Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
7,394
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 9

“Ya umi, Anis tahu. Anis dah belikan dua kotak santan segar tu untuk umi.”

 

“Jangan lupa ya tengok tarikh luput kat bawah kotak tu,’’ pesan Puan Siti lagi.

 

“Ya umi, Anis dah periksa tarikh luput dia. Lagi 3 bulan dari sekarang.” Sabar saja Anis melayan kerenah uminya. Uminya selalu begitu. Kalau uminya pesan belikan sesuatu, mesti dia akan ulang berkali-kali. Anis pun dah terbiasa dengan sikap uminya itu.

 

Setelah selesai mengambil barang-barang keperluan berdasarkan senarai yang ditulis oleh Puan Siti, Anis menolak troli yang hampir penuh itu ke kaunter juruwang untuk dibayar.

 

Suasana di pasaraya petang itu agak sibuk dengan ramai pengunjungnya. Maklumlah, hujung-hujung minggu seperti itu, mesti ramai yang keluar bersantai.

 

“Cikgu Anis!”

 

Tatkala Anis sedang ralit mencari dompetnya dari dalam beg, terdengar namanya dipanggil dengan kuat. Siapa pula yang panggil dia cikgu pada waktu-waktu petang Sabtu begini. Habislah satu pasaraya tu tahu dia ialah seorang cikgu.

 

“Eh, Encik Hakim?” teriak Anis apabila raut wajah Hakim menyapa matanya.

 

Hakim mengangguk kepada Anis dengan segaris senyuman yang mesra. “Seorang diri aje?” soal Hakim.

 

“Ya, saya seorang aje. Umi saya suruh belikan barang-barang keperluan sikit,” jawab Anis. “Encik Hakim seorang juga ke?”

 

Hakim menundingkan jari ke belakang Anis. Anis menoleh ke belakang mengikut arah jari Hakim. Dinampaknya Puan Kartini sedang menolak troli yang separuh penuh berjalan ke arah mereka.

 

“Anis!” tegur Puan Kartini dengan ceria. Tak sangka pula boleh terserempak.

 

Anis terus menyalami tangan pengetuanya itu dengan sopan.

 

“Puan datang beli barang-barang dapur juga ke?”

 

“Ya, terlanjur saya dan Hakim nak minum petang di kafe nanti, singgahlah beli sikit,” ujar wanita dalam lingkungan umur lima puluhan itu.

 

Setelah berkira-kira sebentar, Puan Kartini pula bertanya. “Anis seorang je?”

 

“Ya puan, Umi saya tengah sibuk masak kat rumah sebab abang long saya dengan keluarganya akan sampai lepas asar nanti. Abah saya memang tak suka beli belah, dia lebih rela minum kopi dengan kawan-kawan dia kat warung. Itulah sebab saya kena datang seorang diri.”

 

“Kalau macam tu, Anis join lah saya dengan Hakim minum petang lepas ni. Kami pun nak bayar dah ni, boleh kita pergi kafe minum sama-sama."

 

Anis serba salah. Sebenarnya dia agak kekok sikit dengan Puan Kartini. Sekarang ditambah pula dengan kehadiran Hakim, dua kali ganda kekok dia rasa. Bos dengan anak bos ok! Tapi ini dah kali kedua dia diajak oleh Puan Kartini dalam masa seminggu, kalau ditolak lagi nanti takut Puan Kartini kecil hati pula dengan dia.

 

“Erm… sa… saya…” Anis tergagap-gagap mahu mencari alasan. Masa-masa genting macam inilah otaknya tidak mahu berfikir dengan baik!

 

“Jomlah Anis! Mama saya nak girls’s talk dengan awak kot,” pelawa Hakim pula. Puan Kartini menayangkan wajah yang penuh mengharap.

 

Antara mahu dan tidak mahu, Anis akhirnya mengangguk-angguk perlahan. “Baiklah puan, encik.”

 

“Encik?” Terus dahi Puan Kartini berkedut.

 

Hakim yang dapat menangkap maksud mamanya terus mencelah. “Panggil saya Hakim cukuplah. Tak payah nak berencik-encik dengan saya,” kata Hakim diikuti dengan gelakan kecil.

 

“Baiklah, Hakim,” sahut Anis perlahan. Merah padam mukanya menahan malu.

 

Kemudiannya mereka masing-masing membuat bayaran sebelum bergerak ke kafe yang disebut oleh Puan Kartini untuk minum petang.

 

**********

Setelah mendapatkan tempat duduk yang selesa, mereka membuat pesanan minuman dan makanan ringan untuk mengalas perut sebelum makan malam.

 

“Hari ini saya belanja, Cikgu Anis order saja apa-apa yang Cikgu Anis nak,” tutur Hakim sebaik saja menu dihulurkan kepada mereka bertiga.

 

“Hakim, awak janganlah panggil saya cikgu. Panggil Anis cukup,” kata Anis pula. Pelik rasanya apabila dipanggil begitu oleh seseorang yang bukan anak muridnya mahupun rakan sekerjanya.

 

“Ok.” Hakim menyimpul senyuman di bibir.

 

“Puan ada seorang anak sahaja ke?” Anis bertanya sebaik saja mereka selesai membuat pesanan kepada pelayan kafe itu.

 

Puan Kartini menunjukkan lima jari. “Saya ada lima anak. Kelima-limanya lelaki. Saya sebenarnya nakkan seorang anak perempuan, tapi tak ada rezeki, nak buat macam mana kan?”

 

Mata Anis membulat. Banyaknya anak Puan Kartini. “Oh, jadi Hakim ni yang sulung ke puan?”

 

“Tak, saya yang bongsu sebenarnya.” Belum sempat Puan Kartini menjawab, Hakim telah menjawab terlebih dahulu.

 

“Patutlah Hakim selalu temankan mak. Anak bongsu memang selalu rapat dengan mak. Samalah macam saya. Saya pun rapat dengan umi saya,” seloroh Anis. Mereka bertiga berkongsi tawa.

 

“Hakim ni ikut jejak ayah dia. Dia seorang peguam,” jelas Puan Kartini dengan bangga. Bangga bukan untuk menyombong, tetapi lebih kepada bangga akan kejayaan anaknya itu.

 

“Sebut pasal itu, suami puan mana?” tanya Anis.


“Suami saya tengah main golf dengan kawan-kawan dia di Ayer Keroh. Biasanya waktu hujung minggu, suami saya akan pergi bermain golf untuk suka-suka.”

 

Anis mengangguk faham. Main golf? Bunyinya saja dah tahu itu hobi untuk orang yang berada. Mana tidaknya, alatan-alatan yang digunakan saja sudah cukup mahal.

 

“Anis, saya nak beritahu awak ni. Tapi awak jangan beritahu siapa-siapa pula ya,” nada yang santai tadi bertukar menjadi sedikit serius.

 

Anis menjongketkan keningnya. “Kenapa puan?” Anis pula terasa saspens.

 

“Baru petang semalam, saya mendapat surat daripada Jabatan Pendidikan. Saya akan ditukarkan ke SMK Air Selandar mulai bulan depan.”

 

Terbeliak mata Anis mendengar ayat yang dituturkan oleh Puan Kartini. Mindanya masih cuba untuk memproses apa yang baru didengarinya itu.

 

“Tukar sekolah? Kenapa kena tukar puan?” soal Anis dengan penuh kerunsingan. Sejujurnya Puan Kartini merupakan seorang pengetua yang sangat baik dan disayangi ramai orang di sekolah itu. Pelbagai inisiatif yang telah diperkenalkan oleh Puan Kartini dan membuahkan hasil yang memberangsangkan. Sayangnya Puan Kartini akan ditukarkan.

 

“Sebenarnya pertukaran ini secara langsungnya telah menaikkan gred saya. Jadi saya dikira macam naik pangkat jugalah,” terang Puan Kartini.

 

“Oh, naik pangkat rupanya.” Anis menadah tangan tandake syukuran. “Alhamdulilah, kalau macam tu saya ucapkan tahniah buat puan. Ini merupakan satu pengiktirafan buat diri puan. Saya tumpang gembira untuk puan. Walaupun puan akan tinggalkan kami semua, tetapi ini adalah satu peningkatan untuk puan dari segi kerjaya.”

 

“Alhamdulilah juga. Saya pun berasa amat bersyukur. Tapi saya sedih sebab kena tinggalkan SMK Laksamana. Saya telah berkhidmat di situ selama 10 tahun. Termasuk 3 tahun sebagai Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.”

 

“Saya faham. Mesti puan tak sampai hati nak tinggalkan sekolah yang penuh dengan kenangan ni kan?”

 

Puan Kartini mengangguk lemah dengan senyuman nipis. Semakin sedih hatinya apabila teringatkan harinya berkhidmat di SMK Laksamana tinggal lebih kurang 10 hari sahaja. Tanpa mahu merosakkan suasana, Puan Kartini segera menepis perasaannya. Puan Kartini mengesat air mata di tubir matanya sebelum tumpah.

 

“Tak payahlah sedih-sedih mama. Mama masih boleh melawat staf-staf mama di luar waktu sekolah. Macam sekaranglah mama. Boleh minum petang sama-sama waktu hujung minggu.”

 

“Betul kata Hakim tu puan, kita masih boleh berhubung macam biasa,” sambung Anis.

 

“Yalah, mari kita tukar topik,” kata Puan Kartini lalu menyedut air oren yang dipesannya tadi. Perasaan sedihnya dilupakan seketika.

 

“Oh ya, saja saya nak menyibuk pasal Anis. Tapi Anis jangan marah ya?” sambung Puan Kartini.

 

“Tanya aje puan. Insya Allah kalau saya tahu saya jawab.”

 

“Anis dah ada teman istimewa ke?” Terus soalan itu diluahkan Puan Kartini tanpa berlapik-lapik.

 

Aduh, soalan itu lagi! Nampaknya sebaik saja dia masuk dalam kategori usianya sekarang, dia perlu bersedia untuk menerima soalan-soalan seperti itu dengan kerap.

 

Anis menggelengkan kepalanya. “Belum puan. Saya belum terfikir lagi soal jodoh ni semua.”

 

Puan Kartini menepuk lembut bahu anak terunanya itu. “Jawapan awak sama macam Hakim saya ni. Asyik saya tanya soal jodoh je dia kata dia belum fikirkan lagi.”

 

Anis dan Hakim saling memandang satu sama lain lalu tergelak kecil.

 

“See mama, I told you. Its normal!” balas Hakim.

 

“Itulah anak muda zaman sekarang. Kalau disoal pasal jodoh saja, belum bersedia. Kalau zaman nenek dan datuk awak semua, dah masuk usia sebegini tak ada jodoh lagi, bersiap sedialah untuk dijodohkan,” kata Puan Kartini.

 

No mama! No way! Hakim tak nak match make ni semua. Kalau nak kahwin, Hakim cari sendiri je,” lekas-lekas Hakim menjawab. Takut nanti mamanya rancang yang bukan-bukan untuk mencarikan jodoh buatnya.

 

“Ya, saya pun setuju dengan Hakim puan.” Anis dan Hakim berkongsi tawa lagi.

 

“Yalah, nanti saya doakan jodoh Anis dan Hakim cepat-cepat sampai ya? Ada kalanya jodoh kita tu dah ada depan mata je, tapi kita je yang tak nampak,” seloroh Puan Kartini sebelum menyertai tawa Anis dan Hakim yang masih bersisa. Amboi! Macam ada makna je kata-kata Puan Kartini ni.

 

Anis mengerling waktu di pergelangan tangannya. Alamak, sudah hampir asar. “Puan, saya nak minta diri dulu. Saya nak balik sebelum waktu asar. Nak berjemaah dengan keluarga saya. Isnin nanti kita jumpa ya puan.” Anis menyalami tangan Puan Kartini.

 

“Yalah Anis. Asyik berborak, waktu pun kita tak perasan,” balas Puan Kartini.

 

“Hakim, terima kasih ya belanja saya minum. Nanti kalau ada peluang, saya pula belanja awak ya,” pinta Anis dengan ikhlas.

 

“Welcome!” jawab Hakim dengan senyuman ringkas.

 

Setelah Anis beredar dari situ, Puan Kartini segera bertanya kepada anaknya.

 

“Hakim, apa pendapat Hakim tentang Anis?”

 

Hakim mengerutkan dahinya mendengar soalan itu. “Maksud mama? Dari segi apa?”

 

“Dari segi peribadi dialah Hakim.”

 

“Bagi Hakim she is cute and polite. Yang penting dia tahu macam mana nak menghormati orang tua.”

 

Puan Kartini tersenyum mendengar jawapan itu.

 

“Kalau Anis tu boleh jadi menantu mama, kan bagus kalau begitu?”

 

Hakim membulatkan matanya kepada Puan Kartini. “Maksud mama?”

 

“Tak ada apa-apa. Eh jomlah, kita balik. Nanti tak sempat pula untuk waktu asar.” Cepat-cepat Puan Kartini mengelak soalan anaknya itu.

 

Hakim segera mendapatkan bil untuk diselesaikan sebelum dia berjalan bergandingan dengan mamanya untuk pulang ke rumah.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus