Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Khas Buat Suraya Anne!
kamika
15/9/2023 22:41:07
117,343
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Senarai Bab
Bab 2

Hello, Mr. Lee!


Hello. Selamat pagi.”

Senyuman manis penyambut tetamu sedikit meredakan gelora di dada. Gayanya sofistikated — dandanan rapi, perhiasan minimalis tapi berkelas. Cocok benar dia di premis korporat dengan logo TSL berwarna ungu-hijau yang bergemerlapan di belakang.

Kata-kata mummy segera terngiang: “Macam mana lasak pun kerja Yaya nanti, jagalah diri. Bukan semua orang berniat baik.”

Suraya menarik nafas panjang. Selendangnya dibetulkan, dilabuhkan sedikit di bahagian dada untuk menutup lebih kemas.

Mummy selalu pesan: “Bergaya tak salah, asal selari dengan syarak. Yang lebih penting lagi, jaga maruah diri di tempat kerja.”

Benar sungguh kata mummy. Sejak menjejakkan kaki di lobi tadi, hatinya bagai mengecil. Warga TSL berjalan penuh yakin, ketrampilan mereka seakan disusun dari helaian majalah. Pertuturan, gaya, etiket — semuanya seragam. Sedang dia… terasa asing.

“Hai… saya Suraya Anne. Saya datang untuk lapor diri.” Suaranya kedengaran tenang, tapi genggaman erat pada fail hitam di tangan jelas membocorkan rasa gementar.

Dia mengeluarkan salinan surat tawaran, menghulurkan kepada wanita di kaunter.

Wanita itu menyambut dengan senyuman profesional yang seakan sudah terlatih. Sekilas ditatap, kemudian tangannya cekap menulis pada organizer besar, sebelum jemarinya lincah menekan papan kekunci.

Pandangan Suraya terhenti pada tag nama di dada kot biru gelap wanita itu — Irene.

“Okay, Cik Suraya Anne. You tunggu di bilik mesyuarat nombor dua. Ikut kanan, jalan terus. The room will be on your left,” katanya dengan senyum yang tidak lekang.

Suraya mengangguk kecil, sempat menjeling ke arah laluan yang ditunjukkan. Namun kakinya tetap terpaku di lantai.

Irene mengangkat wajah, senyumannya bertambah mesra. “Well… is this your very first time, Cik Suraya?” Nadanya lembut, seolah sudah biasa meneka gelagat staf baharu.

Urm… yup.” Suraya tidak mampu berbohong.

Oh, dear… relax, okay?” Irene mengenyit mata sedikit, seakan cuba berjenaka. "Orang yang kamu nak jumpa nanti memang baik hati. Percayalah cakap saya."

Entah kenapa, kata-kata itu terasa seperti yang paling dia perlukan saat ini. Suraya membalas dengan senyum tipis yang lebih tulus, lalu menarik nafas panjang.

“Erm, terima kasih Irene,” tuturnya perlahan sebelum menarik satu nafas panjang.

Senyuman Irene masih terpasang, seolah-olah mengiringinya dengan doa semangat yang tidak terucap. Suraya tidak mahu berlengah lagi. Lebih cepat urusan ini bermula, lebih cepat juga keresahannya berakhir.

Fail hitam di tangan digenggam erat. Dia melangkah dengan tempo kecil, cuba mengawal degup jantung yang semakin laju. Setiap derap kasutnya bergema di laluan sepi yang diterangi cahaya kekuningan. Sesekali dia menelan liur, menahan gugup yang datang bertalu-talu.

Tidak lama, dia berdiri di hadapan pintu bernombor dua. Nafas ditarik dalam, doa dilafaz dalam hati—semoga segalanya dipermudah.

Perlahan, tombol pintu dipulas.

Pintu terbuka, menyingkap ruang mesyuarat sederhana besar dengan aroma pendingin hawa yang dingin menusuk kulit.

Suraya terpaku.

Seorang lelaki sudah berada di situ. Duduk di sofa berbalut kulit hitam, tubuhnya tegak kemas, wajah sedikit tunduk meneliti helaian fail di tangan. Kemeja putih yang dipakai kemas dan rapi, ditambah tali leher biru gelap yang membuatkan penampilannya kelihatan tegas namun elegan.

Dia masih belum menyedari kehadiran Suraya. Hanya bunyi helaian kertas yang diselak menjadi teman hening bilik itu.

Jantung Suraya seolah-olah berhenti seketika. Langkahnya kaku di muka pintu, tidak tahu sama ada harus memberi salam atau menunggu lelaki itu mengangkat wajah.

Tanpa menunggu pelawaan, Suraya menurunkan tubuh ke sofa yang bertentangan dengan lelaki itu. Beg putih dan fail hitam didekap erat di riba, seolah-olah menjadi pelindung diri. Pandangannya jatuh ke arah jari-jemari yang bertaut di atas permukaan fail. Nafas ditarik dalam-dalam, namun lelaki di hadapannya tetap tidak menoleh, asyik meneliti helaian fail di tangan.

Sesak rasa dadanya menanti sapaan. Setelah beberapa minit sepi, dia akhirnya memilih untuk berdiam diri—menjadi pemerhati.

Mr. Lee?

Duganya, setelah sempat mencuri kilasan wajah. Boleh jadi… tapi kalau silap, bukankah nampak biadap kalau ditegur sembarangan? Jadi, biarlah. Tunggu saja.

Sambil menunggu, matanya meneroka ruang eksekutif itu. Kombinasi perabot hitam berkilat dan dinding putih bersih mewujudkan suasana eksklusif. Cahaya matahari yang disaring tirai putih jatuh lembut ke lantai, meninggalkan garis-garis cerah. Sekali-sekala, pendingin hawa meniupkan udara dingin, membuatkan debar di dada terasa semakin nyata.

Pandangannya akhirnya kembali kepada lelaki itu. Lama dia merenung, tanpa sedar wajah tersebut diteliti. Garisan rahang yang kemas, dahi tanpa kedut, dan mata yang kelihatan tajam meski tertunduk membaca.

Muda betul Mr. Lee ni…

Benaknya masih berputar. Semenjak nama itu disebut dalam e-mel, dia membayangkan seorang lelaki separuh abad, beruban di sisi, perut sedikit ke hadapan—tipikal pengurus berpengalaman. Namun yang duduk di hadapannya kini jauh dari imej itu. Malah, terlalu muda.

Muka pun... pass masuk tv—

“It’s rude to stare.”

Suara itu dalam, tenang, tapi cukup untuk mematikan khayalan Suraya serta-merta.

“Oh, saya—saya minta maaf,” gugupnya. Wajah terasa panas, cepat-cepat matanya jatuh ke ribaan. Dia tidak sengaja. Sumpah! Tapi bila lama dibiarkan, fikiran dan lirikan memang suka melayang sendiri.

You ada urusan apa di sini? Harrison tak ada pula maklumkan yang dia akan hantar wakil. Care to introduce yourself?”

Suraya kaku. Malu menggigit diri—baru sebentar tadi kantoi menilik, sekarang pula ditegur kerana tidak memperkenalkan diri. Perlahan-lahan, dia mengangkat wajah.

Tatapan mereka bersatu. Dan seketika itu juga, dia terpaku. Mata lelaki itu… terlalu jernih. Ada sesuatu yang belum pernah dilihatnya pada mana-mana lelaki sebelum ini. Ianya jernih, tapi tajam, seperti mampu menembusi fikirannya.

“Saya… Suraya Anne binti Ahmad Fauzi. Saya hadir untuk lapor diri,” jelasnya, cuba mengukir senyum walau terasa kelat.

Namun, senyum itu segera layu. Lelaki itu masih tidak membalas. Sebaliknya, sepasang mata yang tadi jernih kini menikamnya dengan renungan tajam, seolah-olah mencari sesuatu di dalam dirinya.

So, you’re Suraya Anne?” Suara Mr. Lee tenang, tapi renungan matanya tajam, seolah menembusi lapisan fikirannya. “Where are you from?”

Suraya cepat-cepat menelan liur. Walaupun nada lelaki itu tidak meninggi, detik itu terasa seakan sesi soal siasat.

“Melaka,” balasnya, cuba mengukir senyum nipis. Jari-jemari yang saling menggenggam hampir memutih, namun dia paksa dirinya kelihatan tenang.

Mr. Lee tidak menyahut, hanya menunduk kembali pada fail di tangannya. Sunyi.

Suraya menggigit bibir, lalu memberanikan diri. “Sebenarnya saya dari Klebang… kawasan tepi pantai. Orang sana memang suka bawa keluarga jalan-jalan hujung minggu.” Dia berhenti sejenak, menanti reaksi. “Mr. Lee sendiri… pernah sampai ke sana?”

Tiada balasan.

Lelaki itu masih menatap dokumen. Tapi Suraya sempat menangkap sesuatu—seulas senyum nipis, samar dan singkat. Sama ada ikhlas atau sinis, dia sendiri tak pasti.

Fail di atas meja diletak, tablet dicapai. Jemari lelaki itu pantas menari di skrin, seolah-olah dunia lain lebih penting daripada kehadirannya.

Dan Suraya, sekali lagi terasa… tidak wujud.

Isk… kalau sesi soalan dah habis, kenapa aku masih duduk sini? Nak diam ke, nak tanya lagi ke?

Belum sempat dia membuat keputusan, terdengar bunyi pintu ditolak.

Err… excuse me, Dr. Adrian.”

Suraya terpempan. Suara itu… Dia menoleh perlahan. Siapa pula Dr. Adrian?

“Err… sebenarnya Cik Suraya Anne tak sepatutnya di sini. Saya tersilap letak dia, Dr. Adrian. Minta maaf.” Suara Irene lembut, tapi sedikit gugup.

Suraya menelan liur, wajahnya terasa panas. Pandangannya sekali lagi bertembung dengan Dr. Adrian, lelaki yang dipanggil sebegitu tadi. Sekejap sahaja, dia tak mampu menggerakkan sebarang anggota badan. Malunya… teramat sangat.

It’s all right, Irene. Terima kasih sebab tersilap. Bagus juga ada peneman dari menunggu sorang-sorang tadi,” sahut Dr. Adrian selamba, senyum tipis sebelum menoleh ke arah pintu.

Suraya menarik nafas lega. Baru dia terasa sedikit bebas.

By the way, Mr. Harrison dah sampai. Saya bawa dia ke bilik mesyuarat nombor satu. Minta maaf atas kekeliruan ini, Dr. Adrian,” tambah Irene.

Sambil menunduk, Suraya cuba mengira degup jantungnya… satu, dua, tiga…

“Cik Suraya Anne, mari—”

Belum sempat Irene menghabiskan kata-kata, dia terlebih dahulu bangun dan melangkah keluar dari bilik itu. Biarlah momen singkat itu ditinggalkan. Dia enggan menoleh lagi.

Berada di lorong, Suraya menarik nafas panjang. Degupan jantungnya baru perlahan. Malu yang menebal tadi mula surut sedikit.

Sorry, Cik Suraya. Saya betul-betul tak perasan tadi,” kata Irene, wajahnya masih kelihatan gusar.

Entah bila, Irene sudah berjalan di sisinya, cuba menyamakan langkah. Suraya pun tidak tahu ke mana mereka sebenarnya menuju, cuma berharap kaki ini membawanya jauh dari situasi yang memalukan. Malunya… masih terasa, terutamanya bila teringat pada Mr. Lee tadi. Sekarang dia faham, lelaki itu bukan menolak, cuma… bukan dia yang dinantikan.

“Kamu… okay tak? Sorry sangat-sangat tau,” Irene bertanya, risau.

Suraya menoleh sebentar, lalu mengukir senyuman tipis. Hati sedikit lega. “Okay… okay je. Tak apa, Irene. Mistakes happen.”

Senang, Irene tersenyum puas. Kesilapan kecil itu memang bukan alasan untuk dimarahi, lagipun

Suraya masih staf baru. Tetapi, dia tetap mengutuk dirinya sendiri: macam mana boleh cuai?

“Pertama kali buat silap, memang gabra sikit. Tapi mujurlah Dr. Adrian tadi… kalau orang lain, mungkin dah kena marah,” Irene menambah sambil tersenyum.

Suraya senyum sumbing sendiri. Tak pasti nak kasihan pada diri sendiri atau ketawa. Mangsa, dalam kes ini, adalah dirinya sendiri.

“Bimbang lagi?” Irene menoleh, menyedari Suraya seperti termenung jauh.

Suraya tersentak, menggeleng perlahan. Degupan jantungnya sudah mula normal. Dia baru sedar, perasaan gugup tadi hilang entah bila.

“Jangan risau. Mr. Lee antara bos paling baik yang saya pernah jumpa. Kamu bertuah tau,” Irene menambah, seakan belum puas memberi semangat.

Suraya cuma tersenyum. Langkah mereka berdua melewati front desk, menuju sayap kiri bangunan, berhenti di depan pintu nombor empat.

“Err… Irene…” Suraya menoleh perlahan.

Irene menunggu, tersenyum sabar.

“Siapa Dr. Adrian tu?” suara Suraya sedikit bergetar. Masih terasa seolah-olah lelaki itu sedang memerhatikannya. Malu dengan insiden tadi, mungkin.

“Oh… salah seorang individu yang penting di sini,” jawab Irene ringkas.

Suraya membulatkan mata.

“Mr. Lee dah masuk. Sekali lagi, maaf tentang tadi. Semoga berjaya, Cik Suraya!” Irene membukakan pintu, tersengih lebar.

Jantung Suraya kembali bertukar rentak. Bukan kerana bakal ditemuduga Mr. Lee yang sebenar, tetapi kerana pengumuman Irene tentang Dr. Adrian yang memberi kesedaran baru: hari pertama ini memang penuh kejutan.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.