr. Adrian.

Suraya terdiam sebentar sebelum merenung tajam lelaki itu.

"Boleh tolong kembali ke topik asal, tak?" ucapnya serius.

Serta merta senyuman yang diukirkan oleh Dr. Adrian terhapus.

"Baik. Topik yang mana? Topik yang awak buka komputer saya? Atau topik yang awak cuba masukkan password berkali-kali tapi gagal?"

Suraya terkesima. Biji matanya membulat.

"M-macam mana awak tahu?" soalnya sedikit gugup.

"Remote desktop."

Suraya menarik panjang. Tak sangka perbuatannya tadi telah diperhati dalam diam. Nampaknya, dia perlu lebih berhati-hati selepas ini.

"Sebenarnya, saya nak cari gambar-gambar lama awak. Sebab, sikit sangat saya tahu tentang diri awak." bohongnya dengan lancar. Wajah serius tadi dilupuskan lalu diganti dengan riak senang dan santai.

"Tak ada."

"Hah? Maksud awak?" soal Suraya pura-pura kehairanan. Dia, mahu mengikuti rentak perbualan lelaki itu dari terus digasak dengan kesalahannya di bilik studi tadi. Bimbang konfrontasi demi konfrontasi dari lelaki itu bakal menjerut dirinya sendiri sebentar lagi.

"Saya tak pernah bergambar kecuali untuk hal rasmi."

Lirikan, tepat dihantar ke dalam sepasang mata di hadapannya. Reaksi lelaki itu bersahaja. Seperti topik itu bukan suatu perkara besar untuk dibincangkan. Apatah lagi untuk direnungkan dengan mendalam.

"Maksud awak, sejak dari awal kecil awak tak pernah bergambar? Gambar dengan keluarga?"

"Tak berlaku walaupun sekali."

"Awak tak teringin ke untuk simpan dan tengok balik pada masa depan?"

"Tak."

Sepi.

Kali ini pengakuan itu memang mengejutkan dirinya. Dunia mereka berdua benar-benar berlawanan. Dia, sentiasa gemar membelek album foto yang berbentuk fizikal mahupun maya. Menelusuri imbasan terdahulu melalui imej bergambar yang memberikan seribu satu makna dalam kehidupannya. Lebih-lebih lagi setelah dia kehilangan kedua orang tua.

"Kalau macam tu, boleh ceritakan kepada saya tentang papa?" Dia meminta izin. Ingin sekali dia mengetahui dengan lebih mendalam akan latar belakang lelaki itu.

"Belum sampai masanya lagi."

"Belum sampai masa? Adrian, saya tanya soalan mudah sahaja. Kenapa awak susahkan?"

"Saya tak susahkan siapa-siapa. Cuma, saya belum ada mood nak ceritakan."

"Apa? Apa maksud awak, Adrian?" tanya Suraya tidak berpuas hati. Rasa simpati dan sedih untuk lelaki itu lenyap dalam sekelip mata. Tindak balas lelaki itu menyebabkan rasa itu diusir.

Dr. Adrian menjungkitkan bahunya, tipis tersenyum lalu dibiarkan sahaja pertanyaannya tergantung.

Bengang.

"Adrian! Awak mungkir janji!" selarnya.

"Nope. Saya tak pernah janji untuk ceritakan pada hari ni."

"Habis tu, bila lagi? Bila masa yang sesuai tu?" Separuh tidak sabar, dia menanya lagi.

"Nantilah." sahut Dr. Adrian ringkas.

Suraya menahan dinding kesabaran yang semakin menipis.

"Atau, awak tak percayakan saya?" getusnya.

Dr. Adrian diam. Kata-kata itu lantas mengingatkan dirinya kepada satu perbualan. Perbualan yang telah bertahun berlalu.

"Kau tak percaya Tan Sri tu ikhlas?" soal Zia.

Dia menggeleng. Mana mungkin pertama kali bertemu dan mengetahui pula status diri yang bukan ' nobody' lalu terus mempertaruhkan kepercayaan. Percaya bukan sesuatu yang mudah diraih dari dirinya. Percaya, sesuatu yang tinggi nilainya pada dirinya.

"Dia, Jay. Tan Sri Johari tu Jay." tuturnya tanpa ragu.

"Kau yakin?" tanya Zik pula.

Pertemuan lewat petang di kawasan luar kampus itu dilakukan di dalam sebuah kenderaan milik Zia. Kedua beradik itu hadir setelah dipinta olehnya kelmarin. Sejurus bertemu Tan Sri Johari, dia seakan di awangan. Belum mampu menelan hakikat yang dibawa oleh tokoh korporat itu seratus peratus. Semalam, pembantu peribadi Tan Sri Johari pula datang menemuinya. Menghulurkan butiran peribadi keluarga yang baru pertama kali diketahui itu. Juga, profil perniagaan legasi arwah datuknya sebelum mengakhirkan pertemuan itu dengan butiran kewangan yang bakal dinikmati olehnya kelak. Dia tidak termakan dengan pelbagai imbuhan yang dinyatakan. Tujuannya hanya satu. Bersemuka dengan Jay yang diburu itu.

"Siapa lagi yang papa aku maksudkan kalau bukan dia. Cuba kau fikir... Bertahun-tahun aku sendirian tiba-tiba bapak saudara yang mampu dari segala segi datang cari aku bila aku dah tamat belajar. Kalau dia betul-betul ikhlas, sewaktu aku dengan papa susah dia dah datang cari kitorang... tolong kitorang." tuturnya panjang lebar. Kerana keyakinan itu, dia merancang. Berbekalkan firasat, mereka menjalankan pelan.

"Awak tak percayakan saya?" tutur Suraya satu per satu. Reaksi terkejut yang terpamer hanya sesaat di wajah lelaki itu tadi sempat tertangkap pada lensa matanya. Kerana reaksi itulah perasaannya kini tercalar.

Lamunan panjang Dr. Adrian melebur. Wajah serius di hadapannya di pandang kosong. Sejak pertama kali bertemu, wajah itu seringkali mengganggu dirinya. Jelas dia telah terpukau. Namun, setelah memiliki dia jadi kebingungan. Terlalu banyak perkara yang disimpan dan dipendam. Bukan semudah memetik jari untuk diluahkan segala yang terbuku. Luahan itu terlalu dalam. Di dalam sebuah jurang yang dia sendiri enggan menyelam.

"Awak yang tak faham, Suraya. Belum tiba masanya lagi." balas Dr. Adrian berbaur pujukan. Jelas bagi dirinya bukan memujuk gadis itu tetapi dirinya sendiri. Meyakini diri tindakan menyimpan rahsia itu perlu buat masa ini.

"Saya yang tak faham? Macam mana nak faham kalau awak yang tak nak jelaskan!" protes Suraya seraya membalas renungan lelaki itu.

Dr. Adrian langsung mendiamkan diri. Kecaman itu ditelan bulat-bulat. Sangkaan dan tuduhan itu diterima tanpa bantahan. Suraya berhak untuk menilai meskipun tersasar.

"Baik. Saya faham. Saya faham sangat-sangat, Adrian. Daripada seseorang yang tak dikenali, saya jadi isteri awak. Memang patut awak curiga dengan saya. Manalah tahukan kot-kot saya ni spy yang dihantar oleh musuh awak tu." sindir Suraya kemudian.

Hairan.

Mengapa hatinya terasa sakit seperti sedang dicucuk oleh sesuatu yang tajam. Dan hairan mengapa akhir-akhir ini perasaannya mudah tersinggung terhadap apa sahaja ucapan atau tindak-tanduk lelaki itu yang dirasakan tidak sesuai mengikut kehendaknya. Tanpa menantikan penjelasan lelaki itu dia mengangkat kaki terlebih dahulu. Berserta, satu perasaan sarat yang melarat di segenap ruang jiwanya.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.