Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,283
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 5

11 tahun yang lalu…

 

“Merdeka! Merdeka! Merdeka!”

 

“Selamat Tinggal SPM!”

 

“Selamat bercuti!”

 

Itulah antara bait-bait ayat yang keluar dari mulut pelajar-pelajar tingkatan 5 yang baru menamatkan peperiksaan kertas terakhir mereka. Seronok punya pasal sampai tak dapat dikawal perasaan masing-masing.

 

“Yay! Gembiranya aku dah habis SPM. Tak sabar aku nak sambung belajar kat universiti pula. Tak payahlah asyik pakai pakaian seragam saja, bosan betul,” luah Sofia, teman karib Anis dengan penuh gembira.

 

Anis turut tersenyum lega selepas tamatnya perjuangannya yang hampir sebulan itu. Tak sangka pula dalam sekelip mata, peperiksaan SPM telah pun selesai. Anis mengucapkan syukur sebab dia sangat yakin dengan prestasi dirinya. Kini, dia hanya perlu menantikan keputusannya yang bakal diumumkan dalam masa 3 bulan lagi.

 

“Anis, jangan lupa ya esok. Kita jumpa kat restoran Pizza Hat di Mahkota Parade. Lebih kurang pukul 1.00 tengah hari. Aku dah tak sabar nak raikan dengan kawan-kawan kita,” kata Sofia yang berjalan beriringan dengan Anis keluar dari kawasan sekolah.

 

“Ok, aku pun dah minta izin abah dan umi aku. Mereka izinkan. Kau ajak siapa lagi eh?”

 

“Aku ajak semua geng kitalah. Aku, kau, Devi,Vivian, Fira, Ilyana, Farid, Khairul…” hampir dua puluh nama yang disebut Sofia. Ada juga pelajar dari kelas lain yang diajak Sofia yang langsung tidak dikenali oleh Anis.

 

Biasalah, Sofia jenis yang peramah. Boleh dikatakan seluruh sekolah itu kawan dia. Anis pula sebaliknya. Anis lebih kepada jenis yang mendiamkan diri dan meluangkankan lebih masa di perpustakaan dengan beberapa kawan yang sekepala dengannya.

 

“Oh ya, aku ada ajak Arjuna sekali.” Nama terakhir yang disebut Sofia. “Kau kenal dia kan?”

 

Terkebil-kebil mata Anis mendengar nama itu. Wujud ke manusia ini? Anis menggelengkan kepalanya tanda tidak kenal.

 

“Kau tak kenal dia?” suara Sofia sedikit terkejut. Mulutnya ternga-nga besar.

 

“Tak.” Jawapan ringkas daripada Anis yang mengundang penampar kecil oleh Sofia pada lengannya.

 

“Itulah pelajar yang paling hot dan menjadi pujaan ramai pelajar perempuan di sekolah kita ni, kau tak kenal?”

 

Sambil menggosok-gosok lengannya yang tidak sakit, Anis menidakkan soalan Sofia.

 

“Itulah kau ni, asyik berkepit dengan buku saja. Sampai orang di sekeliling pun kau tak kenal,” sindir Sofia.

 

“Dia bukannya orang penting pun. Tak ada makna pun untuk aku nak kenal dia,” jawab Anis tanpa sedikit rasa teruja pun.

 

Isyh kau ni. Dia pelajar baru yang ditukarkan ke sekolah kita awal tahun ni. Keluarga dia kaya ok. Ada orang pernah nampak yang setiap hari lain kereta mewah yang menghantar dia ke sekolah. Baru-baru ni dia dah dapat lesen memandu dan dia bawa kereta BMW ke sekolah ok,” kata Sofia lagi.

 

“Alhamdulilah, itu rezeki dia. Baguslah untuk dia,” sahut Anis tenang. Sedikit pun tidak berasa hairan tentang budak lelaki bernama Arjuna itu.

 

“Arjuna tu ibaratkan oppa Korea kau tau tak? Alangkah bertuahnya  wanita yang dapat mendampingi Oppa Arjuna kita tu. ” Sofia meletakkan kedua-dua belah tapak tangannya di pipi. Matanya jelas kelihatan seperti sedang mengangan-angankan sesuatu. Persis orang sakit angau!

 

Anis pula terasa meluat melihat reaksi sahabatnya itu. Namun begitu, tetap juga dia biarkan saja Sofia berangan-angan di situ.

 

“Kalau Oppa Arjuna nakkan aku, aku makan nasi dengan sayur kimchi hari-hari pun aku sanggup,” ujar Sofia dengan mata yang terkelip-kelip. Parah betul berangan minah ni!

 

“Oi!” jerkah Anis untuk membalikkan semula Sofia ke alam nyata.

 

“Oh mak kau kimchi bimbibap oppa saranghaeyo!!!” latah Sofia dengan kuat sampai tercampak beg sekolahnya ke atas lantai.

 

Anis ketawa berdekah-dekah melihat respon Sofia yang lucu itu. Nak berangan lagi, inilah padahnya.

 

Melihat Anis yang gelak tak ingat dunia tu, Sofia mencebik marah. “Apalah kau ni, aku baru nak berangan Oppa Arjuna suap aku makan kimchi. Kacaulah kau ni.”

 

“Amboi! Sampai macam tu sekali kau syok kat dia tu?” tanya Anis seperti tidak mampu percaya.

 

“Mestilah, kan dia tu handsome bagai dewa turun dari langit ke-7. Tapi aku sedar diri aku, siapalah aku ni nak berdamping dengan dia. Rupa aku pun biasa-biasa saja,” tutur Sofia diikuti dengan muncung yang panjang.

 

Anis tergelak lagi dengan sebelah tangan naik menutup mulutnya.

 

“Sudahlah. Daripada aku melayan kau dengan oppa angan-angan kau tu, baik aku balik, mandi, makan, solat dan berehat.”

 

“Ish… dengkilah tu!” cebik Sofia.

 

“Ok lah, aku gerak dulu. Esok kita jumpa lagi ya.” Setelah mengucapkan selamat tinggal, mereka bergerak membawa haluan masing-masing.

 

**********

 

Anis berlari-lari anak menuju ke arah Pizza Hat sebaik saja dia tiba di kompleks Mahkota Parade. Tercunggap-cunggap dia. Dia sudah terlambat hampir setengah jam. Mesti Sofia akan membebel kepadanya.

 

“Anis! Sini!” Sofia melambai-lambai kepada Anis sebaik saja Anis tiba di pintu restoran itu. Anis terus masuk menghampiri mereka.

 

“Maaf, aku lambat sebab aku terlepas bas tadi. Maaf semua sebab menunggu,” jelas Anis mengapa dia lewat. Rasa bersalah pula sebab kawan-kawannya semua sedang menunggu ketibaannya seorang saja.

 

“Itulah, aku kan dah suruh kau ambil lesen memandu sebelum ni. Tak payahlah kau terkejar-kejar macam ni,” kata Sofia.

 

“Insya Allah aku akan belajar memandu bulan depan. Abah aku dah carikan aku cikgu memandu,” balas Anis dengan sisa cunggapnya yang masih banyak.

 

“Duduklah Anis,” pelawa Fira. Anis mengangguk.

 

Anis mengerling sekilas, tinggal satu saja tempat duduk yang kosong, tanpa berfikir panjang dia terus melabuhkan punggung di kerusi kosong itu. Kebetulan kerusi itu di sebelah Sofia.

 

“Anis, aku kenalkan, inilah Arjuna.” Belum 3 saat pun Anis duduk, Sofia sudah mengenalkan mereka berdua.

 

Anis menoleh ke arah kirinya. Secalit wajah yang bersih dan tampan sedang memerhatikannya. Ini ke Arjuna yang menjadi pujaan ramai pelajar tu? Buat jarang-jarang kalinya, Anis terpempan dengan paras rupa yang indah itu.

 

“Hai!” tegur Arjuna dengan lembut terhadap Anis.

 

“Hai!” Anis menyambut sapaan itu dengan mesra. Boleh tahan handsome juga, fikir Anis lagi.

 

“Arjuna, ini Anis, kawan baik aku,” tambah Sofia.

 

Arjuna menghadiahkan segaris senyuman yang menampakkan giginya yang rapi dan putih buat Anis. Anis turut membalas senyuman itu.

 

“Ok, mari kita makan. Aku dah kebuluran ni semenjak tadi menunggu Anis,” seloroh Farid. Barulah masing-masing di situ menyedari yang perut mereka sedang berkeroncong minta untuk diisi.

 

“Jom makan! Jom makan!” sahut beberapa orang disitu.

 

Masing-masing khusyuk menikmati hidangan piza yang sudah terhidang di hadapan mereka. Tanpa Anis sedari, ada sepasang mata yang tidak lekang memerhatikannya. Malah, pandangan mata itu tajam ibarat pisau yang boleh menusuk mangsanya.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus