Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,303
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Selesai mengenakan pengilat bibir pada bibirnya yang mungil, Anis terus bersiap-siap untuk masuk ke kelas tingkatan 5 Tuah bagi sesi pembelajaran hari itu. Selaku guru tingkatan merangkap guru subjek geografi dan matematik kelas itu, Anis memang akan berjumpa dengan para pelajar tingkatan 5 Tuah hampir setiap hari dalam seminggu.

 

Nur Anis binti Mohd Sani, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Anis, Anis merupakan seorang guru yang amat disenangi dan dihormati oleh pelajar-pelajarnya. Dengan sifatnya yang peramah dan lemah lembut, Anis pernah diundi sebagai ‘Guru Paling Penyayang’ selama dua tahun berturut-turut semasa sambutan hari guru oleh para pelajar di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK) Laksamana.

 

Dengan tangan kiri yang menjinjing beg tangan dan tangan kanan yang memeluk buku-buku latihan yang telah ditanda, Anis mengatur langkah yang rapi menuju ke kelas tingkatan 5 Tuah yang terletak di aras dua, tidak jauh dari bilik guru.

 

Sebaik sahaja kelibat Anis kelihatan dalam kelas, semua pelajar berdiri memberi hormat dan mengucapkan selamat tengah hari kepadanya. Anis mengerling jam dinding di kelas itu, waktu menunjukkan jam 12.30 tengah hari. Kelasnya di 5 Tuah akan bersurai pada jam 2.00 petang nanti. Anis yakin rancangan pembelajaran yang telah dirancangnya kelmarin cukup untuk disampaikan dalam masa sejam setengah itu.

 

“Cikgu, petang nanti kita ada kelas tambahan matematik kan?” soal Amirul selaku ketua tingkatan 5 Tuah dengan lantang mewakili pelajar-pelajar yang lain.

 

Anis tercenggang sebentar. Soalan Amirul dibiarkan sepi sementara dia cuba untuk mencerna soalan itu. Kelas tambahan? Dia ada terlupa sesuatu ke?

 

Alamak! Anis menampar dahinya perlahan, dia tak teringat hari itu merupakan hari Selasa. Dia ada kelas tambahan dengan mereka. Selaras dengan arahan pengetua dan jawatankuasa kurikulum sekolah, semua kelas peperiksaan PT3 dan SPM akan memulakan kelas tambahan sebagai langkah persiapan peperiksaan yang bakal diduduki tahun itu.

 

“Ya ampun, Amirul! Terima kasih sebab ingatkan cikgu. Cikgu dah terlupa kelas tambahan bermula minggu ini,” jawab Anis yang sedikit gelabah.

 

“Jadi kelas kita tunda ke cikgu?” tanya Aisyah. Pelajar kecil molek yang duduk di baris hadapan sekali. Kata-kata Aisyah disambung oleh beberapa pelajar lain yang juga tertanya-tanya kelangsungan kelas tambahan mereka pada hari itu.

 

“Eh, taklah Aisyah. Kelas seperti biasa. Nasib baik Amirul tanya, cikgu terlupa pula. Minta maaf semua.”

 

“Tak ada masalah cikgu,” jawab beberapa orang pelajar serentak. Nasib baiklah Anis cikgu kesayangan mereka, kalau cikgu lain, sudah pasti akan diusik mereka.

 

“Jadi selepas kelas kita bersurai jam 2.00 petang nanti, awak semua boleh pergi berehat. Yang perlu solat, pergi solat. Kita akan sambung kelas tambahan kita pukul 3.00 petang hingga 4.30 petang di kelas ini juga ya,” pesan Anis dengan jelas.

 

Semua murid mengiakan pesanan Anis dan masing-masing mengeluarkan buku teks subjek geografi untuk memulakan sesi pembelajaran hari itu.


“Anis oh Anis… macam mana kau boleh terlupa. Nasib baik kau belum balik rumah. Kalau tidak, kesian pelajar-pelajar ni tunggu kau,” omel Anis dalam hati.

 

**********

 

Fuh…”Anis menghelakan nafas panjang. Akhirnya selesai juga kelas tambahannya dengan pelajar-pelajar tingkatan 5 Tuah. Anis melihat waktu di skrin telefonnya, sudah masuk waktu asar. Dia mahu menunaikan solat dahulu di surau sekolah sebelum pulang ke rumah. Tanpa membuang masa, Anis menuju ke surau di tingkat bawah untuk mengambil wuduk dan menunaikan solatnya.

 

Selesai solat dan mengambil barang-barangnya dari bilik guru, Anis membawa langkah ke arah keretanya untuk pulang ke rumah. Angin bertiup agak kencang pada petang itu. Rambut hitamnya yang panjang dan beralun itu bergerak bebas mengikut arah angin yang bertiup.

 

“Anis baru nak balik ke?” Suara yang tiba-tiba mematikan langkah Anis. Anis berpaling mencari pemilik suara itu.

 

“Puan Kartini?” sapa Anis sedikit terkejut. Pengetua SMK Laksamana itu menyambut sapaan Anis dengan senyuman nipis di bibirnya.

 

“Saya baru sahaja selesai kelas tambahan dan solat. Nak balik dah ni, puan.”

 

“Oh… patutlah. Sebab biasanya waktu-waktu macam sekarang ni, jarang ada cikgu yang berada di sekolah. Yang tinggal pun biasanya pihak pentadbir saja.”

 

“Ada apa-apa ke puan panggil saya?” tanya Anis.

 

Puan Kartini menggelengkan kepalanya. “Tak ada apa-apa. Cuma kebetulan saya nak ambil barang saya yang tertinggal dalam kereta tadi.” Puan Kartini menunding jari ke arah keretanya yang terletak di parkir khas pengetua.

 

“Oh… begitu. Kalau macam tu, saya gerak dulu ya puan. Assalamualaikum.” Anis meneruskan langkah ke keretanya.

 

“Waalaikumsalam,” jawab Puan Kartini.

 

Setelah enjin kereta dihidupkan dan ‘Bismillah’disebut, Anis membawa keretanya dengan berhati-hati beredar dari situ. Pandangan Puan Kartini menghantar kelibat kereta Anis sehingga lenyap dari kawasan sekolah.

 

Jauh dalam sudut hati Puan Kartini, dia sebenarnya sangat berkenan dengan Anis. Sifat dan perangai Anis jarang boleh didapati dalam kalangan gadis-gadis zaman sekarang. Soal kerja Anis pula tak usahlah dipersoalkan. Anis memang seorang pekerja yang cemerlang di sekolah itu. Bak kata orang putih, ‘Perfect’.

 

“Alangkah bagusnya kalau gadis sebaik Anis boleh jadi menantu saya.” Tanpa sedar, ayat itu meluncur keluar perlahan dari bibir Puan Kartini yang tersenyum dengan penuh harapan.

Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus