“Pergi mana tadi Tini?” tanya Rohana kepada Kartini yang
baru naik ke atas rumah. Dia hanya
menjeling Tini dari ekor matanya sahaja.
“Seluar siapa tu mak?” tanya Kartini pula apabila
dilihat emaknya sedang menjahit. Soalan emaknya belum dijawab lagi.
“Nazrin…koyak lagi,” jawab Rohana tanpa memandang ke
arah Kartini, anak sulungnya.
Tudung yang agak lembap ditanggalkan lalu Kartini
bersandar di dinding rumah berhampiran dengan Rohana. Getah rambut yang tadinya
mengikat kemas rambutnya ditanggalkan lalu Kartini membiarkan rambutnya yang panjang melepasi
bahu terurai bebas.
“Pergi ke Lata lagi ke?”
Kartini memandang emaknya kemudian mengangguk. Senyuman
terukir di bibirnya. Rohana membawa seluar itu ke mulutnya lalu benang digigit
hingga putus.
“Kan
ada gunting tu…,” selar Kartini. Muncungnya dihala ke arah gunting di atas riba
emaknya.
“Senang…,” jawab Rohana pendek. Kartini
menggeleng-geleng kepala.
“Ada surat tak mak?”
“Surat?
Mak tak tengok…tapi tadi rasanya posmen ada singgah. Nazrin yang ambik kot. Cuba
tengok atas almari tu,”
Belum sempat Kartini bangun, bunyi hon motosikal yang
bertalu-talu kedengaran di halaman rumahnya. Kartini menjengukkan muka di muka
pintu. Wajah Isma dengan senyuman yang melebar di bibir kelihatan sedang
berjalan ke arah rumahnya setelah menongkatkan motor di halaman rumah.
“Hoi, kenapa kau ni? Macam orang gila bunyi hon banyak
kali,”
“Ishh..apa cakap orang macam tu…,” tegur Rohana
menggeleng kepala.
Isma hanya tersengih.
“Padan muka kau,” ejek Isma kemudian menyalami tangan emak
Kartini.
“Surat apa tu?” tanya
Kartini apabila dia terpandangkan sekeping sampul surat berwarna coklat di tangan Isma.
“Kau tak dapat ke?” tanya Isma.
“Dapat apa?” tanya Kartini-hairan.
“Surat
panggilan ke universiti. Aku dapat UM, Ijazah undang-undang. Engkau pergilah
tengok. Kita kan
sama-sama mintak…,” beritahu Isma.
Kartini memandang emaknya. Wajahnya menunjukkan
kerisauan. Dadanya berdebar kencang. Bimbang sekiranya permohonannya ditolak.
Tetapi tidak mungkin kerana keputusan STPMnya nyata lebih bagus daripada Isma.
“Pergi tengok dulu…,” pujuk Rohana. Dia tahu perasaan
Kartini yang memang benar-benar berharap untuk melanjutkan pelajaran di
universiti dalam jurusan undang-undang. Dia juga sentiasa berdoa siang dan
malam agar Kartini berjaya.
Dengan perasaan yang gelisah, Kartini bangun kemudian
menuju ke almari di belakang rumah, di mana surat-surat diletakkan. Matanya
terpandang beberapa keping surat
yang berada di situ. Dengan tangan yang menggeletar, dia mengambil sekeping
sampul surat
coklat yang tertulis namanya. Perlahan-lahan Tini mengoyak hujung sampul surat tersebut kemudian
dia mengeluarkan isi kandungannya.
Lama Kartini menatap isi kandungan surat itu. Anak matanya laju mengikuti
baris-baris ayat yang tertulis. Selesai membaca surat tersebut, Kartini terduduk di sisi
almari. Matanya berair. Tangannya menekup mulut.
“Makkk!!!!!”
Rohana yang masih berbual-bual dengan Isma di ruang tamu
terkejut besar apabila mendengar jeritan Kartini. Seluar di tangan dilepaskan
kemudian dia tergesa-gesa bangun menuju ke bahagian belakang rumah. Wajahnya
kelihatan begitu bimbang. Kenapa dan apa yang telah berlaku kepada Kartini?
Pelbagai persoalan menerjah fikirannya.
Isma juga turut bangun
mengikuti emak Kartini. Dia juga amat terkejut apabila mendengar suara Kartini
sebentar tadi. Apa yang telah berlaku?
“Kenapa ni Tini?” Tanya Rohana risau apabila dilihatnya
Kartini sudah tersengguk-sengguk menangis di tepi almari. Dia memegang bahu
Kartini dan menggoyangkannya beberapa kali.
Perlahan-lahan Kartini menghulurkan surat tersebut kepada Rohana. Mata Rohana
pantas membaca isi kandungan surat
itu kemudian seperti Kartini, air matanya mengalir membasahi pipi. Tubuh
Kartini ditariknya rapat lalu kedua-dua beranak itu saling berpelukan.
“Tahniah Tini, mak tahu Tini pasti akan berjaya…,” bisik
Rohana di telinga Kartini.
Isma yang terpinga-pinga terus mengambil surat itu dari tangan
Rohana lalu membacanya. Selesai membaca, dia terduduk lalu ketawanya meledak.
“Issshhh…kau ni. Buat aku terkejut je,” Isma menepuk
bahu Kartini kemudian dia turut memeluk Kartini.
“Tahniah Tini,” bisik Isma. Kartini mengangguk.
“Ohh..aku pun belum ucap tahniah pada kau lagi. Tahniah
Isma. Aku gembira sebab kita sama-sama akan masuk universiti yang sama,”