Home Novel Cinta Kita Saja Tahu
Kita Saja Tahu
Rian Zeus
8/8/2020 15:32:06
15,299
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 3

Seusai loceng sekolah bersurai dibunyikan, Anis segera mengemaskan barang-barangnya untuk pulang ke rumah. Gelisah pula terfikirkan kata-kata uminya tentang perkara penting tadi.

 

Setelah mengambil apa-apa yang patut dan mengucapkan selamat tinggal kepada beberapa staf di sekitar mejanya, Anis terus berjalan keluar dengan langkah yang agak pantas, tetapi masih teratur.

 

Bedebuk!!!

 

Ohpocot!” latah Anis spontan tatkala dia terlanggar susuk tubuh seseorang sebaik saja dia keluar dari bilik guru.

 

“Saya minta maaf! Cikgu tak apa-apa ke?” kata lelaki itu dengan terkejut. Mana tidaknya terkejut, dah dia jalan elok-elok tapi tiba-tiba ada pula orang yang merempuhnya.

 

Anis mendongak melihat wajah lelaki itu. Lelaki itu segak mengenakan kemeja putih yang dipadankan dengan tali leher warna hitam. Nampak muda, tetapi macam tak sesuai pula kalau nak dikatakan pelajar sekolah itu sebab Anis belum pernah lagi melihat pelajar berwajah itu. Bekas pelajar kot.

 

Setelah melihat Anis yang masih tidak memberi respon,lelaki itu tersenyum dan bertanya semula. “Are you okay?”

 

“Oh ya… saya ok. Saya yang patut minta maaf sebab tak berhati-hati. Awak bekas pelajar sini ke?” Sempat lagi Anis bertanya.

 

Lelaki itu tersenyum lagi. “Tak. Cuma saya datang ni nak berjumpa dengan pengetua. Boleh tak cikgu tunjukkan bilik pengetua kat mana?”

 

“Oh, nak jumpa pengetua ya. Bilik pengetua ada kat hujung…”

 

“Hakim!” Belum sempat Anis menunjukkan arah, suara Puan Kartini sudah mencelah antara mereka.

 

“Mama!” Hakim terus mendapatkan mamanya lalu dicium tangan mamanya itu.

 

“Baru sampai? Kenapa Hakim tak telefon mama beritahu yang Hakim dah sampai? Tak payahlah bersusah payah turun cari mama.”

 

“Mana ada susahnya mama. Lagipun Hakim nak juga tengok pejabat mama. Semenjak mama ubah suai pejabat mama, Hakim belum pernah lagi datang ke mari.”

 

Anis yang bagaikan tersesat di antara perbualan mereka perlahan-lahannya mengundurkan langkah untuk beredar dari situ.

 

“Anis! Tunggu sekejap!” halang Puan Kartini.

 

Niat Anis terbantut. Sudahlah niat dia nak balik cepat, bos pula panggil dia. Anis berpaling kepada mereka semula dengan pasrah.“Ya puan?”

 

“Saya nak kenalkan awak dengan anak saya, Hakim. Hakim, ini Cikgu Anis. Cikgu matematik di sekolah ni.”

 

Hakim mengukir segaris senyuman lebar buat Anis. Lebar sehingga menampakkan lesung pipitnya yang dalam. “Cikgu Anis rupanya.”

 

“Oh, anak puan ke. Patutlah macam sama muka bila saya nampak tadi.” Eh, apa pula Anis merepek ni. Wajah Hakim ikut wajah ayah dia, bila masa pula ikut wajah Puan Kartini.

 

Puan Kartini dan Hakim sekadar tergelak mendengar kata-kata Anis.

 

“Anis, saya nak keluar lunch dengan anak saya. Awak lapang tak? Kalau lapang, jomlah ikut sekali. Kami pun makan berdua saja,” pelawa Puan Kartini. Hakim pula mengangguk-angguk tanda tidak kisah.

 

Nak makan sekali? Memang taklah! Laju Anis menggelengkan kepalanya. “Terima kasihlah puan sebab ajak saya. Tapi saya minta maaf sangat-sangat. Saya kena balik sekarang sebab umi saya telefon tadi kata ada hal penting di rumah. Lain kali ya puan,” jelas Anis.

 

“Oh! Kalau macam tu baik awak balik dulu. Soal makan tengah hari ni, bila-bila pun boleh. Kan Hakim?” Dengan penuh selamba,Puan Kartini melibatkan Hakim dalam perbualan mereka. Hakim pula seperti tiada sebarang bantahan. Dia hanya mengangguk-angguk dan langsung tidak mengesyaki apa-apa.

 

“Insya Allah puan. Saya balik dulu.Assalamualaikum.” Kelibat Anis terus hilang dari koridor itu.

 

“Waalaikumsalam,” jawab Puan Kartini dan Hakim sekali sambil memerhatikan Anis yang berjalan laju dari situ.

 

“Cikgu Anis tu memang jenis yang kelam-kabut ke mama?” tanya Hakim apabila Anis sudah hilang sepenuhnya daripada pandangan mereka.

 

“Eh, mana ada Hakim. Biasanya Anis tu senonoh. Tapi sebab dia kata dia ada hal kat rumah dia, sebab itulah dia kelam-kabut tadi.” Cepat-cepat Puan Kartini menjelaskan perkara yang sebenar agar Hakim tidak memandang serong terhadap Anis. Bela Anis nampak!

 

“Oh… ok.” Ringkas jawapan dari mulut Hakim. “Jom mama, Hakim dah lapar ni.” Tangan kiri Hakim naik menggosok-gosok perutnya yang sudah berkeroncong sejak tadi.

 

“Baiklah Hakim. Mama ambil beg mama dalam pejabat dan selepas tu kita pergi makan ya.”

 

“Ok mama.”

 

Puan Kartini tersenyum kecil. Tanpa dirancang, anaknya boleh pula bertemu dengan Anis dalam keadaan begitu. Baguslah kalau mereka sudah tahu kewujudan masing-masing. Nampaknya lebih senanglah kalau dia hendak memulakan rancangannya untuk menyatukan Hakim dengan Anis.
Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Rian Zeus