Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
124,512
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 13

Inflamasi


Jam di pergelangan tangan ditilik sekali lagi. Orang yang ditunggu belum tiba. Suraya memang tiba awal—sikapnya, tidak suka membuat orang lain menunggu.

Bosan berdiri, dia duduk di tangga, memilih sudut yang agak tersorok dari pengunjung ramai. Masih ada sepuluh minit sebelum waktu yang dijanjikan.

Hati kecilnya merungut; dia tidak biasa keluar sendirian ke tempat sesak begitu. Hanis masih belum pulang, dan Zamri seakan memaksa untuk bertemu. Ikut hati, lebih baik berjumpa di pejabat sahaja. Namun, alasan Zamri membuatnya sukar mengelak. Minggu hadapan, kata Zamri, dia sudah tiada lagi di pejabat—baru Suraya teringat lelaki itu akan meletakkan jawatan.

Mungkin ada sesuatu yang penting ingin disampaikan, atau mahu memulangkan peralatan syarikat yang belum sempat dikembalikan. Cuma, sedikit hairan kerana pertemuan dipilih di SOGO. Kenapa tidak di apartmen sahaja, boleh terus ambil alatan tanpa keluar ke tengah kota?

Belum puas memerhati kesibukan pengunjung yang berbolak-balik, telefon pintar dalam beg silang berbunyi. Pantas dia mencapai, menekan ikon hijau sebaik nama pemanggil muncul.

“Anne, apa kata tunggu abang dekat coffee shop? Abang nak cari parking ni,” maklum Zamri.

“Okay,” jawab Suraya.

“Abang nak Cappuccino,” tambah Zamri sebelum menamatkan panggilan.

Suraya menyimpan telefon dan menoleh ke belakang. Sebuah kafe kopi terletak di situ. Mengikut arahan Zamri, dia masuk, memesan secawan Cappuccino untuk lelaki itu dan Americano untuk dirinya. Sambil mencari meja yang tidak terlalu tersorok, dia belum sempat duduk, Zamri muncul dengan senyuman tidak putus di bibir. Suraya membalas dengan senyum pendek, namun matanya mengintai dengan rasa hairan—tiada sebarang beg atau barangan lain mengiringi lelaki itu yang datang berlenggang kangkung.

“Nak makan?”

“Tak. Tak lapar. Terima kasih,” jawab Suraya sopan, menolak.

Zamri mengambil minumannya, mengeluarkan telefon pintar dan mula bermain-main dengan alat itu. Suraya tidak senang duduk, rasa lelaki itu sengaja melengah-lengahkan masa dengan pura-pura sibuk.

Parents Anne, sihat?” soal Zamri tiba-tiba.

Suraya tersentak. Reaksi itu seakan menunjukkan rungutannya tadi terdengar.

“Sihat. Kenapa?” balasnya, cuba tenang sambil mata menjeling minumannya. Benaknya ligat berteka-teki.

“Tak ada apa… Saja tanya. Anne ada boyfriend tak?” Zamri bertanya lagi, membuat Suraya tersentak sekali lagi.

Namun, wajah Suraya tidak menampakkan sebarang reaksi. Lakonan diteruskan, walau hatinya mula tidak tenang dengan soalan demi soalan itu.

‘Sabar,’ nasihat hati kecilnya. Jangan terlalu jumud. Lagipun, Zamri hadir dengan makluman awal dan janji temu—bukan seperti tingkah laku Dr. Adrian kelmarin. Huh! Sebut nama lelaki itu sedikit sebanyak mengingatkannya kepada trauma semalam.

“Tak ada,” jawab Suraya ringkas, menolak prasangka ke tepi. Hal peribadi bukan sesuatu yang mudah dikongsi.

“Baguslah. Keluarga Anne boleh terima kalau Anne kahwin awal?” Zamri berseloroh, senyuman di bibirnya melebar.

Hisy! Soalan dah bukan-bukan ni. Duduk Suraya semakin tidak selesa, mahu sahaja dia bangun dan angkat kaki. Amaran Hadi dan Aidil melintas di fikirannya, tapi hati kecil terus memujuk:

Sabarlah… Mungkin Abang Zam saja-saja nak bergurau.

“Diorang tak kisah awal atau lambat. Asalkan Anne gembira dengan pilihan Anne,” jawab Zamri perlahan, senyuman kelat di bibir.

“Sebenarnya, abang berkenan dengan Anne. Abang tak tahu nak cakap macam mana, tapi percayalah… abang takkan sia-siakan Anne. Lagipun, isteri abang dah setuju benarkan abang kahwin lagi,” sahut Zamri tanpa segan silu. Perasaan teruja terpancar di wajahnya.

Suraya membulatkan mata.

Apa?? Kahwin??

Jantungnya terasa seperti diremas. Panas menyerbu ke muka, pandangannya berpinar seketika. Suara orang di sekeliling mula kabur, seolah-olah hanya degup jantungnya yang berbunyi di ruang itu. Nafasnya tersekat—antara marah dan tidak percaya.

Sepantas kilat, dia berlari keluar dari gedung. Terlalu terkejut mendengar pengakuan Zamri, hatinya berdongkol geram. Memang tak salah dia berprasangka sejak awal, tapi hati kecil masih mahu berlembut. Cisss!

"Anne!”

Namanya dilaungkan. Sekilas, dia menoleh, sebelum langkah besarnya diambil. Bimbang langkah itu tidak cukup, dia hampir berlari menjauhi Zamri yang pantas mengikutinya.

“Hei!!” tempiknya.

Zamri tidak berputus asa. Dia berjaya menyambar tangan Suraya, tetapi Suraya pantas menolak dan menendang lutut lelaki itu. Zamri terpusing ke belakang dan terjatuh melutut sambil mengerang kesakitan.

Huh! Puas hati aku… Kalaulah hari tu aku buka jurus ni awal-awal...

Tanpa menunggu lama, Suraya berpaling untuk melangkah pergi. Tetapi langkah itu kembali terhenti. Dia menatap Zamri yang masih berlutut, jelas terkial-kial untuk bangun. Kedua lututnya mungkin cedera akibat tendangan sebentar tadi.

Hmm… Ade aku kisah?

“Maaf, Abang Zam. Saya tak berniat nak pukul abang. Tapi keadaan memaksa. Terus terang saya cakap, saya takde sebarang perasaan pun pada abang," ujar Suraya, seolah berdiplomasi. Padahal, sepatutnya dia mengecam dan mengherdik tindakan lelaki itu.

Kata-kata seorang jeneral Cina dari buku motivasi yang dibacanya berlegar-legar di mindanya: Appear weak when you are strong, and strong when you are weak. Jika tidak dikawal, lelaki itu mungkin bakal menginap di wad malam ini. Namun, akalnya menahan dirinya—Zamri tetap pernah menjadi gurunya selama dua setengah bulan.

Melihat orang awam mula meninjau, rasa segan menyerbu. Suraya ingin segera beredar. Namun, baru selangkah dia menapak… dia berpaling lagi.

"Aaa… lagi satu, thanks ragging saya sejak dari awal saya masuk kerja. Saya anggap itu sebagai latihan fizikal atau kemahiran tersembunyi."

Dengan itu, dia berlalu dengan perasaan gementar yang meremang ke seluruh tubuh. Dia sudah tidak peduli lagi jika insiden itu menjadi perhatian ramai. Luka kelmarin terasa berdarah semula. Dia geram. Terlalu geram. Maruahnya lebih bernilai daripada segala-galanya. Dan...

Apa dah jadi dengan dua orang staf TSL ni?? Dan kenapa aku jugak yang harus jadi mangsa?!

Dan entah kenapa, di antara langkahnya yang longlai itu, dua bayangan hadir — Zamri… dan Dr. Adrian.


• • •


Arghhh!

Satu tin minuman bergas di atas meja kopi itu ditenung lama. Meski terdengar ketawa yang berbondong-bondong dari televisyen, The Nanny tidak lagi mencuit hatinya. Dia menggaru kepala perlahan, duduk di sofa pula tidak tetap—sesuatu memang tidak kena. Akhirnya, dia bersandar malas sambil kepala terteleng memandang skrin televisyen dengan pandangan kosong.

“Sudah-sudahlah tu. Benda dah jadi... Kau pun tak sangka Zamri tu akan cakap macam tu, kan?”

Teguran itu membuatkan Suraya membetulkan kedudukannya. Hanis menghampiri dan duduk di sisinya. Suraya menghela panjang sambil menunduk, menelan rasa kecewa. Harum semerbak syampu rambut teman itu menusuk ke hidung. Sekilas dijeling—patutlah, Hanis baru selesai mandi, rambutnya masih basah, tuala kecil tersidai di bahunya.

“Selama ni aku ingatkan kebaikan tu semata-mata sebab aku ni staf baru.”

Hati Suraya kembali perit apabila nama lelaki itu disebut. Rupanya, setiap perhatian yang diberikannya ada udang di sebalik batu.

“Tulah… Kena waspada juga kalau bekerja dengan lelaki. Kalau dia bujang, tak apa. Tapi ni, laki orang,” ulas Hanis.

Suraya memuncungkan bibir, mati akal untuk menjawab. Semua salahnya sendiri. Kalaulah dia mendengar amaran Hadi dan Aidil dahulu, tentu perkara ini boleh dielakkan.

“Zamri mesti tunggu masa yang sesuai untuk bagitahu kau, kan?” getus Hanis lagi.

Suraya mengangkat kening memandang teman baiknya.

“Ha'ah, pandai kau teka. Minggu lepas adalah minggu terakhir dia bekerja di syarikat,” jawabnya lemah.

Hanis tersentak, mulutnya ternganga. Mata Suraya mengecil, jengkel melihat reaksi teman baiknya itu.

“Dah… tak payah marah. Bukan kau yang kena reject,” kata Hanis lembut, melihat Suraya yang masih murung.

“Aku tak marah… tapi bengang. Kenapa lelaki ni ada perangai pelik-pelik, ye?” Suraya membebel, wajah masih tidak puas hati.

Hanis ketawa kecil. Suraya menjeling tajam, terasa ingin bertanya dalam hati apa yang kelakar sangat.

“Kau tak pernah berkawan rapat dengan lelaki, sebab tu mudah je kau cakap macam tu. Sebenarnya, sikap mereka tak pelik pun. Kadang-kadang saja tak sabar, macam kita juga. Tak perlu main blame game,” tutur Hanis sabar, melayan mood tidak baik sahabatnya.

Suraya diam membisu, memikirkan kata-kata Hanis. Momen bersama Adrian kembali terlintas. Entah sejak bila, gelaran Dr. itu terhakis daripada ingatan; yang tinggal hanya nama itu, hadir bersama rasa keliru dan marah yang bersisa.

Jadi, alasan lelaki itu kerana tidak boleh berfikir dengan tenang… kenapa tak tenang pulak?

Dia meneliti dirinya sendiri. Tiada apa yang menonjol. Biasa-biasa sahaja. Kalau dibandingkan dengan Hanis, gadis itu jauh lebih cantik dan menawan. Tapi kenapa aku juga yang jadi sasaran? Dr. Adrian... Zamri... apa sebenarnya yang mereka cari?

Hanis menggeleng kepala melihat telatah temannya.Dia menepuk lembut peha Suraya sebelum terdengar bunyi deringan bertalu-talu dari biliknya.

“Dah… tak perlu fikir apa-apa lagi. Aku masuk bilik dulu,” ujar Hanis sebelum berlalu.

Suraya tersentak sebentar sebelum mematikan televisyen. Tin minuman disambar dan dia melangkah ke bilik. Telefon di atas katil dicapai, nombor kediaman orang tuanya ditekan. Suara mummy yang ceria di hujung talian membuatkan bibirnya menguntum senyuman—ubat penenang yang mujarab!

Previous: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.