Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
121,132
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 11

Burung Hantu


Tepat jam 10.00 malam, telefonnya berbunyi. Suraya menyambut panggilan itu dengan hati yang sedia, walaupun debar halus bergetar di dada. Selesai menjawab sepatah dua, dia menyimpan telefon ke dalam poket beg komputer riba, lalu menggalasnya. Cermin di ruang tamu menjadi saksi — jersi hitam berlengan panjang, jeans longgar lusuh, dan tudung chiffon kelabu pudar yang selesa. Tiada make up, tiada gaya berlebih. Malam begini, apa perlunya?

“Aku pergi dulu,” katanya sambil melintasi Hanis yang leka di depan televisyen.

“Okay, babe. Hati-hati. Apa-apa, call.”

Suraya tersenyum nipis, menyarung kasut lalu melangkah keluar.

Turun ke tingkat bawah, suasana agak lengang. Lampu jalan malap memantul di badan kereta hitam yang dikenali. Kereta bos… Jantungnya laju sedikit. Tanpa menunggu, Suraya menarik pintu penumpang dan masuk, menyapa ala kadar. Lelaki itu sekadar mengangguk, matanya tidak beralih daripada skrin telefon. Cahaya biru skrin membalik di wajah seriusnya, seolah-olah seluruh dunia lain tidak wujud. Suraya menelan liur, berdiam, sementara bunyi pendingin hawa memenuhi ruang senyap itu.

“Kita ke ofis dulu,” ujar Dr. Adrian tenang sambil menukar gear. Enjin kereta mula berdengung perlahan.

“Kenapa tak terus buat kerja je?” tanya Suraya. Tangannya sibuk menarik dan mengemaskan tali pinggang keledar. Beg komputer ribanya dibiarkan di atas pangkuan.

“Ada beberapa perkara I kena siapkan dulu dekat ofis. Lagi pun, kita akan guna kereta company,” jawabnya sambil menumpukan perhatian ke jalan.

“Kenapa pulak kena guna kereta company?” Suraya memandang sekilas, nada suaranya ikhlas ingin tahu. Dia teringat Zamri—motosikal yang digunakan memang masuk akal kalau diganti dengan kenderaan pejabat. Tapi Dr. Adrian dah ada kereta sendiri, kenapa perlu susah-susah?

Dr. Adrian menoleh sekilas, kemudian kembali fokus pada pemanduan. “Kereta yang company provide tu sebenarnya privilege untuk staf on site. Jadi, walaupun you datang ofis dengan kereta sendiri, bila turun site memang kena pakai kenderaan tu. Dalam tu dah siap lengkap dengan peralatan, jadi kerja lebih mudah.”

Suraya mengangguk kecil, tidak membalas. Matanya dihalakan semula ke depan, berusaha menyembunyikan rasa segan yang masih menebal. Walaupun kini perbualan mereka agak santai, memori kebiadaban awalnya terhadap lelaki itu masih berbekas.

“Tapi kenapa kita tak terus buat kerja sekarang?” ulang Suraya, masih belum puas hati dengan jawapan tadi.

Are you playing dumb, Suraya?” kata Dr. Adrian spontan. Baru sahaja perkataan itu keluar, keningnya berkerut kecil. Dia menyesal, terasa kasar nada itu.

Suraya tersentak. Sekilas, matanya menoleh memandang lelaki itu. Namun dia cepat-cepat mengalihkan pandangan, menelan rasa.

Kasarkah aku tadi? Bisikan itu berlegar dalam benak Dr. Adrian. Dia menggaru dahi, cuba menutup rasa bersalah. Tangan kembali teguh di stereng. Sunyi sebentar dalam kereta.

“Tapi, kita boleh je buat test tu sekarang… kan?” Suraya akhirnya bersuara, cuba menyembunyikan riak yang tadi terusik. Dia menuturkan dengan nada pura-pura selamba, seolah-olah tiada apa yang berlaku.

Hakikatnya, kata-kata lelaki itu tadi sedikit menyengat. Namun, dia tidak mahu kelihatan lemah. Salahnya juga—bertanya banyak sangat. Tapi, dia memang tidak tahu, dan itu sebabnya dia bertanya.

Kerja bukan macam zaman belajar dulu, bisiknya dalam hati. Tak ada siapa nak pegang tangan, ajar perlahan-lahan. Dunia ni keras, apatah lagi dalam bidang yang penuh lelaki. Kalau aku nak bertahan, kena belajar hadap cara mereka bercakap—walau pedih sekalipun.

Yes, you are right. Cuma, kita tak mahu ganggu customer kalau buat pada waktu macam ni,” jelas Dr. Adrian akhirnya selepas beberapa ketika sepi.

Suraya cepat mencatat nota dalam mindanya.

Dua puluh minit kemudian, mereka tiba di perkarangan pejabat. Suasana agak lengang, hanya cahaya lampu kalimantang menerangi lobi. Pendingin hawa berdengung perlahan.

“Saya tak bawak ID,” maklum Suraya perlahan, agak gelabah ketika mereka melintasi pintu utama. Seorang pengawal keselamatan duduk di kaunter, menegakkan badan sebaik melihat mereka.

“Selamat malam, Dr. Adrian,” sapa pengawal itu sambil mengangkat tangan.

Dr. Adrian sekadar mengangguk kecil membalas sapaan itu, lalu menoleh pada Suraya.

Never mind. Kita terus ke pejabat I,” tuturnya tenang, langkahnya panjang dan teratur membelah sunyi lobi.

Suraya mengekori dari belakang, masih terasa segan kerana insiden ID tadi, namun diam-diam lega kerana lelaki itu langsung tidak menjadikannya isu.

Suraya mengekori hingga lif berhenti di tingkat tujuh. Bunyi loceng halus bergema, lalu pintu besi terbuka. Koridor yang menyambut mereka agak suram, hanya diterangi cahaya malap lampu kecemasan. Langkah mereka bergema di lantai marmar, dan dari kejauhan hanya satu bilik kelihatan terang—mungkin itu pejabat Dr. Adrian, tekanya.

“Duduklah di mana you selesa,” ujar lelaki itu sambil menekan beberapa suis. Lampu siling perlahan-lahan menyala, mengusir bayang-bayang yang tadi memanjang.

Keadaan di aras tujuh itu hampir serupa dengan pejabat di tingkat enam, cuma lebih sunyi, seolah-olah seluruh bangunan sudah lena. Suraya berjalan berhati-hati, matanya sempat melingas ke sekeliling sebelum akhirnya menghampiri sebuah meja kosong tidak jauh dari bilik Dr. Adrian. Beg komputer ribanya diletakkan di situ, tangannya menarik sebuah kerusi lalu dia duduk.

“Dah makan?” tanya Dr. Adrian, langkahnya terhenti walaupun tangan sudah menyentuh tombol pintu.

Suraya menoleh, sedikit terkejut dengan soalan spontan itu. Perlahan dia mengangguk.

“Tidur?”

Dia angguk sekali lagi, tapi bibir terjuih sedikit, hampir mahu ketawa dengan gaya lelaki itu yang seakan sedang menyoal siasat ringkas.

Alright,” balas Dr. Adrian sebelum membuka pintu dan melangkah masuk.

Suraya menarik nafas kecil, lalu mengeluarkan buku bacaan serta buku nota dari beg galasnya. Halaman ke-290 disambung. Bunyi pendingin hawa dan kesunyian pejabat menjadi teman. Walaupun tekadnya mahu menghabiskan bacaan, kelopak mata semakin berat. Kepala makin tunduk, buku hampir tergelincir dari meja. Akhirnya, lena menundukkannya tanpa sedar.

“Suraya...”

Sayup, suara itu menyusup masuk ke telinganya. Dia terpisat-pisat membuka mata. Seketika, wajahnya merona panas bila menyedari dirinya tertidur dengan buku tebal dijadikan alas. Cepat-cepat dia menggosok mata dan menutup mulut yang menguap kecil.

Tidak jauh darinya, Dr. Adrian berdiri—mata tak lekang memandang. Bibirnya terbit senyuman tipis, cepat-cepat dilindungi dengan batuk kecil seolah-olah dia tidak memerhati dari tadi.

You tidur tak siang tadi?” tegur Dr. Adrian, nadanya sedikit tegas.

Tadi, setelah lama menekuni analisis laporan di pejabatnya, tergerak hatinya untuk menjenguk Suraya. Saat melihat gadis itu lena dengan lengan dijadikan bantal, hatinya terhenti seketika. Ada rasa kasihan, ada juga rasa bersalah membiarkan dia tertidur begitu. Akhirnya, dia beranikan diri mengejutkan.

“Tak biasa nak tidur sianglah...” suara Suraya kedengaran serak, matanya masih separuh kuyu. “Malam tadi dah tidur banyak. Tiba-tiba siang nak kena tidur lagi. Tu pun tadi tidur tak sampai sejam, kot.”

Dia menggosok tekak yang kering, menyesal pula tak bawa air minuman. Seolah-olah memahami, Dr. Adrian menghilang dan muncul semula sambil hulur sebotol air mineral. Tanpa berfikir panjang, Suraya menyambarnya dan meneguk laju.

“Terima kasih...” ujarnya, sedikit malu kerana gelojoh. Kepalanya didongak sebentar, leher yang lenguh digosok perlahan.

“Dah nak pergi site ke?” tanyanya, berharap alasan itu sebab dia dikejutkan.

“Belum,” jawab Dr. Adrian ringkas.

Suraya mendengus kecil dalam hati. Kalau macam tu, buat apa kejutkan aku? Tengah sedap-sedap tidur pula tu.

Dr. Adrian sempat mengerling wajah Suraya yang masih separuh mengantuk. “Apa kata you tidur dekat bilik I. Ada sofa... at least lebih selesa daripada meja ni. Kita pun mungkin kerja sampai lewat.”

Darah menyerbu wajah Suraya, panasnya terasa hingga ke telinga. Pandangan dijatuhkan, kedua-dua tangan mengepal di riba. Buku nota sudah hilang makna, dan beg komputer riba di tepi kerusi hanya mengingatkannya pada sesuatu—

Handphone aku dalam tu...

Ekor matanya melirik ke arah pintu yang tertutup rapat. Nafasnya jadi berat. Kenapa aku tak fikir semua ni awal-awal tadi?

“Suraya?.. Kenapa?” suara Dr. Adrian kedengaran, jari-jemarinya mengetuk meja berirama perlahan.

Suraya cuba menelan liur, tetapi tekaknya kering. Kalau apa-apa jadi... siapa yang tahu?

Are you afraid of me?” Soalan itu jatuh begitu saja, lembut tapi penuh makna.

Suraya terkaku. Tak berani menjawab.

Di seberang meja, Dr. Adrian memerhati. Dia sudah dapat agak jawapannya. Rasa kecewa menyusup, meskipun dia tahu gadis itu tak salah. Situasi mereka sendiri memang cukup untuk menimbulkan salah sangka.

Sejenak, dia termenung. Kemudian perlahan-lahan, dia mengeluarkan sesuatu dari poket kemejanya—kad akses. Tali lanyard dirungkai, lalu dipakaikan ke leher Suraya.

Gadis itu tersentak, matanya membulat. Namun, beranikan diri untuk mendongak.

Dr. Adrian melemparkan senyuman, nipis dan kelat. “Sekarang... awak boleh keluar-masuk ikut suka. Tak ada yang kunci awak di sini, kecuali diri awak sendiri.”

Sejenak dia membiarkan kata-kata itu tergantung di udara, sebelum menyambung perlahan. “Kalau betul I ada niat buruk, I takkan pilih pejabat ni, Suraya.” suara Dr. Adrian tenang, tapi cukup untuk membuatkan Suraya terhenti bernafas sesaat.

Sunyi.

Apa maksud dia? Tempat lain? Suraya terasa seperti tercekik air liur sendiri.

Look.”

Jari telunjuk Dr. Adrian diangkat ke arah sudut siling. Suraya mengekori arahnya—dan hampir serta-merta wajahnya terasa membara.

CCTV! Dari tadi aku duduk berdebar sorang-sorang, rupanya... Ya Allah, malunya!

Be professional. Kita ada di sini untuk kerja, bukan yang lain.” Suara Dr. Adrian datar tapi tidak kasar, seakan mahu menamatkan salah faham.

Setepek. Malu Suraya terasa berganda.

So, pukul dua nanti kita gerak. Sekarang, you masuk bilik I. Rehat dekat sofa tu. I kerja di sini.” katanya selamba, kemudian berlalu sebelum kembali semula dengan sebuah komputer riba di tangan.

Kata-kata lelaki itu dikotakan. Tanpa bantahan, Suraya bingkas bangun, bibir terkunci rapat, kepala menunduk mengekori arahan.

Malu, malu, malunyaaa!

“Tutup lampu.”

Nada Dr. Adrian tenang, tapi cukup membuatkan jantung Suraya berdegup laju. Dia lalu patuh menekan suis. Ruang itu serta-merta menjadi malap, hanya diterangi cahaya samar dari luar bangunan.

Seperti di dalam keretanya, haruman mint frost menyapa hidung, menguasai ruang sederhana besar itu. Meja kerja lelaki itu tersusun dengan beberapa fail, dua kabinet kaca di kiri dan kanan penuh dengan fail tebal. Di sudut kanan, sebuah sofa sederhana panjang menanti. Suraya melabuhkan diri di situ, masih terasa malu dengan prasangka yang terburu-buru tadi.

Tanpa berfikir panjang, dicapai bantal hiasan untuk dijadikan alas kepala. Mata yang memberat akhirnya menyerah, dan sekali lagi dia tenggelam dalam lena.


• • •


Kelopak matanya terganggu oleh cahaya lampu yang tiba-tiba mencelah. Perit, silau. Dia tidak lagi terkejut, hanya membiarkan mata separa terbuka. Samar-samar, dia sedar ada bayang lelaki di meja kerja. Bunyi papan kekunci dan helaian kertas yang dibalikkan menemani kantuknya yang masih berat.

"Jom," ujar Dr. Adrian sebaik menyedari gerak gerinya yang mula sedar.

Suraya bangkit dari sofa dengan langkah yang terasa berat. Dia tidak bersuara, hanya menunduk sedikit, seolah-olah mahu mengelak daripada menatap wajah lelaki itu. Senyap-senyap, dia melangkah keluar.

Saat air dingin membasahi wajah, barulah dia sedar—kad akses lelaki itu masih tergantung di lehernya sejak tadi. Sejenak matanya tertancap pada potret kecil lelaki itu, dan rasa segan pun merayap halus. Cepat-cepat tudung dibetulkan semula, seakan mahu menutup rasa malu yang singgah.

Usai bersiap, dia kembali ke pejabat lalu mengemas barangannya. Tanpa banyak bicara, mereka beriringan ke menara lif dan turun ke parkir bawah tanah.

“Pakai ni,” arah Dr. Adrian, meletakkan sehelai zip-up hoodie di atas ribaan Suraya.

Suraya terpana, jari-jemarinya kaku seketika. Namun, tetap juga disambut. Hangatnya jaket itu terasa seolah-olah membalut hati yang sejak tadi diselubungi malu. Bagasi komputer ribanya dialih ke tempat duduk belakang, sebelum perlahan dia menyarung baju panas itu. Rasa selesa segera merayap, dan entah kenapa... dirinya terasa lebih dilindungi berbanding tadi.

Kawasan parkir bawah tanah itu sunyi. Di dalam kereta, suasana malap diterangi dome light. Dengan bantuan cahaya itu, Dr. Adrian mula mengeluarkan peralatan satu per satu.

Sebiji inverter ditarik keluar dari bawah tempat duduk penumpang, disambungkan pada soket kereta. Suraya pantas membantu melekatkan plug komputer riba. Sebuah telefon pintar yang dijadikan test phone turut dikeluarkan, wayarnya disambungkan ke komputer. GPS dan sebuah USB dongle menyusul, melengkapkan set peralatan.

“Banyak juga tools yang nak dipakai,” bisik Suraya, hampir seperti bercakap dengan diri sendiri, namun tetap sampai ke telinga lelaki itu.

“Hmm… tapi tak lama lagi semuanya akan jadi app based. Soon… very, very soon.” Senyuman tipis terukir di bibirnya, namun jelas ada keceriaan yang jarang kelihatan.

Suraya sempat melirik, hairan dengan perubahan mendadak pada nada suara lelaki itu. Seakan ada sesuatu yang dirahsiakan di sebalik senyuman ringkas itu.

“Sekarang… kita ke Setapak dulu,” katanya sambil membuka perisian Google Earth di skrin.

“Okay,” sahut Suraya, bibir menguntum senyum, hatinya berdebar menanti langkah seterusnya.

“Mengantuk lagi?” soal Dr. Adrian sambil sebelah tangan memegang stereng, sebelah lagi menahan komputer riba di atas ribaan. Wajahnya seketika muram. Sejak melihat Suraya tertidur di tingkat atas tadi, hatinya dihimpit rasa serba salah. Mungkin dia silap memilih gadis itu sebagai pembantu. Tapi bila roda perancangan sudah separuh berjalan, dia tidak punya pilihan lain.

“Adalah sikit,” jawab Suraya perlahan, pipinya terasa panas.

Dr. Adrian menjeling sekilas sebelum kembali menumpukan pandangan ke skrin. “Tak jadi nak suruh you jadi driver.”

Why you guys asyik suruh saya jadi driver?”

Spontan kata-kata itu terlepas. Suraya pantas mengemam bibir, menyesal sendiri.

‘Eh, lupa ke dia tu bos? Suka hati dialah nak arahkan orang!’

You guys? Maksud you siapa?” Suara lelaki itu tenang, tetapi jelas menunggu jawapan.

‘Kan! Dah kena menjawab…’

Suraya senyum pendek, dibuat-buat. “Takde apa, lah.”

No. I’ve heard you complaining twice now. ” Nada Dr. Adrian berubah lebih serius, keningnya berkerut. “Ada apa ni, Suraya? Ada sesiapa ke yang buli you dekat ofis?”

Dia sudah lama menahan sabar. Gadis itu berkali-kali mengadu, tetapi jawapannya sentiasa tergantung. Mana tidak serabut kepalanya kalau begini.

Sorry. Maybe saya tak cukup tidur kot.” Suraya menggosok tengkuknya, cuba mengukir senyum kecil. “Banyak pulak songeh memalam ni. Can we start now, Dr. Adrian?”

Lelaki itu menarik nafas panjang. Pandangannya dibuang ke luar cermin, seketika membeku. Dua kali dia cuba berbicara, dua kali dipinggirkan.

“Sebenarnya…” suara Dr. Adrian rendah, “I nampak you pandu kereta ni di Greenwood dulu.”

Sunyi. Suraya menunduk, berpura-pura meneliti hujung tudungnya. Tiada sahutan. Sekali lagi Dr. Adrian menelan rasa terkilan.

You boleh baca map?” soalnya akhirnya.

“Boleh.”

Jawapan ringkas itu melegakan. Bukankah sebelum ini gadis itu sendiri yang marah bila kemampuannya cepat diragui? Dia tidak silap memilih Suraya, cuma gadis itu belum terbiasa dengan rentak kerjanya.

“Kalau macam tu…” Dr. Adrian meletakkan komputer riba di ribanya. “You pegang ni. I dah mark spot and route untuk SSV. Jangan risau, short drive test je. Cuma mungkin ambil masa sikit masa static test nanti.”

Suraya mengangguk beberapa kali, kali ini lebih fokus, seperti mahu membuktikan sesuatu.

Komputer riba bertukar tangan, dan sepanjang perjalanan Suraya memegangnya seakan menjaga sesuatu yang lebih rapuh daripada dirinya sendiri. Setiap kali roda melanggar bonggol, jari-jemarinya mengetat di sisi alat itu.

Menghampiri angka 2.30 pagi, kereta berhenti di petak parkir berhadapan sebuah kedai serbaneka 24 jam. Suraya melirik kiri kanan—lengang, hanya lampu neon putih yang memancar terang, menenggelamkan sepi jalan.

Alright! Malam ni kita jadi burung hantu…” usik Dr. Adrian sambil tersenyum nipis.

Suraya terdiam, namun bibirnya sempat terbit senyum kecil yang cepat-cepat disembunyikan. Entah kenapa, kata-kata ringan itu membuat benteng yang dibina dalam diam retak sedikit.

Sejak bila aku bina kubu tu? fikirnya. Mungkin sejak pertama kali bersua… dan tanpa sedar, ia makin tinggi sendiri.

First thing first, call NOC untuk alarm status,” kata Dr. Adrian, masih sabar memberi tunjuk ajar.

Suraya mengangguk, memerhati lelaki itu mendail nombor pada telefon yang terpasang di holder.

Oh, hi Azlan...” Dr. Adrian lantas menoleh ke arah Suraya. “Your boyfriend... Nak cakap dengan dia?” usik Dr. Adrian, wajahnya disinari cahaya neon dari luar.

Suraya terkedu. Bulat matanya, suara hampir melonjak.

“Hei, dia bukan boyfriend saya!”

Baru saja habis ayat, baru dia sedar—suara itu sudah pun menyeberang ke telinga Azlan di hujung talian. Ciss! Main-mainkan orang rupanya.

Dengan selamba, dia menghulur tangan, cuba merampas telefon itu. Tetapi percubaannya terhenti sebaik sahaja jemarinya bertembung dengan telapak Dr. Adrian. Hangat. Singkat. Namun cukup untuk membuatnya terasa seperti disambar renjatan.

Cepat-cepat Suraya menarik tangannya, pipi membahang. Tubuhnya dipusingkan menghadap tingkap, enggan memandang lagi. Dari hujung mata, dia nampak pantulan neon putih pada cermin kedai serbaneka—sedang di dalam kereta, hatinya pula mendidih dengan malu dan geram.

“Suraya, I minta maaf, okay. Come, let’s start working,” ujar Dr. Adrian lembut, sebaik talian diputuskan.

Dalam diam, dia berasa lega. Sekurang-kurangnya sangkaannya tentang hubungan Suraya dan Azlan sudah terpadam.


• • •


Hampir jam enam pagi, mereka tiba semula di tingkat bawah tanah. Tugasan malam itu berakhir, walaupun kerja sebenar akan berulang lagi pada siang hari berikutnya.

“Penat?” soal Dr. Adrian.

Suraya tak mampu menipu; mulutnya terkuak kecil sebelum cepat-cepat ditutup dengan tangan.

“Nak tidur…” suaranya sayup.

Dr. Adrian tersenyum nipis. “Boleh solat?”

Suraya mengangguk, matanya separuh pejam.

“Jom naik ke surau. Lepas tu I hantar you balik. Rest well. Nanti, I akan email tugasan seterusnya.”

Suraya menurut, mengangguk-angguk seperti burung belatuk. Matanya memerhati Dr. Adrian mengemas peralatan, sementara hatinya hanya satu—ingin segera pulang. Namun, di celah lelah itu, ada sesuatu yang berbekas: perhatian seorang lelaki yang entah sejak bila mula mengusik fikirannya.

Previous: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.