Home Novelet Islamik Rahsia yang tersimpan
Rahsia yang tersimpan
Nik Zah
9/6/2024 15:28:08
12,228
Kategori: Novelet
Genre: Islamik
Bab 9

Isya lihat Tini segera menggeleng. Isya teringat tentang kata-kata Ain terhadap Tini sebelum ini. Tentang hubungan Tini dengan seseorang. Sehingga kini dia masih tertanya-tanya tentang kebenarannya namun dibiarkan sahaja  persoalan itu tergantung begitu sahaja.

‘Ah, kalau dia nak bercerita dia akan beritahu juga suatu hari nanti’ getus hati Isya. Sejujurnya Isya sendiri kurang mempercayai apa yang dikatakan oleh Ain.

“Tajuk tu luas maknanya Isya. Mencari cinta sejati boleh juga merujuk kepada mencari cinta Allah. Di situlah adanya ketenangan dalam hati,” Tini cuba membetulkan tanggapan Isya membuatkan Isya mengangguk-angguk.

Isya tidak menyangka perbualan pada awalnya santai-santai sahaja boleh pergi sejauh ini. Memang Isya tahu bahawa Tini sangat sukakan majlis ilmu dan beberapa kali juga Tini mengajaknya untuk turut serta tetapi Isya masih keberatan untuk pergi.

“Nantilah dulu.” Itu sahaja jawapan Isya apabila diajak oleh Tini dan nampaknya Tini tidak pula memaksa apabila dia sudah memberi jawapan seperti itu.

‘Mencari cinta sejati.’ Isya berbicara sendiri.

 Memang sudah lama dia ingin mencari ketenangan dalam diri. Ketenangan yang boleh mendamaikan hati. Bukan dengan cara berkenalan dengan Izwan. Itu bukan ketenangan hati tapi serabut di hati.

“Isya, Izwan masih cuba nak dekati awak lagi ke?”

Isya mengangkat kening. Tini macam tahu pula apa yang sedang dia fikirkan sekarang.

“Entahlah, sebenarnya tak ada apa-apa pun. Kawan sahaja macam yang dia pernah cakap sebelum ni waktu dia bagi bunga tu.” Isya menekup mulut. Nampaknya dia sudah terlepas cakap.

“Bunga? Izwan ada beri awak bunga?” Tini cuba meminta kepastian. Wajah Tini nampak sedikit terkejut.

Isya teragak-agak untuk menjawab. Jika dia memberitahu perihal bunga itu pasti Tini akan berkecil hati apabila mengetahui dia pernah berbohong sebelum ini. Isya cuba mencari jawapan yang sesuai tetapi akhirnya dia mengambil keputusan untuk diam sahaja lagipun memang ini salahnya kerana sudah terlanjur dalam berkata-kata.

“Kalau boleh hati-hati sikit dengan Izwan tu.” Tini sempat memberi peringatan kepada Isya apabila Isya kelihatannya terus membisu.

“Ya, aku tahu. Dah banyak kali kau suruh aku hati-hati dengan dia. Tapi sebenarnya memang Izwan tu lelaki yang tak baik ke?” Isya berminat untuk mengetahui dengan lebih lanjut dan pastinya Tini lebih mengenali peribadi Izwan kerana mereka sekelas.

“Saya tak kata macam tu pun cuma berhati-hati dengan lelaki yang kita masih tak kenal hati budinya.” Tini nampaknya begitu berhati-hati apabila memberi jawapan.

“Aku memang tak berminat pun dengan dia dan dengan mana-mana lelaki pun. Jadi kau tak perlu risau tentang hal tu. Kalau betul Izwan ada niat untuk sakitkan hati aku memang dia dah salah orang.” Isya terus sahaja menamatkan perbualan.

Isya sudah tidak memandang lagi riak wajah Tini apabila dia memberi jawapan seperti itu. Biarlah apa yang Tini fikirkan, itu tidak penting baginya. Yang penting dia tahu apa yang dia buat dan mengapa dia membuat keputusan seperti itu. Isya tidak mahu menyerabutkan kepalanya dengan perkara yang boleh dielak seperti itu. No man, no tears. Itu prinsip Isya. Kehadiran Izwan sedikit pun tidak merubah prinsip yang dipegangnya selama ini.

Bagi Isya apa yang dia punya sekarang sudah mencukupi walaupun lompongnya masih ada. Isya masih mencari-cari jalan untuk mengetahui maksud ketenangan. Yang pasti ketenangan yang dicari bukanlah berada di rumahnya lalu perlu dicari di mana?

Previous: Bab 8
Next: Bab 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.