Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,293
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Setelah selesai makan tengah hari, mereka semua menuju ke arena boling untuk bermain boling. Anis kalau bab-bab sukan agak lembab sedikit. Kalau setakat baling bola masuk longkang tu, dia memang juara. Tapi tak kisahlah, hari itu adalah hari untuk bersuka-ria, jadi Anis layankan saja kawan-kawannya. Lagipun tak lama lagi mereka semua akan membawa haluan masing-masing selepas keputusan SPM diumumkan. Oleh itu, ini sajalah masa yang tinggal untuk mereka mencipta kenangan bersama-sama.

 

“Anis, kau seronok tak?” tanya Sofia lalu duduk di sebelah Anis. Botol air mineral dibuka lalu diteguknya beberapa kali. Dahaga sangat agaknya.

 

“Aku ok aje. Seronok pula dapat lepak dengan kawan-kawan,” balas Anis dengan nada yang ceria.

 

Sofia memuncungkan bibirnya ke arah Arjuna yang sedang bermain dengan seronok bersama Khairul dan Devi.

 

“Itulah Oppa Arjuna yang kau tak kenal tu. Kau rasa macam mana? Dia handsome kan?” Sengaja Sofia menduga Anis.

 

“Bolehlah. Tapi dia macam bukan orang melayu pun,” ujar Anis kehairanan untuk meminta penjelasan daripada Sofia.

 

“Ayah dan mak dia mualaf. Lepas berkahwin, mereka dapat hidayah peluk Islam. Sebab itulah dia nampak macam cina, sebab dia memang cina pun,” terang Sofia.

 

“Amboi! Semua benda pasal dia kau tahu. Kau ni kalau bab-bab menyibuk memang nombor satu kan,” usik Anis dengan tawa kecil.

 

“Aku kan wartawan sensasi. Cerita-cerita sensasi jangan haraplah nak terlepas daripada aku. Sampai ke lubang cacing pun aku akan cari ok,” jawab Sofia dengan penuh bangga akan dirinya. Bangga sebab kepochi!

 

“Banyaklah sensasi kau. Lepas ni dah layak dah mohon sambung belajar dalam jurusan kewartawanan. Sesuai sangat dengan kau,” seloroh Anis yang mengundang tawa kecil Sofia.

 

“Tapi kan beb, sayang tau. Harapkan muka aje handsome, tapi perangai buaya darat. Dalam masa 1 tahun aje, dia dah pernah couple dengan tiga orang pelajar. Tapi sekarang semua dah putus. Jadi sekarang dia single.”

 

Anis membulatkan matanya. “Seriously? Tapi perkataan buaya darat macam tak sesuailah untuk dia. Biasalah, cinta monyet kan. Lebih-lebih lagi di usia sebegini.”

 

“Wah…wah…wah… Ada orang defend dia nampak. Kenapa? Kau dah syok kat dia ke?” Sofia mengusik Anis. Muka Anis terus merah padam.

 

“Apa benda kau merepek ni? Tolonglah, aku cakap je benda yang aku rasa betul,” kata Anis lalu mencubit paha Sofia.

 

“Aduh!” Sofia menggosok-gosok pahanya. “Aku gurau ajelah, janganlah serius sangat.”

 

“Eh, dah sampai giliran kaulah Anis,” panggil Vivian agar Anis sambung permainannya.

 

“Ok, coming.”Anis dan Sofia menyertai yang lain-lain untuk meneruskan permainan semula.


**********

 

“Sedihnya dah nak berpisah dengan kamu semua,” kata Fira lalu memeluk bahu Vivian dan Devi sambil berjalan bersama-sama ke arah pintu keluar kompleks itu.

 

“Tak apa, kan kita ada facebook dan nombor telefon masing-masing. Kalau apa-apa nanti bolehlah kita berhubung,” jawab Farid.

 

“Masa kita berseronok memang cepat tamat kan? Sedih,” sambung Devi.

 

“Eh mana Sofia dan Anis?” tanya Farid apabila kelibat dua gadis itu tidak kelihatan.

 

“Mereka berdua pergi solat,” jawab Ilyana.

 

“Habis tu, kamu semua tak solat ke?” tanya Devi pula.

 

Masing-masing tersenyum kambing.

 

“Aku dan Fira uzur,” jawab Ilyana pantas tetapi perlahan agar tidak didengari yang lain.

 

Belum sempat yang lain menjawab, Anis dan Fira sudah muncul menyertai mereka semula.

 

“Hai, maaf sebab kita pergi solat sekejap,” ujar Sofia yang terpacak di sisi Anis.

 

“Ok, I guess that’s it. We bid farewell here then,” kata Vivian apabila mereka tiba di pintu.

 

Yang perempuan masing-masing memeluk satu sama lain, yang lelaki pula bersalam-salaman. Ucapan selamat tinggal kedengaran beberapa kali sebelum masing-masing membawa haluan masing-masing untuk pulang.

 

Anis berjalan perlahan-lahan menuju ke perhentian bas untuk menunggu bas. Uminya bekerja syif malam hari ini, abahnya sedang berkursus di Johor Bahru, kedua-dua abangnya pula berada di asrama masing-masing di luar Melaka. Jadi Anis terpaksalah cari jalan sendiri untuk pulang.

 

Sementara menunggu ketibaan bas, Anis mengeluarkan sebuah novel dari begnya untuk dibaca. Itu antara hobi Anis yang banyak membantunya mengisi masa lapang. Nampaknya sepanjang tempoh menunggu keputusan peperiksaan, akan bertambah-tambahlah bilangan novel yang bakal dibacanya.

 

Tatkala Anis sedang khusyuk menghayati jalan cerita novelnya separuh jalan, tiba-tiba dia dikejutkan oleh bunyi hon beberapa kali yang agak kuat. Anis sangkakan bas sudah tiba, namun dia silap sebab apa yang dilihatnya di depan mata adalah sebuah kereta BMW berwarna putih berhenti tepat di tempat dia menunggu. Tingkap penumpang diturunkan dan wajah Arjuna muncul di sebalik tingkap itu.

 

“Anis, awak tunggu bas ke?” tanya Arjuna yang mendongak sedikit keluar tingkap.

 

“Ya, sekejap lagi sampailah kot,” jawab Anis sambil mengangguk-angguk.

 

“Kalau macam tu jom, saya hantarkan awak pulang. Lagipun dah nak gelap dah ni, bahaya kalau awak tunggu seorang-seorang di sini,” pelawa Arjuna.

 

“Eh, tak payahlah Arjuna. Saya tak nak susahkan awak. Saya boleh aje tunggu bas di sini. Sekejap lagi sampailah bas tu.” Anis menolak dengan sopan. Inilah tabiat Anis yang enggan menyusahkan siapa-siapa selagi dia mampu menyelesaikan halnya oleh diri sendiri.

 

“Tak susahnya pun. Marilah saya hantarkan awak. Lagipun hari macam dah nak hujan. Kalau bas tak tiba-tiba, awak nak tunggu sampai bila? Mari.” Dengan pantas Arjuna turun dari kereta lalu membukakan pintu penumpang di sebelahnya.

 

Anis pula sudah berasa serba salah. Jauh dalam sudut hatinya, dia memang tidak mahu menyusahkan Arjuna, tetapi memandangkan Arjuna bersungguh-sungguh mahu menghantarnya, Anis sekadar menuruti pelawaan baik Arjuna. Lagipun cuaca memang seakan-akan bakal hujan dengan awan mendung dan bunyi guruh yang kedengaran sekali-kala. Anis bangkit dari duduk lalu memasuki perut kereta mewah itu.

 

Sebaik saja Anis berada dalam kereta, wangian kereta yang menyapa deria baunya sungguh menyelesakan. Pendingin hawa kereta yang nyaman menyapa kulitnya. Selepas menutupkan pintu kereta, Arjuna masuk ketempat pemandu semula.

 

 “Anis tinggal di mana?” tanya Arjuna lalu mengenakan tali pinggang keledar.

 

“Saya tinggal di Bukit Katil. Awak?”

 

“Saya tinggal di Paya Rumput.”

 

“Eh, jauhlah jarak rumah saya dengan awak. Tak menyusahkan ke?” soal Anis lagi untuk kepastian.

 

Arjuna tersengih. “Dengan adanya kereta, nak pergi mana-mana pun tak jauh. Lagipun Melaka ni kecil je. Pusing-pusing pun sampai juga.”

 

“Terima kasih ya sebab awak mahu tumpangkan saya pulang ke rumah,” ucap Anis dengan lembut dan ikhlas. Inilah kali pertama kedudukan dia begitu rapat dengan seorang lelaki selain abah dan abang-abangnya. Kalau di sekolah pun biasanya dia akan duduk dengan kawan-kawan perempuan sahaja.

 

“Sama-sama. Lagipun bahaya kalau awak tunggu seorang diri tadi.” Setelah menyalakan lampu isyarat dan memasukkan gear, Arjuna terus menekan pedal minyak dan keretanya mula bergerak.

 

Setelah itu, mereka berdua hanya mendiamkan diri. Hanya muzik yang diputarkan melalui radio mengisi ruangan antara mereka. Kalau ada lagu sedap yang diputarkan, Anis turut menyanyi bersama-sama dalam hatinya.

 

“Alamak! Lupa pula! ” Dengan tangan kanan mengendalikan stereng kereta, Arjuna menepuk-nepuk dahinya dengan tangan kiri.

 

Anis pula terkejut dengan tindakan Arjuna yang secara tiba-tiba itu.

 

“Awak tak apa-apa ke?” soal Anis.

 

“Anis, saya minta maaf. Saya kena balik dulu ambil barang dari rumah saya. Sebab saya perlu hantar barang ke rumah kawan saya. Kebetulan rumah dia di sekitar Bukit Katil juga. Boleh tak kalau saya balik sekejap?”


“Oh, boleh Arjuna. Tak kisah. Lagipun lebih elok sekali jalan daripada awak terpaksa berulang-alik.” 


Mestilah boleh, dah kau menumpang kereta dia Anis oi! Asalkan dia hantar kau balik dengan selamat cukuplah.

 

“I am really sorry,” pinta Arjuna.

 

“Eh, tak kisahlah Arjuna. Awak dah sudi nak tumpangkan saya balik pun dah cukup baik dah. Tak payah nak minta maaf. Lagipun saya tak mengejar masa untuk balik pun,” jelas Anis bersungguh-sungguh.

 

“Anis, boleh tak awak tolong saya?” tutur Arjuna secara tiba-tiba pula.

 

Anis menoleh ke sebelah kanan. Wajah Arjuna ditatapnya lalu keningnya diangkat sebelah. “Tolong apa Arjuna?”

 

“Boleh tak awak panggil saya Juna aje? Tak payah panggil Arjuna. Saya rasa macam skema sangat.”

 

“Oh!” April tergelak kecil. Ingatkan apa tadi. Panggilan aje rupanya. “Boleh je Juna.”

 

Arjuna mengukir senyuman mendengar panggilan daripada Anis yang lembut itu. Kereta Arjuna meluncur terus ke arah rumahnya. Anis kembali melayan perasaannya sambil melemparkan pandangannya ke luar tingkap.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus