Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
40,341
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 1

Orang ramai yang mandi manda di air terjun Lata Hitam di Padang Rengas kelihatan begitu gembira pada hari ini. Ada yang datang bersama keluarga, ada yang berpasangan dan ada juga yang lebih senang menyendiri memerhatikan keindahan air terjun yang masih belum tercemar. Suara burung-burung dan unggas silih berganti memberikan satu irama yang mendamaikan. Pokok-pokok buluh dan pokok-pokok hutan menambahkan warna dan keindahan yang begitu mempersonakan pandangan mata. Bunyi deruan air sungai yang menghempas batu-batu menerbitkan satu perasaan aman dan tenteram.

Di atas sebuah batu besar di tepi air terjun itu, kelihatan dua orang gadis manis sedang berbual sambil mengunyah sandwich. Sesekali terdengar gelak tawa mereka berdua memecahkan keheningan bunyi air terjun yang menghempas batu-batu.

Isma merenjis-renjiskan air sungai yang sejuk ke wajah Tini. Tini mengelak tetapi percikan air masih terkena pada wajahnya. Basah. Isma tergelak besar.

“Eh Tini, tengok tu,”

“Mana?”

“Tu ha yang pakai T-shirt hijau tu,” jari telunjuk Isma menunjukkan arah kepada sekumpulan remaja lelaki yang sedang makan di atas batu-batu besar tidak jauh dari tempat mereka berada.

Apabila mata Kartini terarah kepada lelaki berbaju hijau yang ditunjukkan oleh Isma serta merta dia tergelak besar. Kartini menekup mulutnya dengan tapak tangannya, cuba mengawal suara ketawanya yang agak kuat manakala tangan kirinya pula menepuk bahu Isma beberapa kali. Dahi Isma berkerut-hairan.

“Kenapa?”

“Yang tu?” Tanya Kartini lagi sambil menekan perutnya yang sakit akibat ketawa tadi.

Isma mengangguk.

“Ya lah…,kenapa?”

Dengan senyum yang masih mengulum di bibir, Kartini menggeleng kepala.

“Yang macam tu?”

“Ya lah, Kenapa?” tanya Isma lagi. Mukanya berkerut kehairanan.

“Badan besar macam tu? Huuh…..berat tu…,” bisik Kartini kemudian tawanya kedengaran lagi.

“Mana ada besar sangat, okey lah tu…,”

Isma masih mempertahankan pilihannya.

“Kenapa engkau suka lelaki yang badan macam tu?”

Isma menjungkitkan bahunya. Kemudian dia tersenyum manis.

“Entahlah…orang badan besar nampak gagah. Bila kita jalan dengan dia, rasa selamat,” jawab Isma dan matanya melirik seolah-olah sedang membayangkan perkara tersebut.

Kartini menepuk bahunya.

“Dahlah. Berangan tak sudah-sudah….sekolah pun tak habis lagi dah fikir pasal lelaki. Jomlah balik. Dah petang sangat ni. Nanti bising mak kau tu. Mak kau tu bukannya boleh kalau tak tengok muka kau ni lama sikit,” usik Kartini sambil mencubit pipi Isma.

Isma mengerutkan wajahnya. Pipinya yang merah diusap beberapa kali.
”Sakitlah…,” rungutnya.

Kartini hanya ketawa kecil. Dia berdiri kemudian mengesat pasir-pasir dan kotoran yang melekat di punggungnya. Matanya memerhatikan sekeliling kawasan air terjun itu. Deruan air terjun yang mengalir di depan mereka benar-benar mendamaikan. Hutan yang masih belum banyak tercemar di sekeliling mereka menciptakan satu landskap semula jadi yang amat indah. Memang selalunya di kawasan air terjun inilah tempat mereka berdua menghabiskan masa di hujung minggu. Berbual-bual tentang apa-apa yang telah berlaku dalam hidup mereka selama satu minggu tersebut dan kadang kala terjun dan mandi di sungai itu.

Isma mengikut. Seluar pendek longgar separas bawah lutut yang dipakainya basah di hujung, juga di bahagian punggungnya kerana dia duduk agak rapat dengan air. Dia menarik cekak rambut di kepala lalu menyikat semula rambutnya dengan rapi.

Mereka berdua berjalan menuju ke tempat motosikal mereka diletakkan. Kartini mengambil topi keledarnya lalu disarungkan ke kepala. Tudungnya dibetulkan kemudian dia sudah bersedia duduk di atas motor dengan enjin yang telah dihidupkan.

“Cepatlah sikit. Hari macam nak hujan,” gesa Kartini apabila dilihatnya Isma masih mengipas-ngipas seluarnya.

“Nantilah kejap. Pasir banyak lagi ni,”

“Alaa…kat rumah nanti kau mandilah lagi. Masukkan je seluar tu dalam mesin basuh…,”

“Ha’a ya lah tu. Kau tau tak mak aku tu bising tau bila aku masukkan seluar berpasir dalam mesin basuh sebab bila pasir banyak sangat nanti sumbat pulak mesin basuh kesayangannya tu…,” Isma mencebikkan bibirnya. Kartini hanya tersenyum.

“Alaa…abang-abang kau banyak duit, beli je yang baru…,”

Isma hanya tersenyum mendengar kata-kata Tini. Memang itulah kata-kata yang sering diucapkan oleh Tini sejak dari dulu lagi.

Setelah Isma juga duduk di motosikal dan menghidupkan enjin, mereka berdua menunggang keluar dari kawasan perkelahan tersebut. Jalan kampong yang masih belum bertar menyebabkan mereka terpaksa mengawal motosikal lebih berhati-hati lebih-lebih lagi terdapat lopak-lopak dan batu-batu di sepanjang perjalanan.

Sampai di satu simpang ke kanan, Isma mengangkat tangannya lalu membelok ke situ. Kartini membalas lambaian tangan Isma tetapi dia meneruskan perjalanan kerana rumahnya terletak selang beberapa rumah daripada rumah Isma.

Previous: INTRO
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Aini Marisha Marisha