Home Novel Cinta pilihan terakhir
Bab 41


Puan Sri Erma menggenggam erat jemari gadis itu. Afiyah hanya tersenyum membalas pandangan wanita itu.

"Terima kasih Fiyah," ucap Puan Sri Erma dengan senyuman.

"Sebab apa mama? Rasanya Fiyah tak layak terima ucapan itu," balas Afiyah dengan perasaan bersalah. Puan Sri Erma menggeleng perlahan.

"Mama tahu tak mudah bagi Fiyah. Bila mama tahu Eij nak pinang Fiyah hari itu, mama sebenarnya agak takut. Mama takut Fiyah tak mampu untuk menerima Eij disebabkan kisah Eij dan Liya. Sebab itu mama bersyukur sangat bila Fiyah terima cincin yang Eij beri malam itu." Afiyah terdiam mendengar kata-kata wanita itu.

"Fiyah bukan tak sayang Eij mama. Cuma Fiyah takut nak hadapi risiko itu. Kehilangan seseorang yang kita sayang itu adalah perkara yang paling menyakitkan buat Fiyah. Kalau boleh Fiyah tak nak kesilapan itu berulang lagi," katanya seiring dengan senyuman hambar. Puan Sri Erma menepuk lembut tangan gadis itu.

"Mama kenal Eij. Mama beri jaminan yang Eij akan jaga Fiyah dengan baik," katanya dengan yakin. Afiyah hanya tersenyum tanpa membalas.

"Mengumpat Eij ek?" celah Eijaz yang sedang berjalan menghampiri.

"Tahu tak apa," balas Puan Sri Erma sambil tergelak kecil. Eijaz ikut tergelak sambil menghulurkan tangan ke arah Afiyah.

"Jom, Eij nak tunjukkan sesuatu dengan Fiyah," katanya dengan senyuman. Afiyah memandang Puan Sri Erma. Wanita itu kelihatan hanya tersenyum mengangguk. Afiyah bangun perlahan tanpa menyambut huluran lelaki itu. Eijaz menggigit bibir.

"Jom," ajaknya dengan senyuman nakal. Terangkat kening Afiyah memandang langkah lelaki itu yang menuju masuk ke dalam rumah.

"Eij jangan buat hal. Fiyah tak jadi isteri Eij lagi itu," Puan Sri Erma mengingatkan sambil mengenyitkan mata ke arah Afiyah. Kedengaran gelak Eijaz yang sudah berada di muka pintu. Afiyah tersenyum kecil ke arah Puan Sri Erma sebelum mengikut langkah lelaki itu.

Mamat ini memang nak kena!

***

Afiyah agak berdebar melangkah masuk ke dalam bilik lelaki itu. Langkah Afiyah terhenti apabila melihat gambar besar yang tergantung pada dinding. Gambarnya bersama dengan lelaki itu semasa majlis tunang mereka.

"Awak nampak sangat jelita dalam gambar itu," puji Eijaz separuh berbisik di telinga gadis itu. Afiyah berpaling memandang lelaki itu.

"Nak tunjuk apa?" soalnya dengan dada berdebar saat melihat renungan tajam lelaki itu. Eijaz berdehem perlahan. Dia berjalan menghampiri almari besar di tepi katil sambil mengambil sesuatu. Terangkat kening Afiyah apabila lelaki itu menunjukkan sebuah album yang agak tebal.

"Kita tengok kat sini," ajak Eijaz sambil melangkah menuju ke beranda biliknya. Afiyah hanya menurut sambil mengambil tempat di hadapan lelaki itu. Eijaz menolak album tersebut ke arah gadis itu.

"Gambar apa ini?" soal Afiyah agak berdebar.

"Tengoklah," balas Eijaz dengan senyuman. Afiyah membuka album tersebut. Bibirnya terkunci saat melihat satu persatu fotonya yang ada di dalam album tersebut. Eijaz agak berdebar melihat reaksi gadis itu.

"Awak ini stalker ke?" tanya Afiyah tanpa memandang wajah lelaki itu. Eijaz tergelak kecil.

"Sebab Fiyahlah saya boleh jadi stalker," balasnya dengan perasaan lega.

"Macam mana awak boleh dapat gambar saya ini? Ini masa saya dekat Aus kan?" tanya Afiyah dengan kening berkerut. Dia memandang lelaki itu semula.

"Sorry, itu saya minta dengan mama Bie," jawab Eijaz sambil menggaru kepalanya yang tidak gatal. Perlahan senyuman terukir di bibir Afiyah. Eijaz terkesima sejenak.

"Awak buat saya takut kahwin dengan awak," kata Afiyah separuh bergurau. Eijaz tergelak lagi.

"Siaplah awak bila kita dah kahwin nanti," katanya sambil mendekatkan tubuhnya ke arah gadis itu. Afiyah pantas menolak.

"Itu tak lucu," katanya sambil pantas bangun dari kerusi dan berjalan menuju ke arah pintu utama bilik lelaki itu. Eijaz tergelak kecil melihat telatah gadis itu.

Ainun Afiyah, awak boleh buat saya tak tentu arah.

*****

Daffa tersenyum saat melihat nama yang terpampang di skrin telefonnya. Sudah agak lama gadis itu tidak menghubunginya. Dia seperti dapat meneka tujuan gadis itu menelefonnya malam ini. Daffa menekan punat hijau.

"Hai Daf," sapa Afiyah.

"Hai," balas Daffa dengan senyuman.

"Sorry sebab mungkin tak dapat datang majlis awak. Bulan depan saya stay lama kat Armenia. Memang tak sempat nak balik masa majlis itu," beritahu Afiyah agak rasa bersalah.

"Tak apa Fiyah. Tapi jangan pula lupa nak sediakan hadiah untuk saya dan Dayana. Daf cari Fiyah nanti," balas Daffa separuh bergurau. Afiyah tergelak kecil.

"Boleh aje," katanya dengan senyuman.

"Thank you Fiyah. Daf bersyukur sebab Fiyah masih mampu terima Daf sebagai kawan," ucap Daffa dengan perasaan terharu. Afiyah hanya tersenyum mendengar kata-kata lelaki itu.

"Jaga diri kat sana," nasihat Daffa apabila kedua-duanya terdiam agak lama.

"Okay. Assalamualaikum," ucap Afiyah sebelum menekan punat merah. Dia menarik nafas dalam. Memang bukan sesuatu yang mudah baginya untuk menerima semula kehadiran lelaki itu walaupun hanya sebagai kawan. Kekuatan itu dicarinya bertahun lamanya. Daffa masih memandang telefonnya.

Terima kasih Fiyah. Untuk segalanya.

*****

"Dah ada ke?" tanya Suha sambil memandang ke arah perut sahabatnya. Rina tergelak kecil.

"Rina baru aje sebulan kahwin. Awal sangat kot," celah Aliya sambil mencapai sepotong kek perisa Vanila yang terhidang di atas meja.

"Rezeki Allah kita tak tahu," celah Afiyah pula.

"Amboi korang ini. Sibuk nak kata aku. Korang bila nak kahwin?" soal Rina sambil memandang ketiga-tiga rakannya itu.

"Nak buat macam mana. Aku tak jumpa lagi jodoh itu," jawab Suha selamba.

"Aku pun sama," celah Aliya sambil tersengih.

"Aku tak lama lagi. Korang sabar aje," balas Afiyah pula dengan tenang. Bulat mata Rina memandang Suha dan Aliya sebelum mereka bertiga tergelak serentak. Berkerut kening Afiyah memandang telatah rakan-rakannya itu.

"Akhirnya orang itu mengaku," usik Rina.

"Ego sangat. Nasib baik orang di sana tak pernah putus asa untuk orang di sini," usik Suha pula.

"Tak baik cakap kakak I macam itu," celah Aliya sambil memeluk lengan Afiyah. Bibirnya sengaja dimuncungkan untuk tujuan mengusik gadis itu. Afiyah menggigit bibir tanda geram.

"Korang ini memang jahat," balasnya sebelum tergelak kecil. Suha, Rina dan Aliya ikut tergelak.

*****

Eijaz tersenyum menghampiri Afiyah yang sedang memandangnya dengan pandangan tajam.

"Sorry," ucapnya dengan perasaan bersalah.

"Awak yang beria ajak saya keluar. Kalau saya tahu awak sibuk dengan..."

"Katrine. Salah seorang rakan Eij masa kat London," pintas Eijaz pantas kerana sudah dapat meneka apa yang ada di fikiran gadis itu.

"So?" soal Afiyah agak geram. Agak lama Eijaz terdiam membalas pandangan gadis itu sebelum perlahan mengukir senyuman. Afiyah mendengus perlahan.

"Awak cem..."

"No," pintas Afiyah pantas. Eijaz tergelak kecil. Afiyah menggigit bibir.

"Kenapa minah salleh itu boleh peluk awak pula?" soalnya kembali dengan perasaan tidak puas hati.

Alang-alang Eij dah tahu, baik aku tanya supaya tenang hati ini.

"Eij tak sempat menolak tadi," balas Eijaz separuh mengusik.

"Tak sempat atau suka?" soal Afiyah geram. Eijaz tergelak semula.

"Sukalah itu!" marah Afiyah. Eijaz berdehem perlahan.

"Sorry sayang. Sayang tahukan budaya mereka macam mana kalau dah bertemu dengan kawan-kawan? Eij memang tak sempat nak ingatkan Katrine tadi. Sorry," ucapnya dengan tenang. Afiyah menarik nafas dalam.

Dah kenapa dengan aku ini? Yes, I know. But...,

"Sayang," panggil Eijaz lembut.

"Okay fine. Cepatlah saya dah lapar ini," balas Afiyah akhirnya mengalah.

"Sayang, Eij lagi suka bila sayang cemburu macam ini. Rasa bahagia sangat," usik Eijaz nakal.

"Tak habis lagi?" soal Afiyah geram.

"Sorry," ucap Eijaz lagi sambil mengangkat tangannya memanggil pelayan. Afiyah mendengus perlahan melihat senyuman nakal lelaki itu.

*****

"Kamu masih marahkan papa?" soal Datuk Hashim sambil memandang tepat wajah pemuda yang duduk di hadapannya itu. Dahin tersenyum kecil. Dia agak terharu kerana walaupun tidak menjadi sebahagian daripada keluarga itu namun lelaki itu tetap mengekalkan panggilannya.

"Tak papa. Nak buat apa marah papa. Benda dah jadi. Lagipun soal hati bukannya boleh dipaksa," balasnya dengan tenang. Datuk Hashim mengangguk setuju.

"Dahin sekarang macam mana?" soalnya semula.

"Macam biasa pa. Minggu depan Dahin akan Armenia," beritahu Dahin dengan senyuman.

"Armenia? Fiyah pun akan ke sana juga," balas Datuk Hashim. Dahin mengangguk.

"Kamu dah tahu?" soal Datuk Hashim pula. Agak keliru dengan maksud anggukan lelaki itu.

"Saya dah lihat senarai usahawan dari Malaysia yang akan terlibat. Memang nama Fiyah ada tersenarai. Tak ramai yang terlibat sebab itu saya senang sangat perasan nama Fiyah," beritahu Dahin dengan senyuman.

"Assalamualaikum," sapa satu suara.

"Waalaikumsalam," jawab Datuk Hashim dan Dahin serentak. Afiyah tersenyum menghampiri.

"Dah jam 9 malam Fiyah. Asyik balik lewat kebelakangan ini," tegur Datuk Hashim dengan kening berkerut. Afiyah hanya tersengih memandang wajah orang tuanya itu.

"Fiyah dan Dahin berbual dulu. Papa nak masuk dalam," kata Datuk Hashim sambil bangun dari kerusinya. Dahin hanya memandang langkah Datuk Hashim yang berlalu sebelum memandang Afiyah yang kini duduk berdepan dengannya.

"Apa khabar?" tanya Afiyah dengan senyuman. Dahin mengangguk turut tersenyum.

"Sihat. Fiyah?" tanyanya pula.

"I'm good," jawab Afiyah. Kedua-duanya terdiam sejenak tanpa kata-kata. Lidah kelu untuk berkata-kata.

"Awak masih marahkan saya?" tanya Afiyah akhirnya.

"Saya minta maaf kalau awak terasa," balas Dahin dengan perasaan bersalah. Afiyah menggeleng.

"I'm sorry Dahin. Untuk segalanya," ucap Afiyah dengan perasaan sebak. Dahin tersenyum.

"Don't worry Fiyah. Bukannya salah Fiyah. Dahin minta maaf kalau Dahin buat Fiyah tak selesa," ucapnya sambil tepat memandang wajah gadis itu.

"Fiyah masih sudi berkawan dengan Dahin?" tanyanya apabila melihat Afiyah hanya membisu.

"Mestilah. Awak jangan larikan diri lagi. Kami semua risaukan awak," balas Afiyah dengan kening berkerut. Dahin tergelak kecil.

"Sorry," ucapnya lagi masih dengan senyuman.

Saya bukan sengaja larikan diri Fiyah. Cuma merawat hati yang luka.

Afiyah tersenyum mengangguk.

Maaf Dahin. Hati ini sudah memilih. Jodoh bukan milik kita.

*****

"Mama, lama tak Fiyah kat sana?" soal Aliya sambil memandang Bienda yang sedang menyiram pokok bunga.

"Kalau tak silap dua minggu kot. Liya tak tanya Fiyah?" soal Bienda kembali sambil tersenyum memandang gadis itu. Aliya tersengih.

"Tak sempat. Liya sibuk dengan tempahan. Tak sempat nak berbual dengan Fiyah," jawabnya agak kesal. Bienda menutup pili paip. Dia berjalan menghampiri Aliya yang sedang duduk di atas bangku kayu. Bienda mengambil tempat di hadapan gadis itu.

"Tak apa. Fiyah faham kerja Liya. Lagipun Fiyah tak lama kat sana," balasnya dengan senyuman. Aliya mengangguk dengan senyuman hambar.

"Mama nak tanya, Liya dah ada calon?" soal Bienda tepat memandang wajah gadis itu. Berkerut kening Aliya.

"Maksud mama?" soalnya agak keliru.

"Alah, calon suami," jawab Bienda tanpa bertapis lagi. Aliya tergelak besar.

"Budak ini. Suka sangatlah itu," kata Bienda separuh mengusik.

"Tak ada calon lagi mama. Siapa nak anak dara mama yang tak lawa ini," balas Aliya yang masih lagi dengan sisa tawanya. Bienda menepuk lembut paha gadis itu yang agak terdedah.

"Tak baik cakap macam itu. Nak mama carikan?" usiknya.

"Tak nak lah ma. Biar jodoh datang sendiri. Liya dah malas nak fikir," balas Aliya dengan senyuman. Bienda menggenggam jemari gadis itu.

"Mama dan papa pun tak paksa. Liya berhak tentukan jalan hidup sendiri. Cuma mama nak pesan sama dengan apa yang mama pesan dengan Fiyah. Beri ruang seseorang untuk mengisi hati Liya semula," nasihatnya ikhlas. Aliya membalas genggaman wanita itu.

"Terima kasih mama. Insya Allah," balasnya dengan senyuman.

Terima kasih Ya Allah. Hadirkan mama untuk kami.

*****

Datuk Hashim mengahampiri isterinya yang sedang termenung.

"Kenapa ini? Tak sihat?" tanyanya sambil mengambil tempat di sisi wanita itu. Bienda tersenyum memandang suaminya itu.

"Bie sihat. Tak dengar pun abang balik tadi," katanya sambil membetulkan duduk supaya berdepan dengan suaminya.

"Rindu Fiyah lah itu," teka Datuk Hashim. Bienda tersenyum kecil.

"Fiyah baru aje dua hari kat sana Bie dah rindu. Dengan abang tak rindu?" soal Datuk Hashim separuh mengusik.

"Ishh! Mengada abang ini. Bie cuma risau aje. Takut Fiyah tak balik-balik pula," balas Bienda dengan senyuman hambar. Datuk Hashim tergelak kecil.

"Janganlah risau. Hati Fiyah ada kat Malaysia. Kali ini abang yakin Fiyah dah beri sepenuh hatinya untuk Eij," katanya sambil menggenggam jemari wanita itu. Bienda tersenyum mengangguk.

"Thank you abang," ucapnya dengan perasaan sebak. Terangkat kening Datuk Hashim memandang wanita itu.

"Sebab terima Bie jadi isteri abang. Impian Bie tercapai nak jadi mama Fiyah dan Liya," sambung Bienda dengan senyuman.

"Abang pun nak ucapkan terima kasih. Sebab Bie sudi terima abang walaupun tahu mengenai kisah silam abang. Sebenarnya abang malu dengan Bie. Abang bukanlah suami yang baik," balas Datuk Hashim dengan perasaan bersalah. Bienda menggeleng perlahan.

"Abang adalah yang terbaik untuk Bie." Walau siapapun lelaki itu sebelum ini bukanlah haknya untuk menghukum. Manusia memang tidak pernah lepas daripada melakukan kesilapan.

*****

"Kau okay?" tanya Suha sambil melangkah ke beranda biliknya.

"Okay aje. Kenapa? Eij buat hal ke?" soal Afiyah dengan perasaan berdebar. Suha tergelak besar. Terbayang dia wajah cemas Afiyah yang jarang sangat ditunjukkan oleh gadis itu. Berkerut kening Afiyah.

"Suha...," panggilnya geram.

"Sorry. Aku dengar Dahin pun ada kat sana. So aku just nak pastikan kau okay. Kau pula dah fikir jauh," balas Suha sebelum tergelak lagi. Afiyah menggigit bibir.

"Sayang sangat kau dengan Eij sekarang ek. Masih ada tak kasih sayang untuk aku?" tanya Suha separuh mengusik.

"Mengada," balas Afiyah sambil tergelak kecil.

"Aku dan Dahin tak ada masalah kat sini. Kau janganlah risau," sambungnya pula. Suha tersenyum.

"Maknanya semua masalah dah selesai. Aku tumpang gembira Fiyah," katanya dengan ikhlas.

"Terima kasih Suha. Susah senang yang aku lalui kau sentiasa ada jadi pendengar setia aku. I love you," ucap Afiyah dengan perasaan sebak.

"Yaiih! Simpan ucapan itu. Nanti ada orang merajuk dengan aku pula," usik Suha. Afiyah tergelak besar. Suha tersenyum mendengar gelak tawa gadis itu.

Kawan aku dah bahagia. Aku bila lagi?

Suha tergelak mendengar soalan hatinya sendiri.

Biar jodoh datang sendiri.

*****

"Fiyah sihat?" tanya Eijaz dengan senyuman.

"Sihat. Maaf tak sempat jawab call Eij," jawab Afiyah dengan perasaan bersalah.

"Tak apa. Eij dengar Dahin ada sekali kat sana," kata Eijaz dengan nada suara yang rendah. Afiyah menggigit bibir. Memang dia sengaja tidak memberitahu lelaki itu yang Dahin turut serta dalam rombongannya.

"Fiyah tak beritahu Eij pun," sambung Eijaz perlahan.

"Sorry," ucap Afiyah sambil menyentuh dahinya. Eijaz tersenyum.

"Dia usik Fiyah tak?" soalnya sengaja mahu mengusik gadis itu.

"Eij," balas Afiyah dengan kening berkerut.

"I miss you," ucap Eijaz akhirnya. Dia tidak mahu gadis itu terus merasa tidak selesa dengan pertanyaannya.

"Awak buat apa? Dah makan?" tanya Afiyah tanpa menjawab ucapan lelaki itu. Eijaz tersenyum sambil menggeleng perlahan.

"I love you," ucapnya lagi tanpa menjawab. Afiyah menggigit bibir.

"Eij tengah fikirkan Fiyah. Dah seminggu Eij tak lalu nak makan sebab rindu Fiyah," balas Eijaz akhirnya.

Susahnya nak dengar awak ucap perkataan itu Fiyah.

"Awak buat saya risau pula. Awak jagalah kesihatan masa saya tak ada. Nanti kalau jadi apa-apa, saya tak ada kat sana," kata Afiyah perlahan. Eijaz tersenyum.

"Sayang juga awak kat saya. Awak tahu tak Fiyah, saya rasa nak aje terbang kat sana sekarang ini," balasnya dengan senyuman nakal.

"Awak jangan mengada pula. Eij, saya dah nak tidur ini. Esok nak bangun awal," kata Afiyah sebelum menutup telefonnya tanpa sempat Eijaz membalas. Dia menarik nafas dalam sambil menyentuh dadanya. Senyuman terukir di bibir.

I miss you too, Eij.

Eijaz masih merenung telefon bimbitnya. Dia menggeleng tersenyum.

Nasib kau lah Eij dapat bakal isteri yang degil.

*****

Aliya melangkah masuk ke dalam kereta lelaki itu.

"Lambat sangat. Perut aku dah bunyi sejak tadi," komen Rina yang duduk bersama Suha di bahagian penumpang belakang.

"Sorry Eij," ucapnya sambil menjelir lidah ke arah Rina.

"Tak apa," balas Eijaz sambil mula menggerakkan kereta.

"Eij, kenapa hari ini tiba-tiba nak belanja kami makan? Ada apa-apa ke?" tanya Suha dengan senyuman.

"Kau menang loteri ke Eij?" soal Rina pula. Eijaz tergelak besar.

"Tak payahlah korang tanya. Nanti Eij tak jadi nak belanja," celah Aliya separuh mengusik.

"Kamu bertiga dah banyak sangat bantu saya untuk dekati Fiyah. Apa salahnya saya belanja sekali sekala. Walaupun saya tahu ia tidak dapat membalas apa yang korang dah lakukan untuk saya dan Fiyah," kata Eijaz dengan senyuman.

"Memang dah tanggunjawab kami nak bantu. Apalah gunanya kawan kalau tak ada peranan. Betul tak?" balas Rina sambil memandang Suha dan Aliya silih berganti.

"Betul itu Eij. Kami percaya awak boleh jaga dan bahagiakan Fiyah. Kami harap usaha kami tak sia-sia," sokong Aliya dengan senyuman.

"Jaga Fiyah baik-baik Eij," celah Suha pula. Dia menarik nafas perlahan. Melihat wajah tenang Aliya dan Eijaz membuatnya rasa lega.

"Saya akan pastikan Fiyah bahagia. Memang itu impian saya. Saya nak habiskan sepanjang hidup saya ini dengan Ainun Afiyah," balas Eijaz dengan penuh yakin. Senyuman lebar menghiasi bibirnya. Aliya tersenyum memandang wajah berseri lelaki itu.

"Untunglah Fiyah," katanya separuh bergurau.

"Menyesal?" usik Rina.

"Menyesal tak berguna," jawab Aliya sebelum tergelak besar diikuti oleh Rina dan Suha. Eijaz hanya tergelak kecil melihat telatah ketiga-tiga gadis itu. Kini dia benar-benar rasa lega.

Alhamdullillah ya Allah.

*****

"Eij tahu tak yang saya ada sekali dengan Fiyah?" tanya Dahin sambil memandang tepat wajah gadis itu. Afiyah tersenyum mengangguk.

"Dia mesti rasa tak selesa sebab saya ada sekali," teka Dahin.

"Dia akan ikut sekali kalau tak selesa," balas Afiyah dengan senyuman. Dahin tergelak kecil.

"Nampaknya dia sangat percayakan Fiyah. Saya dah tak risau sangat dah. Walaupun mulanya memang Saya tak boleh lepaskan Fiyah. Terus terang saya masih sayangkan Fiyah. Tiga tahun saya menunggu awak Fiyah. Awak jangan salahkan saya kalau saya masih simpan nama awak dalam ini," katanya sambil menyentuh dadanya. Afiyah terdiam mendengar kata-kata lelaki itu. Dahin tersenyum melihat wajah resah gadis itu.

"Saya tak marah awak atau Eij. Awak janganlah tunjuk muka macam itu," sambungnya sambil tergelak kecil. Afiyah menggigit bibir.

"Eij lelaki yang baik. Saya yakin dia boleh jaga dan bahagiakan Fiyah," kata Dahin dengan ikhlas.

"Walauapapun yang berlaku, awak tetap kawan baik saya. Maafkan saya kalau selama ini saya dah buat silap dengan awak," ucap Afiyah dengan senyuman hambar. Dahin menggeleng.

"Semua manusia akan buat silap Fiyah," katanya dengan senyuman. Afiyah turut mengangguk tersenyum.

"Oh ya, kalau saya tak silap, majlis Daf esokkan?" tanya Dahin inginkan kepastian. Rasa rugi juga tidak dapat menghadiri majlis perkahwinan lelaki itu. Afiyah menganggukkan kepalanya lagi.

"Awak bila lagi?" soalnya separuh mengusik. Dahin tergelak kecil.

"Jangan risau. Saya pun tak nak membujang sampai tua," balasnya separuh bergurau. Afiyah tergelak kecil. Dahin hanya tersenyum memandang telatah gadis itu.

Eij, kau kena pastikan senyuman yang aku lihat sekarang tak akan hilang lagi.

*****

Dayana tersenyum menghampiri suaminya yang sedang termenung memandang langit malam.

"Kenapa wajah suami Yana ini macam kena paksa kahwin aje?" soalnya separuh bergurau. Daffa tergelak kecil sambil memandang wajah isterinya itu.

"Terima kasih sayang," ucapnya separuh berbisik. Dayana tersenyum manis.

"Boleh Yana minta sesuatu?" soalnya lagi separuh meminta. Daffa mengangguk tersenyum.

"Boleh tak abang turunkan gambar Fiyah yang ada kat dalam itu?" pintanya sambil menunjukkan ibu jarinya ke arah bilik mereka. Daffa terkedu.

"Sorry sayang," ucapnya dengan perasaan bersalah. Dia ingin melangkah masuk namun Dayana sempat menarik tangannya.

"I'm really sorry," ucap Daffa apabila melihat wajah serius isterinya itu. Agak lama Dayana merenung wajah resah lelaki itu sebelum tergelak kecil. Berkerut kening Daffa memandang gadis itu.

"Fiyah mesti istimewa di hati abang," kata Dayana dengan senyuman pahit.

"Sayang," panggil Daffa semakin rasa bersalah. Dia memang sudah lama ingin menurunkan gambar Afiyah yang digantungkan pada dinding biliknya itu. Namun dia sering lupa berbuat demikian. Dia juga agak pelik mengapa ibunya turut tidak perasan dengan gambar tersebut semasa menghias biliknya.

"Yana tak marah abang. Cuma nak sedikit ruang di hati abang," kata Dayana dengan senyuman manis. Daffa menarik gadis itu dalam pelukannya.

"Hati abang dah jadi milik Yana," bisiknya dengan perasaan sebak. Dayana tersenyum mengangguk.

*****

Tiga bulan kemudian...,

"Ada masa sebulan lagi. Fiyah dah sedia nak jadi isteri Eij?" tanya Eijaz tepat memandang wajah gadis itu. Afiyah terdiam memandang senyuman nakal lelaki itu.

"Apa yang awak suka sangat dengan saya?" soalnya sengaja mahu menguji lelaki itu. Eijaz menarik nafas dalam.

"Semua. Semua tentang Fiyah buat Eij tak tentu arah," balasnya dengan senyuman.

"Sejak bila?" soal Afiyah lagi tidak berpuas hati.

"Sejak peristiwa Fiyah sombong sangat tak nak tolong Eij ambil bola," jawab Eijaz dengan kening terangkat. Afiyah tergelak kecil mengingati peristiwa tersebut.

"Banyak sangat yang berlaku antara kita Fiyah. Sampaikan pernah satu masa saya fikir akan kehilangan awak bila awak pergi macam itu aje. Saya bukan tak faham situasi awak yang tersepit. Cuma hati saya yang degil nak awak. Degil tak nak lupakan awak. Dalam tempoh tiga tahun saya belajar untuk lupakan awak sebab tahu memiliki awak akan menyebabkan awak sakit. Tapi saya tak pernah berjaya Fiyah," kata Eijaz denga perasaan sebak.

"Pertama kali jumpa awak setelah tiga tahun. Saya terfikir untuk larikan diri. Kalau tak saya tak akan mampu menahan diri untuk memiliki awak. Pada awalnya saya dilema. Saya sayangkan awak tapi saya masih tak yakin dengan perasaan awak. Saya nak memiliki awak tapi takut awak akan terluka kerana kisah saya dan Liya. Dalam masa yang sama saya juga takut kehilangan awak bila tahu Dahin sayangkan awak," sambungnya dengan senyuman hambar. Afiyah hanya memandang wajah lelaki itu tanpa berkata apa-apa.

"Sebelum malam awak terima cincin daripada saya, banyak perkara yang saya pertimbangkan. Saya tahu peluang saya sangat tipis. Tapi saya tetap nak cuba sekali lagi supaya saya tak menyesal suatu hari nanti. Malam itu saya letakkan keputusan di tangan awak. Saya tak paksa awak. Bila awak terima cincin itu, saya rasa nak nangis. Saya tunggu awak lama Fiyah," kata Eijaz sambil menggenggam erat jemari gadis itu. Afiyah menarik nafas dalam.

"Terima kasih kerana bersabar dengan saya," katanya dengan senyuman. Eijaz ikut tersenyum.

"Eij, saya dah bersedia jadi isteri awak," kata Afiyah sambil membalas genggaman tangan lelaki itu. Eijaz terkedu.

"Awak adalah pilihan terakhir saya. Hati saya dah pilih awak," sambungnya dengan senyuman manis. Eijaz menarik tangan gadis itu supaya menyentuh dadanya.

"Jantung Eij rasa nak berhenti," katanya dengan perasaan sebak. Afiyah tergelak kecil. Dia menarik tangannya.

"Mengada. Saya wanita biasa yang punya banyak kekurangan Eij. Awak jangan letakkan harapan yang sangat tinggi. Saya tak sempurna seperti apa yang ada dalam fikiran awak," katanya dengan senyuman hambar. Eijaz tersenyum.

"Saya tak kata yang saya juga sempurna Fiyah. Apa yang saya impikan kita mampu saling melengkapi antara satu sama lain. Saya boleh terima kekurangan awak dan begitu juga sebaliknya," katanya sambil merenung sepasang mata cantik milik gadis itu.

"I love you," ucapnya separuh berbisik. Afiyah tersenyum kecil. Eijaz berdebar menunggu jawapan gadis itu.

"Me too," ucap Afiyah dengan senyuman. Eijaz menarik nafas lega.

"Jom kahwin esok," ajaknya dengan senyuman nakal.

"Gatal!"

Kasih,

Terima kasih kerana mengakhiri penantian ini...

-Tamat-


Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.