Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,301
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 2

“Anis, awak dah siapkan semua kertas soalan awak untuk peperiksaan pertengahan tahun ke?”

 

Anis mengangkat muka melihat wajah pemilik suara itu. Puan Syarifah, Ketua Panitia Subjek Geografi itu sedang berdiri menantikan jawapan daripadanya.

 

Dengan senyuman, Anis menjawab soalan Puan Syarifah. “Sudah puan. Saya akan cetakkan dan berikan kepada puan selepas waktu rehat nanti ya. Sebab sekarang bilik komputer penuh dengan cikgu-cikgu lain.” Maklumlah, kerja last minute. Berpusu-pusulah orang di dalam bilik komputer guru itu nak cetak kertas soalan.

 

“Ok, baguslah macam tu. Sebab minggu depan saya nak hantar kepada ketua bidang untuk pengesahan. Awak kena sediakan soalan kertas geografi untuk tingkatan berapa ya?”

 

“Hari tu Puan Syarifah beritahu saya tingkatan 2 dan tingkatan 4 sahaja,” ujar Anis.

 

“Ok, memandangkan awak dah selesai, saya nak kena tanya Cikgu Goh dan Cikgu Nadia pula. Terima kasih ya Anis,” ucap Puan Syarifah sebelum beredar dari meja Anis.

 

Anis kembali menyambung kerjanya yang terbantut tadi. Namun, telefon bimbitnya pula yang berdering kali ini. Anis lekas mencapai telefon itu dari beg tangannya untuk melihat nama si pemanggil.

 

Umi?

 

“Assalamualaikum umi,” jawab Anis sebaik saja panggilan uminya diangkat.

 

“Waalaikumsalam Anis. Anis tengah mengajar kesekarang?” sahut Puan Siti, umi Anis.

 

“Tak umi, Anis baru habis kelas tadi, sekarang tengah buat kerja sikit. Kenapa umi?” soal Anis untuk mendapatkan tujuan uminya yang telefon di tengah-tengah jam dia sedang bekerja. Jarang uminya begitu melainkan ada hal yang penting.

 

“Oh, elok sangatlah kalau macam tu. Umi nak beritahu awak ni, petang nanti selepas habis kerja, awak balik ke rumah terus ya. Umi ada benda penting nak beritahu awak,” kata Puan Siti. Nada terujanya cuba disembunyikan agar kedengaran serius.

 

“Benda penting?” Anis pula yang dah tak keruan. Apa pula benda yang penting sangat sehinggakan uminya terpaksa menelefonnya untuk menyuruhnya balik awal.

 

“Kenapa umi? Kalau betul-betul mustahak, umi boleh beritahu sekarang,” balas Anis yang sedikit menggesa uminya.

 

“Eh, tak boleh. Benda ni nak kena bincang depan-depan baru senang sikit kamu nak faham nanti. Tak apalah, Anis kerja elok-elok sekarang. Petang nanti kita bincang ya nak, assalamualaikum.”

 

“Umi…umi…” Belum sempat Anis bercakap lagi Puan Siti sudah pun mematikan talian.

 

“Apa benda yang penting sangat eh?” Anis tertanya-tanya seorang diri di mejanya. Adakah uminya ada penyakit serius? Atau mungkin abahnya? Ataupun mungkin sesuatu yang buruk menimpa neneknya? Ya Allah, risaunya Anis. Fikirannya terganggu sedikit. Kalau ikutkan hati, dia mahu balik detik itu juga. Ya Allah, moga-moga Engkau lindungilah orang-orang yang aku sayangi seperti mana Engkau selalu melindungi aku.

 

**********

 

“Awak ni, kenapalah sampai kena ganggu budak tu bekerja. Benda kecil, tunggulah dia balik baru cakap dengan dia. Tak payahlah sampai telefon dia,” tegur Encik Sani, abah Anis.

 

“Benda kecil???” Hampir tersembur air kosong yang baru diteguk Puan Siti. Selamat dia sempat menelannya sebelum basah wajah Encik Sani yang duduk di sisinya.

 

“Abang, abang sedar tak yang anak kita tu baru dirisik orang?” soal Puan Siti seolah-olahnya tidak percaya dengan kata-kata yang baru keluar dari mulut suaminya.

 

“Saya tahu. Tapi bukannya esok nak bernikah terus. Saya tak nampak pun sebab-sebab kenapa awak nak menggelupur tak tentu pasal. Lagipun pihak sana pun tak minta kita janji apa-apa. Cubalah awak bawa bersabar,” kata Encik Sani dengan tenang.

 

“Abang, anak perempuan kita satu aje bang, Nur Anis binti Mohd Sani seorang. Saya ulang eh, anak perempuan kita cuma Nur Anis seorang sahaja. Mestilah saya panik bang. Anak kita tu bukannya muda lagi bang. Dah memang sampai masa dia kahwin dan beranak-pinak.”

 

“Saya tahu kita ada seorang saja anak perempuan.Tapi soal jodoh ni kita tak boleh tangkap muat saja. Bila Anis balik nanti,awak jangan gesa-gesa dia pula. Cakap dengan dia elok-elok. Tanya dulu, betul ke dia tak ada pilihan sendiri. Jangan awak pandai-pandai nak putuskan untuk dia. Lagipun pihak sana pun kita tak kenal lagi.”

 

Puan Siti menampar manja lengan suaminya.

 

“Abang ni, tahulah saya nak cakap dengan Anis macam mana nanti. Soal pihak sana abang jangan risau. Takkan abang tak percayakan Rosnah. Rosnah kawan baik saya, mesti pihak lelaki sana dari keluarga yang baik-baik barulah dia nak jodohkan dengan anak kita. Rosnah sendiri juga yang cakap tadi kan, mereka dari kampung seberang. Silap-silap kita pernah bertemu dulu, cuma tak kenal saja.”

 

Mendengar nama Rosnah, Encik Sani mencebik. Rosnah binti Majid, kawan baik kepada isterinya. Rosnah memang suka menjodoh-jodohkan orang di kampung itu. Tapi, kebanyakan pasangan yang dijodohkan oleh Rosnah, jodoh mereka tak berpanjangan. Itu yang lebih merisaukan Encik Sani. Harap-harap kalau benarlah jodoh Anis ditakdirkan di tangan Rosnah, semoga semuanya baik-baik sahaja nanti.

Previous: Bab 1
Next: Bab 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus