Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,281
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 4

“Assalamualaikum,” salam Anis sebaik saja enjin keretanya dimatikan. Tergesa-gesa sangat sehinggakan salam yang dihulurkan dahulu sebelum sempat dia keluar dari perut kereta.

 

Keluar saja dari kereta, Anis terus masuk mendapatkan kedua-dua orang tuanya. Puan Siti dan Encik Sani kelihatan di ruang tamu sambil menonton televisyen. Itulah rutin mereka waktu-waktu petang begitu.

 

“Waalaikumsalam,” sahut Puan Siti dan Encik Sani serentak. Kepala mereka dipalingkan menghadap Anis.

 

“Umi, kenapa umi? Apa perkara penting yang umi nak beritahu? Umi tak sihat ke? Atau Abah yang tak sihat?” tanya Anis dengan resah seraya melabuhkan punggungnya di atas sofa bersebelahan dengan umi dan abahnya

 

Encik Sani hanya mendiamkan diri dan memberikan isyarat kepada isterinya untuk bercakap.

 

Tangan Puan Siti naik memicit-micit bahu Anis untuk memberikan sedikit ketenangan. “Umi dan abah dua-duanya sihat. Anis jangan risau, kami berdua tak ada apa-apa masalah.”

 

Anis kebinggungan. “Habis tu? Nenek ke yang tidak sihat? Atau along? Atau angah?”

 

“Bukan sayang, kami semua sihat walafiat. Jangan risau yang bukan-bukan,” tambah Puan Siti lagi.

 

“Tapi tadi umi kata ada hal penting, apa hal yang penting tu?”

 

Puan Siti tergelak kecil sambil melihat reaksi suaminya yang kosong itu. Malah, mata suaminya masih setia pada skrin televisyen. Entah cerita apalah yang menarik sangat perhatian suaminya itu. Suaminya seperti tidak berminat langsung tentang apa yang bakal dikatakan olehnya nanti.

 

“Anis, umi nak tanya sikit, tapi Anis jawab dengan jujur ya sayang?”

 

Anis mengangguk pantas. “Umi tanyalah apa-apa pun, Anis akan jawab dengan jujur.”

 

Puan Siti berdeham-deham sebelum melanjutkan kata-kata. “Anis dah ada teman istimewa ke?”

 

Anis terdiam. Ketika itu juga jantungnya dirasakan mampu berdetak secara normal semula. Punyalah dia risau tentang perkara penting tadi, soal jodoh saja rupanya? Bagai nak pitam apabila Anis fikirkan apalah hal yang sangat penting tadi.

 

“Umi, kan Anis dah cakap dengan umi dan abah dulu, Anis tak ada siapa-siapa yang istimewa. Anis tak nak kahwin. Anis nak jaga umi dan abah sampai bila-bila.” Anis mengingatkan semula hasratnya kepada Puan Siti dan Encik Sani waktu dahulu. Walaupun kedengaran cliché, tapi itulah hakitkatnya.

 

“Anis, kenapa cakap macam tu? Anis tak boleh berfikir macam tu sayang. Kalau Anis nak jaga umi dan abah, lepas kahwin pun masih boleh laksanakan tanggungjawab itu. Tapi Anis kena ingat, umi dan abah akan pergi juga satu hari nanti. Pada masa itu Anis akan keseorangan. Jadi kalau Anis dah berumahtangga, ada juga orang yang boleh temankan Anis nanti,” kata Puan Siti sambil mengusap-usap belakang Anis dengan lembut.

 

“Umi, abah, Anis tak berminatlah pasal kahwin-kahwin ni semua. Anis tak pernah terfikir pun nak kahwin selama ini.” Anis berterus-terang walaupun dia tahu jawapan dia akan mengecewakan kedua-dua orang tuanya. Terutamanya Puan Siti.

 

“Anis, umur Anis semakin tahun semakin meningkat. Umur Anis dah masuk 28 tahun, takkanlah tak terfikir nak kahwin langsung. Anis sayang, dah sampai masanya untuk Anis berkahwin. Lagipun umi dan abah, hari demi hari, kudrat kami semakin rendah. Usia kami pun dah meningkat. Bila-bila masa saja kami boleh dijemput-Nya…”

 

“Apa yang umi merepek ni. Tak naklah cakap macam tu. Anis takut dan tak suka,” celah Anis dengan marah. Walaupun Anis tidak mampu menidakkan kebenaran itu, tetapi dia seboleh-bolehnya akan cuba untuk mengelak daripada bercakap soal itu.

 

“Tak ada yang perlu ditakutkan. Dah memang kita semua akan pergi juga satu hari nanti. Jadi kalau Anis dah berumahtangga, abah dan umi legalah juga andai kata kami pergi nanti.” Sayu suara Puan Siti.

 

Encik Sani diam tidak bersuara. Walaupun matanya tetap hinggap pada skrin televisyen, tetapi telinganya setia menangkap setiap bait ayat yang dibualkan antara anak dan isterinya. Pandai betul cara isteri dia nak pujuk Anis, sebut tentang kematian pula. Nampak sangat isterinya itu benar-benar tidak sabar hendak kahwinkan Anis. Agaknya dah rindu nak terima menantu lagi. Lima tahun lepas anak lelaki sulung mereka, Arif telah mendirikan rumahtangga. Dua tahun lepas pula, anak lelaki kedua mereka, Ashraf yang berkahwin. Jadi yang tinggal sekarang hanyalah Anis seorang yang belum.

 

“Lagipun selepas Anis kahwin, bolehlah beri abah dan umi cucu. Kami pun sunyi berdua saja di rumah ni. Tak begitu bang?” Puan Siti menepuk paha Encik Sani meminta persetujuan.

 

Encik Sani sekadar mengangguk sekali. Matanya masih tidak beralih dari skrin televisyen. Geram pula Puan Siti dengan suaminya, tak membantu langsung misi dia nak memujuk Anis. 


Namun begitu, Encik Sani dan Puan Siti sememangnya sunyi kalau Anis tiada di rumah. Kedua-dua mereka telah bersara beberapa tahun yang dahulu. Encik Sani dulu berkhidmat di lembaga hasil dalam negeri sebagai salah seorang pegawai pencukaian. Puan Siti pula bekas jururawat di salah sebuah hospital swasta. Walaupun mereka bukanlah daripada golongan keluarga yang berada, tetapi alhamdulilah rezeki mereka sekeluarga cukup. Ketiga-tiga anak mereka berjaya menamatkan pelajaran pada peringkat ijazah sarjana muda. Arif merupakan seorang doktor perubatan di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur dan Ashraf pula bekerja sebagai seorang arkitek. Ashraf memiliki firmanya sendiri di Pulau Pinang.

 

Anis pula berjaya mengikuti kursus perguruan selepas tamat STPM. Anis menceburi bidang pendidikan geografi dan matematik dan oleh itu dia kini mengajar dua subjek itu sebagai subjek opsyennya. Oleh sebab Anis dihantar untuk berkhidmat di SMK Laksamana di Jasin Melaka, Encik Sani dan Puan Siti mengikut Anis berpindah dari Melaka tengah ke Jasin. Kebetulan Jasin adalah kampung halaman mereka. Jadi mereka kini menetap di rumah pusaka keluarga Encik Sani.

 

“Siapa yang umi nak jodohkan dengan Anis?” soal Anis setelah mendiamkan diri seketika.

 

“Umi sebenarnya tak kenal pun dengan calon suami Anis. Kawan umi, Mak Cik Rosnah yang beritahu umi tadi. Dia kata ada seorang lelaki bujang berasal dari kampung seberang kita cari calon isteri. Jadi Mak Cik Rosnah terus teringatkan Anis. Sebab itu dia datang merisik tadi,” terang Puan Siti.

 

“Umi kenal ke mereka?” tanya Anis lagi.


“Tak kenal, tapi mungkin pernah bersua di mana-mana dulu. Lagipun sekarang mereka dah tak tinggal di situ. Mereka dah berpindah ke bandar. Mereka ada bisnes mereka di situ.”

 

Anis hanya mengangguk perlahan mendengar penjelasan uminya.

 

“Mak Cik Rosnah kamu beri jaminan. Katanya Anis tak perlu risau. Dia kenal dengan keluarga pihak lelaki. Mereka orang yang baik-baik. Walaupun kaya-raya, tapi mereka tak kisah kalau dapat menantu daripada golongan biasa macam kita ni,” tambah Puan Siti lagi. Macam orang putih kata, All Out! Macam-macam yang Puan Siti cuba untuk menyakinkan anaknya.

 

Anis membisu seketika. Kotak mindanya mengimbau kembali peristiwa hitam yang hampir melanda dirinya 11 tahun yang lalu…

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus