INTAN: DUKA HATI SEORANG ISTERI
“Bang,
hari Jumaat ni Intan ada temu janji dengan seorang kawan dari Penang,” beritahu
Intan kepada Datuk Amar Kamarul ketika mereka sedang menikmati makan malam di
rumah.
“Kawan lelaki ke kawan wanita?”
“Kawan lelaki. Handsome dan kacak macam
Rajesh Khana,” jawap Intan selamba. Datuk Amar Kamarul tergelak.
“Kok
ya pun Intan nak memuji boyfriend Intan tu…pujilah ikut hero masa kini. Rajesh Khana tu kan hero
zaman tujuh puluhan. Zaman ni orang tak kenal dia.Orang lebih kenal Shah
Rukh Khan atau Salman Khan…”
“Tak apa. Intan minat dia. Intan pujilah macam dia. Hero yang baru, Intan tak berapa
kenal sangat. Kalau yang lama-lama tu, abang cakap saja. Semuanya Intan ingat,”
“Abang
tahu isteri abang ni peminat wayang Hindustan,”
“Boleh
tak Intan pergi bang?” Tanya Intan mengubah tajuk perbualan. Datuk Amar Kamarul
berhenti mengunyah. Dia merenung isterinya. Ada keheningan yang mendamaikan
setiap kali matanya memandang pada wajah itu.
“Apa
salahnya Hema Malini nak jumpa Rajesh Khananya. Kalau abang tak bagi, tak adil
rasanya. Tapi kalau dah jumpa Rajesh Khana tu, janganlah pulak terlupa kan Shah
Rukh Khan ni…”gurau Datuk Amar Kamarul. Kini giliran Intan pula tergelak.
Hampir tersembur nasi yang dikunyahnya.
“Apa?
Tak betulkah?” Datuk Amar Kamarul yang tenang melihat ketawa isterinya itu.
“Bukan Shah Rukh Khan bang. Lebih kacak dari
itu….” Jawab Intan dengan ketawa yang makin kuat. Datuk Amar Kamarul ikut
ketawa. Hatinya benar-benar lapang. Sejak petang dia balik ke rumah itu, belum
henti-henti dia ketawa dan bergurau. Ada saja cerita Intan yang melucukan.
Selepas makan, mereka duduk bersantai di ruang
tamu sambil menonton TV. Intan sengaja duduk berdekatan dengan suaminya. Dia
tahu peluang datang bukan selalu. Datuk Amar Kamarul sudah hampir dua puluh
tahun menjadi suaminya. Namun, kesibukannya tidak pernah reda. Kalau tidak
sibuk dengan perniagaannya, dia sibuk melayan keranah isteri tuanya Datin
Rosnah. Atau kadang-kadang melayan kerenah isteri mudanya yang cantik manis
itu.
“Abang ingat nak melawat anak-anak di asrama,
apa pendapat Intan?”
“Bagus juga tu. Abang pun dah lama tak melawat
mereka. Bila abang nak pergi?”
“Tengoklah. Kalau jadi minggu depan. Kebetulan abang ada urusan di Kuantan.
Bolehlah abang melawat Norin sekali. Kuantan dan Kuala Trengganu tu kan tak
jauh, ”
“Haikal
pula macam mana?Bila abang
nak tengok dia?”
“Hmm…kalau sempat, on the way balik
abang akan singgah di Melaka,”
“Terima
kasih bang….” Tiba-tiba kata-kata itu terkeluar dari mulut Intan.
“Untuk apa?” Datuk Amar Kamarul berpaling ke
arah isterinya.
“Kerana sudi melawat mereka,”
“Kenapa Intan cakap macam tu? Mereka kan
anak-anak abang juga,”
“Intan tahu, tapi dah lama abang abaikan kasih
sayang abang pada mereka. Intan tak mahu cakap apa-apa, takut abang kecil hati.
Tapi…anak-anak memang merindukan abang. Dua minggu lepas ketika Intan melawat
Haikal, dia memang bersungut pasal abang. Kesibukan abang membuatkan mereka
rasa terpisah dan tersisih...” Kata Intan. Dia sebak dan cuba menutup kesedihan
di hatinya. Bila-bila masa saja air matanya akan luruh.
“Mama saja yang rajin tengok Haikal dan
kakak.Babah?Selalu sibuk.” Luahan
rasa Haikal menyesakkan dada Intan. Anak
itu sudah berumur tiga belas tahun. Sudah di tingkatan satu Maktab Rendah Sains
Mara dan sudah mula berani meluah rasa.
Tiba-tiba
Intan teresak…
Datuk
Amar Kamarul menarik isterinya ke dalam pelukannya. Dia tahu erti esakan Intan
itu. Dia faham gelora yang sedang menampar jiwa Intan. Intan cukup sensitif
bila bercakap soal anak-anak.
“Abang
minta maaf sekali lagi. Abang tidak pernah lupakan Intan dan anak-anak. Cuma….”
“Bang,
sudah dua puluh tahun Intan hidup dengan abang. Usahlah abang berdolak kata
lagi. Intan tahu sebab sebenar abang tidak menjengah kami. Abang selalu jadikan
alasan sibuk untuk menutup semua kelemahan abang. Anak-anak sudah mula dewasa
dan faham bang. Intan semakin tidak mampu menutup kelemahan abang itu. Lambat
laun anak-anak akan tahu, bahawa babahnya tidak berani membelai mereka kerana
takut pada sesaorang. Bang…abang lelaki bang. Cubalah jadi suami kepada Intan
dan jadi ayah kepada anak-anak kita.”
“Abang
tahu….” Ujar Datuk Amar Kamarul perlahan.
“Abang
memang sentiasa tahu. Tapi abang jarang bertindak. Intan bukan nak ajar abang.
Tapi, Intan cuma nak ingatkan abang. Berat hukumnya suami yang tidak berlaku
adil kepada isteri-isterinya. Intan sayangkan abang dengan sepenuh hati Intan.
Jadi Intan tak mahu abang menanggung dosa dan menerima hukuman Allah….” Kali
ini Intan sudah tidak mampu menahan tangisnya lagi. Dia menangis semahunya di
dada Datuk Amar Kamarul. Lelaki itu tidak mampu berkata sepatah perkataan pun
selain dari tangannya yang membelai rambut isterinya dengan perasaan bersalah
yang teramat sangat. Dia membiarkan isterinya menangis sepuasnya. Dia tahu
Intan banyak menyimpan dukanya. Intan selalu menyembunyikan rasanya. Intan
isteri yang jarang merungut.Intan isteri yang menerima seadanya apa yang
diberikan dan tidak terlalu menuntut pada kekurangan yang diterimanya.
Datuk
Amar Kamarul mengeluh perlahan. Dia memang bersalah zahir dan batin kepada
Intan. Bukan hanya Intan, tapi juga Norin dan Haikal anaknya. Mereka tersisih,
terpencil dan teraniaya dari segi perhatian dan kasih sayangnya.Mereka
mewah wang ringgit, tapi miskin kasih sayang dan perhatian seorang ayah!
“Saya tahu awak sudah beristeri. Saya pun sudah
tidak mampu nak menghalangnya. Tapi, saya tidak mahu awak mengubah satu apa pun
dalam rumah ini. Kalau dulu setiap malam, awak ada di rumah ini. Begitulah
sekarang. Kalau awak cuba menyakitkan hati saya, awak tahu apa yang akan saya
buat nanti!” Itulah amaran pertama Datin Rosnah kepadanya dulu.
Awalnya, memang dia bukan lelaki yang mudah
patuh pada arahan bini.Dia tidak
endahkan semua ancaman dan amaran Datin Rosnah itu. Dia tetap balik ke rumah
Intan kalau sudah tiba gilirannya. Dia tetap berhasrat untuk menjadi suami yang
mampu berlaku adil kepada isterinya. Semuanya tidak lama. Datin Rosnah orangnya
cekap dan agresif dalam melakukan tindakan. Dia tidak gentar pada sesiapa.
Setiap kali Datuk Amar Kamarul sampai ke rumah Intan, akan menyusullah Datin
Rosnah kemudiannya. Hingga Intan rasa tidak ada privacy langsung untuk mereka suami isteri.
Bukan
setakat mengekori ke mana Datuk Amar Kamarul pergi, malah Datin Rosnah juga
mengugut untuk membuat announcementpenjualan saham dan berpecah kongsi
dalamboard meeting Puspasari Holdings. Datuk Amar tahu jika itu
berlaku, dia akan jatuh miskin kerana
Datin Rosnah adalah pemegang saham terbesar Puspasari Holdings!
Dalam masa yang sama Datin
Rosnah adalah pengidap sakit jantung yang kronik.Ketika mendapat tahu dia dimadukan, seminggu dia
terlantar di hospital. Hampir seluruh keluarga termasuk anak-anak yang menuntut
di luar negeri pulang kerana terkejut dengan berita itu.
“Daddy
kena jaga perasaan dan hati mummy. Kalau apa-apa berlaku kapadamummy,
kami tidak akan memaafkandaddy sampai bila-bila…” Kata Nurnikman
sebagai anak sulung. Dia bukan saja mewakili adik-adiknya yang lain, malah juga
mewakili seluruh keluarga.
Datuk
Amar Kamarul terjerat bersama semua alasan itu. Dengan kuasa dan kekuatan itu,
Datin Rosnah mengatur kehidupan peribadinya secara licik. Datin Rosnah
seakan-akan memulas telinganya. Dia begitu terasa kesakitannya. Bukan hanya
sakit kerana dipulas oleh Datin Rosnah, tapi sakit kerana terpaksa menyakiti
dan menyeksa Intan.
Dia terpaksa menemui isteri yang
dinikahinya secara halal dengan sulit dan bersembunyi. Kadang-kadang pertemuan
dibuat jauh dari Kuala Lumpur. Dan kadang-kadang memerlukan temu janji yang
teratur. Semuanya untuk mengabui mata Datin Rosnah.
Lalu Intan dilayan seperti
seorang perempuan simpanan. Namun Allah Maha Kuasa, pertemuan sulit dan
tersembunyi itu dikurniakan dengan dua orang cahaya mata. Norin dan Haikal
adalah anak-anak yang menjadi mangsa perbuatannya. Sejak kecil anak-anak itu
kurang mendapat belaiannya. Sekali-sekala jika ‘terlepas’ dari cengkaman Datin
Rosnah, baru dia menunaikan tugasnya kepada anak-anak itu. Betul kata Intan,
anak-anak itu sudah mula dewasa. Sudah tidak mampu untuk berahsia dengan mereka
lagi.
“Babah
pergi kerja dulu ya!”
“Babah
kerja jauh ke? Kenapa tak balik setiap hari. Norin nak abah ada di rumah
hari-hari macam babah orang lain,”
“Babah
kerja jauh sayang. Nanti kalau babah sudah habis kerja, babah akan pulang cepat
dan bawa kamu makan angin.Norin kena doakan abah selamat ya!” Begitulah setiap
kali akan meninggalkan anak-anak. Dia akan berbohong. Dan Intan akan menutup
dan memujuk anak-anak merengek kerana tidak mampu menerima pembohongannya.
Itu
dulu. Itu semasa anak-anak masih kecil.Kini anak-anak sudah besar. Norin
sedang belajar dalam tahun pertama di Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin ( KUSZA
) di Kuala Terengganu. Haikal pula sudah
tiga belas tahun usianya. Mereka sudah tidak boleh dibohongi lagi. Mereka sudah
berani memprotes semua cerita rekaan yang dibuatnya itu.
“Siapa yang Intan nak jumpa Jumaat ini?”Tanya Datuk Amar Kamarul tenang.
Sebenarnya dia cuba mencari jalan
keluar. Dia tidak mahu Intan terus terbeban dengan rasa kecewa yang merantai
jiwa begitu…
“Salina
bang. Kawan Intan semasa di universiti dulu. Katanya dia sedang dilanda
masalah,”
“Apa
masalahnya?”
“Hmm…mm..masalah
masa kini,”
“Poligami?”
Tanya Datuk Amar Kamarul, cuba meneka.
“Entah.
Belum confirm lagi. Mungkin baru nak mencuba dan baru nak cari
penyakit,” jawab Intan selamba. Datuk Amar Kamarul ketawa dengan jawapan itu.
Dia tidak mahu bertanya lagi. Bertanya bermakna dia juga sengaja mencari
penyakit.
Intan
pula tersenyum. Dia tahu perasaan suaminya. Sudah lama mereka hidup bersama. Apa yang terlintas
di fikiran lelaki itu seperti mengalir ke fikirannya juga. Hajatnya untuk
‘mengena’kan suaminya tidak kesampaian. Perbualan tamat setakat itu.
**********************************
Permintaan
Salina untuk bertemu dengannya di Cendana Coffee House pada petang Jumaat itu
ditunaikan dengan hati yang terbuka. Dia tahu Salina sedang berdepan dengan
satu kegelisahan. Sebagai sahabat, Salina tetap akan mendapat haknya untuk
meluah dan dia akan mendengarnya. Untuk apa dia bergelar sahabat, jika tidak mampu meluangkan masa untuk mendengar dan
meringankan beban fikiran seorang sahabat. Apa lagi kini dia sudah ditugaskan
untuk mengelolakan ruangan tetap di BICARA KASIH. Pertemuan dengan Salina
adalah sebahagian dari tugasnya. Mungkin ada cerita yang boleh dikongsi dengan
pembaca lain. Seorang penulis yang baik adalah yang mudah peka dengan peristiwa
dan kejadian yang berlaku di sekitarnya.
Intan
sampai lebih awal dari masa yang dijanjikannya. Itu yang selalu dilakukannya
ketika berjanji. Tidak pernah terlewat dan terlambat. Dia sempat membelek-belek
akhbar harian sementara menunggu Salina sampai. Kemudian dia menggelengkan
kepala berkali-kali. Setiap hari ada saja kisah-kisah sumbang dan ngeri yang
dibongkar. Yang memualkan ialah kisah bapak yang sudah mempunyai empat isteri
merogol anak gadisnya sendiri. Nafsu apakah yang menular dalam diri lelaki itu
?
“Assalamualaikum,
dah lama tunggu?” Tiba-tiba sesaorang menegurnya dari belakang. Intan menoleh.
Salina berdiri dengan senyum. Dengan penuh riang, Intan bangun menyambutnya
dengan sebuah pelukan yang erat untuk membuktikan kerinduan beberapa tahun
tidak bertemu.
“Kau
tetap manis macam dulu Intan, walaupun …”
“Walaupun
apa? Kau nak kata aku dah tua ya..!Sorrylah, aku belum tua lagi. Yang tua itu umurku, tapi minda dan
pemikiranku masih seperti anak gadis tujuh belas tahun,” kata Intan memotong
cakap Salina.Salina ketawa.
Intan juga.
“Hoi…berangan
sungguh. Malu la sikit dengan anak kau. Tujuh belas tahun konon! Kau ni dulu sampai sekarang tak berubah
Intan. Tetap ceria dan tenang. Walhal aku tahu kau hidup dengan masalah,” kata
Salina. Intan mengerdipkan matanya.
“Sahabatku
Salina..kita hidup hanya sekali.”
“Lalu?”
“Lalu
yang sekali itu kita kena penuhkan dengan kegembiraan.Kedukaan sifar!”
“Bercakap memang senang Intan. Tapi nak
laksanakannya tu,”
“Tidak ada susahnya. Semuanya bergantung pada diri sendiri. Tanya diri
kita, samada kita nak atau tidak.”
“Tidak
semua orang sekuat engkau Puan Intan
oi!” Balas Salina. Memang dia tidak menafikan semua kata-kata Intan itu. Tapi,
kalau semua wanita sekuat Intan, tidaklah berlaku banyak perceraian setiap kali
berlaku poligami.Mereka
duduk dengan selesa dan memesan minuman untuk membasahi tekak.
“Ok
Sali, apa yang mustahak sangat nak jumpa aku ni?”
“Aku
tak tahu nak mulakan dari mana. Soalnya, Zarul yang kau kenal dulu sudah bukan
Zarul yang dulu lagi. Semua kemanisan cinta yang dulu, kini hanya tinggal
kenangan dan sejarah,”
“Kau
mulakan dari awal. Maksudku, sejak bila kau nampak perubahan dia?”
“Ini interviewuntuk majalah kau ke?”
Tanya Salina bergurau. Intan ketawa. Dia merenung wajah Salina yang redup dan
cengkung. Kemurungan memang jelas.
“Aku sudah cukup bahan untuk majalah aku tu.
Lagipun, kes kau ni belum layak untuk ditulis dalam ruangan aku tu”
“Kenapa
pula?”
“Aku
menulis mengenai poligami. Tapi kau belum
masuk dunia tu lagi.”
“Mana
kau tahu aku belum masuk?”
“Sebab
kau belum cerita lagi. Yang aku tahu, Zarul berubah arah. Mungkin dia ada affair
dengan wanita lain. Itu saja. Eh! Siapa agaknya wanita bertuah tu?”
“Intan…Please…Jangan
bergurau. Ini soal perasaan aku. Sudah setahun aku sengsara penuh teka teki.
Aku tak tahu di mana silap aku Intan. Rasanya aku sudah menjaga rumah tanggaku
dengan sebaik-baiknya. Aku lakukan semua kehendaknya. Hingga aku terpaksa
berhenti kerja untuk menguruskan rumah tangga. Tiba masa kau tengok apa dia
buat pada aku. Dia lupakan semua pengorbanan kasih dan cinta aku begitu saja,”
“Kau
dah pasti?”
“Dah
terlebih pasti. Malah aku sudah ada banyak bukti.”
“Maksud
kau?”
“Gambar-gambar
dia dengan perempuan itu. Surat-surat cinta, E-mail sertasmssaban
hari telah membuktikan kecurangannya. Aku dah tak tahan lagi Intan.
Kadang-kadang perbuatannya melampau-lampau. Depan anak-anak pun dia bergayut di
telefon. Kami ni dah jadi macam dah tak
ada hidupnya,”
“Kau
patut bersemuka dengan dia,”
“Aku
sudah mencubanya beberapa kali. Bukan hanya soalan aku tidak dijawap, malah aku
yang dimarahnya.Dia kata aku suka membesarkan perkara yang kecil dan aku ni
kuat cemburu.Cuba kau
bayangkan perasaan aku…perasaan anak-anak…” Salina teresak. Kali ini Intan
terpaksa memeluk bahu Salina untuk meredakan tangisan itu. Kalau benar Zarul
berubah, itu adalah sesuatu yang di luar jangkaan Intan.
Dua
puluh tahun Intan melihat Zarul sebagai suami yang setia, penyayang dan
bertanggung jawab. Tidak ada cacat celanya pada rumah tangga mereka yang dibina
atas dasar cinta itu. Malah mereka adalah idola sebuah keluarga bahagia di
alaf ini.
“Jadi,
apa tindakan yang kau nak ambil sekarang?”
“Aku
nak pergi jumpa wanita itu. Aku nak tahu kisah sebenar. Aku nak tahu kenapa Zarul yang diminatinya sedangkan dia
mempunyai potensi untuk menggoda lelaki yang lebih hebat dari suami aku tu…!”
“Kau
rasa itu tindakan yang baik?”
“Kenapa?”
“Aku
takut ianya akan menambah-kusutkan lagi keadaan ini. Berbagai perkara boleh berlaku
nanti.”
“Habis
kau nak aku biarkan saja keadaan ini berterusan. Tidak Intan, aku dah tak larat
lagi. Makin lama lagi aku hidup macam ni, aku boleh jadi gila,” ujar Salina.
Intan diam. Cuba berfikir dan mencari jalan yang terbaik. Bukan mudah untuk membina
sebuah rumah tangga. Tapi, tidak susah untuk meruntuhkannya. Jika tidak kena
gaya, dalam masa sehari saja rumah tangga akan runtuh dan porak poranda.
“Sali,
sabarlah. Hidup memang penuh dengan dugaan dan cabaran. Ini adalah cabaran yang diberikan Allah kepadamu.
Kau harus menerimanya dengan redha…”
“Aku
bukan menolak takdir Allah. Aku cuma kesal, takdir itu menduga aku ketika
anak-anak sedang membesar dan perlukan kasih sayang dan perhatian seorang
ayah,”
“Sali,
Allah sudah memberikan engkau kesenangan dan kebahagiaan yang cukup lama. Dua
puluh tahun kau sekeluarga hidup dengan penuh kasih sayang. Tidak pernah
dilanda musibah. Tidak pernah merasai susah. Hidup di atas kemewahan wang
ringgit dan cinta Zarul. Baru kali ini Allah menduga kau. Ini semua untuk
menguji keimananmu. Tabahkanlah hatimu, serahkan dirimu pada Allah. Minta
petunjukNya. Jangan berfikiran sesat. Kerana dalam keadaan fikiran yang celaru,
syaitan akan menghampiri kita untuk menyesatkannya.”
“Intan,
aku tidak sekuat engkau. Aku lemah…aku emosional…” Tangisan Salina pecah lagi. Intan berusaha memujuk.
Salina pula cuba menahan sendu. Namun bahunya terhinggut perlahan.
“Aku
malu Intan…malu pada kawan-kawan dan keluargaku. Aku memuja Zarul sepenuh
hatiku. Memujinya melambung-lambung. Kononnya dialah suami terbaik antara
suami-suami yang ada di dunia ini,”
“Bukan
salah kau Sali. Bila kita menyintai sesaorang, memang kita tidak akan nampak
cacat celanya. Tambahan orang sebaik Zarul. Tentu ada sebab kenapa dia
berubah.”
“Aku
tidak tahu sebab yang lain selain dari miang dan gatal! ” Salina menoleh ke
arah Intan. Suaranya meninggi. Kemarahan menjalar.
“Tidak
semua lelaki yang beralih arah itu mempunyai perangai dan sikap begitu. Mungkin
ada sebab lain….”Intan tidak mahu meneruskan pendapatnya. Dia tahu Salina tidak akan menerima semua buah
fikirannya dengan positif. Hati sahabatnya itu sedang walang. Jadi tidak perlu
ditambah dengan sesuatu yang boleh meluluhkan perasaannya.
Intan akan mengikut saja gerak
tari Salina. Itu lebih baik dari terus memberikan pendapat yang belum tahu
mampu masuk ke dalam fikirannya.
“Akukah
yang bersalah? Rasanya aku sudah menjaganya sebaik mungkin Intan. Aku menjadi
isteri yang rasanya sudah cukup sempurna untuk seorang suami. Apa lagi yang
tidak cukup?”
“Kita
jangan mengukur kesempurnaan diri kita sendiri Sali. Tidak ada yang dilahirkan
sempurna dalam dunia ini. Setiap manusia mempunyai kelemahannya sendiri. Dan
mata kita memang tidak akan nampak kelemahan itu,”
“Kalau
pun ada kelemahannya, tidakkah dia mampu menilai kebaikan dan pengorbananku
untuk menutup kelemahanku itu. Aku seperti rasa tersia Intan. Seluruh pengorbanan dan kasih sayangku
selama ini seperti tidak dihargai langsung….”Intan menatap wajah cengkung
Salina. Dia dapat menangkap kesengsaraan yang sedang dilalui oleh Salina.
Wanita dan poligami…seperti anjing dengan kucing. Tidak ada perdamaian dan
tidak ada kesudahannya.
Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.
Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.