Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
44,862
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 7

Kartini dan Isma berasa lega. Setelah dua minggu tersiksa dengan program orientasi yang disediakan oleh senior fakulti undang-undang, akhirnya mereka dibebaskan. Bebas? Memang bebas tetapi untuk dibebaskan juga mereka masih terkena. Sewaktu mengambil gambar ramai-ramai iaitu bersama pelajar senior yang terlibat dalam minggu orientasi tersebut, rupa-rupanya ada program lain yang dirahsiakan. Sedang masing-masing sibuk menyebut “cheese” untuk bergambar, tiba-tiba sahaja mereka telah disimbah dengan air dan tepung sehingga menyebabkan mereka semua basah dan putih dengan tepung. Ada yang menjerit kerana amat terkejut dan ada juga yang ketawa besar.

Apabila diingatkan semula tempoh dua minggu tersebut, kadang-kala Kartini tergelak sendiri. Walaupun tersiksa namun dia akui program seumpama ini sebenarnya berkesan untuk mengeratkan ikatan silaturrahim antara pelajar junior dan senior. Sepanjang tempoh orientasi tersebut, kesemua pelajar baru fakulti tersebut memakai pakaian berwarna hitam dan putih iaitu pakaian rasmi bagi peguam dan pegawai-pegawai yang bertugas di Mahkamah.

Antara acara yang telah disediakan oleh pelajar senior adalah mentor dan mentee atau abang angkat atau kakak angkat. Setiap pelajar junior telah diberikan tiga nama yang merupakan nama samaran setiap senior mereka daripada setiap tahun iaitu Tahun Dua, Tiga dan Empat dan mereka perlu mencari identiti sebenar mentor mereka. Mereka semua perlu menemuduga setiap senior yang dijumpai kemudian menanyakan nama mereka serta latarbelakang untuk memastikan samaada mereka itu adalah mentor mereka atau tidak. Dan akhirnya, tanpa disedari mereka telah mengenali hampir setiap pelajar senior hasil dari pencarian tersebut.

Tini dan Isma lega - kini mereka telah sah bergelar mahasiswi. Mereka juga telah memulakan kuliah mereka sejak dua minggu yang lepas. Memang terasa benar perbezaannya sewaktu menuntut ilmu di sekolah dahulu. Di sini tiada pakaian seragam dan tiada aktiviti kurikulum yang diwajibkan kepada setiap pelajar. Di sini mahasiswa dan mahasiswi bebas memakai pelbagai fesyen pakaian kecuali yang menjolok mata. Pelajar juga boleh memilih matapelajaran dan waktu kelas tutorial mengikut keselesaan masing-masing. Kuliah mereka pula diadakan di dalam bilik-bilik kuliah yang agak besar yang mempunyai tempat duduk yang bertingkat-tingkat.

“Tini, Encik Syed Imran, pensyarah Undang-Undang Keterangan kita tu handsome kan,” bisik Isma apabila mereka melangkah keluar dari Dewan Kuliah petang itu.

“Ye ke? Aku tak perasanlah…,”

“Kau ni buta ke tidur dalam kelas? Takkanlah lelaki yang begitu handsomepun tak dapat tarik perhatian kau?”

Kartini tergelak kecil. Memang begitulah perangai Isma setiap kali terlihat lelaki yang kacak.

“Dia tu pensyarah kita. Aku hanya nak dengar dia punya lecture je, bukannya nak main mata dengan dia. Tu sebab aku tak perasan tentang muka dia. Kau tu lainlah, pantang tengok orang handsome sikit,” balas Kartini menyebabkan Isma tergelak kecil.

Kartini terus mempercepatkan langkahnya kerana selepas ini mereka ada satu lagi kuliah untuk matapelajaran Undang-Undang Tort. Ketegasan Puan Maimon yang merupakan pensyarah matapelajaran tersebut amat difahami oleh setiap pelajar oleh itu Kartini tidak mahu terlewat masuk ke kelasnya.

“Cepatlah sikit. Nanti lambat. Bukan kau tak tahu sikap Puan Maimon,” gesa Kartini apabila dilihatnya Isma masih melenggang.

“Ya lah…,” balas Isma kemudian dia mempercepatkan langkahnya menyaingi Kartini yang sudahpun membuka pintu dewan kuliah.

Nasib baik pensyarah mereka belum sampai. Jika tidak pasti berdesing telinga mereka kena perli dengan pensyarah yang berumur empat puluh tahun itu. Kartini melambai kepada Salwa dan Maznah yang duduk tidak jauh dari mereka. Lambaian mereka dibalas.

Kelas yang agak bising dengan suara setiap pelajar tiba-tiba sahaja senyap apabila Puan Maimon melangkah masuk. Pensyarah wanita itu meletakkan buku-bukunya di atas meja kemudian berjalan ke tengah dewan memandang kepada setiap pelajar baru.

“Kamu sudah baca kes yang saya suruh cari minggu lepas?” Tanya Puan Maimon dengan suara yang lantang dan tegas.

Kesemua pelajar mengangguk dan ada juga yang hanya tunduk merenung buku. Takut melihat wajah pensyarah yang terkenal garang itu.

“Baiklah, sekarang saya nak soal,”

Menggeletar lutut Isma apabila mendengar kata-kata Puan Maimon kerana dia memang terlupa hendak membaca kes itu. Memang Kartini ada memberinya salinan kes tersebut tetapi sehingga malam tadi kes tersebut tidak disentuhnya. Alamak…habislah aku….Isma semakin menggelabah.

“Ha! Yang tunduk-tunduk tu,” Puan Maimon menunjukkan tangannya ke arah Isma. Kecut perut Isma sehingga dia tidak berani mengangkat mukanya.

“Isma, Puan Maimon panggil kau,” bisik Kartini lalu menyiku lengan Isma yang masih lagi tidak bergerak dari duduknya.

“Ha, jawab! Apa keputusan kes tu?” Tanya Puan Maimon lagi agak kuat.

Perlahan-lahan Isma mendongak dan apabila melihat ke atas meja, dia agak terkejut kerana terdapat sehelai kertas yang tertulis summary berkenaan kes tersebut. Isma menoleh ke arah Kartini di sebelahnya. Kartini mengangguk.

“Errr…mengikut kes tersebut, bagi membuktikan undang-undang kecuaian ada beberapa elemen yang perlu dibuktikan iaitu mesti wujud satu tugas untuk berhati-hati dan pelaku itu telah memecahkan tugas tersebut,” jawab Isma terketar-ketar.

Lama pensyarah itu merenungnya dan Isma berasa lega apabila Puan Maimon mengangguk. Isma menarik nafas panjang. Tangan Kartini digenggam erat.

“Thanks,” ucap Isma. Kartini tersenyum kemudian mengangguk.

Previous: Bab 6
Next: Bab 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.