Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,276
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 8

“Saya minta maaf, saya tak sengaja. Saya tak tahu kenapa saya hilang kawalan tadi.” Arjuna mengesat air di hujung matanya. Sungguh dia sendiri tidak tahu mengapa dirinya sanggup melakukan perkara terkutuk itu kepada Anis. Anis seorang gadis yang tidak berdosa sedikit pun terhadap dirinya.

 

Mungkin kerana kecantikan Anis yang membuatkan nafsu dirinya membuak-buak untuk menawan diri gadis itu. Sesungguhnya, Anis memang memiliki wajah yang ayu dan manis. Semenjak pertama kali dia melihat gadis itu di sekolah, dia sudah mula jatuh hati. Namun dia tidak berpeluang untuk mendekati Anis kerana gadis itu tidak suka bergaul dan selalunya berada di perpustakaan.

 

Dari jauh, dia selalu memerhatikan Anis. Setiap kali dia melihat Anis, jantungnya berdegup kencang. Walaupun dia pernah bercinta dengan gadis lain, tetapi perasaannya terhadap Anis lain. Meskipun masa itu Anis tidak tahu langsung pasal dirinya, namun dia tahu banyak benda tentang Anis. Kata orang, kalau kita suka pada seseorang itu, kita pasti akan mencari jalan untuk mengetahui semua tentangnya.

 

Diusapnya wajah Anis yang sedang beradu tenang itu dengan penuh prihatin. Luka kecil di dahi Anis sudah dicuci dan disapu ubat olehnya. Arjuna sudah nekad, dia mahu bertanggungjawab terhadap diri Anis.

 

“Sakit…” suara yang meluncur lemah dari bibir Anis. Dengan mata yang masih erat, tangan Anis naik meraba-raba lukanya. Perlahan-lahan, Anis membuka matanya. Hiasan dalam bilik itu kelihatan begitu asing sekali. Dimanakah dia sekarang? Anis menutup semula matanya dan cuba untuk mengingati semula apa yang telah berlaku.

 

Sebaik saja matanya ditutup, wajah Arjuna terus muncul dalam gelap. Dengan serta-merta Anis teringat semula semua yang telah terjadi antaranya dan Arjuna sebentar tadi.

 

Lantas Anis membuka matanya dengan luas dan Arjuna kelihatan sedang duduk di sisi katil memerhatikannya.

 

Thank God! Awak dah sedar!” ucap Arjuna dengan penuh lega. Tangannya naik untuk memeriksa luka di dahi Anis namun Anis segera menepis dengan marah dan kasar.

 

“Jangan sentuh saya!” Anis cepat-cepat bangun dan memeriksa tubuhnya. Lega hatinya apabila melihat dirinya masih lengkap berpakaian seperti tengah hari tadi.

 

“Awak jangan risau. Saya tak buat apa-apa kat awak. Luka awak tu kecil saja, tak ada apa-apa yang serius. Saya dah cuci luka awak dan letak ubat,” ujar Arjuna lembut dan penuh rasa bersalah.

 

Tanpa menghiraukan satu pun perkataan yang keluar dari mulut Arjuna, Anis bangkit dari katil lalu bergerak menuju ke pintu untuk keluar. Dia tidak mahu berada di situ lagi.

 

“Nanti!” Dengan pantas Arjuna menarik lengan Anis untuk menghentikan langkah gadis itu.

 

“Jangan sentuh saya! Saya tak suka!” tengking Anis. Sentuhan Arjuna kini amat menyeramkan dan menjengkelkan baginya. Terasa jijik sungguh!

 

Arjuna mengangkat kedua-dua belah tangannya ke sisi tanda menyerah. “Baik, saya tak akan sentuh awak, tapi tolong dengar dulu apa yang saya nak cakap kat awak.”


“Tak ada apa-apa yang nak dicakapkan lagi. Saya nak balik. Tolonglah lepaskan saya.” Suara Anis sudah tidak setinggi tadi. Kini lebih pada merayu kepada Arjuna. Dia berharap sangat Arjuna tidak akan berbuat apa-apa lagi terhadap dirinya dan membiarkannya pulang dengan selamat.

 

“Lepas saya habis cakap, saya hantar awak balik,” pujuk Arjuna agar gadis itu memberinya peluang untuk bercakap.

 

Seperti pasrah, Anis berpaling sepenuhnya untuk menghadap Arjuna. “Apa dia?”

 

“Kita kahwin,” luah Arjuna dengan spontan. Kemarahan Anis yang belum reda semakin membara pula tatkala mendengar kata-kata itu.

 

Kahwin? Gila ke apa? Baru sahaja dia menamatkan peperiksaan SPM semalam dan hari ini dia sudah diajak berkahwin? Tambah pula berkahwin dengan lelaki yang baru dikenali kurang dari 24 jam ni.

 

“Tak! Saya tak nak kahwin dengan awak!” bantah Anis.

 

“Saya nak bertanggungjawab terhadap awak. Tolonglah berikan saya peluang,” jelas Arjuna. Dia membuka satu langkah untuk mendekati Anis tetapi Anis terus menunjukkan isyarat tangan agar dia berhenti.

 

“Boleh tak awak berfikiran waras? Selepas apa yang awak lakukan kepada saya tadi, awak fikir saya nak ke kahwin dengan awak?”

 

“Sebab saya cintakan awak dan saya tak nak kehilangan awak,” jawab Arjuna bersungguh-sungguh untuk menyakinkan Anis. Sengaja ditekankan perkataan ‘cinta’ yang disebutnya.

 

“Cinta?” Anis tergelak sinis. “Awak ingat saya percaya kat awak? Awak kenal saya betul-betul pun belum, nak ajak kahwin pula? Kerja gila! Sudahlah, tak payah awak nak merepek yang bukan-bukan! Saya janji saya tak akan ambil apa-apa tindakan kalau awak biarkan saya balik sekarang!”

 

“Tapi…” Arjuna masih tidak menyerah untuk memujuk hati gadis itu.

 

“Tolonglah Juna! Jangan sakiti diri saya lagi! Kalau sebelum ini saya ada buat salah kat awak tanpa saya sendiri sedari, awak maafkanlah saya! Tapi tolong jangan paksa saya kahwin dengan awak!” pintas Anis agar Arjuna hentikan cadangan yang tidak masuk akal itu.

 

Arjuna kehilangan kata-kata dengan serta merta. Tidak tahu apa lagi yang mahu dikatakan untuk memujuk Anis.

 

“Tolong hantar saya balik. Selepas saya sampai saja di rumah nanti, saya akan anggap yang awak tak pernah pun wujud dalam hidup saya. Saya janji saya tidak akan ambil apa-apa tindakan terhadap awak asalkan awak jangan ganggu saya lagi selepas ini. Please!” Mata Anis sudah berkaca-kaca menunggu respon Arjuna.

 

Dengan perasaan yang berat, Arjuna mengangguk setuju. “Saya hantarkan awak balik.”

 

**********

 

“Anis sayang!” jerkah Puan Siti.

 

Anis tersentak dari lamunan sebelum mengalihkan pandangan kepada uminya.

 

“Anis ok ke? Tiba-tiba termenung jauh umi tengok,”soal Puan Siti dengan pelik.

 

“Ok, Anis ok. Cuma termenung kosong sebab penat sikit.” Peristiwa pahit itu segera diusirnya dari minda.

 

“Sudahlah, biarkan Anis makan dan berehat dulu. Anak kita ni makan pun belum, mandi pun belum tapi dah kena bebel oleh awak,” sampuk Encik Sani.

 

“Abang ni, bila masa pula saya membebel. Saya tengah beri nasihat kepada anak kita ni.” Puan Siti membela dirinya. Wajah Encik Sani dipandangannya dengan geram.

 

“Tak apalah umi, abah, nanti Anis fikirkan kata-kata umi tadi. Sekarang Anis nak mandi dan solat. Anis masuk dulu ya,” pinta Anis sebelum membawa langkahnya pergi dari situ sambil diperhatikan oleh Puan Siti.

 

Selepas Anis hilang dari situ, Puan Siti mengeluh panjang. “Bertuah punya budak, boleh pula dia cakap dia tak nak kahwin.”

 

Encik Sani sekadar menggeleng-gelengkan kepala mendengar omelan isterinya itu.
Previous: Bab 7
Next: Bab 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus