Selesai sahaja kuliah, Isma dan Kartini terus sahaja pulang ke asrama. Sebelum naik
ke bilik, mereka pergi ke dewan makan untuk makan tengahari. Itulah jadual
seharian mereka sejak dua minggu yang lepas, dan jadual ini jugalah yang akan
mereka ikuti sehingga akhir pengajian mereka.
“Terimakasih Tini, kalau engkau tak tolong, memang siap le aku kena bamboo dengan Puan Maimon
tu,”
“Itulah..lain kali buat homework. Ini tak habis-habis tengok tv, lepas tu sms. Tiap-tiap
malam pulak tengok Akademi Fantasia. Semua tu bukannya masuk periksa. Bila masa
pulak nak baca buku. Dah lama dah salinan kes tu aku letak atas meja, kenapa
tak baca?” marah Kartini. Sikap Isma masih tidak berubah sejak dari sekolah.
“Sorry ya
kawan. Lepas ni aku janji tak buat lagi,” rayu Isma kemudian dia mengerutkan
wajahnya dan matanya dijulingkan.
Perbuatannya memang menjadi kerana akhirnya ketawa
Kartini meledak. Satu tepukan hinggap di bahu Isma.
“Aduuhhh!!” Isma menjerit.
“Padan muka. Ini untuk hutang aku tadi. Lain kali aku
tak nak tolong. Pandai-pandailah jawab dengan singa tu,” bebel Kartini lagi
manakala Isma hanya tersengih-sengih.
Isma tahu hati Kartini, hanya di mulut sahaja kata tidak
tetapi hatinya tidak begitu. Kartini memang telah banyak membantunya sejak dari
mereka bersekolah lagi terutama sekali
dalam hal pelajaran dan boleh dikatakan Kartini telah menjadi guru tuisyen
tidak rasmi kepadanya sejak dari sekolah menengah.
Selesai makan, mereka berdua melangkah keluar dari dewan
makan dan ingin berlalu ke bilik
masing-masing. Belum sempat mereka berdua memijak kaki tangga, tiba-tiba satu
suara garau memanggil nama Isma dari
belakang.
Isma menoleh kemudian senyum terukir lebar di bibirnya.
Isma terus menarik lengan Kartini di sebelahnya.
“Engkau je lah pergi. Aku naik dulu…,” elak Kartini apabila Isma menghalangnya dari
meneruskan langkah.
“Marilah ikut sekali. Abang bukan nak jumpa aku sorang,”
jawab Isma.
Lelaki itu semakin menghampiri mereka. Isma menghulurkan
tangannya kemudian terus menyalami Syed Faizul.
“Abang dari mana?” Tanya Isma.
Syed Faizul yang tampan berbaju kemeja putih dan
berseluar panjang hitam tersenyum memandang gadis-gadis di hadapannya. Kartini
pula tertunduk malu apabila pandangan mereka bertaut. Dadanya berdebar kencang.
“Abang ada meeting
dengan client tadi. Dekat
Bangsar. Alang-alang dekat dengan dengan UM, abang rasa nak singgah tengok adik
abang ni,” jawab Syed Faizul tetapi matanya menjeling ke arah Kartini.
“Nak jumpa adik abang ke….atau nak jumpa orang yang di
sebelah Isma ni?”
Usikan Isma menyebabkan satu cubitan hinggap di
lengannya. Isma ketawa kemudian cepat-cepat lari dari Kartini. Dia memeluk
lengan Syed Faizul. Syed Faizul tersenyum apabila wajah Kartini merona merah.
Sesungguhnya dia sukakan gadis itu. Wajah Kartini kelihatan lembut tetapi
sebenarnya dia seorang gadis yang amat tegas dalam pendirian. Bijak dan
aktif dalam pelajaran dan kokurikulum di
sekolah…dan segala-galanya tentang Kartini membuatkan dia memasang hajat untuk
lebih rapat dengan gadis itu.
“Abang nak jumpa dua-dua. Kartini pun kawan Isma jugak kan. Kita kan dari kampong yang
sama…,” jawab Syed Faizul masih bertapis.
Kali ini ada senyuman terukir di bibir Kartini. Cukup manis
lebih-lebih lagi diserikan dengan sebutir tahi lalat di tengah-tengah dagu
lekuknya.
“Dah makan ke?” Tanya Syed Faizul lagi.
Isma mengangguk.
“Baru je lepas makan,”
“Hmmm…abang ingat nak belanja makan pizza tadi. Abang
lapar, tak makan lagi…,” Syed Faizul mengerutkan dahi, pura-pura membuat muka
kasihan kemudian memegang perutnya pula.
“Kenapa tak makan?” Tanya Isma.
“Abang ingat nak makan dengan Isma dan….Tini,” jawab
Faizul.
Kesian pulak Isma mendengarnya. Isma memandang ke arah
Kartini. Meminta simpati agar Kartini mengikutnya sekali. Kartini mengerutkan
dahinya. Cuba
menggelengkan kepala namun lehernya terasa keras apabila dilihatnya wajah Syed
Faizul sayu memandangnya penuh mengharap.
Isma memaut lengan Kartini.
“Jomlah ikut kami, kesian kat abang…,” rayu Isma. Dan
seperti biasa Kartini kalah dengan rayuan Isma. Syed Faizul tersenyum kemudian
mengenyitkan mata ke arah Isma. Isma tersenyum lebar.
Mereka bertiga melangkah ke arah kereta Faizul yang
diparkir di hadapan asrama. Kartini cepat-cepat membuka pintu di bahagian
belakang sebelum Isma sempat memainkan peranannya sebagai orang tengah lagi.
Kartini tahu jika dia tidak cepat bertindak, alamatnya dia akan disuruh duduk
di hadapan bersebelahan Faizul.
“Tini duduk depanlah…,” rungut Isma.
Kartini menggeleng kepala lalu terus melabuhkan punggungnya
ke tempat duduk belakang. Faizul hanya menjungkit bahu. Masih banyak masa
lagi…..bisik Faizul sendiri.
Di dalam kereta, Isma dan Faizul rancak berbual. Kartini
pula lebih suka melayan perasaannya sendiri dengan memerhatikan keadaan di luar
kereta. Bangunan-bangunan mencakar langit dan aliran trafik bertali arus sudah
memang cukup sebati dengan bandaraya Kuala
Lumpur ini. Mampukah dia bersaing dengan kemajuan
pesat yang sedang dialami oleh bandaraya ini? Kadang-kadang Kartini merasa
lemas, di sini semuanya serba pantas sehinggakan seringkali dia merasa rindu
dengan kampong halamannya di Padang Rengas terutamanya deruman air tejun di
Lata Hitam yang sering dikunjunginya bersama Isma.
“Tini menungkan apa?”
Teguran Syed Faizul menyebabkan lamunan Kartini
terhenti. Segera dia menolehkan pandangannya ke hadapan, menatap wajah tampan
Faizul daripada sisi. Kartini menggeleng kepala. Senyuman yang terukir di bibir
lelaki itu benar-benar menggetarkan jiwanya kali ini. Entah kenapa jiwanya
resah.
“Dia ingat kampung lah tu…,” Isma pula tolong menjawab.
Kartini hanya tersenyum pendek.
“Nanti hujung minggu, boleh balik kampung. Kalau Tini
tak keberatan, boleh tumpang abang. Isma pun mesti nak balik kampung jugak,”
saran Faizul cuba
mencari jalan untuk lebih selalu berjumpa dengan Kartini.
“Terima kasih,” itu sahaja jawapan yang mampu difikirkan
oleh Kartini pada waktu itu.
“Ha, kita dah sampai. Kat sini banyak tempat makan. Tini
nak makan apa?” Tanya Faizul lagi, cuba memancing suara lunak Kartini
yang begitu payah untuk didengar.
“Tanya Tini je? Is macammana?” rengek Isma pura-pura
merajuk apabila perhatian Faizul lebih bayak kepada Kartini.
Faizul tergelak kemudian
memandang ke belakang melalui cermin pandang belakang. Dia mencari-cari
sinaran mata Kartini dan akhirnya bertemu. Kartini tergamam. Seketika mata
mereka bersatu. Dan Kartini rasa dia semakin tewas dengan godaan Faizul yang
selama ini cuba
ditolaknya jauh-jauh dari hatinya. Ada
senyuman yang terukir di bibir merah lelaki itu, dan tanpa sedar, Kartini
membalasnya.
“Is nak makan pizza”, tiba-tiba Isma membuat keputusan
tanpa ditanya. Syed Faizul mengangguk lalu terus mencari parking yang
berdekatan. Nasib mereka baik kerana dapat satu tempat parking yang agak
berdekatan dengan restoran Pizza Hut.
Apabila turun, Faizul terus membukakan pintu kereta
untuk Kartini. Isma tersenyum kemudian berjalan pantas di hadapan sengaja
meninggalkan mereka berdua. Kesempatan itu digunakan oleh Faizul untuk berjalan
beriringan dengan Kartini.
“Tini makin cantik sekarang, lebih-lebih lagi selepas
bergelar mahasiswi,” komen Faizul menyebabkan Kartini malu. Merah mukanya
dengan pujian itu. Nasib baik Isma tidak mendengar, jika tidak pasti Isma akan
mengusiknya lagi.
Tiba di dalam restoran Pizza Hut, Isma telah memilih
sebuah meja berdekatan dengan cermin. Kartini duduk di sebelah Isma manakala
Faizul di hadapan mereka. Tidak lama kemudian pelayan wanita datang membawa
menu untuk mengambil pesanan.
“Isshhh…sedapnya. Is nak pizza Hawaiian Supreme. Nak mushroom soup and seafood lasagna,”
“Banyaknya makan. Nanti gemuk baru padan muka,” balas
Faizul kemudian ketawa dengan sikap Isma.
“Biar hidup gembira, jangan mati tak makan…,” bidas
Isma.
Kartini ketawa sambil menggeleng kepala. Menjadi anak
bongsu dan anak tunggal perempuan menyebabkan Isma membesar menjadi seorang
anak gadis yang begitu manja dan kuat
merajuk.
“So macammana study?” Tanya Faizul kepada Kartini dan
Isma.
“Okey,” jawab Isma riang.
“Tini?”
“Alhamdulillah, boleh…,” jawab Tini teratur.
Faizul tersenyum
lagi. Suara merdu Tini kini dapat didengarinya dan akan senantiasa menjadi
melodi yang paling indah untuk dikenang.
“Ha…dah sampai pun…,” kata Isma apabila pelayan mula
meletakkan makanan-makanan yang mereka telah pesan sebentar tadi.
“Hmm….sedapnya…,”
Faizul tergelak dengan gelagat adiknya itu.
“Tadi kata dah makan. Larat ke nak makan lagi ni?” usik
Faizul kepada Isma tetapi matanya lebih banyak mengerling pandang wajah Tini
sehingga menyebabkan Tini tidak senang duduk.
“Tak apa…,boleh isi lagi ni,” jawab Isma kemudian terus
mengambil sepotong pizza lalu diletakkan ke dalam pinggannya.
“Emmm sedapnya. Eh abang, Tini, makanlah. Dah sejuk
nanti tak sedap,”
Sekali lagi Tini tergamam apabila Faizul meletakkan
sepotong pizza ke dalam pinggannya. Isma yang sedang leka makan buat-buat tidak
nampak dengan aksi mesra yang ditunjukkan oleh abangnya.
Selepas lebih kurang sejam menghabiskan masa di Pizza
Hut Bangsar, Syed Faizul menghantar mereka pulang semula ke kolej. Sebelum
Kartini melangkah keluar, Syed Faizul sempat menyerahkan satu nota yang
tercatat nombor telefon bimbitnya kepada Kartini.
“Call abang
kalau ada masa,” pesan Syed Faizul dengan senyuman penuh makna.
“Insyaallah…,” jawab Tini pendek tetapi cukup membuatkan
hati Faizul senang.
Kartini menggenggam erat kertas tersebut kemudian
memasukkannya ke dalam poket seluar.
Isma pula awal-awal lagi telah meninggalkan mereka. Kartini pula terasa agak kekok berada
berdua dengan lelaki itu walaupun sebenarnya mereka telah lama mengenali antara
satu sama lain.
Kartini memandang kereta Faizul yang bergerak keluar
dari perkarangan asrama kedua. Bibirnya menguntum senyuman. Aneh sungguh
perasaannya kali ini terhadap Faizul. Kalau di kampong mereka hanya bertentang
mata dari jauh dan hanya menyapa sekali sekala namun kini Kartini dapat
merasakan bahawa Faizul cuba
mendekatinya dengan lebih rapat. Mungkin juga kerana di sini mereka agak bebas
berbanding semasa di kampong kerana di kampong makcik Sharifah sering menjadi pengintip tidak
rasmi apa yang berlaku kepada anak bujangnya itu.
Tiba di bilik, Kartini menghempaskan tubuhnya ke katil.
Rasa penat menyelinap ke seluruh tubuhnya kerana sejak balik dari kuliah tadi
dia belum lagi dapat berehat di dalam biliknya. Aishah, teman sebiliknya tidak
ada, mungkin keluar dengan kawan-kawannya yang lain.
Setelah lebih kurang dua puluh minit berehat di katil,
Kartini bangun menuju ke bilik air untuk mandi. Dia membawa bersama satu baldi
yang berisi sabun dan berus untuk membasuh pakaiannya. Tiba di bilik air,
kelihatan beberapa siswi lain yang turut tinggal di tingkat yang sama sedang
menunggu giliran masing-masing. Ada
yang menunggu giliran untuk mandi, ada yang hanya membasuh kain, dan ada juga
yang sedang menyidai kain.
“Hai Tini,” sapa Maznah yang belajar di fakulti ekonomi.
“Hai, dah mandi?” Tanya Kartini apabila dilihatnya
Maznah hanya berkemban dengan kain batik.
“Belum lagi. Basuh baju dulu,”
Kartini mengangguk lalu dia merendam semua pakaiannya
yang dipakai untuk hari itu. Sabun
ditabur lalu buih-buih tebal berwarna putih bersih memenuhi baldinya. Kartini
mengambil pakaiannya lalu diberus kemudian di bilas. Pakaian-pakaian yang telah
siap dibasuh kemudian disidai sahaja di dalam bilik air itu di mana mereka
telah meregangkan beberapa utas tali sebagai penyidai.
Setelah selesai mandi, Kartini berjalan masuk semula ke
dalam biliknya. Dia memakai pakaian bersih kemudian bersiap sedia untuk
mengerjakan solat Asar. Usai solat Asar, Tini merebahkan tubuhnya yang
kepenatan ke atas katil. Tangannya melintang di dahi. Ingatannya berlari ke arah
emak di kampung. Apa agaknya yang sedang emak buat di waktu ini? Bisik hati
Tini. Perasaan rindu semakin membuak. Air mata mengalir lesu di sudut mata
Tini. Dibiarkannya sahaja ia kering sendiri.
“Alamak!!!” tiba-tiba Kartini melompat bangun dari
katil. Dia terus berlari menuju ke bilik air. Seluar jeans yang baru dibasuh
sebentar tadi ditarik kemudian tangannya pantas menyeluk poket seluar itu.
Sehelai kertas yang agak renyuk dikeluarkan tetapi Kartini terlambat. Air
basuhan telah melarut dan melenyapkan nombor talipon yang dicatit oleh Syed
Faizul sebentar tadi. Kartini mengeluh hampa.
Isma….bisik Kartini. Ah..malulah nak minta pada Isma….Akhirnya
dengan perasaan hampa Tini melangkah masuk ke biliknya semula.