Home Novel Cinta USAH MENANGIS SAYANG
USAH MENANGIS SAYANG
Aini Marisha Marisha
25/2/2014 23:21:14
44,866
Kategori: Novel
Genre: Cinta
Bab 6

Hari ini hari kedua Tini dan Isma berada di kolej. Perasaan mengantuk begitu kuat bersarang di hati Tini dan Isma. Minggu orientasi masih belum berakhir. Tini mengeluh kepenatan. Kenapalah perlu ada minggu seperti ini. Hanya menakutkan dan meruntuhkan perasaan dan semangat berkobar-kobar setiap junior sahaja…rungut Tini dalam hatinya. Semalam nyaris dia tidak kena ketuk ketampi di depan dewan hanya kerana dia terlupa nama Ketua Orientasi kolej mereka.

“Kan saya dah suruh awak cari nama setiap urusetia program orientasi ni? Apa yang awak buat dalam tempoh dua jam yang diberi ha!!? Awak tidur ye? Kalau nak tidur pergi balik rumah! Jangan datang sini! Sini tempat orang nak belajar aje!!” berdesing telinga Tini apabila disergah begitu. Sebenarnya memang dia telah dapat semua maklumat yang dikehendaki tetapi apabila dia meraba poket seluar sukannnya dia tidak dapat mencari kertas tersebut. Seingatnya dia telahpun memasukkan kertas itu ke dalam poket sebelum dia keluar dari bilik tadi. Mungkin tercicir….dan ketakutan pula telah menyebabkan dia “blank” sebentar. Habis nama-nama yang telah dihafalnya tadi hilang dari kotak fikirannya. Dia hanya mampu tercegat di hadapan senior lelaki bertubuh tinggi lampai itu sambil tunduk memandang lantai.

“Ha! Ketuk ketampi sepuluh kali sebagai denda! Sekarang!!” tengking lelaki itu lagi. Tini pula terkedu. Perasaan malu semakin menebal dalam dirinya lebih-lebih lagi dia dikelilingi tiga orang lagi pelajar senior lelaki.

“Errr….Rashid bin Shaari,” entah macam mana tiba-tiba sahaja nama itu terpacul dari mulut Tini.”

“Apa?” pelajar lelaki itu bertanya. Telinganya dihalakan ke wajah Tini meminta Tini mengulanginya dengan lebih jelas.

“Nama Ketua urusetia adalah Rashid bin Shaari…” terketar-ketar Tini menyebut nama itu semula.

“Ha! Tahu pun! Nasib baik kau ingat! Kalau tak nasib kau dah macam dia orang!” pelajar lelaki itu menunjukkan ke arah tiga orang pelajar baru yang telah didenda ketuk ketampi. Hati Tini sebak. Perasaan kasihan menerpa ke dalam hatinya. Baginya minggu orientasi ini agak melampau dan memalukan.

“Abang Faizul kirim salam,” beritahu Isma sambil tersenyum meleret.

“Ha?” Tini yang masih mengelamun tersentak. Dia memandang ke arah Isma yang berdiri di hadapannya.

“Waalaikummussalam…,” jawab Kartini bersahaja, cuba mengawal rasa hati dan riak wajahnya agar tidak dijadikan bahan usikan Isma.

“Tini ni menung apa ni?” tegur Isma yang perasan sikap Tini sejak tadi.

“Tak ada…Tini penatlah dengan minggu orientasi ni. Teringat kisah semalam…,”

“Nasib baik semalam Tini ingat nama Ketua Orientasi tu kan…,” bisik Isma dengan senyuman di bibir. Dia juga kasihan melihat Tini yang pucat lesi apabila disoal bertubi-tubi oleh abang senior tersebut. Tetapi apakan dayanya kerana dia tidak dapat membantu kerana dia juga langsung tidak tahu jawapan yang dikehendaki oleh senior tersebut.

Tini tersenyum dan mengangguk. Memang dia benar-benar bernasib baik semalam. Kalau tidak pasti hari ini menggeletar lututnya dek kerana ketuk ketampi semalam.

Perbualan mereka terhenti apabila giliran mereka untuk mengambil makanan tiba. Dulang yang kini berisi nasi dan lauk pauk ditatang dengan berhati-hati. Mereka duduk di sebuah meja yang agak jauh dari orang ramai. Maklumlah junior, masih lagi takut-takut dengan kehidupan baru mereka. Kartini perasan ada beberapa siswa lelaki yang berkali-kali memandang ke arah meja mereka, pasti tertarik dengan Isma yang memang mampu memukau mata setiap lelaki yang memandangnya.

“Rasanya abang Faizul macam ada hati kat Tini,” ujar Isma berterus terang.

Kartini agak terkejut mendengar kata-kata Isma. Ikan goreng yang berada di tangan diletakkan semula ke dalam dulang.

“Jangan merepeklah Isma,” Kartini tunduk, cuba melindungkan resah yang melatari dirinya.

“Betul…….,” Isma cuba menyakinkan.

“Tak ada apa-apa tu. Dia saja kirim salam, macam dulu-dulu. Tini tak mahu cakap tentang ni, okey?” jawab Tini tegas.

Isma mengangguk walaupun agak kecewa juga dengan sikap Tini yang langsung menolak mentah mana-mana lelaki yang berminat untuk mendekatinya. Tetapi dia terpaksa akur dan akhirnya faham benar dengan perangai Kartini yang tidak suka berbincang tentang lelaki dan perasaan.

“Ada bawak baju hitam putih?” tanya Isma kepada Kartini yang hanya diam sejak tadi.

Tini yang sedang menyuap makanan hanya mengangguk. Kemudian dia memandang Isma.

“Ada bawak. Tapi tak banyak. Is bawak banyak ke?,”

“Ada empat pasang. Boleh basuh dan tukar-tukar. Orientasi kat fakulti dua minggu kan?”

Kartini mengangguk.

“Risau kan. Apa yang diaorang nak buat kat kita ya,” luah Isma dengan wajah yang resah.

“Biarlah apa pun dia orang nak buat. Asalkan jangan sampai cedera dan mati dah,” jawab Tini acuh tak acuh. Isma tergelak kecil.

Freshie ke ni?” tiba-tiba seorang lelaki berdiri di sebelah meja mereka. Tini dan Isma mendongak. Seorang lelaki berambut pendek dan berkulit sawo matang serta berkumis nipis sedang tersenyum memandang mereka.

Kartini dan Isma mengangguk. Pasti ini senior di asrama ni….bisik Kartini bimbang. Janganlah dia orang nak kenakan kami pada waktu makan macam ni…, bisik Kartini lagi.

“Siapa nama?” tanya lelaki itu kepada Isma.

“Sharifah Ismawati,”

“Yang ni?” lelaki itu menunjuk kepada Kartini pula.

“Kartini,”

“Abang-abang senior kat meja sana tu mintak kamu berdua duduk dengan mereka sekali,”

Lelaki itu menunjukkan pula ke arah sekumpulan lelaki yang sedang duduk di sebuah meja bulat yang besar di dewan makan itu. Ada yang tersenyum-senyum memandang mereka. Kartini dan Isma saling berpandangan. Masing-masing merasa serba salah.

“Kami bukan nak buat apa-apa. Saja nak berkenalan je…,” lelaki itu berkata lagi seolah-olah dapat membaca perasaan mereka.

Tini dan Isma saling berpandangan. Nasib baik nasi di dalam pinggan sudah hampir habis sewaktu lelaki ini datang ke meja mereka. Jika tidak tentu amat ketara yang mereka sedang cuba melarikan diri dari pelajar-pelajar tersebut.

“Maaf, kami tak boleh. Kami kena naik ke bilik sekarang ni. Ada hal penting,” jawab Kartini nekad kemudian dia bangun bersedia untuk melangkah.

Isma juga memberanikan diri untuk mengikut langkah Kartini tetapi tiba-tiba lelaki itu menghalang.

“Jangan macam tu. Tolonglah saya. Kalau saya tak buat sampai awak berdua dapat duduk di meja tu, habislah saya. Saya pun freshie kat sini,” lelaki itu bersuara perlahan menghadap mereka dan membelakangkan lelaki-lelaki senior tersebut.

Kartini dan Isma agak terkejut kemudian rasa kasihan menerpa di hati Kartini. Memandangkan minggu orientasi juga belum lagi berakhir, Tini terpaksa mengalah kerana jika tidak pasti mereka akan dikenakan dengan lebih teruk lagi dalam program-program orientasi lain selepas ini. Kartini memandang Isma kemudian mereka sama-sama mengangguk. Dengan berat hati mereka berdua melangkah perlahan ke arah meja bulat itu. Seorang siswa yang agak kurus dan berambut lurus bangun kemudian membawa dua buah kerusi untuk Isma dan Kartini.

Kartini dan Isma berasa kekok. Kartini tidak senang duduk, peluh terasa membasahi wajahnya. Tidak tahu di mana hendak disorokkan wajahnya apabila setiap mata siswa-siswa tersebut memandang ke arah mereka.

“Janganlah takut. Kami tak makan orang…,” salah seorang siswa tersebut mengusik apabila melihat sikap mereka yang takut-takut. Senyum miang bersimpul-simpul di bibir setiap pelajar lelaki tersebut. Geli sungguh hati Kartini melihat kelakuan mereka. Kartini semakin rimas dan Isma juga begitu.

“Abang ni nama Shahrul, ini Murad, ini Rizman, ini Saiful….ha, adik-adik junior kena ingat nama senior tau. Dan tak lupa, nama abang pulak Kamal,” lelaki berbadan kurus dan berkumis nipis memperkenalkan kawan-kawannya dan kemudian dirinya sendiri. Isma dan Kartini hanya tersenyum dan mengangguk.

Kemudian seorang demi seorang siswa senior itu menemubual mereka. Asal usul mereka, nama, fakulti apa dan sebagainya sehingga Kartini naik bosan. Kartini juga semakin rimas apabila senior lelaki bernama Rizman yang duduk berhadapan dengannya asyik memandangnya kemudian tersenyum-senyum. Tetapi tidak dinafikan, Rizman itu juga yang paling pendiam dan yang paling kacak di antara lelaki-lelaki yang berada di hadapan mereka.

“Maaflah ya, saya terpaksa naik ke bilik. Lain kali kita berbual lagi,” dengan penuh hormat Kartini meminta diri.

“Eh, nantilah dulu….tak habis lagi ni….,” lelaki bermisai nipis dan kurus cuba menghalang.

“Maaf, ada program orientasi lain lepas ni. Kalau lambat, nanti kami kena denda,” ujar Tini lagi dengan suara yang sengaja ditekankan nadanya. Tini berasa lega. Nasib baik lelaki-lelaki tersebut memahami dan membenarkan lalu mereka berdua terus melangkah keluar dari situ tanpa berlengah lagi.

“Menyampah betul aku dengan yang si gemuk tu. Tersengih-sengih macamlah ada orang nak kat dia. Dia pulak yang lebih-lebih,” bebel Isma membuatkan Kartini tergelak kecil.

“Itulah, bila ada kuasa, mereka ingat mereka boleh buat sesuka hati pada kita yang junior ni. Menyampah betul aku,” omel Kartini pula.

“Ha, ini baru je orientasi kat asrama, esok orientasi kat fakulti pulak. Entah apa-apa lagi lah kita kena hadapi,”

“Aku rasa dia orang suka kenakan kau sebab kau tu cantik sangat,” terang Kartini lagi.

“Tak adalah sebab tu. Bukan aku je, kau tu pun cantik jugak…,” balas Isma sambil senyum meleret kemudian mengenyitkan matanya.

“Aku pulak…..,” selar Tini lalu menepuk bahu Isma dengan senyum malu-malu. Kemudian mereka berdua ketawa mengekeh lebih-lebih lagi apabila teringatkan wajah si gemuk yang lebih-lebih menyoal mereka tadi.

“Tini…satu lagi kan, Is perasan lah abang yang nama Rizman tu asyik pandang-pandang je kat Tini,”

“Mana ada lah…dia tu juling sebab tu mata dia asyik nampak macam pandang Tini…,”

Isma tergelak besar apabila Tini memberi alasan begitu.

“Ada ke kata orang juling. Orang handsome macam tu mana ada juling lah….lagipun dia tu kan bakal doktor. Doktor mana boleh juling maa…,” Isma membalas kemudian mereka sama-sama ketawa lagi.

“Mana ada syarat orang juling tak boleh jadi doktor,” dalam tawa yang masih bersisa Tini masih mahu mempertahankan alasannya.

“Tini….nanti patient takut tau. Dia ingat doktor tu pandang tempat lain kalau sedang examine pesakit. Contohnya katakan yang doktor tu sebenarnya nak cucuk kat tangan pesakit, tapi patient ingat doktor tu tak focus tempat yang nak dicucuk tu. Kan ke kes naya tu….,”

“Dah lah Is. Tak baik mengata orang sampai macam tu sekali tau. Nak jadi doktor ke tak, bukannya bergantung pada keadaan fizikal kita, tapi pada sini,” Tini menunding jarinya ke tepi kepala untuk menunjukkan bahawa otak yang bijak lebih diperlukan untuk berjaya menjadi seorang doktor.

“Bukan Is yang mulakan tau. Tini yang kata abang Rizman tu juling,”

“Ye lah…ye lah….Tini jugak yang kena…Jom cepat. Tak solat Zuhur lagi ni,”

Mereka berdua kemudian bergegas melangkah anak tangga dan berjalan pantas menuju ke bilik masing-masing sebelum berjanji untuk bertemu semula pukul 2.30 petang untuk acara orientasi seterusnya.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.